#2410: Tempoh Rasulullah SAW Berhijrah ke Madinah

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ada persoalan, berapa hari sebenarnya Rasulullah SAW berhijrah dari Makkah ke Madinah?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَقُل رَّبِّ أَدْخِلْنِي مُدْخَلَ صِدْقٍ وَأَخْرِجْنِي مُخْرَجَ صِدْقٍ وَاجْعَل لِّي مِن لَّدُنكَ سُلْطَانًا نَّصِيرًا

Maksudnya: “Dan pohonkanlah (wahai Muhammad, dengan berdoa): ‘Wahai Tuhanku! Masukkanlah daku ke dalam urusan agamaku dengan kemasukan yang benar lagi mulia, serta keluarkanlah daku daripadanya dengan cara keluar yang benar lagi mulia; dan berikanlah kepadaku dari sisiMu hujah keterangan serta kekuasaan yang menolongku’.”

(Surah al-Isra’: 80)

Terdapat banyak riwayat yang thabit berkenaan hijrah, antaranya riwayat Ibn ‘Abbas R.Anhuma katanya:

بُعِثَ رَسُولُ اللَّهِ ﷺ لِأَرْبَعِينَ سَنَةً، فَمَكُثَ بِمَكَّةَ ثَلاَثَ عَشْرَةَ سَنَةً يُوحَى إِلَيْهِ، ثُمَّ أُمِرَ بِالهِجْرَةِ فَهَاجَرَ عَشْرَ سِنِينَ، وَمَاتَ وَهُوَ ابْنُ ثَلاَثٍ وَسِتِّينَ

Maksudnya: “Nabi SAW dilantik menjadi rasul pada usia 40 tahun dan baginda tinggal di Makkah selama 13 tahun (dalam menyampaikan dakwahnya). Kemudian, baginda menerima wahyu daripada Allah SWT dan diperintahkan agar berhijrah. Maka baginda SAW berhijrah dan menetap di sana selama 10 tahun lalu wafat ketika berusia 63 tahun.” 

Riwayat al-Bukhari (3902)

Berkenaan hijrah Rasulullah SAW, majoriti ulama’ mengatakan bahawa Rasulullah SAW mula berhijrah pada tahun ke 13 Baginda diutuskan menjadi Rasul, ketika Baginda berusia 53 tahun. Manakala  tarikh khusus bermulanya hijrah Rasulullah SAW, maka terdapat perbezaan pendapat di kalangan para sejarawan Islam. Sebahagian mereka mengatakan Baginda SAW berhijrah pada bulan Safar, dan sebahagian lainnya mengatakan pada bulan Rabi‘ al-Awwal. Ibn Abi al-Izz al-Hanafi bersenandung di dalam syairnya yang berbunyi:

………….ثُمَّ هَجَرْ      مَكَّةَ يَوْمَ اثْنَيْنِ مِنْ شَهْرِ صَفَرْ

فَجَاءَ طَيْبَةَ الرِّضَا يَقِينَا      إِذْ كَمَّلَ الثَّلَاثَ وَالْخَمْسِينَا

“Kemudian Baginda berhijrah

         daripada Makkah pada hari Isnin di bulan Safar.

Maka telah datang ke Madinah orang yang diyakini mendapat keredaan Allah (Rasulullah SAW),

         ketika Baginda berusia 53 Tahun.”

Syeikh Abdul Razzaq al-Badr berkata ketika mensyarahkan rangkap syair yang pertama: “Ini (bulan Safar) merupakan satu pandangan, dan dikatakan juga hijrah berlaku pada bulan Rabi‘ al-Awwal.” (Lihat Syarh al-Urjuzah al-Mi’iyyah, hlm. 51)

Imam Ibn Kathir mengatakan: “Dan hijrah Nabi SAW berlaku pada bulan Rabi‘ al-Awwal, tahun ke 13 setelah perutusan baginda SAW sebagai rasul dan ia berlaku pada hari Isnin.” (Lihat al-Bidayah wa al-Nihayah, 4/443)

Ini sebagaimana yang diriwayatkan daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma, katanya:

وُلِدَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَوْمَ الِاثْنَيْنِ وَاسْتُنْبِئَ يَوْمَ الِاثْنَيْنِ وَتُوُفِّيَ يَوْمَ الِاثْنَيْنِ وَخَرَجَ مُهَاجِرًا مِنْ مَكَّةَ إِلَى الْمَدِينَةِ يَوْمَ الِاثْنَيْنِ وَقَدِمَ الْمَدِينَةَ يَوْمَ الِاثْنَيْنِ وَرَفَعَ الْحَجَرَ الْأَسْوَدَ يَوْمَ الِاثْنَيْنِ

Maksudnya: “Nabi SAW dilahirkan pada haari Isnin, diutuskan sebagai Nabi pada hari Isnin, wafat pada hari Isnin, keluar berhijrah dari Makkah ke Madinah pada hari Isnin, dan tiba di Madinah pada hari Isnin, dan mengangkat al-Hajar al-Aswad pada hari Isnin.”

Riwayat Ahmad (2502)

Ibn Hajar al-‘Asqalani menukilkan daripada al-Hakim, katanya bahawa perkhabaran berkenaan Baginda SAW keluar dari Makkah dan masuk ke Madinah pada  hari Isnin adalah perkhabaran yang mutawatir. (Lihat Fath al-Bari, 7/236)

Al-Mubarakfuri pula mengisahkan bahawa, Rasulullah SAW meninggalkan rumah Baginda  untuk berhijrah pada malam ke 27 bulan Safar, tahun ke 14 kenabian, bersamaan 12 atau 13 September tahun 622 Masihi. Menukilkan daripada kitab Rahmatan lil al-‘Alamin, disebutkan bahawa hijrah pada tahun 14 kenabian jika kiraan tahun dibuat bermula dengan bulan Muharram. Jika kiraan tahun dibuat bermula dengan bulan Baginda diutuskan menjadi Nabi, maka benarlah hijrah tersebut berlaku pada bulan Safar tahun ke 13 kenabian. (Lihat al-Rahiq al-Makhtum, hlm. 148; Rahmatan lil al-‘Alamin, 1/95)

Munasabahnya kami memulakan perbincangan ini dengan tarikh bermulanya hijrah Rasulullah SAW kerana tiada nas yang khusus disebutkan oleh sejarawan Islam berkenaan tempoh hijrah Baginda SAW dari Makkah ke Madinah. Adapun yang dapat kami temukan, sejarawan seperti al-Mubarakfuri dan lain-lainnya ada menyebutkan tarikh setiap peristiwa yang berlaku ketika Rasulullah SAW bermusafir.

Al-Mubarakfuri menyebutkan bahawa Rasulullah SAW di Gua Thaur selama 3 malam, iaitu malam Jumaat, Sabtu dan Ahad. Pada malam Isnin, bersamaan 16 September tahun 622 Masihi, Abdullah bin Uraiqit datang dengan membawa 2 tunggangan untuk Rasulullah SAW dan juga Abu Bakar R.A. Ketika itu juga datang beberapa orang sahabat yang membawa bekal untuk Rasulullah SAW dan Abu Bakar, antara mereka adalah Asma’ binti Abu Bakar dan ‘Amir bin Fuhairah R.Anhum. Kemudian, ‘Amir bersama dengan Rasulullah SAW dan Abu Bakar meneruskan perjalanan hijrah mereka.

Rasulullah SAW kemudiannya tiba di Quba’ pada hari Isnin, hari ke 8 bulan Rabi‘ al-Awwal, bersamaan 23 September 622 Masihi. Baginda SAW bertandang di penempatan Bani Amr bin ‘Auf sehingga hari Khamis, dan sepanjang tempoh 4 hari tersebut Baginda SAW membina masjid di sana. Pada hari Jumaat, bertarikh 12 Rabi‘ al-Awwal, Baginda SAW bergerak meneruskan perjalanan sehinggalah masuknya waktu solat Jumaat. Baginda berhenti di kawasan penempatan Bani Salim bin ‘Auf dan menunaikan solat bersama 100 orang, dan itu merupakan solat Jumaat pertama dalam Islam. Usai mendirikan solat Jumaat, barulah Baginda SAW meneruskan perjalanan ke Madinah. (Lihat al-Rahiq al-Makhtum, hlm. 149-156; Sirah Nabawiyyah, 1/433; Tabaqat al-Kubra, 3/456; Zad al-Ma‘ad, 1/115; Dala’il al-Nubuwwah, 2/500; Sirah Ibn Hisyam, 2/108)

Sebahagian kita mungkin akan keliru jika kurang memahami kisah ini dengan baik kerana seakan-akan ia bertentangan dengan riwayat yang menyatakan bahawa Rasulullah SAW masuk ke Madinah pada hari Isnin. Sebagai pencerahan, Quba’ merupakan sebuah tempat yang terletak kira-kira 2 batu atau lebih kurang 3 kilometer dari Yathrib (nama lama bagi Madinah, tapak dibinanya Masjid Nabawi), dan Quba’ merupakan salah satu kawasan di dalam al-Madinah al-Munawwarah.[1] Maka kisah yang dibawakan oleh al-Mubarakfuri ini tidaklah bercanggah dengan riwayat yang disebutkan di atas.

Berdasarkan kiraan mengikut tarikh bermula keluarnya Rasulullah SAW daripada Makkah (27 Safar) sehingga tibanya di Yathrib (12 Rabi‘ al-Awwal), tempoh perjalanan yang diambil Baginda SAW kira-kira 15 hari. Jika kita hanya mengambil kira tempoh Baginda SAW daripada Makkah (27 Safar) ke Quba’ (8 Rabi‘ al-Awwal), maka tempoh perjalanan yang diambil kira-kira 12 hari sahaja.

Sekiranya kiraan mengikut tarikh mula bergeraknya Rasulullah SAW daripada Gua Thaur (1 Rabi‘ al-Awwal) sehingga tibanya di Yathrib (12 Rabi‘ al-Awwal), tempoh perjalanan yang diambil Baginda SAW kira-kira 12 hari. Jika kita mengambil kira bermula bergeraknya Rasulullah SAW daripada Gua Thaur (1 Rabi‘ al-Awwal) sehingga Quba’ (8 Rabi‘ al-Awwal), maka tempoh perjalanan yang diambil kira-kira 8 hari sahaja.

Kesimpulan

Berdasarkan ringkasan kisah yang kami bawakan, semua kiraan berkenaan tempoh hijrah Rasulullah SAW dibuat berdasarkan tarikh-tarikh yang telah disebutkan oleh sejarawan Islam. Meskipun begitu, tidaklah kami katakan bahawa semua kiraan tempoh ini adalah kiraan yang tepat kerana masih terdapat pandangan lain berkenaan tempoh menetapnya Rasulullah SAW di Quba’.

Berkenaan tempoh Rasulullah SAW ini masih terbuka kepada perbahasan kerana terdapat perbezaan pendapat berkenaan tempoh menetap Baginda SAW di Quba’. Untuk mendapatkan maklumaat yang lebih terperinci dengan ulasan yang lebih teliti, boleh dapatkan tulisan kami yang berjudul Garis Masa Hayat al-Rasul SAW edisi kemas kini pada Jun 2023.

Wallahu a‘lam

[1] Lihat https://ms.wikipedia.org/wiki/Masjid_Quba. Diakses pada 21 Julai 2023.

Bertarikh: 28 Julai 2023 bersamaan 10 Muharram 1445 H