#2408: Mencampur Adukkan Mazhab

Soalan:

Assalamualaikum. Saya ingin bertanya bolehkah kita mencampur amalan dari berberapa mazhab? Seperti contoh, kita menetap di Malaysia dan mengikut Mazhab Syafie yang mengatakan seluruh anggota adalah aurat kecuali muka dan tapak tangan. 

Bila travel ke luar negara, saya lihat ramai wanita solat dengan kaki tidak ditutupi. Ada juga orang yang saya temui yang mengatakan kaki bukan anggota aurat atau tidak batal wuduk jika bersentuhan dengan bukan mahram tanpa nafsu. Ada juga mengatakan boleh membaca al quran seperti biasa walaupun semasa datang haid. 

Begitu juga dengan ada yang mendakwa tidak perlu melakukan tawaf wida ketika umrah. Adakah kita perlu mendalami ilmu berkaitan mazhab sebelum memutuskan mahu mengikuti amalan yang dirasakan betul atau kita boleh mencampurkan sahaja mengikut hati? Boleh bagi penjelasan? Terima kasih.

 

Jawapan:

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

 

Definisi Mazhab

Ibn Manzur menjelaskan bahawa mazhab dari sudut bahasa ialah suatu pegangan yang diikuti. (Lihat Lisan al-‘Arab, 3/1152) Selain itu, mazhab dari sudut bahasa juga boleh ditakrifkan sebagai tempat pergi (مَوْضِعُ الذّهَاب). (Lihat Ghamz ‘Uyun al-Basa’ir fi Syarh al-Asybah wa al-Nazha’ir, 1/40) Syeikh al-Marbawi dalam Kamus al-Marbawi pula menjelaskan, mazhab dari segi bahasa ialah tempat untuk berjalan ataupun jalan itu sendiri. Dalam istilah bahasa Melayu, menurut Kamus Dewan, mazhab ditakrifkan sebagai cabang ajaran Islam yang diikuti oleh umat Islam, iaitu mazhab Syafi’i, Hanafi, Hanbali dan Maliki.

Mazhab menurut istilah adalah hukum-hukum Syar’i yang bersifat far’i dan ijtihadi, yang dihasilkan daripada dalil-dalil yang bersifat zhanni oleh seorang mujtahid secara khusus. (Lihat Ghamz ‘Uyun al-Basa’ir fi Syarh al-Asybah wa al-Nazha’ir, 1/40)

 

Isu berkenaan mazhab ini, telah kami jelaskan dalam artikel sebelum ini:

#218: Gabung Mazhab dalam Satu Jenis Ibadah[1]

#616: Taqlid Orang Awam kepada Mazhab Tertentu[2]

#1584: Tidak Mengikut Mazhab Lain[3]

#1985: Tengok Aurat Wanita Mazhab Lain[4]

#2028: Semua 4 Mazhab Terangkum Di Dalam Al-Quran?[5]

#631: Status Aurat Kaki Wanita[6]

 

Berbalik kepada soalan di atas, kami nyatakan setiap mazhab mempunyai pandangan masing-masing yang mana tidak salah, disebabkan mereka mempunyai dalil dan hujah yang kuat. Mereka mengkaji dan menggali daripada dua sumber utama ini untuk mengistinbat dan istidlal hukum-hakam yang diputuskan. Ini berdasarkan kemampuan yang ada pada mereka serta wijhatun nazar (sisi pandang yang berlainan).

Oleh itu, kami dapati semua mazhab yang 4 sentiasa menjadikan al-Quran dan sunnah sebagai rujukan utama selain daripada ijma’ dan qiyas serta beberapa hukum yang menjadi khilaf seperti istihsan, istishab, masalih mursalah, ‘uruf, qaulu sahabi, syar’u man qablana, dan banyak lagi. 

Justeru itu, kami nyatakan sebelum mengamalkan sesuatu mazhab, kita perlu memahami dan mempelajari terlebih dahulu agar sesuatu ibadat yang dilakukan itu tidak bercanggah dari landasan sebenar. Di sini kami nyatakan seperti berikut:

Pertama: Jika ianya bertujuan untuk Tatabbu’ al-Rukhas (menurut yang lebih mudah), maka seharusnya dielakkan. Tatabu’ al-Rukhas yang dimaksudkan di sini adalah mengambil jalan/pendapat yang mudah dalam satu-satu permasalahan fiqh khususnya tanpa melalui proses pentarjihan yang syar’ie serta mengikut hawa nafsu. Al-Imam Ibn Abd al-Bar dan al-Imam Ibn Hazm mengatakan perbuatan ini dilarang secara ijma’. Turut berpendapat bahawa tatabu’ al-Rukhas ini ditegah perbuatannya adalah al-Imam al-Ghazali, al-Imam al-Nawawi, al-Imam Ibn al-Qayyim dan juga al-Imam al-Syatibi.

Kedua: Sekiranya terdapat hadith yang sahih berserta kefahaman yang benar terhadap hadith tersebut, maka ianya boleh diamalkan. Ini sepertimana yang selalu disandarkan kepada al-Imam al-Syafi’e Rahimahullah yang mana beliau menyebutkan:

إذَا صَحَّ الْحَدِيثُ فَهُوَ مَذْهَبِي

Maksudnya:Jika sahih sesuatu hadith itu, maka itulah mazhabku.” (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 15/461; Tuhfah al-Muhtaj, 1/54 dan Mughni al-Muhtaj, 1/110)

Ketiga: Mengikuti satu mazhab serta mendalaminya, kami fikir lebih utama untuk diamalkan bagi melihat keseragaman dan juga keluar dari khilaf di pandangan orang lain yang mana boleh menimbulkan persepsi, selagi mana perkara tersebut bertunjangkan al-Quran dan al-Sunnah.

Oleh itu, kami nasihatkan agar saudari mengikut mazhab yang dipegang oleh masyarakat setempat seperti contohnya di Malaysia yang mengamalkan mazhab Syafie. Hal ini bagi mengelakkan pencampuran mazhab sehingga menyebabkan suatu syariat itu dilaksanakan mengikut hawa nafsu.

 

[1] https://maktabahalbakri.com/gabung-mazhab-dalam-satu-jenis-ibadah/

[2] https://maktabahalbakri.com/taqlid-orang-awam-kepada-mazhab-tertentu/

[3] https://maktabahalbakri.com/1583-tidak-mengikut-mazhab-lain/

[4] https://maktabahalbakri.com/1985-tengok-aurat-wanita-mazhab-lain/

[5] https://maktabahalbakri.com/2028-semua-4-mazhab-terangkum-di-dalam-al-quran/

[6] https://maktabahalbakri.com/status-aurat-kaki-wanita/

Bertarikh: 28 Julai 2023 bersamaan 10 Muharram 1445 H