#2415: Tujuan Memberi Salam Dalam Solat

Soalan:

Assalamualaikum Dato’, saya ingin bertanya berkaitan dengan memberi salam pada akhir solat. Saya tertanya-tanya apakah maksud salam tersebut? Kalau memberi salam ketika berjumpa orang maksud kita mendoakan kesejahteraan beliau. Tetapi adakah memberi salam di akhir solat itu membawa maksud kita memberi salam kepada Rasul SAW kerana baru sahaja selesai selawat keatas Baginda SAW ketika tahiyyat Akhir tadi atau ada membawa maksud selain itu? Dan kenapa memberi salam ke kanan dan kekiri selain perbuatan itu adalah sunnah Baginda SAW, apakah maksud salam itu ustaz. Terima kasih merungkaikan pertanyaan saya.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Solat yang sah dan sempurna adalah yang memenuhi rukun-rukun serta syarat-syaratnya. Rukun adalah bahagian yang asas bagi sesuatu perkara. Contohnya dinding bagi sesebuah bilik. Oleh itu bahagian-bahagian solat adalah rukun-rukunnya. Solat tidak akan sempurna dan tidak sah kecuali dengan menyempurnakan kesemua bahagiannya mengikut cara dan susun atur yang datang daripada Rasulullah SAW sebagaimana yang diterimanya daripada Jibril AS. Semua rukun solat dapat kita rumuskan kepada 13 perkara. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/141)

Memberi salam yang pertama adalah termasuk di dalam rukun solat kategori qauliyyah. Ianya dinamakan sebagai qauliyyah kerana disyaratkan kepada orang yang solat bagi melafazkan sebutannya yang didengari dirinya sendiri. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 208)

Memberi salam yang pertama adalah wajib berdasarkan sabda Nabi Muhammad SAW:

مِفتاحُ الصَّلاةِ الطُّهورُ، وتحريمُها التَّكبيرُ، وتحليلُها التَّسليمُ

Maksudnya: “Kunci solat (tanpanya solat tidak sah) adalah bersuci (berwudhuk), pengharamannya (haram daripada melakukan perbuatan-perbuatan lain) adalah ketika bertakbir (takbirat al-Ihram) dan penghalalannya (halal untuk melakukan perbuatan-perbuatan lain) adalah setelah memberi salam.”

Riwayat Abu Daud (618) dan al-Tirmizi (238). Hadith ini dinilai hasan lighairihi oleh Syeikh Syu’aib al-Arna’uth.

Dalam menjelaskan hadis ini, Imam Nawawi berkata: “Kesimpulannya, memberi salam adalah merupakan rukun daripada rukun-rukun solat. Tidak sah sesuatu solat itu melainkan dengannya. Dan tidak ada yang dapat mengambil tempatnya (menggantikannya). Sekurang-kurangnya hendaklah dia menyebut lafaz salam (السَّلَامُ عَلَيْكُمْ). Sekiranya dia kurang satu huruf daripada huruf-hurufnya ini, tidak sah salamnya itu.” (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 3/475)

Lafaz salam yang paling ringkas adalah (السَّلَامُ عَلَيْكُمْ) sebanyak sekali, dan yang sebaik-baiknya ialah (السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ) sebanyak dua kali, iaitu pada kali pertama sambil berpaling ke kanan dan pada kali kedua pula berpaling ke kiri. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/141; al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie, 1/300; Mughni al-Muhtaj, 1/385 dan Raudhah al-Talibin, 1/267-268)

Hal ini adalah berdasarkan hadis, daripada Sa’d bin Abi Waqqas RA :

كُنْتُ أَرى رَسولَ اللهِ ﷺ يُسَلِّمُ عن يَمِينِهِ، وَعَنْ يَسارِهِ، حتّى أَرى بَياضَ خَدِّهِ.

Maksudnya: “Aku melihat Rasulullah SAW mengucapkan salam ke kanan dan ke kirinya hingga kelihatan putih pipinya.

Riwayat Muslim (582)

Menjawab bagi persoalan di atas kami katakan, salam merupakan salah satu rukun daripada rukun-rukun solat yang mana sekiranya meninggalkannya maka tidak sah lah solat seseorang itu. Yang demikian sebagaimana hadith yang telah kemi terangkan di atas. Adapun soalan apakah tujuan dan maksud salam tersebut? Maka kami katakan salam tersebut adalah bertujuan untuk tiga perkara iaitu :

  • Keluar daripada solat
  •  Memberi salam kepada malaikat yang berada di kanan dan kiri (Raqib dan Atid)
  • Memberi salam kepada saudara seislam yang sama-sama mengerjakan solat

Imam al-Nawawi menyebut: Imam melakukan salam  yang pertama bertujuan memberi salam kepada orang yang berada di sebelah kanannya dan kepada  malaikat sebelah kanan . Imam juga berniat  melakukan salam kedua dengan memberi salam kepada orang yang berada di sebelah kirinya dan kepada malaikat yang berada di sebelah kiri. Sementara itu, bagi yang berjemaah mereka memberi salam yang pertama bertujuan untuk keluar dari solat , memberi salam kepada Imam, para malaikat, dan para jemaah yang berada di sekelilingnya iaitu di barisan belakang, di sampingnya, dan di hadapannya. Mereka juga melakukan salam kedua bertujuan  memberi salam kepada malaikat dan para jemaah yang berada di sekelilingnya. (Lihat al-Muhazzab,1/152)

Ibn Uthaimin menyatakan: Sekiranya dia mempunyai jemaah maka salam itu adalah ke atas mereka, sekiranya dia bersendirian maka salam itu adalah ke atas malaikat yang berada kiri dan kanan. (Lihat Syarh al-Mumti’, 3/208)

Justeru kami katakan, ibadah solat ini merupakan ibadah yang  berbentuk tauqifiyyah dan kita dituntut untuk melakukan solat sebagaimana yang telah diajar oleh Rasulullah SAW.

Diriwayatkan daripada  Malik bin al-Huwairith bahawa Rasulullah SAW bersabda:

صَلُّوا كما رَأَيْتُمُونِي أُصَلِّي

Maksudnya:Solatlah sepertimana kamu semua melihat aku solat.

Riwayat al-Bukhari (6008)

Semoga Allah memberi kefahaman yang jelas dalam melakukan ibadat kepadanya dan kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”

(Surah Ibrahim: 40)

Wallahua’lam

Bertarikh: 28 Julai 2023 bersamaan 10 Muharram 1445 H