Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya memerlukan penjelasan secara terperinci berkenaan sebuah kisah dalam hadith tentang lelaki yang terakhir sekali masuk ke dalam syurga. Terima kasih.
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Kisah ini ada diceritakan di dalam sebuah hadith sahih yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas‘ud R.Anhuma sebuah kisah yang membuatkan Rasulullah SAW ketawa sehingga nampak gigi geraham Baginda. Dikatakan bahawa ia merupakan kisah tentang ahli syurga yang paling rendah kedudukannya. Rasulullah SAW bersabda:
إِنِّي لَأَعْلَمُ آخِرَ أَهْلِ النَّارِ خُرُوجًا مِنْهَا وَآخِرَ أَهْلِ الْجَنَّةِ دُخُولًا: رَجُلٌ يَخْرُجُ مِنَ النَّارِ كَبْوًا
Maksudnya: “Sesungguhnya aku tahu tentang orang yang terakhir akan keluar dari neraka, dan orang yang terakhir memasuki syurga. Dia adalah seorang lelaki yang akan keluar dari neraka dalam keadaan merangkak.”
فَيَقُولُ اللهُ: اذْهَبْ فَادْخُلِ الْجَنَّةَ، فَيَأْتِيهَا فَيُخَيَّلُ إِلَيْهِ أَنَّهَا مَلْأَى، فَيَرْجِعُ فَيَقُولُ: يَا رَبِّ، وَجَدْتُهَا مَلْأَى، فَيَقُولُ: اذْهَبْ فَادْخُلِ الْجَنَّةَ، فَيَأْتِيهَا فَيُخَيَّلُ إِلَيْهِ أَنَّهَا مَلْأَى، فَيَرْجِعُ فَيَقُولُ: يَا رَبِّ وَجَدْتُهَا مَلْأَى
Maksudnya: “ Lalu Allah berkata: Pergilah, dan masuklah ke dalam syurga. Lalu lelaki itu pergi ke syurga tetapi dia membayangkan bahawa syurga telah penuh. Lelaki itu pun kembali kepada Allah lalu berkata: Wahai Tuhan, aku mendapati syurga telah penuh. Allah berkata lagi: Pergilah, dan masuklah ke dalam syurga. Lalu lelaki itu pergi ke syurga tetapi dia membayangkan bahawa syurga telah penuh. Lelaki itu pun kembali kepada Allah lalu berkata: Wahai Tuhan, aku mendapati syurga telah penuh.”
فَيَقُولُ: اذْهَبْ فَادْخُلِ الْجَنَّةَ، فَإِنَّ لَكَ مِثْلَ الدُّنْيَا وَعَشَرَةَ أَمْثَالِهَا، أَوْ إِنَّ لَكَ مِثْلَ عَشَرَةِ أَمْثَالِ الدُّنْيَا، فَيَقُولُ: تَسْخَرُ مِنِّي أَوْ تَضْحَكُ مِنِّي وَأَنْتَ الْمَلِكُ؟
Maksudnya: “Lalu Allah berkata: Pergilah, dan masuklah ke dalam syurga. Sesungguhnya untuk engkau seperti dunia dan sepuluh kali gandanya. Lelaki itu berkata: Adakah Engkau mempermainkan aku, atau mentertawakan aku, sedangkan Engkau Raja?”
Riwayat al-Bukhari (6571)
Di dalam sebuah riwayat yang lebih panjang daripada Abdullah bin Mas‘ud R.Anhuma, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
آخِرُ مَنْ يَدْخُلُ الْجَنَّةَ رَجُلٌ. فَهْوَ يَمْشِي مَرَّةً وَيَكْبُو مَرَّةً. وَتَسْفَعُهُ النَّارُ مَرَّةً. فَإِذَا مَا جَاوَزَهَا الْتَفَتَ إِلَيْهَا. فَقَالَ: تَبَارَكَ الَّذِي نَجَّانِي مِنْكِ. لَقَدْ أَعْطَانِي اللَّهُ شَيْئًا مَا أَعْطَاهُ أَحَدًا مِنَ الأَوَّلِينَ وَالآخِرِينَ، فَتُرْفَعُ لَهُ شَجَرَةٌ. فَيَقُولُ: أَيْ رَبِّ! أَدْنِنِي مِنْ هَذِهِ الشَّجَرَةِ فَلِأَسْتَظِلَّ بِظِلِّهَا وَأَشْرَبَ مِنْ مَائِهَا.
Maksudnya: “Orang terakhir memasuki syurga ialah seorang lelaki yang berjalan, tersungkur dan dibakar oleh api neraka. Apabila dia telah melepasi api itu, dia akan berpaling dan berkata: Maha suci keagungan Tuhan yang telah menyelamatkan aku daripada engkau, sesungguhnya Allah telah memberikan kepada aku sesuatu yang tidak pernah dia berikan kepada seorang pun daripada orang-orang yang awal dan terkemudian. Lalu tumbuh satu pokok untuknya, seraya lelaki itu berkata: Wahai Tuhan ku, dekatkanlah aku dengan pokok ini supaya aku dapat berteduh di bawahnya dan minum airnya.”
فَيَقُولُ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ يَا ابْنَ آدَمَ لَعَلِّي إِنْ أَعْطَيْتُكَهَا سَأَلْتَنِي غَيْرَهَا. فَيَقُولُ: لاَ يَا رَبِّ، وَيُعَاهِدُهُ أَنْ لاَ يَسْأَلَهُ غَيْرَهَا، وَرَبُّهُ يَعْذِرُهُ لأَنَّهُ يَرَى مَا لاَ صَبْرَ لَهُ عَلَيْهِ فَيُدْنِيهِ مِنْهَا، فَيَسْتَظِلُّ بِظِلِّهَا وَيَشْرَبُ مِنْ مَائِهَا.
Maksudnya: “Allah menjawab: Wahai anak Adam, boleh jadi jika Aku memberikannya kepada engkau, engkau akan meminta yang lain pula. Lelaki itu menjawab: Tidak, wahai tuhan ku. Dia berjanji tidak akan meminta selain itu, dan tuhannya memberikan keuzuran kerana lelaki itu melihat apa yang dia tidak mampu bersabar daripadanya. Lalu didekatkan dia kepada pokok itu, lalu dia berteduh dan minum airnya.”
ثُمَّ تُرْفَعُ لَهُ شَجَرَةٌ هِيَ أَحْسَنُ مِنَ الأُولَى، فَيَقُولُ: أَيْ رَبِّ، أَدْنِنِي مِنْ هَذِهِ لأَشْرَبَ مِنْ مَائِهَا وَأَسْتَظِلَّ بِظِلِّهَا لاَ أَسْأَلُكَ غَيْرَهَا. فَيَقُولُ: يَا ابْنَ آدَمَ أَلَمْ تُعَاهِدْنِي أَنْ لاَ تَسْأَلَنِي غَيْرَهَا؟ فَيَقُولُ: لَعَلِّي إِنْ أَدْنَيْتُكَ مِنْهَا تَسْأَلُنِي غَيْرَهَا. فَيُعَاهِدُهُ أَنْ لاَ يَسْأَلَهُ غَيْرَهَا، وَرَبُّهُ يَعْذِرُهُ لأَنَّهُ يَرَى مَا لاَ صَبْرَ لَهُ عَلَيْهِ، فَيُدْنِيهِ مِنْهَا فَيَسْتَظِلُّ بِظِلِّهَا وَيَشْرَبُ مِنْ مَائِهَا.
Maksudnya: “Kemudian tumbuh satu pokok untuk lelaki itu dan pokok itu lebih baik daripada yang awal tadi. Lelaki itu berkata: Wahai tuhan ku, dekatkan aku dengan pokok ini supaya aku dapat minum airnya dan berteduh di bawahnya. Aku tidak akan meminta yang lain lagi daripada engkau. Allah berkata: Wahai anak Adam, bukankah engkau telah berjanji kepada Aku untuk tidak meminta apa-apa yang lain. Boleh jadi jika aku dekatkan engkau kepada pokok ini, engkau akan meminta yang lain lagi. Lelaki itu berjanji untuk tidak meminta yang lain lagi, dan tuhannya memberikan keuzuran kepadanya kerana lelaki itu melihat apa yang dia tidak mampu bersabar daripadanya. Didekatkannya kepada pokok itu, lalu lelaki itu berteduh di bawahnya dan meminum airnya.”
ثُمَّ تُرْفَعُ لَهُ شَجَرَةٌ عِنْدَ بَابِ الْجَنَّةِ هِيَ أَحْسَنُ مِنَ الأُولَيَيْنِ. فَيَقُولُ: أَيْ رَبِّ، أَدْنِنِي مِنْ هَذِهِ لِأَسْتَظِلَّ بِظِلِّهَا وَأَشْرَبَ مِنْ مَائِهَا لاَ أَسْأَلُكَ غَيْرَهَا. فَيَقُولُ: يَا ابْنَ آدَمَ أَلَمْ تُعَاهِدْنِي أَنْ لاَ تَسْأَلَنِي غَيْرَهَا؟ قَالَ: بَلَى يَا رَبِّ، هَذِهِ لاَ أَسْأَلُكَ غَيْرَهَا. وَرَبُّهُ يَعْذِرُهُ لِأَنَّهُ يَرَى مَا لاَ صَبْرَ لَهُ عَلَيْهَا فَيُدْنِيهِ مِنْهَا.
Maksudnya: “Kemudian tumbuh untuknya sebatang pokok di pintu syurga, pokok ini lebih baik daripada dua pokok yang awal tadi. Lelaki itu berkata: Tuhan ku, dekatkan aku kepada pokok ini agar aku dapat berteduh di bawahnya dan meminum airnya. Aku tidak akan meminta selain itu. Allah menjawab: Wahai anak Adam, bukankah engkau telah berjanji untuk tidak meminta hal lain daripada aku? Lelaki itu menjawab: Ya, wahai tuhan ku. Ini sahaja dan aku tidak akan meminta hal lain lagi. Tuhannya memberikan keuzuran kepadanya kerana dia melihat sesuatu yang dia tidak dapat bersabar daripadanya. Lalu dia dibawa dekat kepada pokok itu.”
فَإِذَا أَدْنَاهُ مِنْهَا فَيَسْمَعُ أَصْوَاتَ أَهْلِ الْجَنَّةِ، فَيَقُولُ: أَيْ رَبِّ، أَدْخِلْنِيهَا. فَيَقُولُ: يَا ابْنَ آدَمَ مَا يَصْرِينِي مِنْكَ أَيُرْضِيكَ أَنْ أُعْطِيَكَ الدُّنْيَا وَمِثْلَهَا مَعَهَا؟ قَالَ: يَا رَبِّ أَتَسْتَهْزِئُ مِنِّي وَأَنْتَ رَبُّ الْعَالَمِينَ؟
Maksudnya: “Apabila dia sudah menghampiri pokok itu, dia mendengar suara-suara ahli syurga, lalu dia berkata: Wahai Tuhanku, masukkan aku ke dalamnya. Tuhannya berkata: Wahai anak Adam, apa yang akan menghentikan engkau daripada meminta kepada ku? Adakah itu akan membuatkan engkau redha jika Aku memberi kepada engkau dunia dan semisal dengannya bersamanya? Lelaki itu menjawab: Tuhan ku, adakah engkau mempermainkan aku sedangkan Engkau tuhan sekalian alam?”
Kemudian Ibn Mas‘ud ketawa, lalu berkata (kepada para sahabat yang lain):
أَلاَ تَسْأَلُونِّي مِمَّ أَضْحَكُ؟ فَقَالُوا: مِمَّ تَضْحَكُ؟ قَالَ: هَكَذَا ضَحِكَ رَسُولُ اللَّهِ ﷺ. فَقَالُوا: مِمَّ تَضْحَكُ يَا رَسُولَ اللَّهِ؟ قَالَ: مِنْ ضِحْكِ رَبِّ الْعَالَمِينَ حِينَ قَالَ أَتَسْتَهْزِئُ مِنِّي وَأَنْتَ رَبُّ الْعَالَمِينَ، فَيَقُولُ إِنِّي لاَ أَسْتَهْزِئُ مِنْكَ وَلَكِنِّي عَلَى مَا أَشَاءُ قَادِرٌ
Maksudnya: “Tidak mahukah kalian bertanya kenapa aku ketawa? Mereka bertanya: Kenapa engkau ketawa? Ibn Mas’ud menjawab: Beginilah ketawa Rasulullah SAW. Para sahabat bertanya: Kenapa engkau ketawa ya Rasulullah? Baginda menjawab: Kerana ketawanya Allah ketika lelaki itu berkata: Adakah engkau mempermainkan aku sedangkan Engkau tuhan sekalian alam? Allah menjawab: Aku tidak mempermainkan engkau. Sebaliknya aku ini mampu melakukan apa yang aku mahu.”
Riwayat Muslim (187)
Terdapat beberapa riwayat yang lain turut menceritakan kisah lelaki terakhir yang masuk ke dalam syurga ini. Dan terdapat beberapa faedah daripada kisah ini, antaranya:
1) Disebutkan di dalam hadith bahawa Rasulullah SAW ketawa kerana Allah SWT ketawa. Persoalannya yang mungkin timbul, bagaimana mungkin Allah SWT ketawa kerana ketawa ini merupakan sifat makhluk? Terdapat beberapa pandangan ulama’ dalam memahami maksud ‘ketawa Allah’ yang disebutkan dalam hadith:
- Pandangan salaf dalam memahami ayat sifat, sebagaimana yang disebutkan oleh Imam Malik berkenaan istiwa’ Allah di atas ‘Arasy-Nya: Istiwa’ itu perkara yang maklum (diketahui), tetapi bagaimana caranya (Allah beristiwa’) tidaklah diketahui. (Lihat Tazkirah al-Huffaz, 1/155)
Maka mereka menggunakan hujjah yang sama dalam isu ini: Ketawa itu perkara yang maklum, dan bagi Allah ketawa yang selayaknya tanpa mempersoalkan bagaimana atau menyamakan-Nya dengan makhluk.
- Imam al-Nawawi mengatakan bahawa ia bermaksud Allah SWT redha dan merahmati serta menginginkan kebaikan buat sesiapa yang Dia inginkan. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Muslim, 3/43)
- Imam al-Nawawi menukilkan daripada sebahagian ulama’ lainnya, bahawa yang dimaksudkan dengan ‘ketawa Allah’ adalah redha Allah terhadap perbuatan hambanya dan kasih sayang Allah terhadapnya, serta Allah menzahirkan nikmat baginya dan mengabulkan permintaan-Nya. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Muslim, 3/24)
- Imam al-Nawawi juga menukilkan pandangan al-Qadhi Iyyadh bahawa ketawa Allah SWT di dalam hadith tidak boleh disamakan dengan ketawa yang telah makruf (ketawa manusia). Akan tetapi yang dimaksudkan adalah Allah redha dengan perbuatan hambanya dan memujinya serta mengurniakan pahala.
Ditakwilkan begini kerana tidak ada yang ketawa melainkan berlakunya sesuatu yang bertepatan dengan perkara yang dia redha dan gembira.
Terdapat juga kemungkinan bahawa maksudnya adalah ketawa para malaikat yang Allah perintahkan mereka untuk mencabut roh hamba tersebut lalu memasukkannya ke dalam syurga. Seperti mana jika dikatakan: “Sultan membunuh si fulan”, yang dimaksudkan adalah sultan memerintahkan agar si fulan di bunuh. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 13/36)
2) Hadith antara dalil yang sangat kuat, ia merupakan bukti bahawa mereka yang diazab di dalam neraka, tidak dicabut daripadanya keimanan kepada Allah. Al-Tibi menyebutkan bahawa mereka yang melakukan dosa-dosa besar tidak akan dicabut daripadanya keimanan dan tidak juga disia-siakan ketaatannya. Ini kerana menurut persepakatan ulama’, mereka yang tiada iman tidak akan masuk ke dalam syurga. (Lihat Syarh al-Mishkat al-Masabih, 2/479)
Ibn Battal mengatakan: “Sesiapa yang mati dalam keadaan mentauhidkan Allah akan masuk syurga walaupun dia melakukan dosa, dan dia tidak akan kekal di neraka kerana dosanya, sebagaimana yang dikatakan oleh golongan Khawarij dan ahli bid‘ah.” (Lihat Syarh Sahih al-Bukhari, 9//105)
3) Hadith ini menerangkan tentang sifat rahmat Allah SWT yang sangat luas terhadap hamba-hambanya, keampunan-Nya, kemurahan-Nya serta limpahan pemberian-Nya kepada hamba-hambanya di dunia dan akhirat.
4) Hadith ini juga menceritakan tentang kehebatan ahli Syurga pada hari akhirat kelak berbanding dengan penduduk dunia. Di dalamnya terdapat dorongan buat manusia untuk mengejar nikmat syurga, supaya bertambah kecintaan dan kerinduan mereka kepada syurga Allah, serta berusaha melakukan amal dan mendekatkan diri kepada Allah SWT.
5) Al-Qastalani berkata tentang kata-kata lelaki tersebut: “Tuhan ku, adakah engkau mempermainkan aku sedangkan Engkau tuhan sekalian alam?”, atau dalam hadith riwayat al-Bukhari lelaki tersebut berkata: “Adakah Engkau mempermainkan aku, atau mentertawakan aku, sedangkan Engkau Raja?”. Ianya diucapkan kerana gembira dan dia tidak dapat mengawal kegembiraan tersebut kerana tidak terbayang di akal fikirannya, sehinggakkan lidahnya tidak terkawal (mengucapkan sesuatu) kerana sangat terkejut dan gembira.
Dan Rasulullah SAW ketawa ketika menceritakan peristiwa tersebut kerana kehairanan (tentang ucapan lelaki tersebut) dan gembira melihat kesempurnaan rahmat dan kebaikan Allah kepada hamba-Nya yang pernah melakukann dosa, serta kesempurnaan redha Allah terhadap hamba-Nya itu. (Lihat Irsyad al-Sari, 9/329)
Kesimpulan
Berdasarkan sedikit perbincangan yang kami bawakan di atas, banyak yang dapat kita ambil sebagai pedoman daripada hadith “lelaki terakhir yang masuk syurga” ini.
Dengan memahami sebaiknya inti hadith ini, seorang muslim akan lebih banyak melakukan ibadah dan mendekatkan diri kepada-Nya kerana bertambahnya kecintaan terhadap Tuhan yang menciptakan sekalian alam. Bagaimana mungkin tidak bertambah kecintaan itu sedangkan Allah tetap mengabulkan permintaan seorang hamba itu walaupun dia merupakan bekas ahli neraka dan pernah melakukan dosa.
Dalam memahami sifat ‘ketawa Allah’ yang disebutkan pula, kami mengatakan sebagai mana yang disebutkan oleh para Salafussoleh bahawa bagi Allah SWT sifat ketawa yang selayaknya bagi-Nya, ia tidak disamakan dengan sifat ketawa makhluk dan tidak juga dinafikan kerana wujudnya lafaz yang jelas tentang ithbat perkara tersebut. Ini berdasarkan firman Allah SWT:
لَيْسَ كَمِثْلِهِ شَيْءٌ ۖ وَهُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ
Maksudnya: “Tidak ada sesuatu yang semisal dengan Allah. Dia adalah Tuhan yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat.”
(Surah Al-Syura: 11)
Kami juga tidak menafikan bahawa ia merupakan tanda bahawa Allah SWT redha dengan lelaki tersebut dan keluasan rahmat Allah SWT ke atasnya. Sebagai buktinya, Allah SWT mengabulkan permintaannya walaupun telah berkali-kali dia memungkiri janji.
Moga kita juga tergolong dikalangan mereka yang pengakhirannya di atas tauhid dan keimanan kepada Allah SWT, mendapat keredhaan Allah SWT serta dikurniakan nikmat yang tidak terhitung dan disediakan tempat bagi kita di dalam syurga-Nya.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ أَحْيِنَا بِالْإِيمَانِ وَأَمِّتْنَا بِالْإِيمَانِ وَاحْشُرْنَا بِالْإِيمَانِ وَأَدْخِلْنَا الْجَنَّةَ مَعَ الْإِيمَانِ
Maksudnya: “Ya Allah Engkau hidupkanlah kami dalam keimanan, Engkau matikanlah kami dalam keadaan beriman, Engkau bangkitkanlah kami dengan keimanan, dan Engkau masukkanlah kami ke dalam syurga dengan iman ini.”
Wallahu a‘lam
Bertarikh: 20 Julai 2023 bersamaan 1 Muharram 1445 H