Soalan:
Saya masih keliru tentang solat jamak. Saya dan keluarga keluar makan, sedang makan masuk waktu magrib, selesai makan masih ada waktu magrib, suami drive balik rumah masih dalam waktu magrib. Suami tak berhenti solat magrib. Ada je masjid, surau petronas, surau di kedai makan tu pun ada. Bila sudah masuk isyak kami belum sampai rumah. Saya tanya dia kenapa kita tidak berhenti mana-mana solat magrib dia jawab jamak je nanti bila sampai rumah. Jarak rumah & kedai makan dalam 10km. Macam mana ustaz boleh ke solat jamak bila sampai rumah? 2. Waktu zohor sudah masuk, suami saya baring dan tertidur, sehingga terlepas waktu zuhur. Dia kata dia boleh jamak sahaja solat zuhur dan asar. Boleh ke ustaz? 3. Saya keliru antara solat qada & solat jamak. Boleh ke ustaz jelaskan dalam bahasa yang mudah untuk saya faham. Saya keliru la ustaz. Boleh jamak suka hati je ke macam mana ye. Saya cetek pengetahuan agama. Saya minta maaf ustaz.
Jawapan:
Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.
Solat jamak dan qasar adalah merupakan rukhsah yang diberikan oleh Allah SWT. Ia merupakan kemudahan yang dianugerahkan kepada umat Islam agar mereka boleh menunaikan ibadat solat di mana sahaja mereka berada. Perkara ini dinyatakan oleh Allah SWT di dalam firmannya:
وَإِذَا ضَرَبْتُمْ فِي الْأَرْضِ فَلَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ أَن تَقْصُرُوا مِنَ الصَّلَاةِ
Maksudnya: “Dan jika kamu bermusafir di muka bumi ini, maka tidak berdosa ke atas kamu untuk memendekkan solat (solat empat rakaat dijadikan kepada dua rakaat).”
(Surah al-Nisa’:101)
Imam al-Nawawi berkata: “Ayat ini mengaitkan hukum qasar dengan al-dorb `ala al-ardh (permusafiran). Justeru, jika seseorang ialah penduduk suatu kota maka dia boleh qasar apabila dia berpisah daripada bangunan yang dinisbah kepada kota tersebut.” (Lihat al-Majmu` Syarh al-Muhazzab, 4/346)
Ayat di atas menjelaskan bahawa rukhsah iaitu kemudahan dan keringanan yang diberikan oleh Allah SWT kepada hambanya yang bermusafir. Keringanan (rukhsah) ini merupakan pemberian daripada Allah SWT kepada hambaNya, maka hendaklah kita menerimanya.
Syeikh Abd al-Muhsin al-‘Abbad berkata: “Maka harus bagi orang bermusafir untuk memendekkan solat yang empat rakaat kepada dua rakaat dan juga menjamakkan di antara solat zohor dengan asar dan maghrib dengan isyak. Ini adalah sedekah yang diberikan kepada kita semua.” (Lihat Syarh Sunan Abi Daud, 149/1)
Berkenaan isu jamak dan qasar ini, kami telah bahaskannya sebelum ini:
#1686: Musafir Sekarang Semakin Mudah, Masih Bolehkah Jamak Qasar?[1]
#2040: Jamak Solat ketika Bercuti Selama Seminggu[2]
#1463: Jamak dan Qasar Ketika di Kampung Ibu Bapa[3]
Berbalik kepada soalan di atas, kami bahagikan jawapan kami kepada dua memandangkan terdapat dua situasi.
Situasi Pertama: Keluar Makan
Perkara yang mesti difahami di sini ialah solat jamak hanya dibolehkan bagi mereka yang bermusafir melebihi dua marhalah. Ulama berbeza pandangan berkenaan maksud dua marhalah. Oleh itu, secara asasnya Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) Kali Ke-118 yang bersidang pada 16 hingga 17 Februari 2021 telah membincangkan mengenai Hukum Penentuan Kadar Dua Marhalah, bahawa dua marhalah bersamaan 81 km.
Maka, dalam situasi saudari, tidak dibolehkan jamak kerana tidak mencapai dua marhalah. Maka, perlu digantikan semula solat maghrib tersebut.
Situasi Kedua: Terlepas Waktu Solat
Dalam isu ini, suami saudari tidak boleh jamak kerana ia bukanlah bermusafir, maka wajib baginya qada solatnya yang tertinggal. Sebagaimana sabda Nabi SAW:
مَنْ نَامَ عَنْ صَلاةٍ أَوْ نَسِيَهَا فَلْيُصَلِّهَا إذَا ذَكَرَهَا
Maksudnya: “Sesiapa yang tertidur dari (melakukan) solat atau terlupa, maka hendaklah dia solat setelah mengingatinya.”
Riwayat Muslim (680), Abu Daud (441), al-Tirmizi (615), Ibn Majah (698)
Situasi ketiga: Maksud Qada dan Jamak
Secara umumnya, qada solat bermaksud menggantikan solat yang tertinggal. Manakala, jamak bermaksud melaksanakan solat zohor bersama solat asar dan juga solat maghrib bersama solat isyak sama ada secara taqdim (solat zuhur dahulu kemudian melakukan solat asar) ataupun ta’khir (Solat asar dahulu, kemudian solat zuhur).
Terdapat syarat-syarat yang perlu dipenuhi untuk melakukan solat jamak dan qasar. Antara syarat-syarat tersebut:
- Mestilah berada dalam keadaan bermusafir, iaitu perjalanan ke destinasi yang sekurang-kurangnya dua marhalah, iaitu sekitar 81 km.
- Perjalanan musafir tersebut telah melepasi sempadan mukim seperti kawasan kampung, taman perumahan atau daerah mengikut uruf setempat.
- Dia tidak mengikuti imam yang menunaikan solat sempurna empat rakaat jika dia ingin mengqasarkan solat.
- Dia tidak berniat menetap selama empat hari atau lebih di tempat yang dituju, selain hari mula dia sampai dan hari dia akan keluar dari destinasi. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/186)
Oleh itu, kami nyatakan dalam beragama ini, Allah telah memberi beberapa kemudahan untuk kita melaksanakan perintahnya antaranya seperti solat jamak. Namun, perlu difahami, terdapat garis panduan yang perlu kita fahami dengan jelas agar tidak melaksanakan suatu syariat itu dengan bermudah-mudahan atau mengikut hati.
Semoga kita semua termasuk dalam golongan yang mendirikan solat. Marilah sama-sama kita berdoa:
رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ
Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”
[1] https://maktabahalbakri.com/1686-musafir-sekarang-semakin-mudah-masih-bolehkah-jamak-qasar/
[2] https://maktabahalbakri.com/2041-jamak-solat-ketika-bercuti-selama-seminggu/
[3] https://maktabahalbakri.com/1463-jamak-dan-qasar-ketika-di-kampung-ibu-bapa/
Bertarikh: 27 Julai 2023 bersamaan 9 Muharram 1445 H