#2357: Wasiat Untuk Tidak Memberi Harta Pusaka kepada Ashab al-Furud

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya mempunyai 5 orang adik beradik, 1 orang darinya telah diambil nenek dan ibu saudara saya sejak kecil. Oleh itu dia tidak memanggil ayah saya sebagai ayah dan mak saya sebagai mak, malahan tidak pernah datang ke rumah ayah dan mak. Mudah kata, seperti saudara jauh.

Sebelum ayah saya meninggal dunia, dia pernah mewasiatkan kepada kami anak-anak yang lain, segala hartanya tidak perlu diberi kepada anak yang telah diambil oleh nenek dan ibu saudara itu. Adakah saya masih perlu berikan sebahagian harta peninggalan ayah kepadanya?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Sebelum menjawab persoalan di atas, kami datangkan dahulu dalil yang menjadi asal pensyariatan hukum faraid.  Firman Allah SWT:

لِّلرِّجَالِ نَصِيبٌ مِّمَّا تَرَكَ الْوَالِدَانِ وَالْأَقْرَبُونَ وَلِلنِّسَاءِ نَصِيبٌ مِّمَّا تَرَكَ الْوَالِدَانِ وَالْأَقْرَبُونَ مِمَّا قَلَّ مِنْهُ أَوْ كَثُرَ ۚ نَصِيبًا مَّفْرُوضًا

Maksudnya: “Orang-orang lelaki ada bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat, dan orang-orang perempuan pula ada bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat, sama ada sedikit atau banyak dari harta yang ditinggalkan itu; iaitu bahagian yang telah diwajibkan (dan ditentukan oleh Allah).”

(Surah an-Nisa’: 7)

Ayat di atas merupakan dalil yang sangat jelas bahawa Islam datang sebagai sebuah agama yang adil, mengembalikan semula hak pewarisan harta bagi wanita dan kanak-kanak yang dahulunya mereka dizalimi pada zaman jahiliyyah. Ini jelas seperti mana yang dinukilkan oleh Ibn Kathir daripada Sa‘id bin Jubair dan Qatadah, bahawa  kaum musyrikin terdahulu mengkhususkan harta pusaka untuk lelaki dewasa sahaja, dan mereka tidak mewariskan harta tersebut kepada wanita dan kanak-kanak sedikit pun.

Maka Allah SWT menurunkan ayat ini  bagi memberikan hak sama rata kepada semua (Lelaki, perempuan dan kanak-kanak), iaitu  sama rata dala mendapat hak pewarisan meskipun pada kadar yang berbeza seperti yang ditetapkan oleh Allah SWT. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 2/192)

Islam tidaklah menjadikan perbezaan kadar harta yang diwarisi ini melainkan terdapat hikmah padanya. Antara yang disebutkan oleh ulama’ adalah:

Selain itu, terdapat pelbagai hikmah syariah membezakan kadar bahagian antara lelaki dan perempuan dalam hukum pusaka. Antaranya adalah:

  1. Keperluan dan hajat seorang wanita sebenarnya telah mencukupi. Hal ini kerana nafkah mereka ditanggung oleh suami, ayah, adik beradik lelaki dan kaum kerabat lelaki yang lain. Sebagai contoh, seorang lelaki wajib memberi mahar kepada isterinya serta memberi nafkah dari sudut tempat tinggal, makanan dan pakaian. Tanggungjawab ini bukan sahaja kepada isteri bahkan kepada anak-anak juga.
  2. Wanita tidak dipertanggungjawabkan untuk memberi nafkah kepada sesiapa pun. Berbeza dengan lelaki, mereka perlu menanggung nafkah bagi ahli keluarga dan kaum kerabat. Tanggungjawab kewangan lelaki lebih banyak, maka mereka lebih memerlukan duit untuk memenuhi tanggungjawab tersebut. (Lihat al-Mawarith fi al-Syariah al-Islamiyyah, hlm. 18-19)

Para ulama’ juga telah menyebutkan 4 sebab yang mengharuskan seseorang itu untuk menerima hak pewarisan harta pusaka:

  • Al-Nasab (pertalian darah): iaitu kaum kerabat.
  • Al-Nikah: iaitu akad perkahwinan yang sah, sekali pun tidak pernah berlaku persetubuhan dalam perkahwinan tersebut.
  • Al-Wala’ (perhambaan): iaitu hamba yang telah dibebaskan. Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada Abdullah bin ‘Umar R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:

الوَلَاءُ لُحْمَةٌ كَلُحْمَةِ النَّسَبِ

         Maksudnya: “Al-Wala’ ini adalah suatu pertalian seperti pertalian al-Nasab”

         Riwayat Ibn Hibban (4950) dan al-Hakim (7990)

  • Al-Islam: Harta peninggalan muslim yang tidak mempunyai ahli waris dengan 3 sebab di atas, hartanya akan diberikan ke Baitulmal.

Wasiat Untuk Tidak Memberi Harta Pusaka kepada Ashab al-Furud

Melihat kepada situasi yang diceritakan oleh saudara yang bertanya, perlu diketahui bahawa adik yang tinggal bersama  nenek dan ibu saudara tersebut berhak memperoleh sebahagian harta pusaka kerana dia adalah salah satu daripada sebab-sebab di atas, iaitu pertalian darah.

Adik tersebut yang merupakan anak kepada ayah itu, juga merupakan ashab al-furud, iaitu mereka yang telah Allah SWT tetapkan kadar pewarisan harta baginya. Ini sebagaimana yang disebutkan dalam firman Allah SWT:

يُوصِيكُمُ اللَّهُ فِي أَوْلَادِكُمْ ۖ لِلذَّكَرِ مِثْلُ حَظِّ الْأُنثَيَيْنِ ۚ

Maksudnya: “Allah perintahkan kamu mengenai (pembahagian harta pusaka untuk) anak-anak kamu, iaitu bahagian seorang anak lelaki menyamai bahagian dua orang anak perempuan.”

(Surah al-Nisa’: 11)

Imam al-Tabari ketika menafsirkan ayat di atas mengatakan, Allah SWT mengamanahkan kepada hamba-Nya bahawa jika ada orang yang meninggal dunia dan meninggalkan anak-anak; lelaki dan perempuan, maka anak-anaknya mewarisi harta pusakanya, semuanya berkongsi antara satu sama lain, dan bahagian seorang anak lelaki menyamai bahagian dua orang anak perempuan. (Lihat Jami‘ al-Bayan, 7/30)

Oleh yang demikian, jika anak yang tinggal bersama nenek itu merupakan anak lelaki, maka dia berhak mendapat bahagiannya yang menyamai 2 bahagian anak perempuan. Dan jika anak itu adalah anak perempuan, maka dia berhak mendapat bahagiannya yang menyamai separuh daripada bahagian anak lelaki.

Berkenaan dengan perbuatan ayah tersebut yang mewasiatkan hartanya disekat daripada diwarisi oleh seorang anak tersebut, tidak wajib bagi ahli waris untuk menunaikan wasiat tersebut kerana wasiat tersebut pada perkara zalim, iaitu menghalang hak anak yang telah ditetapkan sendiri oleh Allah SWT.

Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada Ali bin Abi Talib R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لَا طَاعَةَ فِي مَعْصِيَةٍ، إِنَّمَا الطَّاعَةُ فِي المعْرُوفِ

Maksudnya: “Tiada ketaatan pada perkara maksiat, sesungguhnya ketaatan hanya pada perkara yang makruf (kebaikan) sahaja.”

Riwayat al-Bukhari (7257) dan Muslim (1840)

Bahkan hak pewarisan harta ini telah disebutkan secara jelas oleh Rasulullah SAW,  maka tidak boleh dikhususkan sesuatu wasiat untuk memberi harta yang lebih kepada salah seorang ahli wasiat yang lain, ataupun untuk menghalang salah seorang ahli wasiat daripada menerima harta. Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada Abu Umamah al-Bahili bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أَنَّ اللهَ قَدْ أَعْطَى كُلَّ ذِي حَقِّ حَقَّهُ، فَلَا وَصِيَّةَ لِوَارِثٍ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah telah menentukan setiap yang mempunyai hak (ahli waris) akan mendapat hak mereka. Maka, tidak ada wasiat kepada ahli waris”

Riwayat Abu Daud (2870), Ibn Majah (2210), dan Ahmad (286)

Kesimpulan

Kami katakan, adik kepada saudara yang bertanya, yang tinggal bersama nenek dan ibu saudara itu masih kekal statusnya sebagai anak kepada ayah yang baru meninggal itu. Tiada seorang pun mempunyai hak untuk menggugurkan status tersebut daripadanya sampai bila-bila, bahkan setiap haknya sebagai seorang anak wajib diberikan kepadanya selagi mana tiada dalil yang datang untuk menggugurkan kewajipan tersebut.

Kami menasihatkan agar saudara yang bertanya serta adik beradik yang lain berusaha untuk mengeratkan kembali hubungan dengan adik tersebut. Renunglah sabda Nabi SAW yang menyifatkan orang yang beriman adalah mereka yang menyambungkan silaturrahim sesama Islam, inikan pula jika orang itu adalah adik kita sendiri.

Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A bbahawa Rasulullah SAW bersabda:

ومَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللهِ وَاليَوْمِ الآخِرِ فَلْيَصِلْ رَحِمَهُ

Maksudnya: “Barang siapa yang beriman kepada Allah dan haari akhirat, maka hubungkanlah silaturrahim.”

Riwayat al-Bukhari (6138) dan Muslim (47)

Semoga Allah SWT mengurniakan ilmu dan kefahaman kepada kita dalam melaksanakan setiap titah perintah-Nya termasuklah menyambung silaturrahim dengan sebaiknya. Amin.

Wallahu a‘lam

Bertarikh: 20 Julai 2023 bersamaan 1 Muharram 1445 H