#2354: Waktu Afdhal Solat Sunat Sunat Isyraq Dan Solat Sunat Dhuha

Soalan:

Salam Dato’ Seri saya ingin bertanya, bilakah waktu afdhal solat sunat Isyraq dan solat sunat Dhuha? Terima kasih.

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Solat Sunat Isyraq

Diriwayatkan daripada Anas Bin Malik bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ صَلَّى الْغَدَاةَ فِي جَمَاعَةٍ ثُمَّ قَعَدَ يَذْكُرُ اللَّهَ حَتَّى تَطْلُعَ الشَّمْسُ ثُمَّ صَلَّى رَكْعَتَيْنِ كَانَتْ لَهُ كَأَجْرِ حَجَّةٍ وَعُمْرَةٍ , تَامَّةٍ تَامَّةٍ تَامَّةٍ

Maksudnya: “Barangsiapa yang solat Subuh berjemaah kemudian dia duduk berzikir kepada Allah hingga matahari terbit, lantas solat dua rakaat, maka baginya seperti pahala haji dan umrah, yang sempurna, sempurna, sempurna.”

Riwayat al-Tirmizi (586) dan al-Baghawi dalam Syarh al-Sunnah (710). Imam al-Tirmizi menyatakan, hadith ini hasan gharib. Pengarang al-Silsilah al-Ahadith al-Sahihah (3403) menyatakan, hadis ini isnadnya hasan dan para perawinya adalah thiqah.

Kedua rakaat ini adalah rakaat-rakaat Dhuha, yang juga dikenali sebagai rakaat-rakaat Isyraq. Al-Thaibi dalam Syarh al-Mishkat menyatakan: Solat setelah matahari naik setinggi tombak sehingga masuk waktu yang makruh untuk solat. Solat ini dinamakan solat Isyraq dan merupakan awal waktu Dhuha.(Lihat Mirqah al-Mafatih Syarh Misykah al-Masobih,2/770)

Ibn Uthaimin pula menyatakan : Dua rakaat dhuha merupakan dua rakaat Isyraq. Sekiranya  dilakukan 2 rakaat tersebut pada awal waktu setelah  matahari meninggi setinggi tombok, ia merupakan solat sunat isyraq dan dhuha. Jika sekiranya melakukannya pada akhir waktu, maka ia dinamakan solat sunat Dhuha bukan solat sunat Isyraq. (Lihat Fatawa Nur A’la Darb Lil Uthaimin,8/2)

Ibnu ‘Abbas menamakan solat Dhuha yang dilakukan pada awal waktu tersebut sebagai solat Isyraq. Ia dinamakan dengan nama tersebut kerana ia didirikan selepas waktu syuruk iaitu waktu matahari sedang terbit. Namun begitu, walaupun solat Isyraq adalah solat yang dilakukan pada waktu solat Dhuha, terdapat beberapa perbezaan di antara solat Isyraq dan solat Dhuha. (Lihat  Bughyat al-Muthatawwi’ fi Solaat al-Tathawwu’: 58-59)

Menjawab bagi persoalan di atas, kami katakan solat Isyraq merupakan solat sunat Dhuha yang dilakukan pada awal waktu setelah matahari meninggi dengan kadar tinggi tombak dan ia afdhal dilakukan kira-kira 15 minit dari bermulanya waktu syuruk. Yang demikian juga bagi mengelak daripada melakukan solat pada waktu yang diharamkan.

Solat Dhuha pula bermula daripada terbitnya matahari (selepas waktu syuruk) sehingga sebelum tergelincir matahari (Lihat Bughyat al-Muthatawwi’ fi Solaat al-Tathawwu’: 60). Manakala, waktu terbaik untuk solat Dhuha ialah ketika pasir menjadi panas disebabkan matahari sudah mulai terpancar terik  iaitu sekitar satu atau dua jam sebelum zohor. Solat Dhuha yang dilakukan pada waktu ini disebut sebagai solat Awwabin. Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah Bin Abi Aufa:

صَلَاةُ الأَوَّابِينَ حِينَ تَرْمِضُ الفِصَالُ

Maksudnya: Solat Awwabin ialah solat yang dilakukan ketika pasir (di tanah lapang) menjadi panas (kerana matahari sudah terik).

Riwayat Muslim(1238)

Ibnu Athir menyatakan : Yang dimaksudkan adalah solat Dhuha ketika matahari tinggi dan panas yang terik. Ia menunjukkan bahawa keutamaan menangguhkan solat Dhuha hingga panas menjadi terik. Dinyatakan solat pada waktu ini adalah untuk orang-orang yang bertaubat, kerana jiwa cenderung kepada keselesaan, ketenangan, dan berehat pada waktu ini. Oleh itu, menyibukkannya dengan ketaatan dan sibukkan diri dengan solat adalah amalan bagi orang yang ingin memperoleh keredhaan Allah SWT. (Lihat al-Tanwir Syarh al-Jami’ al-Saghir, 7/22)

Justeru  kami syorkan  supaya sentiasa melazimi solat sunat Isyraq atau dhuha kerana ia merupakkan solat Awwabin yang amat dituntut oleh syara’ disamping terdapat banyak kelebihan bagi sesiapa yang melakukan solat sunat tersebut.

Semoga Allah SWT memberikan kita kefahaman yang jelas dalam beribadat kepadanya dan kami akhiri dengan doa :

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: ““Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.

(Surah Ibrahim :40)

Wallahua’lam

Bertarikh: 20 Julai 2023 bersamaan 1 Muharram 1445 H