Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Adakah kita dianjurkan untuk berbaik dengan mereka yang bukan Islam?
Saya bertanya kerana sebahagian orang berkata kita tidak sepatutnya berbaik dengan mereka kerana Allah SWT sendiri melaknat dan mencela perbuatan mereka yang mensyirikkan-Nya.
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Islam adalah agama yang menyeru kepada kebaikan dan melarang segala kemungkaran. Islam juga menyeru untuk berbuat baik kepada semua orang atas dasar bahawa setiap orang adalah hamba Allah SWT, dan bahawa hamba yang paling dicintai oleh Allah adalah yang paling bermanfaat dan paling berguna untuk orang lain. Antara cara terbaaik adalah dengan menjaga tutur kata kita dengan mereka yang bukan Islam.
Ini berdasarkan firman Allah SWT:
وَقُل لِّعِبَادِي يَقُولُوا الَّتِي هِيَ أَحْسَنُ ۚ إِنَّ الشَّيْطَانَ يَنزَغُ بَيْنَهُمْ ۚ إِنَّ الشَّيْطَانَ كَانَ لِلْإِنسَانِ عَدُوًّا مُّبِينًا
Maksudnya: “Dan katakanlah (wahai Muhammad) kepada hamba-hambaKu (yang beriman), supaya mereka berkata dengan kata-kata yang amat baik (kepada orang-orang yang menentang kebenaran); sesungguhnya Syaitan itu sentiasa menghasut di antara mereka (yang mukmin dan yang menentang); sesungguhnya Syaitan itu adalah musuh yang amat nyata bagi manusia.”
(Surah al-Isra’: 53)
Secara umumnya, Islam amat menganjurkan muslim untuk bergaul dengan cara yang baik dengan semua orang, termasuklah orang bukan Islam. Ini berdasarkan umum lafaz hadith yang diriwayatkan daripada Abu Zarr al-Ghifari R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:
اتَّقِ اللهَ حَيْثُمَا كُنْتَ، وَأَتْبِعِ السَّيِّئَةَ الحَسَنَةَ تَمْحُهَا، وَخَالِقِ النَّاسَ بِخُلُقٍ حَسَنٍ
Maksudnya: “Bertaqwalah kepada Allah di mana jua kamu berada, ikutilah kejahatan dengan kebaikan nescaya dia menghapuskannya dan berakhlaklah dengan manusia dengan akhlak yang mulia.”
Riwayat al-Tirmizi (1987) dan Ahmad (21392)
Sebagai seorang muslim, bukanlah sebahagian daripada tugasan kita untuk mencela orang lain atau melaknat mereka, akan tetapi kita serahkan perkara tersebut kepada Allah SWT, tuhan yang menciptakan sekalian manusia. Adapun kewajipan kita terhadap mereka yang bukan Islam adalah:
1) Berusaha menyampaikan dakwah kepada mereka, menerangkan kepada mereka hakikat agama Islam sekadar kemampuan kita. Ini merupakan perkara terbaik yang mampu kita lakukan, kerana jika mereka menerima Islam dengan baik dan meneruskan dakwah kita kepada kaum kerabatnya atau orang kampungnya, maka pahala kita akan berterusan dan tidak putus.
Diriwayatkan daripada Abu Mas‘ud al-Ansari R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ دَلَّ عَلَى خَيْرٍ فَلَهُ مِثْلُ أَجْرِ فَاعِلِهِ
Maksudnya: “Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan maka dia mendapat pahala sama seperti yang melakukannya.”
Riwayat Muslim (1893)
Diriwayatkann juga daripada Abu Hurairah R.A bahawa Raasulullah SAW bersabda:
مَنْ دَعَا إِلَى هُدًى كَانَ لَهُ مِنْ الْأَجْرِ مِثْلُ أُجُورِ مَنْ تَبِعَهُ ، لَا يَنْقُصُ ذَلِكَ مِنْ أُجُورِهِمْ شَيْئًا
Maksudnya: “Barangsiapa yang menyeru (seseorang) kepada hidayah, baginya ganjaran sepertimana ganjaran orang yang mengikutinya tanpa mengurangi sedikitpun daripada ganjaran mereka (yang melakukan).”
Riwayat Muslim (2674)
2) Tidak melakukan kezaliman kepada orang bukan Islam. Jika mereka tergolong dalam zimmi, musta’min atau mu‘ahid. Bahkan wajib bagi pemimpin muslim yang memerintah negara untuk memberikan kepada mereka hak mereka.
Ini berdasarkan Firman Allah SWT:
لَّا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُم مِّن دِيَارِكُمْ أَن تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْ ۚ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ
Maksudnya: “Allah tidak menghalang kamu terhadap golongan yang tidak memerangi kamu berkenaan agama dan mereka tidak mengeluarkan kamu dari tanahair kamu, dari kamu berbuat kebajikan kepada mereka dan berlaku adil kepada mereka. Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.”
(Surah al-Mumtahanah: 8)
3) Menjadi jiran yang baik untuk mereka dan tidak mewujudkan suasana yang tegang dan tidak menyenangkan dengan mereka. Contoh jiran yang baik adalah dengan memberi sedekah kepadanya jika dia miskin, memberi hadiah kepadnya, dan menasihatkan mereka perkara yang bermanfaat baginya. Hal ini kerana perkara kecil tersebut boleh menyebabkan mereka lebih tertarik dengan Islam.
Diriwayatkan daripada ‘Aisyah R.Anha bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَا زَالَ يُوصِينِي جِبْرِيلُ بِالجَارِ، حَتَّى ظَنَنْتُ أَنَّهُ سَيُوَرِّثُهُ
Maksudnya: “Jibril terus menerus menyarankan agar aku memperlakukan jiran-jiranku (dengan baik), sehingga aku menyangka bahawa dia akan memerintahkan aku untuk memperlakukan mereka sebagai pewarisku.”
Riwayat al-Bukhari (6014) dan Muslim (2624)
Kesimpulan
Ingatlah bahawa agama Islam tidak pernah membezakan pergaulan baik antara dengan orang Islam dan orang bukan Islam. Bahkan telah datang sebuah hadith dengan lafaz yang umum, menggalakkan kita untuk menyebarkan sifat kasih pada semua orang.
Diriwayatkan daripada Abdullah bin ‘Amru R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:
الرَّاحِمُونَ يَرْحَمُهُمُ الرَّحْمَنُ ارْحَمُوا مَنْ فِي الأَرْضِ يَرْحَمْكُمْ مَنْ فِي السَّمَاءِ
Maksudnya: “Orang yang penyayang akan dirahmati oleh yang Maha Penyayang (Allah). kasihilah mereka yang berada di bumi, nescaya kamu akan dikasihi oleh yang di atas langit.”
Riwayat Abu Dawud (4941), al-Tirmizi (1924) dan Ahmad (2494)
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ رَبَّ جِبْرِيلَ، وَمِيكَائِيلَ، وَإِسْرَائِيلَ، فَاطِرَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ، عَالَمَ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ، أَنْتَ تَحْكُمُ بَيْنَ عِبَادِكَ فِيهَا كَانُوا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ، اهْدِنَا لَمَا اخْتُلِفَ فِيهِ مِنَ الْحَقِّ بِإِذْنِكَ، إِنَّكَ تَهْدِي مَنْ تَشَاءُ إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ .
Maksudnya: “Ya Allah, Tuhan Jibril, Mikail, dan Israfil. Yang Menciptakan langit dan bumi, Yang Maha Mengetahui yang ghaib mahupun yang kelihatan. Engkaulah yang Menghakimi hamba-hamba-Mu di dalam apa yang mereka perselisihkan. Tunjukkanlah kami dengan izin-Mu kepada kebenaran di dalam apa yang diperselisihkan. Sesungguhnya Engkau memberi petunjuk ke arah Sirat al-Mustaqim kepada sesiapa yang Engkau Kehendaki.”
Bertarikh: 27 Julai 2023 bersamaan 9 Muharram 1445 H