#2371: Benarkah Nabi Nuh AS Diselamatkan dari Kaumnya pada Hari ‘Asyura?

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ada persoalan tentang kesahihan kisah Nabi Nuh AS yang diselamatkan dari kaumnya pada hari ‘Asyura, adakah ianya benar?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَاسْتَوَتْ عَلَى الْجُودِيِّ ۖ

Maksudnya: “Dan bahtera Nabi Nuh itupun berhenti di atas gunung Judi.”

(Surah Hud: 44)

Imam Ibn Kathir menukilkan sebuah riwayat daripada Qatadah dan selainnya, bahawa Nabi Nuh AS dan pengikutnya menaiki bahtera pada 10 Rejab, mereka berterusan di atas bahtera tersebut selama 150 hari, kemudian berhenti di gunung Judi selama sebulan. Mereka keluar pula dari bahtera tersebut pada hari ‘Asyura bulan Muharram. Pentahqiq, Sami bin Muhammad al-Salamah memberikan komentar pada nota kaki bahawa hadith ini palsu. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 4/324)

Imam al-Suyuti ketika menafsirkan ayat di atas menukilkan sebuah riwayat daripada Abu Hurairah R.A. (Lihat al-Durr al-Mansur, 8/75)

Di dalam riwayat tersebut, Rasulullah SAW mendapati orang-orang (golongan Yahudi) berpuasa pada hari ‘Asyura. Lalu Baginda SAW bersabda:

مَا هَذَا مِنَ الصَوْمِ؟ قَالُوا: هَذَا اليَوْمُ الَّذِي نَجَّى اللهُ مُوسَى وَبَنِي إِسْرَائِيلَ مِنَ الغَرَقِ، وَغَرَّقَ فِيهِ فِرْعَوْنَ، وَهَذَا يَوْمٌ اسْتَوَتْ فِيهِ السَّفِينَةُ عَلَى الجُودِيِّ، فَصَامَ نُوحٌ وَمُوسَى شُكْرًا لِلّهِ، فَقَالَ النَّبيُّ ﷺ: أَنَا أَحَقُّ بِمُوسَى، وَأَحَقُّ بِصَوْمِ هَذَا اليَوْمِ، فَأَمَرَ أَصْحَابَهُ بِالصَوْمِ

Maksudnya: “‘Puasa apakah ini?’ Lalu mereka menjawab: ‘Ini adalah hari yang Allah menyelamatkan Musa dan Bani Israel daripada tenggelam, dan Allah tenggelamkan Firaun pada hari tersebut. Dan ini juga adalah hari berhentinya bahtera Nabi Nuh di atas gunung Judi. Maka Musa dan Nuh berpuasa pada hari tersebut sebagai tanda bersyukur kepada Allah’. Lalu Nabi SAW berkata: ‘Aku lebih berhak ke atas musa, dan lebih berhak untuk berpuasa pada hari ini’, lalu Baginda memerintahkan para sahabatnya untuk berpuasa.”

Riwayat Ahmad (8717)

Dalam sebuah riwayat yang lain daripada Sa‘id R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

وَفِي رَجَبٍ حَمَلَ اللهُ نُوحًا فِي السَّفِينَةِ فَصَامَ رَجَبًا، وَأَمَرَ مَنْ مَعَهُ أَنْ يَصُومُوا، فَجَرَتْ بِهِمُ السَّفِينَةُ سِتَّةَ أَشْهُرٍ، آخِرُ ذَلِكَ يَوْمُ عَاشُورَاءَ أُهْبِطَ عَلَى الْجُودِيِّ فَصَامَ نُوحٌ وَمَنْ مَعَهُ وَالْوَحْشُ شُكْرًا لِلَّهِ عَزَّ وَجَلَّ، وَفِي يَوْمِ عَاشُورَاءَ أفْلَقَ اللهُ الْبَحْرَ لِبَنِي إِسْرَائِيلَ، وَفِي يَوْمِ عَاشُورَاءَ تَابَ اللهُ عَزَّ وَجَلَّ عَلَى آدَمَ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَعَلَى مَدِينَةِ يُونُسَ، وَفِيهِ وُلِدَ إِبْرَاهِيمُ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

Maksudnya: “Pada bulan Rejab juga Allah SWT membawa Nabi Nuh AS belayar dalam kapal. Nabi Nuh AS turut berpuasa dalam bulan Rejab dan Baginda memerintahkan semua orang yang ada bersamanya (di dalam kapal) agar berpuasa. Kapal itu belayar selama enam bulan, dan berhenti di gunung Judi pada hari Asyura. Maka Nabi Nuh AS dan orang-orang, serta binatang buas yang bersama Nabi Nuh AS di dalam kapal; berpuasa sebagai tanda mereka bersyukur kepada Allah SWT. Pada hari ‘Asyura, Allah SWT membelah laut untuk Bani Israil, Allah menerima taubat Nabi Adam dan Nabi Ibrahim dilahirkan pada hari itu.”

Riwayat al-Tabarani (5538)

Status hadith di atas adalah palsu, Syeikh Masyhur bin Hasan Alu Salman menyebutkannya dalam ringkasan kitab Silsilah al-Da‘ifah wa al-Maudhu‘ah oleh Syeikh Nasiruddin al-Albani. (Lihat Silsilah al-Da‘ifah wa al-Maudhu‘ah Mujarradah ‘an Takhrij, hlm. 1149)

Nur al-Din al-Haithami menyebutkan bahawa, al-Tabarani meriwayatkan hadith ini di dalam al-Mu‘jam al-Kabir, dan antara perawinya adalah Abdul Ra’uf, seorang yang ditinggalkan hadithnya. (Lihat Majma‘ al-Zawa’id, 3/188)

Imam al-Zahabi menyebutkan bahawa kisah di atas adalah batil dan pada sanadnya muzlim (terdapat perawi yang tidak dikenali). (Lihat Mizan al-I‘tidal, 3/49)

Untuk pengetahuan semua, dikatakan gunung Judi terletak di pergunungan Ararat. Mengikut pandangan arkeologi, mereka telah menemui bangkai atau rangka bahtera Nabi Nuh AS pada satu kedudukan yang amat tinggi. 

Gambar: Pergunungan Ararat

Kesimpulannya

Justeru, berdasarkan kepada kenyataan dan perbincangan yang kami bawakan, disebutkan bahawa Allah SWT menyelamatkan Nabi Nuh dan pengikutnya pada hari ‘Asyura bulan Rejab. Akan tetapi, riwayat yang menceritakan kisah adalah riwayat yang tidak sahih, bahkan dinilai palsu oleh sebahagian ahli ilmu. Justeru, kita hendaklah menjauhi daripada menyebarkan kisah di atas melainkan dengan tujuan untuk menjelaskan akan kepalsuannya.

Adapun kisah yang sahih berkenaan kisah ini, tidaklah kami menjumpainya. Cukuplah hadith riwayat al-Mughirah bin Syu‘bah R.A menjadi peringatan buat kita semua agar lebih berhati-hati daripada menisbahkan sesuatu kepada Rasulullah SAW tanpa usul periksa. Baginda SAW bersabda:

مَن كَذَبَ عَلَيَّ مُتَعَمِّدًا فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنَ النَّارِ

Maksudnya: Sesiapa yang berdusta atas namaku secara sengaja, maka hendaklah dia menyiapkan tempat duduknya di neraka.”

Riwayat al-Bukhari (6197) dan Muslim (2134)

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.”

(Surah al-Baqarah :201)

Wallahu a‘lam

Bertarikh: 26 Julai 2023 bersamaan 8 Muharram 1445 H