#2370: Benarkah Hari ‘Asyura’ Allah Selamatkan Nabi Ibrahim Daripada Api?

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah hari ‘Asyura’ adalah hari Allah selamatkan Nabi Ibrahim AS daripada api, yang diarahkan oleh Namrud untuk membakarnya? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Secara umumnya, berpuasa ‘Asyura’ termasuk dalam puasa-puasa sunat yang digalakkan. ‘Asyura’ ialah hari kesepuluh daripada bulan Muharram. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 10/49).

Ini adalah berdasarkan kepada riwayat daripada Ibn Abbas R.Anhuma, beliau berkata:

أَمَرَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِصَوْمِ عَاشُورَاءَ يَوْمَ عَاشِرٍ

Maksudnya:Rasulullah SAW memerintahkan untuk berpuasa pada hari ‘Asyura’ iaitu hari yang kesepuluh.”

Riwayat al-Tirmizi (755) dan beliau menilainya sebagai hasan sahih.

Imam al-Tirmizi menyatakan, para ulama berbeza pendapat mengenai hari ‘Asyura’ kepada dua pendapat. Sebahagian mereka berpendapat, ia adalah pada hari kesembilan Muharram. Sebahagian mereka lagi pula berpendapat, ia adalah pada hari kesepuluh Muharram. (Lihat Sunan al-Tirmizi, 2/120). Al-Mubarakfuri ketika mensyarahkan hadith di atas menyebutkan, ia menjadi dalil yang menunjukkan bahawa hari ‘Asyura’ itu ialah hari kesepuluh. Kemudian, beliau menukilkan daripada al-Zain bin al-Munir yang menyebutkan bahawa ramai dalam kalangan ulama berpendapat hari ‘Asyura’ ialah hari kesepuluh daripada bulan Muharram. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 3/382-383).

Penjelasan berkenaan berpuasa pada hari ‘Asyura’ bolehlah merujuk kepada artikel kami dalam Ahkam Syar‘iyyah yang bertajuk: #1065 Puasa Hari ‘Asyura’.[1]

Berbalik kepada soalan yang diajukan, kami tidak menjumpai riwayat yang menceritakan bahawa Nabi Ibrahim AS diselamatkan daripada api melainkan satu riwayat yang sangat panjang. Riwayat tersebut dikatakan bersandarkan kepada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

 إِنَّ اللَّهَ افْتَرَضَ عَلَى بَنِي إِسْرَائِيلَ صَوْمًا فِي السَّنَةِ وَهُوَ يَوْمُ عَاشُورَاءَ وَهُوَ الْيَوْمُ الْعَاشِرُ مِنَ الْمُحَرَّمِ وَوَسِّعُوا فِيهِ عَلَى أَهْلِيكُمْ فَإِنَّهُ مَنْ وَسَّعَ عَلَى أَهْلِهِ مِنْ مَالِهِ يَوْمَ عَاشُورَاءَ وَهُوَ الْيَوْمُ الَّذِي رَفَعَ اللَّهُ فِيهِ إِدْرِيسَ مَكَانًا عِلِيًّا وَهُوَ الْيَوْمُ الَّذِي نَجَّى اللَّهُ فِيهِ إِبْرَاهِيمَ مِنَ النَّارِ وَهُوَ الْيَوْمُ الَّذِي أَخْرَجَ فِيهِ نُوحًا مِنَ السَّفِينَةِ وَهُوَ الْيَوْمُ الَّذِي أَنْزَلَ اللَّهُ فِيهِ التَّوْرَاةَ عَلَى مُوسَى وَفِيهِ فُدِيَ إِسْمَاعِيلُ مِنَ الذَّبْحِ وَهُوَ الْيَوْمُ الَّذِي أَخْرَجَ اللَّهُ فِيهِ يُوسُفَ مِنَ السِّجْنِ وَهُوَ الْيَوْمُ الَّذِي رَدَّ اللَّهُ عَلَى يَعْقُوبَ بَصَرَهُ وَهُوَ الْيَوْمُ الَّذِي كَشَفَ اللَّهُ فِيهِ الْبَلاءُ عَنْ أَيُّوبَ وَهُوَ الْيَوْمُ الَّذِي أَخْرَجَ اللَّهُ فِيهِ يُونُسَ مِنْ بَطْنِ الْحُوتِ وَهُوَ الْيَوْمُ الَّذِي خَلَقَ اللَّهُ فِيهِ الْبَحْرَ لِبَنِي إِسْرَائِيلَ وَهُوَ الْيَوْم الَّذِي غفر الله لِمُحَمَّدٍ ذَنْبَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْهُ وَمَا تَأَخَّرَ وَفِي هَذَا الْيَوْمُ عَبَرَ مُوسَى الْبَحْرَ وَفِي هَذَا الْيَوْمِ أَنْزَلَ اللَّهُ التَّوْبَةَ عَلَى قَوْمِ يُونُسَ فَمَنْ صَامَ هَذَا الْيَوْمَ كَانَ لَهُ كَفَّارَةُ أَرْبَعِينَ سَنَةً وَهُوَ أَوَّلُ يَوْمٍ خَلَقَ اللَّهُ مِنَ الدُّنْيَا وَأَوَّلُ مَطَرٍ نَزَلَ مِنَ السَّمَاءِ يَوْمَ عَاشُورَاءَ فَمن صَامَ عَاشُورَاءَ فَكَأَنَّمَا صَامَ الدَّهْرَ كُلَّهُ وَهُوَ صَوْمُ الأَنْبِيَاءِ وَمَنْ أَحْيَى لَيْلَةَ عَاشُورَاءَ فَكَأَنَّمَا عَبَدَ اللَّهَ مِثْلَ عِبَادَةِ أَهْلِ السَّمَاوَاتِ السَّبْعِ وَمَنْ صَلَّى فِيهِ أَرْبَعَ رَكَعَاتٍ يقْرَأ فِي كل رَكْعَة بِالْحَمْد مَرَّةً وَقُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ غَفَرَ اللَّهُ لَهُ ذُنُوبَ خَمْسِينَ عَامًا مَاضِيَةً وَخَمْسِينَ عَامًا مُسْتَقْبَلَةً وَبنى لَهُ فِي الْمَلأ الأَعْلَى أَلْفَ مِنْبَرٍ مِنْ نُورٍ وَمَنْ سَقَى شَرْبَةً مِنْ مَاءٍ فَكَأَنَّمَا لَمْ يَعْصِ اللَّهَ طَرْفَةَ عَيْنٍ وَمَنْ أَشْبَعَ أَهْلَ بَيْتٍ مَسَاكِينَ يَوْمَ عَاشُورَاءَ مَرَّ عَلَى الصِّرَاطِ كَالْبَرْقِ الْخَاطِفِ وَمَنْ تَصَدَّقَ بِصَدَقَةٍ فَكَأَنَّمَا لَمْ يَرُدَّ سَائِلا قَطُّ وَمَنِ اغْتَسَلَ يَوْمَ عَاشُورَاءَ لَمْ يَمْرَضْ إِلا مَرَضَ الْمَوْتِ وَمَنِ اكْتَحَلَ يَوْمَ عَاشُورَاءَ لَمْ تَرْمَدْ عَيْنَاهُ تِلْكَ السَّنَةَ كُلَّهَا وَمَنْ أَمَرَّ يَدَهُ عَلَى رَأْسِ يَتِيمٍ فَكَأَنَّمَا أَمَرَّ يَدَهُ عَلَى يَتَامَى وَلَدِ آدَمَ كُلِّهِمْ وَمَنْ عَادَ مَرِيضًا يَوْمَ عَاشُورَاءَ فَكَأَنَّمَا عَادَ مَرْضَى وَلَدِ آدَمَ كُلِّهِمْ.

Maksudnya:Sesungguhnya Allah telah mewajibkan ke atas Bani Israil berpuasa pada setahun iaitu pada hari ‘Asyura’ dan ia ialah hari yang kesepuluh daripada bulan Muharram dan luaskanlah (pemberian) ke atas ahli keluarga kamu. Ini kerana sesiapa yang memperluaskan (mempermudahkan) ke atas ahli keluarganya daripada hartanya pada hari ‘Asyura’, iaitu hari di mana Allah mengangkat kedudukan yang tinggi buat Nabi Idris dan ia juga adalah hari di mana Allah menyelamatkan Ibrahim daripada api dan ia juga merupakan hari Allah mengeluarkan Nabi Nuh daripada kapal, dan ia juga ialah hari di mana Allah menurunkan kitab Taurat kepada Nabi Musa dan padanya juga Allah menukar Nabi Ismail sebagai korban. Dan ia juga merupakan hari di mana Allah mengeluarkan Nabi Yusuf daripada penjara dan ia juga hari di mana Allah mengembalikan penglihatan Nabi Ya‘qub dan ia juga hari di mana Allah mengangkat ujian terhadap Nabi Ayyub dan ia juga merupakan hari di mana Allah mengeluarkan Nabi Yunus daripada perut ikan Hut dan ia juga merupakan hari di mana Allah mencipta lautan kepada Bani Israil dan ia juga merupakan hari di mana Allah mengampunkan bagi Nabi Muhammad dosanya yang telah lalu dan akan datang dan ia juga adalah hari di mana Allah membelah laut kepada Nabi Musa dan ia juga adalah hari di mana Allah menurunkan taubat kepada kaum Nabi Yunus. Maka sesiapa yang berpuasa pada hari tersebut, ia adalah kaffarah baginya selama 40 tahun, dan ia ialah perkara yang pertama diciptakan oleh Allah di dunia dan hujan yang pertama turun daripada langit pada hari ‘Asyura’. Sesiapa yang berpuasa pada hari ‘Asyura’, seakan-akan dia telah berpuasa setahun penuh, dan ia ialah puasa para nabi. Dan sesiapa yang menghidupkan malam ‘Asyura’, seakan-akan dia telah menyembah Allah seperti ibadah ahli yang berada di tujuh langit dan sesiapa yang solat padanya empat rakaat yang dibaca pada setiap rakaat surah al-Fatihah sekali, dan surah al-Ikhlas sekali, maka diampunkan baginya dosa selama 50 tahun yang lalu dan yang akan datang, serta akan dibina baginya di al-Mala’ al-A’la (langit) seribu mimbar daripada cahaya, sesiapa yang memberi minum daripada airnya maka seumpama dia tidak melakukan maksiat kepada Allah walaupun sekelip mata. Sesiapa yang mengenyangkan ahli rumah yang miskin pada hari ‘Asyura’, maka dia akan berjalan di atas sirat seperti kilat, sesiapa yang bersedekah dengan satu sedekah, dia seakan-akan tidak pernah menolak permintaan peminta sekali pun dan sesiapa yang mandi pada hari ‘Asyura’, maka dia tidak akan sakit kecuali datangnya kematian, dan sesiapa yang memakai celak pada hari ‘Asyura’, maka tidak akan menjadi rabun matanya pada tahun tersebut sepenuhnya, dan sesiapa yang meletakkan tangannya atas kepala anak yatim maka seakan-akan dia telah meletakkan tangannya di atas semua anak-anak yatim daripada anak adam kesemuanya, dan sesiapa yang menziarahi orang sakit pada hari ‘Asyura’, maka seakan-akan dia telah menziarahi kesemua anak Adam yang sakit.”

Riwayat di atas ada disebutkan oleh Abd al-Hayy al-Laknawi al-Hindi dalam kitab himpunan hadith-hadith palsu beliau, al-Athar al-Marfu‘ah fi al-Akhbar al-Maudu‘ah (hlm. 96-97). Seterusnya beliau memberi komentar terhadap riwayat ini dengan menyatakan, hadith ini diriwayatkan oleh Ibn al-Jauzi dan dia menyatakan bahawa para perawinya adalah thiqah. Namun, pada zahirnya beberapa orang yang lebih terkemudian telah memalsukan hadith ini dan menunggangnya (menyusunnya) dengan sanad ini. Ibn ‘Iraq meragui status perawi ini. Al-Zahabi mengatakan bahawa Abu Talib, Muhammad bin Ahmad al-‘Usawi, adalah salah seorang perawi hadith dalam sanad ini, dan dia menyampaikan hadith ini dengan selamat dalam sanadnya. Di antara perawi lainnya adalah Abu Bakr al-Najjar, tetapi dia telah mengalami masalah penglihatan pada akhir hayatnya. Al-Khatib al-Baghdadi membolehkan seseorang yang telah didatanginya sehingga mungkin hadith ini termasuk dalam kategori ini.

Begitu juga Ibn al-Jauzi turut membawakan riwayat di atas dengan sedikit perbezaan lafaz, lalu dia memberi komentar dengan menyatakan, hadith ini tidak syak lagi bagi orang yang berakal akan kepalsuannya. Sesungguhnya orang yang telah mencipta hadith ini telah berusaha meletakkannya dengan sebaik-baiknya dan dia sendiri telah mengungkapkan kepalsuan (pada hadith ini) serta tidak malu melakukannya. Dia telah memasukkan di dalamnya sesuatu yang mustahil iaitu pada perkataannya, “Hari pertama yang diciptakan oleh Allah ialah hari ‘Asyura’.” Inilah kelalaian atau kecuaian yang dapat dikenal pasti daripada pemalsuan yang dibuat oleh pelakunya kerana hari yang disebut atau dinamakan sebagai hari ‘Asyura’ itu adalah apabila ia diikuti oleh sembilan hari (dari awal bulan Muharram). Dia juga menyebutkan di dalamnya bahawa Allah mencipta langit dan bumi serta gunung-ganang pada hari ‘Asyura’ (sebagaimana riwayat yang dibawakan oleh Ibn al-Jauzi dalam kitabnya). Sedangkan dalam hadith yang sahih dinyatakan, “Sesungguhnya Allah SWT menciptakan tanah pada hari Sabtu dan menciptakan gunung-ganang pada hari Ahad.”

Selain itu, di dalamnya juga terdapat penyimpangan dalam pemberian pahala yang tidak sesuai dengan timbangan syariat. Bagaimana mungkin seseorang yang berpuasa satu hari mendapatkan pahala seperti orang yang mengerjakan haji, umrah, atau bahkan mati syahid? Hal ini jelas bertentangan dengan prinsip-prinsip syariat. Jika kita membahaskan setiap aspek dalam hadith ini secara terperinci, pasti ia akan memakan banyak waktu. Aku yakin bahawa hadith ini adalah palsu yang menyelinap masuk ke dalam hadith-hadith daripada perawi yang thiqah. Di samping itu, terdapat juga unsur kelalaian dalam riwayat ini, dan aku rasa itu hanya terjadi pada generasi yang terkemudian. (Lihat al-Maudhu‘at oleh Ibn al-Jauzi, 2/200-201).

Begitu juga al-Suyuti juga ada memberi komentar berkenaan riwayat ini dalam kitabnya al-La’ali’ al-Masnu‘ah fi al-Ahadith al-Maudu‘ah (2/93) bahawa ia adalah palsu. Para perawinya adalah thiqah. Namun, pada zahirnya beberapa orang yang lebih terkemudian telah memalsukan hadith ini dan menunggangnya (menyusunnya) dengan sanad ini.

Kesimpulannya

Justeru, berdasarkan kepada kenyataan dan perbincangan di atas, jelaslah bahawa tidak diketahui mana-mana riwayat yang sahih mahupun dha’if yang menyatakan bahawa Nabi Ibrahim AS diselamatkan daripada api yang diperintahkan oleh Namrud untuk membakarnya pada hari ‘Asyura’. Sebaliknya riwayat yang ada menyebutkan mengenainya pula dinilai sebagai palsu oleh ulama hadith. Justeru, kita hendaklah menjauhi daripada menyebarkannya melainkan dengan tujuan untuk menjelaskan akan kepalsuannya.

Cukuplah hadith Nabi ini menjadi peringatan buat kita semua agar lebih berhati-hati daripada menisbahkan sesuatu kepada Rasulullah SAW tanpa usul periksa, di mana Baginda bersabda:

مَن كَذَبَ عَلَيَّ مُتَعَمِّدًا فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنَ النَّارِ

Maksudnya: Sesiapa yang berdusta atas namaku secara sengaja, maka hendaklah dia menyiapkan tempat duduknya di neraka.”

Riwayat al-Bukhari (6197) dan Muslim (2134) secara ringkas.

Begitu juga Rasulullah SAW pernah bersabda:

إِنَّ كَذِبًا عَلَيَّ لَيْسَ كَكَذِبٍ عَلَى أَحَدٍ فَمَنْ كَذَبَ عَلَيَّ مُتَعَمِّدًا فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنَ النَّارِ

Maksudnya:Sesungguhnya berdusta atas namaku tidaklah sama dengan berdusta atas nama seseorang. Sesiapa yang berdusta di atas namaku dengan sengaja maka siaplah tempatnya di dalam neraka.”

Riwayat al-Bukhari (1291), Muslim (4) dan Ahmad (18202)

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Wallahu a‘lam.

Kami akhiri dengan doa:

للَّهُمَّ رَبَّ جِبْرِيلَ، وَمِيكَائِيلَ، وَإِسْرَائِيلَ، فَاطِرَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ، عَالَمَ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ، أَنْتَ تَحْكُمُ بَيْنَ عِبَادِكَ فِيمَا كَانُوا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ، اهْدِنَا لِمَا اخْتُلِفَ فِيهِ مِنَ الْحَقِّ بِإِذْنِكَ، إِنَّكَ تَهْدِي مَنْ تَشَاءُ إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ.

Maksudnya: “Ya Allah, Tuhan Jibril, Mikail, dan Israfil. Yang Menciptakan langit dan bumi, Yang Maha Mengetahui yang ghaib mahupun yang kelihatan. Engkaulah yang Menghakimi hamba-hamba-Mu di dalam apa yang mereka perselisihkan. Tunjukkanlah kami dengan izin-Mu kepada kebenaran di dalam apa yang diperselisihkan. Sesungguhnya Engkau memberi petunjuk ke arah Sirat al-Mustaqim kepada sesiapa yang Engkau Kehendaki.”

[1] Lihat https://maktabahalbakri.com/1065-puasa-hari-asyura/. Diakses pada 25 Julai 2023.

Bertarikh: 26 Julai 2023 bersamaan 8 Muharram 1445 H