#2400: Tidak Sah Sujud Atas Telekung: Pandangan yang Tidak Masuk Akal?

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ada persoalan tentang sujud yang tidak sah di atas telekung hanya kerana ia turut bergerak ketika pergerakan solat. Adakah pandangan ini benar? Bagi saya pandangan ini tidak masuk akal, mohon pencerahan.

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Sujud dari segi bahasa ialah cenderung atau merendah diri. Manakala dari segi istilah pula ialah suatu perbuatan mengenakan sebahagian dahinya pada tempat sujud. (Lihat Nihayah al-Muhtaj, 1/509)

Sujud merupakan salah satu rukun solat yang wajib dipelihara kesempurnaannya agar solat itu sah dan diterima oleh Allah SWT. Diriwayatkan daripada Ibn  ‘Abbas R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أُمِرْتُ أَنْ أَسْجُدَ عَلَى سَبْعَةِ أَعْظُمٍ، عَلَى الْجَبْهَةِ وَأَشَارَ بِيَدِهِ عَلَى أَنْفِهِ وَالْيَدَيْنِ، وَالرُّكْبَتَيْنِ، وَأَطْرَافِ الْقَدَمَيْنِ، وَلَا نَكْفِتَ الثِّيَابَ وَالشَّعَرَ

Maksudnya: “Aku diperintahkan agar melakukan sujud dengan tujuh anggota sujud: Yakni dahi (sambil menunjuk hidung), dua belah tangan, dua lutut dan hujung kedua tapak kaki.”

Riwayat al-Bukhari (812)

Oleh yang demikian, sujud perlu dilakukan dengan tenang dan tidak tergesa-gesa agar setiap anggota sujud tersebut tetap pada tempat sujud sebelum bangun. Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada Abdullah bin ‘Umar R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:

وَإِذَا سَجَدْتَ فَمَكِّنْ جَبْهَتَكَ، وَلَا تَنقُرْ نَقْرًا

Maksudnya: “Apabila kamu sujud, tetapkanlah dahi kamu dan jangan lakukannya terlalu laju.”

Riwayat Abdul Razzaq (8830), Ibn Hibban (1887) dan al-Tabarani (13566)

Dapat difahaami daripada hadith di atas, terdapat 7 anggota sujud yang wajib terletak tetap pada tempat sujud:

  • Dahi.
  • 2 telapak tangan.
  • 2 lutut.
  • 2 hujung tapak kaki.

Tidak Sah Sujud Atas Telekung

Berdasarkan isu yang dibangkitkan oleh saudari yang bertanya, kami katakan bahawa itu merupakan pendapat yang disebutkan oleh sebahagian ulama’ Mazhab al-Syafi‘i. Mereka mengatakan bahawa tidak sah sujud atas kain atau apa-apa bahan yang bersambungan dengan diri orang yang sedang solat tersebut jika kain atau bahan itu turut bergerak bersamanya.

Imam al-Syafi‘i menyebutkan bahawa, jika seseorang sujud dengan dahinya, sedangkan ada perantara kain, atau selainnya, maka sujud itu tidak sah untuknya, kecuali jika dia luka, maka itu satu keuzuran. Jika dia sujud atas kain yang terkoyak, lalu sedikit dari dahinya menyentuh tanah (tempat sujud), maka itu sah untuknya kerana dia sujud dan ada bahagian dahinya yang menyentuh tanah (tempat sujud). (Lihat al-Umm, 1/323(

Ini sebagai mana yang disebutkan oleh Imam al-Nawawi di dalam kitabnya al-Majmu‘, beliau mengatakan: “Ini merupakan pandangan mazhab kami (Mazhab al-Syafi‘i), bahawa tidak sah sujud sesuatu (seperti lengan baju yang panjang, labuh , tangan, serban, atau selainnya). Ini juga pandangan Dawud al-Zahiri dan salah satu riwayat daripada Imam Ahmad.”

Majoriti mazhab lain berpandangan bahawa sah solat jika dahi diletakkan di atas sesuatu yang bersambung dengan orang yang sedang bersolat. Mereka berdalilkan hadith yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik R.A, katanya:

كُنَّا نُصَلِّي مَعَ النَبيِّ ﷺ فِي شِدَّةِ الحَرِّ، فَإِذَا لَمْ يَسْتَطِعْ أَحَدُنَا أَنْ يُمَكِّنَ وَجْهَهُ مِنَ الأَرْضِ بَسَطَ ثَوْبَهُ، فَسَجَدَ عَلَيْهِ

Maksudnya: “Kami pernah bersolat bersama Nabi SAW pada cuaca yang amat panas, dan jika salah seorang kami tidak mampu untuk meletakkan wajahnya (dahi) dengan tetap di atas tanah (ketika sujud), dia membentangkan bajunya dan solat di atasnya.”

Riwayat al-Bukhari (1208) dan Muslim (620)

Mereka juga berhujjah dengan riwayat al-Hasan al-Basri, katanya:

كَانَ أَصْحَابُ رَسُولِ اللهِ ﷺ يَسْجُدُونَ وَأَيْدِيَهُمْ فِي ثِيَابِهِم، وَيَسْجُدُ الرَّجُلُ مِنْهُمْ عَلَى عِمَامَتِهِ

Maksudnya: “Para sahabat Rasulullah SAW dahulunya bersujud sedang tangan mereka  di letakkan di atas baju mereka, dan ada seorang lelaki di kalangan mereka yang bersujud di ats serbannya.”

Riwayat al-Baihaqi di dalam al-Sunan al-Kubra (2/106)

Imam al-Nawawi pula menyatakan bahawa fuqaha’ Mazhab al-Syafi‘i memahami maksud baju dalam hadith riwayat Anas bin Malik R.A di atas adalah baju yang tidak bersambung dengan orang bersolat itu. Imam al-Baihaqi dan ashab al-Syafi‘i pula memahami riwayat al-Hasan al-Basri di atas dengan mengatakan bahawa lelaki tersebut sujud dengan sebahagian dahinya di atas serban dan sebahagian lainnya di atas tanah. (Lihat Al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 3/425-246)

Ibn Hajar al-Haitami menyebutkan bahawa antara syarat sah sujud adalah tidak sujud atas sesuatu yang ditanggung olehnya atau yang bersambung dengannya, yang mana ia bergerak dengan gerakannya ketika berdiri dan duduk. Jika seseorang itu sujud di atasnya secara sengaja dan tahu (bahawa perkara tersebut tidak boleh), maka batal solatnya. Jika tidak (sengaja atau jahil) maka wajib dia mengulangi sujud. (Lihat al-Manhaj al-Qawim, hlm. 93)

Imam al-Nawawi ketika menerangkan tentang hadith Ibn ‘Abbas R.Anhuma di atas mengatakan bahawa anggota sujud itu ada tujuh dan mesti seseorang yang sujud itu bersujud dengan tujuh anggota tersebut serta sujud bersama dengan dahi dan hidung kesemuanya. Anggota dahi wajib diletakkan dengan terbuka di atas lantai dan sunat untuk meletakkan sebahagian daripada hidung. Jika dia meninggalkan sentuhan hidung pada lantai, maka sujudnya sah tetapi jika dia meninggalkan sentuhan dahi pada lantai, maka tidak sah sujudnya. Ini adalah pandangan mazhab al-Syafi‘i, Malik dan kebanyakan ahli ilmu. (Lihat Syarh al-Nawawi ala Muslim, 4/206)

Dr Muhammad al-Zuhaili menyebutkan, disyaratkan seseorang itu untuk tidak sujud di atas kain yang bersambungan dengannya, seperti bahagian tangan bajunya yang panjang, atau serbannya yang jika ia turut bergerak bersama dengan pergerakannya semasa berdiri dan duduk. Ini seperti lembaran kain yang ada atas bahunya. Jika dia sengaja melakukan hal itu, maka batal solatnya. Jika dia melakukan kerana lupa atau jahil, tidak batal, tapi diulang semula sujud itu.

Namun, jika kain itu bersambungan dengannya tapi tidak bergerak dengan pergerakannya, maka itu dibolehkan kerana ia sama seperti hukum benda yang berpisah darinya. Demikianlah juga segala yang terputus (tidak bersambungan) darinya seperti tongkat di tangannya, maka tidak mencacatkan jika sujud atasnya. Jika dia sujud atas balutan luka disebabkan darurat, atau kepayahan untuk mengelakkannya, maka sah sujudnya. (Lihat Al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 1/281)

Antara kaedah istidlal mereka adalah, sujud tidak sah jika sujud atas sesuatu yang bersambung dengan orang yang bersolat kerana ia diumpamakan dengan seseorang yang bersujud di  atas  tangannnya, yakni dengan meletakkan dahinya di atas tangannya ketika sujud. (Lihat Mausu‘ah Ahsan al-Kalam fi al-Fatawa wa al-Ahkam, 3/258)

Apabila diperhatikan, kedua-duanya (tangan dan pakaian) bersambung dengan orang yang sedang bersolat itu, dan kedua-duanya menghalang dahi dari bersentuhan dengan tanah. Jika sujud di atas tangan tidak sah, maka begitulah juga hukumnya jika sujud di atas kain yang bersambung dengan orang yang bersolat seperti telekung.

Kesimpulan

Kami menyimpulkan bahawa pandangan yang mengatakan tidak sah bersujud  di atas telekung adalah pandangan yang benar, dengan erti kata lain ia merupakan pandangan Mazhab al-Syafi‘i. Akan tetapi, jika sebahagian dahinya menyentuh tempat sujud, maka hukumnya tetap sah.

Kami katakan bahawa sesebuah pandangan ahli ilmu tidak akan sewenang-wenangnya dikeluarkan melainkan dengan adanya dalil daripada salah satu sumber utama untuk istinbat (mengeluarkan) hukum iaitu al-Quran, al-Sunnah, Ijma‘ (persepakatan ulama’) dan Qias.

Melihat kepada perincian yang mereka bawakan pula, dapat kita fahami bahawa pandangan ini bukanlah suatu pandangan yang tidak masuk akal kerana ia terbina di atas dalil dan hujjah yang agak kuat.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ احْفَظْ عُلَمَائَنَا وَمَشَايِخَنَا وَزِدْهُمْ رِفْعَةً وَتَوَاضُعًا وَوَحِّدَ كَلِمَتِهِمْ وَاجْعَلْهُمْ دَائِمًا وَأَبَدًا مِنَ اللَّذَيْنِ يَحْفَظُونَ دِينَكَ وَيُدَافِعُونَ عَنْ شَرْعِكَ وَارْزُقْنَا حُبَّهُمْ وَالِاقْتِدَاءَ بِهِمْ وَعَدَمَ الْغُلُوِّ فِيهِمْ

Maksudnya: “Ya Allah, Engkau peliharalah para ulama’ dan guru-guru kami, tambakanlah kemuliaan dan sifat rendah diri, Engkau satukanlah mereka, Engkau jadikanlah mereka senantiasa dan selamanya dari kalangan mereka yang memelihara agama-Mu, serta memperjuangkan syari‘at-Mu, rezekikanlah kami kecintaan kepada mereka dan mengikuti mereka serta tidak melampau (dalam menyanjungi) mereka.”

Wallahu a‘lam

Bertarikh: 27 Julai 2023 bersamaan 9 Muharram 1445 H