#2369: Benarkah Hari ‘Asyura’ Allah Selamatkan Nabi Musa daripada Firaun?

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah hari ‘Asyura’ adalah hari Allah selamatkan Nabi Musa AS daripada firaun? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Secara umumnya, berpuasa ‘Asyura’ termasuk dalam puasa-puasa sunat yang digalakkan. ‘Asyura’ ialah hari kesepuluh daripada bulan Muharram. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 10/49).

Ini adalah berdasarkan kepada riwayat daripada Ibn Abbas R.Anhuma, beliau berkata:

أَمَرَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِصَوْمِ عَاشُورَاءَ يَوْمَ عَاشِرٍ

Maksudnya:Rasulullah SAW memerintahkan untuk berpuasa pada hari ‘Asyura’ iaitu hari yang kesepuluh.”

Riwayat al-Tirmizi (755) dan beliau menilainya sebagai hasan sahih.

Imam al-Tirmizi menyatakan, para ulama berbeza pendapat mengenai hari ‘Asyura’ kepada dua pendapat. Sebahagian mereka berpendapat, ia adalah pada hari kesembilan Muharram. Sebahagian mereka lagi pula berpendapat, ia adalah pada hari kesepuluh Muharram. (Lihat Sunan al-Tirmizi, 2/120). Al-Mubarakfuri ketika mensyarahkan hadith di atas menyebutkan, ia menjadi dalil yang menunjukkan bahawa hari ‘Asyura’ itu ialah hari kesepuluh. Kemudian, beliau menukilkan daripada al-Zain bin al-Munir yang menyebutkan bahawa ramai dalam kalangan ulama berpendapat hari ‘Asyura’ ialah hari kesepuluh daripada bulan Muharram. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 3/382-383).

Penjelasan berkenaan berpuasa pada hari ‘Asyura’ bolehlah merujuk kepada artikel kami dalam Ahkam Syar‘iyyah yang bertajuk: #1065 Puasa Hari ‘Asyura’.[1]

Berbalik kepada soalan yang diajukan, terdapat riwayat daripada Ibn Abbas R.Anhuma, beliau berkata:

قَدِمَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ المَدِينَةَ، فَرَأَى اليَهُودَ تَصُومُ يَوْمَ عَاشُورَاءَ، فَقَالَ: مَا هَذَا؟ قَالُوا: هَذَا يَوْمٌ صَالِحٌ، هَذَا يَوْمٌ نَجَّى اللَّهُ بَنِي إِسْرَائِيلَ مِنْ عَدُوِّهِمْ، فَصَامَهُ مُوسَى. قَالَ: فَأَنَا أَحَقُّ بِمُوسَى مِنْكُمْ. فَصَامَهُ وَأَمَرَ بِصِيَامِهِ

Maksudnya:Nabi SAW datang ke Madinah lalu melihat orang-orang Yahudi berpuasa pada Hari ‘Asyura’, maka Baginda bertanya: ‘Hari apakah ini?’ Mereka menjawab: ‘Ini ialah hari yang baik. Pada hari ini Allah menyelamatkan Bani Israil daripada musuh-musuh mereka.  Musa berpuasa pada hari ini.’ Baginda bersabda: ‘Aku lebih berhak ke atas Musa daripada kamu.’ Maka Baginda berpuasa dan memerintahkan supaya berpuasa pada Hari ‘Asyura’.”

Riwayat al-Bukhari (2004)

Begitu juga menurut Dr. Abdullah bin Soleh al-Fauzan, berpuasa pada hari ‘Asyura’ iaitu hari kesepuluh daripada bulan Muharram padanya terdapat kelebihan dan fadhilat. Sesungguhnya terdapat riwayat daripada Ibn Abbas R.Anhuma bahawa beliau berkata:

مَا رَأَيْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَتَحَرَّى صِيَامَ يَوْمٍ فَضَّلَهُ عَلَى غَيْرِهِ، إِلَّا هَذَا اليَوْمَ يَوْمَ عَاشُورَاءَ وَهَذَا الشَّهْرَ، يَعْنِي شَهْرَ رَمَضَانَ

Maksudnya:Aku tidak pernah melihat Nabi SAW bersungguh-sungguh berpuasa pada hari yang Baginda mengutamakannya berbanding hari-hari yang lain melainkan hari ini iaitu Hari ‘Asyura’, dan bulan ini iaitu bulan Ramadhan.”

Riwayat al-Bukhari (2006) dan Muslim (1132)

Hikmah kepada galakkan untuk berpuasa pada hari tersebut — selain daripada ganjaran pahalanya yang besar — adalah bagi memuliakan hari itu, sebagai tanda syukur kepada Allah SWT kerana menyelamatkan Nabi Musa AS dan bani Isra’il serta menenggelamkan firaun dan pengikutnya. Oleh sebab itu, Nabi Musa AS berpuasa pada hari itu sebagai tanda syukur kepada Allah SWT dan begitu juga orang-orang Yahudi. Manakala umat Muhammad SAW pula adalah lebih berhak untuk mengikuti Nabi Musa (yakni berpuasa ‘Asyura’) berbanding orang-orang Yahudi. (Lihat Minhah al-‘Allam fi Syarh Bulugh al-Maram, 5/80-81).

Selain itu, al-Qastalani juga ada menyatakan, pada hari itu (hari ‘Asyura’) Allah SWT telah menyelamatkan Nabi Musa AS dan kaumnya daripada musuh mereka iaitu firaun yang ditenggelamkan di dalam lautan. Oleh sebab itu, Nabi Musa berpuasa pada hari tersebut. Imam Muslim menambah dalam riwayatnya bahawa Nabi Musa berpuasa pada hari tersebut sebagai tanda bersyukur kepada Allah SWT, dan kami turut berpuasa pada hari itu. (Lihat Irsyad al-Sari li Syarh Sahih al-Bukhari, 3/422).

Kesimpulannya

Justeru, berdasarkan kepada kenyataan dan perbincangan di atas, jelaslah bahawa hari ‘Asyura’ adalah hari Allah SWT menyelamatkan Nabi Musa AS dan kaumnya daripada musuh mereka, firaun ketika mana dia dan para pengikutnya ditenggelamkan di dalam lautan sebagaimana yang disebutkan dalam nas yang sahih.

Oleh sebab itu, Nabi Musa AS dan orang-orang Yahudi berpuasa pada hari tersebut sebagai tanda bersyukur kepada Allah SWT dan sebab itu jugalah kita, umat Nabi Muhammad SAW digalakkan untuk berpuasa pada hari tersebut kerana lebih berhak untuk mengikuti Nabi Musa (yakni berpuasa ‘Asyura’) berbanding orang-orang Yahudi.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Wallahu a‘lam.

[1] Lihat https://maktabahalbakri.com/1065-puasa-hari-asyura/. Diakses pada 25 Julai 2023.

Bertarikh: 26 Julai 2023 bersamaan 8 Muharram 1445 H