#2377: Peringkat Pensyariatan Puasa ‘Asyura

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Bilakah bermulanya puasa pada hari Asyura ini? Benarkah terdapat peringkat-peringkat pensyariatan dalam puasa Asyura’ ini pada zaman Nabi SAW? Mohon penjelasan.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab persoalan di atas, Imam Ibn Rajab al-Hanbali dalam kitabnya Lata’if al-Ma’arif (hlm. 53) ada menjelaskan berkenaan peringkat-peringkat pensyariatan puasa Asyura ini, iaitu:

Peringkat Pertama:

Baginda SAW berpuasa di Makkah, tetapi tidak menyuruh umat Islam untuk turut berpuasa. Hal ini berdasarkan hadith daripada Aisyah R.Anha, katanya:

كَانَ يَوْمُ عَاشُورَاءَ يَوْمًا تَصُومُهُ قُرَيْشٌ، فِي الجَاهِلِيَّةِ وَكَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَصُومُهُ

Maksudnya: “Adapun hari Asyura’ merupakan hari yang berpuasa padanya orang Quraisy ketika Jahiliyyah dan Nabi SAW juga berpuasa padanya.” 

Riwayat al-Bukhari (3831)

Peringkat Kedua: Apabila Rasulullah SAW tiba di Madinah, Baginda melihat puasa Ahlul Kitab dan penghormatan yang mereka berikan kepada hari tersebut. Baginda SAW suka untuk melakukan perkara yang sama walaupun tidak diperintahkan untuk melakukan hal tersebut. Lalu Baginda SAW menyuruh umat Islam untuk berpuasa pada hari tersebut dan memberikan penekanan kepada arahan itu sehinggakan kanak-kanak umat Islam ikut berpuasa ketika itu.

Daripada Ibn Abbas R.Anhuma, katanya:

أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَدِمَ الْمَدِينَةَ فَوَجَدَ الْيَهُودَ صِيَامًا، يَوْمَ عَاشُورَاءَ، فَقَالَ لَهُمْ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: مَا هَذَا الْيَوْمُ الَّذِي تَصُومُونَهُ؟ فَقَالُوا: هَذَا يَوْمٌ عَظِيمٌ، أَنْجَى اللهُ فِيهِ مُوسَى وَقَوْمَهُ، وَغَرَّقَ فِرْعَوْنَ وَقَوْمَهُ، فَصَامَهُ مُوسَى شُكْرًا، فَنَحْنُ نَصُومُهُ، فَقَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: فَنَحْنُ أَحَقُّ وَأَوْلَى بِمُوسَى مِنْكُمْ فَصَامَهُ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَأَمَرَ بِصِيَامِهِ

Maksudnya: “Sesungguhnya Rasulullah SAW datang ke Madinah dan mendapati orang Yahudi sedang berpuasa pada hari Asyura’. Lalu Nabi SAW berkata kepada mereka: Mengapakah kamu berpuasa pada hari ini? Mereka menjawab: Hari ini adalah hari yang agung di mana Allah SWT telah menyelamatkan Nabi Musa dan kaumnya serta Allah menenggelamkan Firaun dan kaumnya. Lalu Nabi Musa berpuasa pada hari tersebut sebagai tanda syukur. Disebabkan itu kami pun turut berpuasa. Maka Nabi SAW bersabda: Kami lebih berhak dan utama mengikut Nabi Musa berbanding kamu. Dengan itu, Rasulullah SAW berpuasa dan memerintahkan untuk berpuasa pada hari tersebut.”

Riwayat Muslim (1130)

Peringkat Ketiga: Tatkala difardhukan puasa Ramadhan, Nabi SAW tidak lagi menyuruh atau menekankan para sahabat untuk berpuasa pada hari Asyura.

Daripada Ibn Umar R.anhuma, berkata:

 صَامَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَاشُورَاءَ، وَأَمَرَ بِصِيَامِهِ فَلَمَّا فُرِضَ رَمَضَانُ تُرِكَ

Maksudnya: “Nabi SAW berpuasa pada hari Asyura’ dan Nabi memerintahkan untuk berpuasa padanya. Apabila difadrhukan berpuasa di bulan Ramadhan, Baginda SAW tinggalkannya (tidak berpuasa pada hari Asyura’).” 

Riwayat al-Bukhari (1892)

Daripada Aisyah R.Anha, katanya:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَمَرَ بِصِيَامِ يَوْمِ عَاشُورَاءَ، فَلَمَّا فُرِضَ رَمَضَانُ كَانَ مَنْ شَاءَ صَامَ وَمَنْ شَاءَ أَفْطَرَ

Maksudnya: “Adapun Rasulullah SAW memerintahkan untuk berpuasa pada hari Asyura’. Apabila difardhukan berpuasa pada bulan Ramadhan, sesiapa yang ingin berpuasa maka dia berpuasa dan sesiapa yang tidak ingin berpuasa maka dia berbuka (tidak berpuasa).” 

Riwayat al-Bukhari (2001)

Peringkat Keempat: Pada penghujung usia Rasulullah SAW, Baginda berazam untuk tidak berpuasa tunggal (iaitu dengan berpuasa hari Asyura semata-mata), akan tetapi Baginda berazam untuk menggabungkan puasa ‘Asyura dengan puasa hari yang lain (sama ada sebelum atau selepasnya) bagi tujuan untuk menyelisihi dengan Ahlil Kitab dalam puasanya. Akan tetapi, Baginda tidak sempat melakukannya kerana telah kembali menemui Tuhannya terlebih dahulu sebelum sempat melaksanakannya.

Daripada Ibn Abbas R.anhuma, katanya:

 لَئِنْ بَقِيتُ إِلَى قَابِلٍ لَأَصُومَنَّ التَّاسِعَ

Maksudnya: “Sekiranya aku masih hidup pada tahun hadapan, maka aku akan berpuasa pada hari ke-9 (9 Muharram).” 

Riwayat Muslim (1134)

Daripada Ibn Abbas R.anhuma, berkata:

صُومُوا يَوْمَ عَاشُورَاءَ، وَخَالِفُوا فِيهِ الْيَهُودَ، صُومُوا قَبْلَهُ يَوْمًا، أَوْ بَعْدَهُ يَوْمًا

Maksudnya: “Berpuasalah pada hari Asyura’ dan berselisihlah padanya dengan orang-orang Yahudi. Berpuasalah sehari sebelumnya atau sehari selepasnya.” 

Riwayat Ahmad (1134. Syeikh Syu’aib al-Arna’ut menilai sanad hadith ini adalah dhaif.

Penutup

Kami nukilkan di sini, ucapan Ibn Abbas R.Anhuma apabila ditanyakan mengenai puasa ‘Asyura, beliau berkata :

مَا رَأَيْتُ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم يَتَحَرَّى صِيَامَ يَوْمٍ فَضَّلَهُ عَلَى غَيْرِهِ، إِلاَّ هَذَا الْيَوْمَ يَوْمَ عَاشُورَاءَ 

Maksudnya: Aku tidak pernah melihat Rasulullah SAW mengejar satu hari yang fadhilatnya lebih berbanding hari hari yang lain melainkan hari ini – iaitu hari ‘Asyura –

Riwayat al-Bukhari (2006)

Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani berkata: Ini menunjukkan bahawa puasa ‘Asyura lebih afdhal berbanding hari hari lain untuk berpuasa selepas Ramadhan. Zahir hadis Muslim pula menunjukkan bahawa puasa pada hari ‘Arafah lebih afdhal berbanding puasa pada hari ‘Asyura. Dikatakan hikmahnya adalah kerana puasa ‘Asyura dinisbahkan kepada Musa AS manakala puasa ‘Arafah pula dinisbahkan kepada Nabi Muhammad SAW. Oleh yang demikian, puasa ‘Arafah lebih afdhal. (Lihat Fath al-Bari, 4/315)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلًا مُتَقَبَّلاً 

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan diterima.”

Bertarikh: 26 Julai 2023 bersamaan 8 Muharram 1445 H