#2384: Faktor Yang Menyebabkan Aktiviti Sukan Menjadi Haram

Soalan:

Assalamualaikum wbt Dato’ saya ingin bertanya, apakah faktor yang menyebabkan sesuatu sukan menjadi haram?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dari keindahan agama Islam adalah bahawa ia merupakan agama yang menyeluruh. Salah satu tandanya adalah islam mementingkan jiwa dan jasmani manusia. Ia memenuhi keperluan jiwa dan sebab-sebab yang membawa kepada kebahagiaan. Dalam masa yang sama islam tidak mengabaikan jasmani dan faktor-faktor yang memberi tenaga kepada badan. Oleh itu, islam mengajak untuk memberi perhatian kepada tubuh badan dan mengambil langkah-langkah untuk memperkuatkan badan.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda:

المؤمنُ القويُّ خيرٌ وأحبُّ إلى اللهِ من المؤمنِ الضعيفِ وفي كلٍ خيرٌ

Maksudnya: Orang Mukmin yang kuat lebih baik dan lebih dicintai oleh Allah SWT daripada mukmin yang lemah dan masing-masing memiliki kebaikan.

Riwayat Ibn Majah (2664)

Hadith ini menujukkan bahawa seorang mukmin yang kuat iaitu merujuk kepada mukmin yang mempunyai tekad yang kuat dan tubuh yang sihat adalah yang terbaik dan lebih dekat kepada allah SWT berbanding mukmin yang memiliki tekad yang lemah dan  tubuh badan yang tidak sihat. Namun kedua-duanya memiliki kebaikan kerana adanya iman. (Lihat Fiqh al-Islam Syarh Bulugh al-Maram, 10/295 )

Begitu juga dengan Hadith yang diriwayatkan daripada Abdullah Bin Amru bahawa Rasulullah SAW bersabda :

وإنّ لجسدِك عليك حقًّا

Maksudnya: Sesungguhnya Jasadmu mempunyai hak ke atas dirimu.

Riwayat Muslim(1159)

Dalil-dalil di atas menunjukkan bahawa  bersukan itu sangatlah penting dalam kehidupan individu Islam. Kerana itulah Islam menyarankan supaya mengajar anak-anak bersukan atau berolah-raga, renang, melempar, menunggang kuda dan memanah.

Menjawab bagi persoalan di atas kami nyatakan bahawa hukum asal bagi sukan itu adalah harus kerana kaeadah menyebut :

الْأَصْلُ فِي الْأَشْيَاءِ الْإِبَاحَةُ

Maksudnya: “Asal pada sesuatu perkara adalah harus.”

Namun ia juga boleh membawa kepada haram jika sukan itu membawa kepada perkara-perkara yang menyebabkan kemudaratan pada jiwa, berlakunya perpecahan dan bercampur antara lelaki dan perempuan tanpa mengikut  ketetapan yang telah ditetapkan oleh syara’. Ini kerana kaedah fiqh ada menyebut :

مَا أَدَّى إِلَى الحَرَامِ فَهُوَ حَرَام

Maksudnya: Apa yang membawa kepada perkara yang haram maka hukumnya adalah haram.

Di sini kami nyatakan bagi orang muslim hendaklah mematuhi peraturan-peraturan yang telah ditetapkan oleh syara’  ketika menjalani aktiviti sukan antaranya ialah sepertimana berikut :

  •  Berpakaian yang sopan yang bersesuaian dan menutup aurat ketika melakukan aktiviti sukan
  • Tidak mengabaikan solat  sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah SWT dan tidak menganggu ibadah puasa.
  • Tidak bercampur antara lelaki dan perempuan ketika melakukan aktiviti sukan
  • Tidak menggunakan perlawanan sukan sebagai  alat untuk mendapatkan keuntungan haram seperti taruhan dan perjudian.
  • Tidak menyakiti makhluk hidup, baik manusia mahupun haiwan seperti menjadikan burung sebagai target latihan menembak, menyeksa haiwan atau melagakan haiwan
  • Aktiviti sukan yang dijalankan hendaklah tidak membahayakan kehidupan manusia.
  • Tidak menjadikan sukan sebagai fanatik yang menyebabkan perpecahan sesama sendiri.[1]

Justeru kami katakan bahawa terdapat banyak faedah dalam melakukan aktiviti bersukan namun sebagai individu muslim hendaklah mengikut peraturan-peraturan sebagaimana  yang telah diterangkan di atas agar tidak melanggar apa yang telah ditetapkan oleh syara’

Semoga Allah memberikan kita kefahaman yang jelas dalam menjalani kehidupan seharian dan kami akhiri dengan  doa :

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّار

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.”

Wallahua’lam

[1] https://www.islamweb.net/ar/article/184137/%D8%A7%D9%84%D8%B1%D9%8A%D8%A7%D8%B6%D8%A9-%D9%81%D9%8A-%D8%A7%D9%84%D8%A5%D8%B3%D9%84%D8%A7%D9%85

 Di akses pada 18 Julai 2023

Bertarikh: 27 Julai 2023 bersamaan 9 Muharram 1445 H