Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada satu soalan. Saya diserang penyakit waswas yang semakin teruk yang saya tidak dapat atasi. Saya waswas terhadap cara penyebaran najis hukmiyyah.
Adakah najis hukmiyyah berpindah (jika salah satu medium basah, contohnya tangan yang basah atau berpeluh menyentuh najis hukmiyyah yang telah kering) dan jika ya, perpindahan itu hingga berapa peringkat.
Contohnya, tangan basah yang tersentuh najis hukmiyyah menyentuh meja. Adakah meja itu menjadi najis atau tangan itu sahaja yang wajib dibasuh?
Mohon penjelasan ustaz kerana hal ini terlalu mengganggu saya sehingga saya merasakan semua tempat adalah bernajis. Semoga Allah merahmati ustaz. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Secara umumnya, najis hukmiyyah ialah najis yang tidak kelihatan secara jelas kerana tiada tanda-tanda seperti bau, rasa dan warna. Cara membersihkannya adalah cukup sekadar mengalirkan air pada tempat yang terkena najis tersebut. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 135). Begitu juga Syeikh al-Islam Zakaria al-Ansari turut menyebutkan bahawa contoh najis hukmiyyah adalah seperti air kencing yang telah kering serta tidak dilihat padanya kesan atau sifat-sifatnya. Maka, cara membersihkannya, cukup dengan hanya mengalirkan air padanya sekali. (Lihat Fath al-Wahhab, 1/25).
Seterusnya berkenaan perpindahan najis melalui sentuhan pula, sesuatu najis itu tidak boleh berpindah melainkan dalam keadaan basah/lembap. Dalam erti kata lain, jika benda najis itu dalam keadaan kering, maka ia tidak menajiskan benda-benda lain (yang juga dalam keadaan kering) yang bersentuhan dengannya. Sebagai contoh, jika tangan kita yang kering, menyentuh bahagian yang mengandungi bulu anjing yang dalam keadaan kering, maka tangan kita tidak dikira terkena najis. Hal ini adalah sebagaimana difahami daripada kenyataan Imam al-Nawawi bahawa tidak ada perbezaan di sisi kami — yakni ulama mazhab Syafi‘i — antara jilatan anjing dengan selainnya yang terdiri daripada anggota-anggota anjing. Apabila terkena kencingnya, najisnya, darahnya, peluhnya, bulunya, air liurnya atau mana-mana anggota daripada anggota badannya yang bersih ketika dalam keadaan basah (atau lembap) salah satunya, maka wajib membasuhnya sebanyak tujuh kali basuhan dan salah satu daripada basuhan itu dengan tanah. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 3/185). Dalam erti kata lain, ia hanya akan menajiskan benda lain, jika kedua-duanya atau salah satunya (yakni yang menyentuh dan yang disentuh) dalam keadaan basah dan lembap.
Begitu juga turut dinyatakan dalam Fiqh al-‘Ibadat ‘ala Mazhab al-Syafi‘i (1/179) bahawa jika sesuatu yang najis atau mutanajjis[1] bersentuhan dengan sesuatu yang suci, maka hendaklah dilihat. Sekiranya kedua-duanya — yakni yang bernajis dan yang suci — dalam keadaan kering, maka sesuatu yang najis (atau yang mutanajjis) itu tidak akan memberi sebarang kesan kepada sesuatu yang suci itu. Hal ini adalah berdasarkan kepada kaedah fiqh yang menyebutkan, sesuatu yang kering adalah suci tanpa sebarang khilaf. Namun, jika salah satunya atau kedua-duanya dalam keadaan basah (atau lembap), maka sesuatu yang suci itu akan dikira najis, disebabkan oleh persentuhannya dengan sesuatu yang najis itu.
Dalam menjawab soalan di atas, cukuplah bagi kita untuk mengambil hukum zahir berdasarkan apa yang berlaku. Kaedah mengatakan:
نَحنُ نَحكُمُ بالظَوَاهِرِ واللهُ يَتَوَلَّى السَّرَائِرَ
Maksudnya: “Kita menentukan hukum berdasarkan perkara-perkara yang nyata zahir sedangkan Allahlah yang menguasai perkara-perkara yang rahsia.” (Lihat al-Fath al-Mubin, hlm. 316).
Hal ini kerana hukum asal bagi sesuatu adalah suci sebagaimana kaedah menyebutkan:
الْأَصْلَ فِي الْأَشْيَاءِ الطَّهَارَةُ حَتَّى تَتَحَقَّقَ النَّجَاسَةُ
Maksudnya: “Asal bagi sesuatu adalah suci bersih sehinggalah ternyata kenajisannya.” (Lihat Tarh al-Tathrib fi Syarh al-Taqrib, 2/114).
Tambahan lagi, al-Sa‘di juga ada menyebutkan kaedah:
والأَصْلُ في مِيَاهِنَا الطهارةُ # والأرضُ والثيابُ والحجارةُ
“Asal bagi air kita adalah suci bersih.
Begitu juga tanah, pakaian dan batu.”
Syeikh Hamad bin Abdullah mensyarahkan kaedah ini dengan menyatakan bahawa makna kaedah ini ialah hukum asal bagi air, tanah, pakaian dan batu adalah suci bersih. Dalil yang menunjukkan kepada sucinya air adalah sebagaimana sabda Nabi SAW:
إنَّ الماءَ طهورٌ لا ينجِّسُهُ شيءٌ
Maksudnya: “Sesungguhnya (hakikat) air itu adalah suci dan mensucikan, tidak ada sesuatu pun yang menajiskannya.”
Riwayat Ibn Abi Syaibah dalam Musannafnya (1505)
Oleh sebab itu, hukum asal bagi air laut, air sungai, air mata air dan seumpamanya adalah suci bersih. Justeru, apabila kamu terkena air daripada saluran dan kamu tidak tahu, adakah air tersebut suci bersih ataupun bernajis? Maka, kami katakan kepada kamu: “Sesungguhnya hukum asal bagi air adalah suci bersih dan atas sebab itulah, kamu tidak diwajibkan untuk membersihkan pakaian kamu daripadanya.”
Begitu juga jika kamu menjumpai sebuah bekas dan di dalamnya terdapat air, maka kamu boleh berwuduk dan mandi dengan menggunakan air tersebut. Jika dikatakan kepada kamu: “Mungkin ia bernajis?” Maka kita katakan: “Sesungguhnya hukum asal bagi air adalah suci.”
Demikianlah juga tanah. Maka kamu boleh mendirikan solat di mana-mana bahagian bumi (tanah) yang tidak diketahui kenajisannya. Oleh sebab itu, Nabi SAW bersabda:
الأرضُ كلُّها مسجِدٌ إلّا المقبرةَ والحمّامَ
Maksudnya: “Bumi kesemuanya adalah masjid (tempat sujud) melainkan perkuburan dan tempat mandi.”
Riwayat Abu Daud (492); al-Tirmizi (317); Ibn Majah (745); Ahmad (11805)
Rasulullah SAW bersabda:
وَجُعِلَتْ لِي الأَرْضُ مَسْجِدًا وَطَهُورًاً
Maksudnya: “Dijadikan kepada aku bumi sebagai tempat sujud dan tanahnya untuk bersuci.”
Riwayat al-Bukhari (438)
Begitu juga pakaian. Sekiranya kamu mendapati suatu pakaian yang kamu tidak tahu sama ada ia terkena najis ataupun tidak. Maka, dalam hal ini kamu boleh memakai pakaian tersebut dan mendirikan solat dengan memakainya, sekalipun pakaian itu daripada orang kafir kerana hukum asal bagi pakaian adalah suci bersih.
Begitulah juga, bagi pakaian orang kafir yang telah digunakan, harus untuk kita solat dengan memakainya, selama mana kita tidak mengetahui akan kenajisannya. Walau bagaimanapun, membasuhnya terlebih dahulu adalah lebih baik dan afdhal — kerana keluar daripada khilaf itu adalah lebih dianjurkan. (Lihat Syarh Manzumah al-Qawaid al-Fiqhiyyah li al-Sa‘di, 3/3).
Oleh itu, secara asasnya, seseorang tidak perlu membasuh tangan yang menyentuh mana-mana tempat seperti meja dan lain-lain sekalipun dalam keadaan lembap/basah selagimana tidak bukti yang menunjukkan bahawa kawasan yang disentuh itu terdapat padanya kesan-kesan najis seperti bau hancing dan seumpamanya. Ini bertepatan dengan kaedah:
اليَقِين لَا يُزَالُ بِالشَّكّ
Maksudnya: “Keyakinan itu tidak dihilangkan disebabkan oleh syak (ragu-ragu).”
Dalam mensyarahkan makna kaedah ini sebahagian ulama berkata: Sekiranya seseorang itu telah memastikan akan sesuatu, kemudian dia berasa syak adakah perkara yang dipastikan itu telah hilang ataupun tidak, maka asasnya adalah masih kekal perkara yang dipastikan itu (hukum asal). (Lihat Syarah al-Qawa‘id al-Fiqhiyyah, hlm. 45).
Kemudian, berkenaan cara-cara untuk mengatasi waswas. Kami pernah menulis berkenaannya dalam artikel kami, dalam Ahkam Syar‘iyyah yang bertajuk: #764: Cara Atasi Was Was.[2] Justeru, bolehlah merujuk kepada artikel tersebut.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Wallahu a‘lam.
[1] Sesuatu yang terkena najis.
[2] Lihat https://maktabahalbakri.com/764-cara-atasi-was-was/. Diakses pada 21 Julai 2023.
Bertarikh: 27 Julai 2023 bersamaan 9 Muharram 1445 H