#2387: Video Call Suami Isteri dalam Keadaan Tidak Berpakaian

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada satu soalan yang selalu bermain-main di fikiran saya. Soalan ini agak sensitif. Saya selalu outstation dalam tempoh yang agak lama. Soalan saya, bolehkah saya bervideo call dengan isteri saya dalam keadaan kami tidak berpakaian (berbogel), bagi melampiaskan keinginan seksual kami dengan saling lihat melihat? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pada asasnya, di antara tujuan perkahwinan adalah menghalalkan hubungan asmara antara lelaki dan wanita. Tanpa perkahwinan, hubungan asmara antara jantina berlainan adalah diharamkan. Justeru, pensyariatan perkahwinan untuk menghalalkan hubungan seks adalah saranan paling penting dalam merealisasikan tujuan hifz al-nasal wa al-nasab (penjagaan hak keturunan dan nasab) yang dianggap salah satu daripada dharuriyyat al-khamsah (yakni lima tujuan terpenting syariah).

Dalam menjawab soalan di atas, ia berkait dengan beberapa isu, yang mana kami akan bahaskannya satu persatu secara ringkas.

Pertamanya, mendedahkan aurat ketika bersendirian dalam bilik yang tertutup, jauh daripada pandangan mata orang ramai. Berkenaan hal ini, terdapat dalam hadith, daripada riwayat Bahz bin Hakim, daripada bapanya, daripada datuknya, beliau berkata:

قُلْتُ: يَا رَسُولَ اللَّهِ عَوْرَاتُنَا مَا نَأْتِي مِنْهَا وَمَا نَذَرُ؟ قَالَ: «احْفَظْ عَوْرَتَكَ إِلَّا مِنْ زَوْجَتِكَ أَوْ مَا مَلَكَتْ يَمِينُكَ»، فَقَالَ: الرَّجُلُ يَكُونُ مَعَ الرَّجُلِ؟ قَالَ: «إِنْ اسْتَطَعْتَ أَنْ لَا يَرَاهَا أَحَدٌ فَافْعَلْ»، قُلْتُ: وَالرَّجُلُ يَكُونُ خَالِيًا، قَالَ: «فَاللَّهُ أَحَقُّ أَنْ يُسْتَحْيَا مِنْهُ».

Maksudnya: Aku bertanya: “Wahai Rasulullah, aurat kita manakah yang harus kita tutup dan manakah yang boleh kita nampakkan?” Baginda menjawab: “Jagalah auratmu kecuali terhadap isterimu atau hamba wanitamu.” Lalu beliau bertanya: “Jika lelaki bersama lelaki?” Baginda menjawab: “Jika engkau mampu agar auratmu tidak dilihat oleh sesiapa maka (usahakan) jangan sampai ada orang yang boleh melihatnya.” Aku bertanya lagi: “Jika lelaki berada dalam keadaan sendirian?” Baginda menjawab: “Maka Allah lebih berhak untuk engkau bersikap malu terhadap-Nya.”

Riwayat al-Tirmizi (2769)

Dinukilkan bahawa ulama mazhab Hanafi — mengikut pendapat yang sahih, — ulama mazhab Syafi‘i dan ulama mazhab Hanbali berpendapat bahawa wajib untuk menutup aurat sekalipun bersendirian (berada di tempat yang sunyi) dan jauh daripada pandangan manusia. Manakala menurut ulama mazhab Maliki, hukumnya adalah sunat untuk menutup aurat sendiri ketika bersendirian dan ia dituntut sebagai sikap malu kepada Allah SWT dan para malaikat-Nya. Adapun jumhur ulama pula, mereka berhujahkan bahawa arahan untuk menutup aurat itu bersifat mutlak dan juga kerana Allah SWT itu lebih layak seseorang itu untuk malu terhadap-Nya sebagaimana hadith Bahz bin Hakim yang telah disebutkan di atas. Justeru menutup aurat ketika bersendirian itu adalah dituntut melainkan jika terdapatnya keperluan seperti mandi, menyejukkan badan dan seumpamanya. (Lihat Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 24/176).

Justeru, pada asalnya sebagai seorang penganut Islam, kita hendaklah sedaya upaya mengelakkan diri daripada mendedahkan aurat tanpa keperluan sekalipun kita bersendirian. Kita tidak dibenarkan untuk mendedahkan aurat kita sekalipun bersendirian melainkan terdapatnya keperluan seperti untuk mandi, beristinja’, dan seumpamanya, termasuklah ketika melakukan hubungan kelamin antara suami isteri.

Keduanya, seorang suami diharuskan untuk menikmati secara seksual setiap bahagian tubuh isterinya melainkan menyetubuhi isterinya pada dubur. (Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 4/84). Hal ini adalah berdasarkan riwayat daripada Khuzaimah bin Thabit R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ اللهَ لَا يَسْتَحِيي مِنَ الْحَقِّ فَلَا تَأْتُوا النِّسَاءَ فِي أَدْبَارِهِنَّ

Maksudnya:Sesungguhnya Allah tidak malu daripada menyatakan kebenaran, maka janganlah kamu mendatangi isteri pada dubur mereka.”

Riwayat al-Nasa’i (8942)

Begitu juga diharuskan untuk bermain-main secara seksual antara suami dan isteri secara intim dan mesra, sebelum memulakan persetubuhan, dengan syarat selagi mana tidak membawa kepada kerosakan. Perkara ini berdalilkan firman Allah SWT:

نِسَاؤُكُمْ حَرْثٌ لَّكُمْ فَأْتُوا حَرْثَكُمْ أَنَّىٰ شِئْتُمْ

Maksudnya:Isteri-isteri kamu adalah sebagai kebun tanaman kamu, oleh itu datangilah kebun tanaman kamu menurut cara yang kamu sukai dan sediakanlah (amal-amal yang baik) untuk diri kamu.

(Surah al-Baqarah: 223)

Justeru, para ulama berpendapat bahawa diharuskan bagi seorang suami dan isteri untuk menyentuh dan bermain-main dengan alat sulit pasangannya, secara seksual dan makruf, bukan dengan cara yang merosakkan. Perkara ini dinyatakan dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah (32/90) bahawa, para fuqaha telah bersepakat  bahawa diharuskan bagi seorang suami menyentuh kemaluan isterinya. Ibn ‘Abidin menyebutkan bahawa Abu Yusuf bertanya kepada Abu Hanifah berkenaan seorang lelaki yang menyentuh kemaluan isterinya, manakala isterinya juga menyentuh kemaluan suaminya agar menggerak-gerakkannya ke atas isterinya. Adakah engkau berpendapat perbuatan tersebut suatu dosa? Abu Hanifah menjawab: “Tidak, sebaliknya aku berharap pada perbuatan itu terdapatnya pahala yang besar.”

Selain itu, Syeikh al-Islam Zakaria al-Ansari juga menyebutkan bahawa seorang suami boleh menikmati segenap tubuh isterinya, termasuklah diharuskan untuknya — yakni suami itu — beronani dengan tangan isterinya, sekalipun perbuatan onani itu tidak dibolehkan untuk dilakukan dengan tangannya. Begitu juga dia boleh menikmati isterinya dengan menggunakan tangannya, termasuklah dengan memasukkan jarinya ke dalam faraj isterinya. (Lihat al-Gharar al-Bahiyyah, 4/170). Walau bagaimanapun, perkara tersebut terikat dengan syarat selagi mana tidak merosakan dan mendatangkan kemudaratan, sama ada kepada pihak isteri mahupun suami.

Ketiganya, berkenaan melihat kemaluan pasangan. Imam al-Nawawi menyatakan bahawa makruh bagi suami untuk melihat kepada faraj. Bahkan bahagian dalam farajnya adalah lebih dimakruhkan. (Lihat Raudhah al-Talibin, 7/27).

Hal ini berdasarkan hadith daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

النَّظَرِ إلَى الْفَرْجِ يُورِثُ الطَّمْسُ أَيْ الْعَمَى

Maksudnya: “Melihat kepada faraj itu mewarisi kebutaan.”

Namun begitu, hadith ini diriwayatkan oleh Ibn Hibban dalam al-Dhu‘afa dan beliau berkata hadith ini adalah rekaan. Begitu juga pendapat Ibn Abi Hatim. Ibn Hajar al-Asqalani menyatakan dalam al-Dirayah fi Takhrij Ahadith al-Hidayah (2/229), dalam sanadnya terdapat perawi yang tidak diterima ucapannya. Adapun, Ibn Solah dan al-Baihaqi menerima hadith ini dengan menilai sanadnya sebagai jayyid (baik). Abu Bakar al-Hisni berkata: “Sekiranya hadith ini sahih, maka maksudnya ialah hukum makruh.” (Lihat Asna al-Matalib, 3/113; Kifayah al-Akhyar, hlm.352).

Kami bawakan di sini secara ringkas pendapat ulama mazhab empat berkenaan perkara ini sebagaimana dinyatakan dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah (32/89) bahawa ulama mazhab Hanafi, Maliki dan Hanbali berpendapat, dibenarkan untuk setiap pasangan melihat alat sulit pasangannya secara mutlak, berdasarkan hadith Bahz bin Hakim, daripada ayahnya, daripada datuknya bahawa dia berkata: Aku berkata: “Wahai Rasulullah! Aurat kami, apa yang boleh kami tunjuk dan apa yang kami perlu hindari?” Baginda bersabda: “Jagalah aurat kamu melainkan kepada pasangan kamu atau hamba yang kamu miliki.” (Riwayat al-Tirmizi dengan sanad hasan). Ini kerana faraj itu tempat berseronok secara seksual, maka diharuskan melihat kepadanya seperti badan.

Akan tetapi di sisi ulama mazhab Hanafi dan Hanbali bahawa lebih utama secara adab untuk meninggalkan melihat kepada faraj, kerana sabda Nabi SAW: “Jika salah seorang daripada kamu mendatangi isterinya hendaklah menutup badannya dan jangan bertelanjang seperti telanjangnya dua ekor keldai.” (Riwayat Ibn Majah dengan sanad yang dhaif). Begitu juga berdasarkan hadith Aisyah R.Anha: “Aku tidak pernah langsung melihat alat sulit Rasulullah SAW.” Dalam lafaz lain: “Aku tidak pernah melihat alat sulit Rasulullah SAW dan Baginda juga tidak pernah melihat alat sulitku.”

Seterusnya ulama mazhab Syafi‘i berpendapat bahawa makruh melihat kepada alat sulit pasangannya dan alat sulit sendiri tanpa sebarang keperluan, berdasarkan hadith Aisyah R.Anha, dan bertambah kemakruhan itu pada melihat bahagian dalam faraj. Sebahagian ulama mazhab Syafi‘i berpendapat bahawa tidak dimakruhkan semasa jimak tetapi diharuskan.

Begitu juga Dr Yusuf al-Qaradhawi dalam Fatawa Mu‘asarah (2/331) menyatakan, tentang hadith yang digunakan oleh penulis kitab al-Hidayah sebagai hujah atas tidak dibenarkan melihat kemaluan pasangan nikah, adalah tidak kuat. Sebabnya, hadith itu dinilai sebagai dhaif. Walaupun klita menerima penilaian Imam al-Suyuti yang dikenal agak longgar, dengan darjat hasan yang diberikannya atas alasan banyak jalur periwayatannya, paling jauh larangan tersebut terhenti pada hukum makruh tanzih. Hukum makruh tanzih, sebagaimana difahami gugur dengan adanya hajat yang ringan. Pendapat ini (keharusan melihat secara mutlak) ini dipegang erat oleh Ibn Hazm dan menolak keras pendapat yang melarangnya, kerana tiada nas sahih lagi sarih yang melarangnya, bahkan untuk menjatuhkan hukum makruh. (Lihat al-Muhalla, 9/164).

Keempat, sekalipun pasangan suami isteri boleh menikmati segenap tubuh badan pasangan mereka yang sah, seseorang tetap tidak dibolehkan untuk melakukan onani dengan menggunakan tangannya sendiri. Hal ini kerana seseorang itu hanya dibolehkan melakukan onani dengan tangan pasangannya. Ini adalah sebagaimana dinyatakan dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah (4/97) bahawa istimna’ ialah perbuatan meminta untuk mengeluarkan air mani. Manakala dari segi istilah pula adalah mengeluarkan air mani tanpa melalui persetubuhan (jimak), sama ada secara haram seperti mengeluarkan air mani dengan tangannya sendiri kerana adanya keinginan syahwat, atau dengan cara yang tidak diharamkan (yakni cara yang halal) seperti mengeluarkan air mani dengan tangan isterinya (pasangannya).

Kesimpulannya

Oleh itu, berdasarkan kepada kenyataan dan perbincangan di atas, kami berpendapat tidak mengapa pasangan suami isteri melalui perkahwinan yang sah melakukan video call dalam keadaan saling tidak berpakaian dalam bilik yang tertutup bagi memenuhi keinginan seksual mereka. Hal ini kerana suami isteri diharuskan untuk menikmati secara seksual setiap bahagian tubuh pasangan mereka sama ada dengan melihat-lihat, menyentuh-nyentuh dan seumpamanya melainkan perbuatan yang dilarang oleh syarak seperti menyetubuhi isterinya pada dubur dan seumpamanya. Begitu juga seseorang tidak boleh melakukan onani dengan menggunakan tangannya sendiri kerana keharusan untuk melakukan onani hanyalah dengan tangan pasangannya yang sah sahaja.

Meskipun begitu, kami juga mengambil kesempatan di sini menasihatkan, sebaik-baiknya tidak melakukan video call bersama pasangan yang sah dalam keadaan tidak berpakaian adalah lebih baik sekalipun hukumnya adalah diharuskan. Ini kerana gajet dan teknologi biasanya terdedah kepada intipan siber, kecurian identiti dan pencerobohan data. Jika terpaksa outstation dalam tempoh yang agak lama, usahalah untuk membawa pasangan bersama dalam outstation tersebut. Ini adalah lebih baik dan lebih menenangkan jiwa.

Sejujurnya, kami berpendapat alangkah baiknya hal tersebut tidak didedahkan ini kerana dengan perkembangan teknologi yang bersifat hi-tech dan up to date, kebarangkalian untuk memintas dan mengambil gambar secara suci dan tak sah boleh berlaku sehingga mengaibkan pasangan kedua-duanya. 

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Wallahu a‘lam.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ في الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي دِيْنِنَا وَدُنْيَانَا وَأَهْلِنَا وَمَالِنَا، اللَّهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِنَا وَآمِنْ رَوْعَاتِنَا ، اللَّهُمَّ احْفَظْنَا مِنْ بَيْنِ أَيْدِيْنَا وَمِنْ خَلْفِنَا وَعَنْ أَيْمَانِنَا وَعَنْ شَمَائِلِنَا وَمِنْ أَنْ نُغْتَالَ مِنْ تَحْتِنَا فَوْقِنَا ، وَنَعُوذُ بِعَظَمَتِكَ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (afiyat) di dunia dan akhirat. Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) dalam agama, dunia, keluarga dan harta kami. Ya Allah, tutupilah aib kami dan berilah ketenteraman di hati kami. Ya Allah, jagalah kami dari depan, belakang, kanan, kiri, dan atas kami. Kami memohon perlindungan dengan keagungan-Mu agar tidak disambar dari bawah kami.”

Bertarikh: 27 Julai 2023 bersamaan 9 Muharram 1445 H