#2389: Menonton Wayang

Soalan:

Assalamualaikum Datuk. saya ingin bertanya hukum sebenar menonton wayang. Dibolehkan atau diharamkan? Apakah fatwa sebenar untuk kes ini. Moga saya mendapat pencerahan yang jelas. Terima kasih.

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

إِنَّ السَّمْعَ وَالْبَصَرَ وَالْفُؤَادَ كُلُّ أُولَئِكَ كَانَ عَنْهُ مَسْؤُولاً

Maksudnya: Sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya. 

(Surah al-Isra:36)

Al-Qurtubi ketika menafsirkan ayat di atas beliau menyatakan: ” Masing-masing akan ditanya tentang apa yang telah dilakukannya. Hati akan ditanya tentang apa yang dipikirkannya dan yang diyakini, pendengaran dan penglihatan akan ditanya tentang apa yang didengar dan dilihatnya. Dikatakan juga : “Maksudnya, bahawa Allah SWT akan menyoal manusia tentang apa yang telah dilakukan oleh pendengaran, penglihatan, dan hatinya.” (Lihat Jami’ Liahkam al-Quran, 10/259 )

Diriwayatkan daripada Abdullah Bin Umar bahawa Rasulullah SAW bersabda:

كُلُّكُمْ راعٍ، وكُلُّكُمْ مَسْئُولٌ عن رَعِيَّتِهِ

Maksudnya: Setiap kalian akan dipertanggungjawabkan terhadap apa yang dipimpinnya.

Riwayat Bukhari(893)

Allah SWT memerintahkan lelaki dan wanita supaya menundukkan pandangan dari melihat perkara-perkara yang haram dan menjaga maruah diri.  Yang demikian kerana islam menutup pintu kemaksiatan dan kerosakan yang bermula dari sekecil-kecil perkara.

Firman Allah SWT :

قُل لِّلْمُؤْمِنِينَ يَغُضُّوا مِنْ أَبْصَارِهِمْ وَيَحْفَظُوا فُرُوجَهُمْ ۚ ذَٰلِكَ أَزْكَىٰ لَهُمْ ۗ إِنَّ اللَّـهَ خَبِيرٌ بِمَا يَصْنَعُونَ ۝ وَقُلْ لِلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا

Maksudnya :Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan. Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya…”

(Surah al-Nur : 30-31)

Menurut Imam Ibn Kathir, ayat ini adalah merupakan perintah Allah SWT kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya menjaga pandangan mereka daripada melihat perkara-perkara yang diharamkan oleh Allah SWT. Janganlah melihat melainkan hanya kepada perkara yang diharuskan oleh syarak sahaja dan menundukkan pandangan mereka daripada melihat perkara yang diharamkan. Begitu juga, Allah SWT memerintahkan juga kepada orang-orang perempuan yang beriman agar turut sama menundukkan (menjaga) pandangan dan memelihara kemaluan mereka (daripada perkara-perkara yang diharamkan). Dan bagi membezakan mereka daripada sifat serta perbuatan wanita Jahiliyyah. (Lihat Tafsir Ibn Kathir Tahzib wa Tartib, 4/2342-2344)

Menjawab bagi persoalan di atas kami katakan, hukum menonton wayang adalah dibolehkan sekiranya ia bertujuan untuk meningkatkan kesedaran sosial, agama atau budaya. Namun jika sekiranya dengan menontonnya akan menimbulkan fitnah dan menbangkitkan nafsu maka yang demikian tidak dibolehkan kerana ia termasuk dalam perkara yang ditegah oleh syara’

Syaikh Dr Yusuf al-Qaradhawi dalam isu ini beliau menyatakan: Tidak diragukan lagi bahawa ‘filem’ dan sejenisnya merupakan alat penting dalam pengarahan(directing) dan hiburan(entertainment) seperti alat-alat yang lain. Ia boleh digunakan untuk kebaikan atau keburukan. Maka Ia diterima dan tidak ada masalah ke atasnya. Oleh itu, hukumnya adalah bergantung kepada apa yang dihasilkannya. Maka, kami berpandangan menonton wayang adalah halal dan baik sekiranya memenuhi syarat yang ditetapkan.[1]

Di sini kami nyatakan garis panduan yang diharuskan untuk menonton wayang:

  • Kandungan filem yang bermanfaat dan tiada unsur yang bertentangan dengan aqidah islam serta perkara mungkar
  • Tidak mengabaikan kewajipan yang diperintahkan oleh Allah SWT seperti solat lima waktu
  • Tiada pergaulan antara lelaki dan perempuan

Kami katakan juga penceritaan seelok-eloknya yang boleh membina akhlak peribadi serta memberi motivasi dan ibrah yang dapat diambil. 

Justeru kami katakan bahawa hukum menonton wayang di pawagam adalah harus jika tidak membawa sebarang perkara keburukan dan kemungkaran yang menyalahi ketetapan syara’ . Namun kami berpandangan meninggalkan dan menjauhi tempat seperti panggung wayang adalah lebih utama  kerana orang yang masuk ke tempat seperti ini dilihat sebagai seorang yang tidak warak.

Semoga Allah SWT memberi kefahaman yang jelas dalam melaksanakan syariatnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَلْهِمْنَا رُشْدَنَا، وَأَعِذْنَا مِنْ شَرِّ أَنْفُسِنَا

Maksudnya: “Wahai Allah! Ilhamkanlah kepada kami kecerdasan dan petunjuk serta lindungilah kami daripada kejahatan nafsu kami.”

[1] https://www.al-qaradawi.net/node/3893

Diakses pada 18 Julai 2023

Bertarikh: 27 Julai 2023 bersamaan 9 Muharram 1445 H