Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah hari Asyura Allah selamatkan Nabi Yunus daripada ditelan ikan Nun?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Secara umumnya, berpuasa ‘Asyura’ termasuk dalam puasa-puasa sunat yang digalakkan. ‘Asyura’ ialah hari kesepuluh daripada bulan Muharram. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 10/49).
Ini adalah berdasarkan kepada riwayat daripada Ibn Abbas R.Anhuma, beliau berkata:
أَمَرَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِصَوْمِ عَاشُورَاءَ يَوْمَ عَاشِرٍ
Maksudnya: “Rasulullah SAW memerintahkan untuk berpuasa pada hari ‘Asyura’ iaitu hari yang kesepuluh.”
Riwayat al-Tirmizi (755) dan beliau menilainya sebagai hasan sahih.
Imam al-Tirmizi menyatakan, para ulama berbeza pendapat mengenai hari ‘Asyura’ kepada dua pendapat. Sebahagian mereka berpendapat, ia adalah pada hari kesembilan Muharram. Sebahagian mereka lagi pula berpendapat, ia adalah pada hari kesepuluh Muharram. (Lihat Sunan al-Tirmizi, 2/120). Al-Mubarakfuri ketika mensyarahkan hadith di atas menyebutkan, ia menjadi dalil yang menunjukkan bahawa hari ‘Asyura’ itu ialah hari kesepuluh. Kemudian, beliau menukilkan daripada al-Zain bin al-Munir yang menyebutkan bahawa ramai dalam kalangan ulama berpendapat hari ‘Asyura’ ialah hari kesepuluh daripada bulan Muharram. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 3/382-383).
Kisah Nabi Yunus di telan oleh ikan paus merupakan kisah yang sangat masyhur. Ibn Kathir dalam tafsirnya menceritakan kisah bagaimana Nabi Yunus AS ditelan oleh ikan paus. Nabi Yunus AS telah pergi dengan menaiki kapal bersama kaumnya. Kapal tersebut dipukul ombak besar lalu mereka merasa takut kapal itu akan karam. Lalu, mereka mengundi salah seorang di antara mereka yang harus dibuang ke laut untuk meringankan bebanan kapal tersebut. Maka undian pun terkena kepada Nabi Yunus AS. Akan tetapi, mereka enggan untuk membuangnya. Lalu mereka pun mengulanginya dan undian tersebut terkena lagi kepada Nabi Yunus AS. Akan tetapi, mereka juga enggan untuk membuangnya. Lalu mereka pun mengulanginya untuk kali yang ketiga dan undian tersebut terkena juga kepada Nabi Yunus AS. (Lihat Tafsir Ibn Kathir, 5/321)
Diriwayatkan daripada Sa’ad bin Abi Waqas RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
دَعْوَةُ ذِي النُّونِ إِذْ دَعَا وَهُوَ فِي بَطْنِ الحُوتِ: لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ سُبْحَانَكَ إِنِّي كُنْتُ مِنَ الظَّالِمِينَ، فَإِنَّهُ لَمْ يَدْعُ بِهَا رَجُلٌ مُسْلِمٌ فِي شَيْءٍ قَطُّ إِلَّا اسْتَجَابَ اللَّهُ لَهُ
Maksudnya: “Doa Nabi Yunus ketika baginda berdoa di dalam perut ikan paus: “Sesungguhnya tiada Tuhan (yang dapat menolong) melainkan Engkau! Maha Suci Engkau! Sesungguhnya aku adalah daripada orang-orang yang menganiaya diri sendiri”. Maka sesungguhnya tidak seorang muslim itu apabila berdoa dengannya untuk sesuatu perkara (masalah) melainkan Allah SWT akan memustajabkan baginya”.
Riwayat al-Tirmizi (3505). Syeikh Syuaib al-Arna’ut berpendapat sanad hadith ini sebagai hasan.
Status Kisah Allah Selamatkan Nabi Yunus daripada ditelan ikan Nun pada Hari ‘Asyura
Berdasarkan persoalan di atas, kami tidak menjumpai riwayat yang thabit yang menceritakan bahawa Allah Selamatkan Nabi Yunus daripada ditelan ikan Nun pada hari ‘Asyura melainkan satu riwayat yang sangat panjang. Riwayat tersebut dikatakan bersandarkan kepada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda antara lain menyebut:
إِنَّ اللَّهَ افْتَرَضَ عَلَى بَنِي إِسْرَائِيلَ صَوْمًا فِي السَّنَةِ وَهُوَ يَوْمُ عَاشُورَاءَ وَهُوَ الْيَوْمُ الْعَاشِرُ مِنَ الْمُحَرَّمِ وَوَسِّعُوا فِيهِ عَلَى أَهْلِيكُمْ فَإِنَّهُ مَنْ وَسَّعَ عَلَى أَهْلِهِ مِنْ مَالِهِ يَوْمَ عَاشُورَاءَ … وَهُوَ الْيَوْمُ الَّذِي أَخْرَجَ اللَّهُ فِيهِ يُونُسَ مِنْ بَطْنِ الْحُوتِ … فَمَنْ صَامَ هَذَا الْيَوْمَ كَانَ لَهُ كَفَّارَةُ أَرْبَعِينَ سَنَةً وَهُوَ أَوَّلُ يَوْمٍ خَلَقَ اللَّهُ مِنَ الدُّنْيَا وَأَوَّلُ مَطَرٍ نَزَلَ مِنَ السَّمَاءِ يَوْمَ عَاشُورَاءَ فَمن صَامَ عَاشُورَاءَ فَكَأَنَّمَا صَامَ الدَّهْرَ كُلَّهُ وَهُوَ صَوْمُ الأَنْبِيَاءِ وَمَنْ أَحْيَى لَيْلَةَ عَاشُورَاءَ فَكَأَنَّمَا عَبَدَ اللَّهَ مِثْلَ عِبَادَةِ أَهْلِ السَّمَاوَاتِ السَّبْعِ وَمَنْ صَلَّى فِيهِ أَرْبَعَ رَكَعَاتٍ يقْرَأ فِي كل رَكْعَة بِالْحَمْد مَرَّةً وَقُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ غَفَرَ اللَّهُ لَهُ ذُنُوبَ خَمْسِينَ عَامًا مَاضِيَةً وَخَمْسِينَ عَامًا مُسْتَقْبَلَةً وَبنى لَهُ فِي الْمَلأ الأَعْلَى أَلْفَ مِنْبَرٍ مِنْ نُورٍ وَمَنْ سَقَى شَرْبَةً مِنْ مَاءٍ فَكَأَنَّمَا لَمْ يَعْصِ اللَّهَ طَرْفَةَ عَيْنٍ وَمَنْ أَشْبَعَ أَهْلَ بَيْتٍ مَسَاكِينَ يَوْمَ عَاشُورَاءَ مَرَّ عَلَى الصِّرَاطِ كَالْبَرْقِ الْخَاطِفِ وَمَنْ تَصَدَّقَ بِصَدَقَةٍ فَكَأَنَّمَا لَمْ يَرُدَّ سَائِلا قَطُّ وَمَنِ اغْتَسَلَ يَوْمَ عَاشُورَاءَ لَمْ يَمْرَضْ إِلا مَرَضَ الْمَوْتِ وَمَنِ اكْتَحَلَ يَوْمَ عَاشُورَاءَ لَمْ تَرْمَدْ عَيْنَاهُ تِلْكَ السَّنَةَ كُلَّهَا وَمَنْ أَمَرَّ يَدَهُ عَلَى رَأْسِ يَتِيمٍ فَكَأَنَّمَا أَمَرَّ يَدَهُ عَلَى يَتَامَى وَلَدِ آدَمَ كُلِّهِمْ وَمَنْ عَادَ مَرِيضًا يَوْمَ عَاشُورَاءَ فَكَأَنَّمَا عَادَ مَرْضَى وَلَدِ آدَمَ كُلِّهِمْ.
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah telah mewajibkan ke atas Bani Israil berpuasa pada setahun iaitu pada hari ‘Asyura’ dan ia ialah hari yang kesepuluh daripada bulan Muharram dan luaskanlah (pemberian) ke atas ahli keluarga kamu. Ini kerana sesiapa yang memperluaskan (mempermudahkan) ke atas ahli keluarganya daripada hartanya pada hari ‘Asyura’, … dan ia juga merupakan hari di mana Allah mengeluarkan Nabi Yunus daripada perut ikan Hut … Maka sesiapa yang berpuasa pada hari tersebut, ia adalah kaffarah baginya selama 40 tahun, dan ia ialah perkara yang pertama diciptakan oleh Allah di dunia dan hujan yang pertama turun daripada langit pada hari ‘Asyura’. Sesiapa yang berpuasa pada hari ‘Asyura’, seakan-akan dia telah berpuasa setahun penuh, dan ia ialah puasa para nabi. Dan sesiapa yang menghidupkan malam ‘Asyura’, seakan-akan dia telah menyembah Allah seperti ibadah ahli yang berada di tujuh langit dan sesiapa yang solat padanya empat rakaat yang dibaca pada setiap rakaat surah al-Fatihah sekali, dan surah al-Ikhlas sekali, maka diampunkan baginya dosa selama 50 tahun yang lalu dan yang akan datang, serta akan dibina baginya di al-Mala’ al-A’la (langit) seribu mimbar daripada cahaya, sesiapa yang memberi minum daripada airnya maka seumpama dia tidak melakukan maksiat kepada Allah walaupun sekelip mata. Sesiapa yang mengenyangkan ahli rumah yang miskin pada hari ‘Asyura’, maka dia akan berjalan di atas sirat seperti kilat, sesiapa yang bersedekah dengan satu sedekah, dia seakan-akan tidak pernah menolak permintaan peminta sekali pun dan sesiapa yang mandi pada hari ‘Asyura’, maka dia tidak akan sakit kecuali datangnya kematian, dan sesiapa yang memakai celak pada hari ‘Asyura’, maka tidak akan menjadi rabun matanya pada tahun tersebut sepenuhnya, dan sesiapa yang meletakkan tangannya atas kepala anak yatim maka seakan-akan dia telah meletakkan tangannya di atas semua anak-anak yatim daripada anak adam kesemuanya, dan sesiapa yang menziarahi orang sakit pada hari ‘Asyura’, maka seakan-akan dia telah menziarahi kesemua anak Adam yang sakit.”
Riwayat di atas ada disebutkan oleh Abd al-Hayy al-Laknawi al-Hindi dalam kitab himpunan hadith-hadith palsu beliau, al-Athar al-Marfu‘ah fi al-Akhbar al-Maudu‘ah (hlm. 96-97). Seterusnya beliau memberi komentar terhadap riwayat ini dengan menyatakan, hadith ini diriwayatkan oleh Ibn al-Jauzi dan dia menyatakan bahawa para perawinya adalah thiqah. Namun, pada zahirnya beberapa orang yang lebih terkemudian telah memalsukan hadith ini dan menunggangnya (menyusunnya) dengan sanad ini. Ibn ‘Iraq meragui status perawi ini. Al-Zahabi mengatakan bahawa Abu Talib, Muhammad bin Ahmad al-‘Usawi, adalah salah seorang perawi hadith dalam sanad ini, dan dia menyampaikan hadith ini dengan selamat dalam sanadnya. Di antara perawi lainnya adalah Abu Bakr al-Najjar, tetapi dia telah mengalami masalah penglihatan pada akhir hayatnya. Al-Khatib al-Baghdadi membolehkan seseorang yang telah didatanginya sehingga mungkin hadith ini termasuk dalam kategori ini.
Begitu juga Ibn al-Jauzi turut membawakan riwayat di atas dengan sedikit perbezaan lafaz, lalu dia memberi komentar dengan menyatakan, hadith ini tidak syak lagi bagi orang yang berakal akan kepalsuannya. Sesungguhnya orang yang telah mencipta hadith ini telah berusaha meletakkannya dengan sebaik-baiknya dan dia sendiri telah mengungkapkan kepalsuan (pada hadith ini) serta tidak malu melakukannya. Dia telah memasukkan di dalamnya sesuatu yang mustahil iaitu pada perkataannya, “Hari pertama yang diciptakan oleh Allah ialah hari ‘Asyura’.” Inilah kelalaian atau kecuaian yang dapat dikenal pasti daripada pemalsuan yang dibuat oleh pelakunya kerana hari yang disebut atau dinamakan sebagai hari ‘Asyura’ itu adalah apabila ia diikuti oleh sembilan hari (dari awal bulan Muharram). Dia juga menyebutkan di dalamnya bahawa Allah mencipta langit dan bumi serta gunung-ganang pada hari ‘Asyura’ (sebagaimana riwayat yang dibawakan oleh Ibn al-Jauzi dalam kitabnya). Sedangkan dalam hadith yang sahih dinyatakan, “Sesungguhnya Allah SWT menciptakan tanah pada hari Sabtu dan menciptakan gunung-ganang pada hari Ahad.”
Selain itu, di dalamnya juga terdapat penyimpangan dalam pemberian pahala yang tidak sesuai dengan timbangan syariat. Bagaimana mungkin seseorang yang berpuasa satu hari mendapatkan pahala seperti orang yang mengerjakan haji, umrah, atau bahkan mati syahid? Hal ini jelas bertentangan dengan prinsip-prinsip syariat. Jika kita membahaskan setiap aspek dalam hadith ini secara terperinci, pasti ia akan memakan banyak waktu. Aku yakin bahawa hadith ini adalah palsu yang menyelinap masuk ke dalam hadith-hadith daripada perawi yang thiqah. Di samping itu, terdapat juga unsur kelalaian dalam riwayat ini, dan aku rasa itu hanya terjadi pada generasi yang terkemudian. (Lihat al-Maudhu‘at oleh Ibn al-Jauzi, 2/200-201).
Begitu juga al-Suyuti juga ada memberi komentar berkenaan riwayat ini dalam kitabnya al-La’ali’ al-Masnu‘ah fi al-Ahadith al-Maudu‘ah (2/93) bahawa ia adalah palsu. Para perawinya adalah thiqah. Namun, pada zahirnya beberapa orang yang lebih terkemudian telah memalsukan hadith ini dan menunggangnya (menyusunnya) dengan sanad ini.
Kesimpulan
Sebagai kesimpulan, kami katakan bahawa tidak diketahui mana-mana riwayat yang sahih mahupun dha’if yang menyatakan Allah menyelamatkan Nabi Yunus daripada ditelan ikan Nun pada hari ‘Asyura’. Sebaliknya riwayat yang ada menyebutkan mengenainya pula dinilai sebagai palsu oleh ulama hadith. Justeru, kita hendaklah menjauhi daripada menyebarkannya melainkan dengan tujuan untuk menjelaskan akan kepalsuannya.
Para ulama’ menyatakan bahawa haram bagi kita meriwayatkan hadith palsu apabila diketahui akan keadaannya (palsu) melainkan bagi menjelaskan akan kepalsuannya. Ini merupakan pendapat Imam Ibn Salah, Imam al-Nawawi, al-Suyuti dan ramai lagi termasuk ulama’-ulama’ hadith masa kini. Hukum ini terbina berdasarkan hadith-hadith berkaitan larangan keras Rasulullah SAW terhadap pendustaan di atas nama Baginda SAW. Akan tetapi, hukum ini tidak terpakai kepada hadith dhaif kerana ia boleh diriwayatkan di dalam perkara fadhail apabila menepati syarat-syaratnya sebagaimana yang dinyatakan oleh al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani.
Hal ini sebagaimana hadith mutawatir yang diriwayatkan daripada ramai para sahabat, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
إِنَّ كَذِبًا عَلَيَّ لَيْسَ كَكَذِبٍ عَلَى أَحَدٍ فَمَنْ كَذَبَ عَلَيَّ مُتَعَمِّدًا فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنَ النَّارِ
Maksudnya: Sesungguhnya berdusta atas namaku tidaklah sama dengan berdusta atas nama seseorang. Sesiapa yang berdusta di atas namaku dengan sengaja maka siaplah tempatnya di dalam neraka.”
Riwayat al-Bukhari (1291), Muslim di dalam Muqaddimah Sahih Muslim (4) dan Ahmad (18202)
Imam al-Nawawi menyatakan bahawa sesiapa yang dimasukkan ke dalam neraka disebabkan perkara ini, maka dia tidak akan kekal di dalamnya. Ini kerana, seseorang itu akan dikeluarkan daripada neraka dengan kelebihan dan rahmat Allah SWT selagimana ada iman atau tauhid di dalam jiwanya. Terdapat beberapa fiqh hadith atau kaedah-kaedah yang boleh diambil daripada hadith yang penting ini. Di antaranya adalah:
- Pertama: Menurut kaedah ahli sunnah, berdusta adalah satu khabar daripada seorang yang memang sengaja atau lalai terhadap sesuatu yang mana khabar tersebut menyalahi hakikat yang sebenar.
- Kedua: Besarnya pengharaman berdusta di atas nama Nabi SAW dan ia merupakan perkara yang begitu keji dan termasuk di dalam dosa-dosa besar. Akan tetapi, seseorang itu belum lagi kufur jika dia berdusta melainkan sekiranya dia menghalalkan perbuatan tersebut. Ini adalah pendapat yang masyhur dalam kalangan mazhab daripada pelbagai sudut.
- Ketiga: Tidak ada perbezaan pada pengharaman berdusta di atas nama Nabi SAW sama ada pada hukum-hakam atau tidak seperti pada bab targhib (galakan) atau tarhib (ancaman), mawa’izh (peringatan) dan sebagainya. Ini kerana, kesemuanya adalah haram dan ia termasuk di dalam dosa yang besar serta seburuk-buruk perkara menurut ijma’ umat Islam.
- Keempat: Haram meriwayatkan sesebuah hadith yang mana diketahui akan kepalsuannya atau seseorang itu merasakan bahawa hadith tersebut adalah palsu. Barangsiapa yang meriwayatkan sesebuah hadith yang diketahui akan kepalsuannya atau pada sangkaannya hadith tersebut adalah palsu dan dia tidak menjelaskan hal tersebut, maka dia termasuk di dalam ancaman hadith ini. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 1/69-71)
Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.”
(Surah al-Baqarah :201)
Wallahua`lam.
Bertarikh: 26 Julai 2023 bersamaan 8 Muharram 1445 H