#2381: Ternampak Anak Rambut Ketika Solat

Soalan:

Apa hukum solat apabila ada anak rambut kelihatan selepas solat bagi wanita. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

 

Definisi Aurat dan Hukumnya yang Asas

Perkataan aurat ialah merujuk kepada apa-apa yang diharamkan untuk didedah daripada anggota badan sama ada lelaki ataupun perempuan. Ia juga ditakrifkan sebagai apa-apa yang wajib ditutupi dan tidak boleh dizahirkan daripada anggota badan. Menurut Khatib al-Syarbini, aurat diertikan sebagai apa-apa yang haram untuk dilihat. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 1/185).

Menurut pengarang kitab Kifayah al-Akhyar, aurat menurut syarak ialah batas minima dari bahagian tubuh yang wajib ditutup kerana perintah Allah SWT. (Lihat Kifayah al-Akhyar, 1/52).

Dijelaskan dalam kitab al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah pula bahawa aurat adalah suatu anggota badan yang tidak boleh ditunjukkan dan diperlihatkan oleh lelaki atau perempuan kepada orang lain. (Lihat al-Mausu’ah al Fiqhiyah al Kuwaitiyah, 31/44).

 

Aurat Wanita di dalam Solat

Disebutkan di dalam kitab al-Majmu’ karangan Imam al-Nawawi bahawa menutup aurat di dalam solat adalah wajib dengan ijma’ sama ada solat di hadapan hadirin dan solat secara sendirian pada satu pendapat yang sahih.

Aisyah R.Anha pernah meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda:

لاَ تُقْبَلُ صَلاَةُ الْحَائِضِ إِلاَّ بِخِمَارٍ

Maksudnya: Tidak sah solat perempuan yang baligh kecuali menutup kepalanya.”

Riwayat al-Tirmizi (277) dan beliau mengatakannya sebagai hadith hasan.

 

Hadith ini menunjukkan bahawa orang perempuan wajib menutup kepala ketika bersolat. Justeru, wajib menutup seluruh badannya adalah lebih utama.

Berbalik kepada soalan di atas, kami menukilkan pandangan Imam al-Nawawi bahawa Tidak sah solatnya sama ada banyak atau sedikit yang terdedah itu. Jika seseorang itu solat dengan suatu penutup (auratnya), kemudian selepas senggang (daripada solat) dia mengetahui bahawa terdapat kesan koyak yang jelas menampakkan aurat, maka ketika itu wajib baginya mengulangi solat itu mengikut mazhab (al-Syafie) sama ada dia tahu atau terlupa atau dia belum tahu. Jika terdapat kemungkinan (ihtimal) bahawa berlakunya koyak itu selepas senggang daripada solat maka tidak perlu i`adah (mengulang solat) tanpa khilaf, sama kes dengan hukum najis. “ (Lihat al-Majmu` Syarh al-Muhazzab, 3/166)

Namun jika merujuk kepada empat mazhab, terdapat khilaf dalam perkara ini. Maka, secara asasnya kitab oleh simpulkan, di dalam mazhab al-Syafie aurat itu keseluruhannya perlu ditutup semasa solat, dan jika terdedah, sama ada sedikit atau banyak, wajib baginya segera menutupnya; jika tidak, maka batal solatnya. Justeru, jika terdapat rambut wanita yang terdedah walaupun sedikit, tetap membatalkan solat dan perlu mengulangi solatnya. Inilah pendapat yang lebih berhati-hati dan keluar daripada khilaf.

Manakala  Jumhur Ulama berpendapat bahawa rambut wanita yang sedikit jika terdedah tidak membatalkan solat. Kami cenderung kepada pendapat bahawa sekiranya bahagian yang terdedah aurat itu terlalu sedikit pada uruf, maka tidak membatalkan solat dan sah solatnya (jika tidak disengajakan), apatahlagi jika sukar untuk dielak.

Kami juga mengesyorkan agar kita sentiasa mempelajari hukum-hakam yang terkait dengan fiqh solat dan lain-lain lagi agar solat kita sentiasa menepati syarak.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.

 

Bertarikh: 27 Julai 2023 bersamaan 9 Muharram 1445 H