#2414: Laluan Hijrah Rasulullah SAW

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan secara ringkas laluan yang dilalui Rasulullah SAW semasa hijrah Baginda SAW ke kota Madinah?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Bagi menjawab persoalan di atas, kami terangkan dengan ringkas berkenaan perjalanan hijrah Rasulullah SAW daripada kota Makkah ke kota Madinah seperti berikut:

Pada malam 27 Safar tahun ke-14 kenabian, Rasulullah SAW bergerak keluar daripada rumahnya, menuju ke rumah Abu Bakar al-Siddiq dan berjalan keluar dari kota Makkah menuju ke kota Madinah. Selepas berjalan beberapa lama, mereka sampai ke gua Thaur dan bermalam di sini selama 3 malam. 

Kemudian, Baginda Rasulullah SAW dan Abu Bakar RA meneruskan perjalanan melalui Hudaibiyah, kota Asfan dan Khulais. Beliau berhenti seketika di perkampungan Ummu Ma’bad dan sempat meminum susu kambing di sana dan meneruskan lagi perjalanan ke al-Juhfah sebelum meneruskan perjalanan mereka

Pada 8 Rabi’ul Awwal bersamaan 23 September 622 M, Rasulullah SAW tiba di Quba’. Di sinilah masjid pertama yang dibina oleh Rasulullah SAW dan juga masjid pertama yang dibina di dalam sejarah Islam dan ia dinamakan sebagai Masjid Quba.

4 hari kemudian, pada 12 Rabi’ul Awwal bersamaan 27 September 622 M, Rasulullah SAW tiba di kota Madinah al-Munawwarah dan Rasulullah SAW disambut oleh penduduk Madinah dengan penuh kegembiraan dan keyukuran.

Gambar rajah perjalanan hijrah Rasulullah SAW ada terdapat di dalam buku kami Garis Hayat al-Rasul SAW, hlm. 73

Akhir kalam, marilah sama-sama kita berdoa semoga Allah SWT kurniakan kepada kita kebaikan di dunia dan di akhirat dan diberi kemudahan dalam kehidupan:

اللَّهُمَّ لَا سَهْلَ إلا ما جَعَلْتَهُ سَهْلاً، وَأَنْتَ تَجْعَلُ الْخَزْنَ إِذَا شِئْتَ سَهْلاً

Maksudnya: “Ya Allah! Tiada kemudahan kecuali apa yang Engkau jadikannya sebagai kemudahan. Dan Engkaulah yang menjadikan perkara yang sukar itu jika Engkau kehendaki dengan kemudahan.” 

Riwayat al-Baihaqi dalam al-Da’awat al- Kabir (265), Ibn Hibban (974) dan Ibn al-Sunni dalam ‘Amal al-Yaum wa al- Lailah (351)

Bertarikh: 28 Julai 2023 bersamaan 10 Muharram 1445 H