Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Adakah sah jika seorang lelaki yang telah berkahwin, melakukan akad nikah yang kedua tanpa memberitahu bakal isterinya baru itu, bahawa dia sudah beristeri?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Secara asasnya, para fuqaha’ telah membincangkan berkenaan perkara yang menyebabkan salah satu pihak, sama ada isteri atau suami untuk menuntut pembatalan pernikahan. Antara yang disebut ialah pembatalan kerana cacat. Ini dengan maksud, dibolehkan permintaan untuk pembatalan pernikahan sama ada dari pihak suami atau isteri, jika salah seorang daripada mereka mendapati kecacatan pada pasangannya. Dalam kitab al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah, dinyatakan: “Para ulama’ sepakat bahawa dibolehkah memisahkan keduanya jika terdapatnya kecacatan.” (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 29/68)
Meskipun begitu tidak semua kecacatan yang didapati pada salah satu pasangannya membolehkan mereka menuntut pembatalan pernikahan. Batasannya adalah pada cacat yang boleh menghilangkan tujuan pernikahan seperti tujuan untuk memenuhi syahwat, kasih sayang, ketenangan, keturunan dan seumpamanya. Ibn al-Qayyim menyebut: “Qiyas menunjukkan bahawa semua cacat yang menghalang seseorang dari pasangannya, dan tidak dapat tercapai tujuan pernikahan, seperti kasih sayang, membolehkannya untuk memilih (sama ada ingin meneruskan atau membatalkan pernikahan).”
Syeikh Ibn Uthaimin berkata: “Yang benar adalah bahawa masalah itu memiliki batasan, iaitu sesuatu yang dapat menghilangkan tujuan pernikahan secara mutlak. Cacat dalam pernikahan adalah seperti cacat dalam jual beli, kerana padanya terdapat cacat yang dapat menghilangkan tujuan akad secara mutlak.”
Namun pernikahan seorang lelaki dengan wanita yang lain tidaklah merupakan cacat yang membolehkan untuk dibatalkan pernikahan kerananya. Ini kerana seorang lelaki boleh berkahwin dengan dua, tiga dan empat wanita. Seorang isteri tidak boleh menuntut pembatalan pernikahan jika si suami bersikap dengan adil.
Syeikh Ibn Jibrin pernah ditanya:
هل يشترط لصحة الزواج أن يخبر الرجل من يريد الزواج منها بأنه متزوج من أخرى ، إن لم يُسأل عن ذلك ، وهل يترتب شيء على إنكاره إن سئل ؟
Maksudnya: “Adakah disyaratkan sebuah pernikahan untuk seorang lelaki memberitahu wanita yang hendak dia kahwini bahawa dirinya telah berkahwin dengan wanita jika dia tidak bertanyakan hal tersebut? Apakah kesannya jika dia mengingkarinya apabila ditanya?”
Beliau menjawab:
لا يلزم الرجل إخبار الزوجة أو أهلها بأنه متزوج إن لم يسألوه ، لكن ذلك لا يخفى غالباً ، فإن الزواج لا يتم إلا بعد مدة وبحث وسؤال عن كل من الزوجين وتحقق صلاحيتهما، لكن لا يجوز كتمان شيء من الواقع ، فإن وقع كذب من أحد الزوجين وبنى عليه الطرف الثاني فإنه يثبت الخيار ، فلو ذكر أنه غير متزوج وكذب في ذلك فلها الفسخ ، ولو قالوا إنها بكر وهي ثيب فله الخيار أن يُتم الزواج أو يتركها.
Maksudnya: “Tidak wajib bagi seorang lelaki memberitahu isterinya atau keluarganya bahawa dirinya telah berkeluarga jika mereka tidak bertanya tentangnya. Akan tetapi, umumnya masalah ini tidak dapat disembunyikan. Kerana pernikahan tidak sempurna kecuali setelah kedua pasangan saling ingin mengetahui jati diri pasangannya dan berusaha mewujudkan kebaikan bagi keduanya.
Akan tetapi, dia tidak boleh menyembunyikan sesuatu yang sebenarnya berlaku. Apabila satu-satu pasangan berdusta, dan dengan dusta tersebut, pasangannya menyetujui akad, maka ketika itu dia boleh memilih (antara meneruskan atau membatalkan perkahwinan).
Jika seorang lelaki mengatakan bahawa dia belum berkahwin, namun dia berdusta dalam perkara tersebut, maka si isteri boleh memilih. Jika dimaklumkan (oleh keluarga isteri) bahawa calonnya adalah gadis, sedangkan dia adalah janda, maka bagi suami boleh memilih untuk melanjutkan perkahwinan atau membatalkannya.” (Lihat Fatawa Islamiyyah, 3/129)
Dalam menjawab persoalan di atas, hukumnya adalah sah. Cuma perbuatan itu kurang bermoral. Akan tetapi, sekiranya dia telah mempunyai empat orang isteri, maka ia jelas tidak dibolehkan sama sekali.
Penutup
Dalam melayari bahtera rumah tangga, sifat kejujuran menjadi salah satu asas hubungan baik suami isteri dan keluarga. Justeru, perlu difahami bahawa dalam mendirikan rumah tangga yang penting adalah persefahaman, pelaksanaan tanggungjawab, kasih sayang yang akhirnya mewarisi mawaddah dan mahabbah serta sakinah.
Hal ini dinyatakan oleh Allah SWT dalam seurah al-Rum ayat 21:
وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِّتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُم مَّوَدَّةً وَرَحْمَةً ۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَاتٍ لِّقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ
Maksudnya: “Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.”
Surah al-Rum (21)
Kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”
Surah al-Furqan (74)
Bertarikh: 20 Julai 2023 bersamaan 1 Muharram 1445 H