#2399: Akikah Dua Orang Anak dengan Seekor Kambing

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Bolehkah saya lakukan akikah seekor kambing untuk dua orang anak saya? Hal ini kerana, saya baru memperoleh cahaya mata bulan lepas. Dan dalam masa sama, anak saya yang berumur tiga tahun belum dibuat akikah. Jadi, saya berhasrat untuk sekalikan akikah dengan seekor kambing tersebut. Mohon pencerahan.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab persoalan di atas, menurut pengarang al-Fiqh al-Manhaji (3/58), tidak memadai untuk mendapatkan sunat akikah dengan menyembelih seekor kambing bagi dua orang anak atau lebih. Oleh itu, bilangan akikah adalah sunat mengikut bilangan anak, iaitu seekor kambing bagi seorang anak dan dua bagi dua orang, tiga bagi tiga orang dan begitulah seterusnya. Manakala bagi anak kembar dua, sunat dengan dua akikah. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 3/58)

Selain itu, Imam al-Nawawi juga ada menyebutkan, sunnahnya adalah untuk melakukan akikah bagi seorang anak lelaki dengan dua ekor kambing, dan bagi anak perempuan pula dengan seekor kambing. Namun, jika dilakukan akikah bagi seorang anak lelaki hanya dengan seekor kambing, maka asal pahala sunatnya tercapai sebagaimana disebutkan oleh pengarang al-Muhazzab.

Akan tetapi jika dia dikurniakan dua anak lelaki, lalu dia menyembelih haiwan bagi kedua-duanya dengan seekor kambing, pahala sunat akikahnya tidak tercapai. Adapun jika dia menyembelih seekor lembu atau unta bagi akikah tujuh orang anaknya atau sebahagian orang berkongsi di dalamnya, maka ia diharuskan, tidak kira kesemua mereka mahukan untuk akikah, atau sebahagian mereka mahukan akikah dan sebahagian lagi mahukan untuk daging. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 8/429)

Hal ini berdasarkan hadith daripada Ibn Abbas R.Anhuma, katanya:

أَنَّ رَسولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَقَّ عَنِ الْحَسَنِ وَاْلحُسَيْنِ كَبْشًا كَبْشًا

Maksudnya: “Rasulullah SAW mengakikahkan al-Hasan dan al-Husain seekor kibasy setiap seorang.”

Riwayat Abu Dawud (2841). Ibn Hajar al-Asqalani di dalam Takhrij Misykah al-Misbah (4/138) menyatakan bahawa hadith ini hasan.

Dalam riwayat Abdullah bin ‘Amr RA, katanya:

أنَّ النبيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَقَّ عَنِ الْحَسَنِ وَالحُسَيْنِ عَن كُلِّ وَاحِدٍ مِنْهُمَا كبشَينِ اثْنَيْنِ مِثلَينِ مُتَكَافِئَينِ

Maksudnya: “Rasulullah SAW mengakikahkan al-Hasan dan al-Husain dua ekor kibasy yang serupa dan sepadan bagi setiap seorang.”

Riwayat al-Hakim dalam al-Mustadrak (7799). al-Albani dalam Irwa’ al-Ghalil (4/382) menyebutkan bahawa sanadnya tidak mengapa kerana padanya terdapat syawahid.

Abdullah Nasih Ulwan berkata  di dalam kitabnya Tarbiyah al-Aulad fi al-Islam (1/102): Besar kemungkinan hikmah di sebalik perbezaan itu ialah untuk menunjukkan kelebihan lelaki berbanding perempuan. Lelaki telah diberikan oleh Allah kekuatan jasmani, dibebankan dengan tugas kepimpinan dan tanggungjawab, dan dikurniakan ketenangan serta kemampuan mengawal perasaan. Benarlah firman Allah SWT:

الرِّجَالُ قَوَّامُونَ عَلَى النِّسَاءِ بِمَا فَضَّلَ اللَّهُ بَعْضَهُمْ عَلَىٰ بَعْضٍ وَبِمَا أَنفَقُوا مِنْ أَمْوَالِهِمْ 

Maksudnya: “Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka.

(Surah al-Nisa’: 34)

Sunnah dalam akikah adalah menyembelih dua ekor kambing untuk anak lelaki, dan satu ekor kambing untuk anak perempuan. Hal ini sebagaimana hadith Ummu Kurz al-Ka‘biyyah R.Anha bahawa Rasulullah SAW bersabda:

عَنِ الْغُلاَمِ شَاتَانِ مُكَافِئَتَانِ، وَعَنِ الْجَارِيَةِ شَاةٌ

Maksudnya:Akikah bagi anak lelaki dua ekor kambing yang setara dan bagi anak perempuan pula seekor kambing.”

Riwayat Abu Dawud (2834)

Begitu juga dengan hadith Aisyah R.Anha, beliau berkata:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَمَرَهُمْ عَنِ الغُلَامِ شَاتَانِ مُكَافِئَتَانِ، وَعَنِ الجَارِيَةِ شَاةٌ

Maksudnya: Rasulullah SAW memerintahkan mereka untuk melaksanakan akikah; bagi anak lelaki dua ekor kambing yang setara manakala bagi anak perempuan satu ekor kambing.”

Riwayat al-Tirmizi (1513) dan Ibn Majah (3163). Imam al-Tirmizi menilainya sebagai hasan sahih. Manakala Syeikh Syu‘aib al-Arnout dalam Takhrij Zad al-Ma‘ad (2/301) menilai sanadnya sebagai sahih.

Begitu juga dengan hadith Ibn Abbas R.Anhuma, katanya:

عَقَّ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنِ الْحَسَنِ وَالْحُسَيْنِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا بِكَبْشَيْنِ كَبْشَيْنِ

Maksudnya:Rasulullah SAW telah mengakikahkan al-Hasan dan al-Husain R.Anhuma dengan masing-masing setiap mereka dua ekor kibasy.”

Riwayat al-Nasa’i (4219); al-Albani menilainya sebagai sahih.

Syeikh Sa‘id bin Ali al-Qahtani menukilkan daripada gurunya yang merupakan Mantan Mufti Besar Arab Saudi berkenaan bilangan ekor kambing untuk diakikahkan, katanya: “Sunnah dalam akikah adalah menyembelih dua ekor kambing bagi anak lelaki dan satu ekor kambing bagi anak perempuan. Tidak mengapa jika ingin menyembelih kambing lebih banyak apabila seseorang memiliki tetamu yang ramai dan jumlah yang ada tidak mencukupi. Ada keluasaan terkait daging akikah; boleh dibahagi kepada saudara-saudaranya, atau sebahagiannya dimakan dan sebahagian lain dihadiahkan, atau dijadikan jamuan untuk sanak-saudara yang diundang. Sunnah yang berlangsung sama sebagaimana haiwan korban. Manakala mencukur rambut kepala sehingga licin ia berlaku untuk anak lelaki sahaja.” (Lihat al-Hadyu al-Nabawi fi Tarbiyah al-Aulad, hlm. 67).

Hadith-hadith sahih di atas menjelaskan bahawa apa yang disunnahkan (dalam penyembelihan dan perlaksanaan akikah) untuk anak lelaki adalah menyembelih dua ekor kambing yang sepadan dan serupa, manakala bagi anak perempuan adalah satu ekor kambing. 

Dengan perlaksanaan sunnah ini seorang hamba bertaqarrub (mendekatkan diri) kepada Allah, sebagai tanda syukur atas nikmat-Nya berupa kelahiran anak.

Penutup

Dalam isu ini kami syorkan akikahlah mengikut kemampuan dengan seekor kambing bagi seorang anak dan afdhalnya jika anak lelaki dengan 2 ekor kambing yang hampir sama besarnya dan usianya. Inilah yang dilakukan oleh Rasulullah SAW terhadap Hasan dan Husin R.Anhuma.

Dalam kes saudara saya syorkan, akikahlah bagi anak yang kedua yang baru lahir kerana ia lebih menepati nas dan perintah berdasarkan masa. Kemudian, jika ada kelapangan seupaya mungkin akikahlah anak yang pertama yang telah terlajak usianya 3 tahun. Semoga dengan cara ini, anda dapat mengakikahkan kedua-dua anak dengan sempurna. 

Kami akhiri dengan doa:

بَارَكَ اللَّهُ لَكَ فِي المَوْهُوبِ لَكَ، وَشَكَرْتَ الوَاهِبَ، وَبَلَغَ اشُدَّهُ، وَرُزِقْتَ بِرَّهُ

Maksudnya: “Semoga Allah memberkatimu dengan anugerah yang dikurniakan kepadamu, agar engkau mensyukuri Yang Maha Pemberi, semoga anak ini membesar sampai ke peringkat dewasa yang sempurna kekuatannya, dan agar engkau direzekikan dengan anak itu berbuat baik kepada ibu bapanya.” 

Bertarikh: 27 Julai 2023 bersamaan 9 Muharram 1445 H