#2419: Pemindahan Kepala (Head Transplant)

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri.  Apakah hukum pemindahan kepala (head transplant) ke badan lain? Adakah ia dibenarkan? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan menceritakan serba sedikit latar belakang pemindahan kepala atau head transplant ini. Ia mungkin kedengaran seperti sesuatu dari fiksyen sains, tetapi apabila sains perubatan semakin maju, mungkin suatu hari nanti ada peranan untuk pembedahan pemindahan kepala. Pemindahan kepala secara teorinya akan melibatkan pembedahan menggantikan kepala seseorang yang menghidap penyakit terminal dan menyambungkan saluran darah, otot, trakea dan esofagus mereka dengan struktur badan penderma tersebut. Prosedur pemindahan kepala yang dicadangkan baru-baru ini juga melibatkan penggabungan saraf tulang belakang penerima dan penderma.

Selepas pembedahan tulang belakang dan terapi fizikal boleh memulihkan fungsi saraf (deria) dan fungsi motor. Walau bagaimanapun, fungsi lain seperti bernafas dan makan perlu disokong sementara waktu oleh ventilator dan tiub suapan sebelum sambungan antara otak dan badan dapat pulih dengan secukupnya. Bersama-sama dengan ketidakpastian manfaat perubatan pemindahan kepala, terdapat juga kemungkinan risiko yang berkaitan dengan prosedur, termasuk sakit neuropatik kronik, penolakan badan penderma dan ketoksikan organ imunosupresan.

Memandangkan kaedah pembedahan telah menjadi lebih tepat dan konsisten, prosedur seperti pemindahan tisu dan organ serta penyambungan semula (menyambungkan semula bahagian badan yang terputus) mempunyai kadar kejayaan yang agak tinggi. Dengan lebih satu abad kemajuan dalam pemindahan organ, sesetengah pesakit dan pakar bedah telah mula melihat pemindahan kepala sebagai penyelesaian yang berpotensi untuk penyakit progresif yang terminal dengan masa tetapi tidak memberi kesan kepada fungsi otak.

Terdapat kejayaan yang terhad dalam prosedur pemindahan kepala yang dilakukan pada tikus, anjing dan monyet. Ramai pakar bedah telah mengkritik tahap kejayaan semasa yang telah dicapai dalam model haiwan. Selain itu, komuniti perubatan telah mempersoalkan sama ada teknik itu sudah cukup dibangunkan untuk melakukan pemindahan kepala secara praktikal atau beretika pada subjek manusia. Keberkesanan menggunakan badan penderma untuk satu penerima dan bukannya pemindahan pelbagai organ juga telah dipertikaikan. Pakar Bedah Sergio Canavero dan Xiaoping Ren, antara lain, merancang untuk mencuba pemindahan kepala manusia pertama pada tahun-tahun akan datang.

Sukar untuk menjangka siapa yang mungkin atau mungkin tidak sesuai sebagai calon yang ideal untuk pemindahan kepala. Kriteria pengecualian ini akan dirangka sebaik sahaja prosedur dilaksanakan dan potensi risiko untuk komplikasi dan kegagalan lebih difahami. Seperti yang dinyatakan, keabnormalan yang menjejaskan otak mungkin menjadi kriteria pengecualian. Seseorang yang menjalani pemindahan kepala perlu mempunyai banyak sokongan sosial, termasuk penjagaan perubatan berterusan dan bantuan untuk menjalani aktiviti kehidupan seharian, selama berbulan-bulan jika tidak bertahun-tahun. Kos yang berkaitan dengan prosedur itu sendiri juga berkemungkinan besar, dan sebagai satu kaedah percubaan pada mulanya, ia mungkin tidak termasuk di bawah perlindungan oleh insurans kesihatan.

Belum ada pemindahan kepala yang pernah dilakukan ke atas seseorang. Namun begitu, pakar bedah yang berminat untuk melaksanakan prosedur tersebut telah menyediakan protokol yang merancang langkah pemindahan kepala untuk masa hadapan. Walau bagaimanapun, terdapat banyak kritikan oleh pakar perubatan lain tentang kepentingan atau kaitan penyelidikan eksperimen yang disebut dalam protokol yang dicadangkan untuk pemindahan kepala manusia ini kerana contoh-contoh kes pembedahan yang ditetapkan dan telah dilakukan ke atas haiwan tidak selalunya boleh digunakan untuk pembedahan manusia.

Banyak alat dan teknik yang dirancang, seperti transeksi saraf tunjang, fusogens kimia (agen yang membolehkan sel bergabung bersama), dan rangsangan saraf tunjang masih belum dikaji dengan baik untuk kegunaannya yang relevan dalam pemindahan kepala manusia.[1]

Tambahan lagi, dalam banyak eksperimen, kepala penerima tidak dialih keluar, tetapi pada yang lain ia telah dikeluarkan. Eksperimen terhadap haiwan bermula pada awal 1900-an. Sehingga 2023, tiada kejayaan yang berkekalan telah dicapai.[2]

Seterusnya, berkenaan hukum derma organ, para ulama berbeza pendapat mengenainya. Ada yang tidak bersetuju dan ada juga dalam kalangan mereka yang mengharuskannya. Kami telah menjawabnya dalam artikel kami, #23: Derma Organ dan Tisu.[3] Ringkasnya, dalam artikel tersebut, kami berpendapat bahawa hukum pendermaan organ dan tisu adalah harus dan amat digalakkan, berpandukan kepada syarat-syarat yang telah digariskan. Pada asasnya, terdapat empat syarat sebagaimana berikut:

  1. Hendaklah orang yang diambil sebahagian daripada anggotanya itu telah memberi keizinan sebelum kematiannya dan dia ialah seorang yang berakal waras, sudah baligh dan tidak ada paksaan atau telah diizinkan oleh walinya setelah kematiannya.
  2. Hendaklah terbukti dan meyakinkan bahawa pemindahan itu akan berhasil pada umumnya.
  3. Hendaklah dipastikan bahawa pemindahan itu semata-mata untuk tujuan perubatan dan bukan untuk maksud atau tujuan lain.
  4.   Tidak ada unsur kontrak jual beli dalam pemindahan organ tersebut.

Pendapat ini juga adalah selari dengan pendapat yang dipegang oleh sebahagian ulama seperti Syeikh Hasanain Makhlouf, Syeikh Jad al-Haq ‘Ali Jad al-Haq, Syeikh ‘Abd al-Rahman al-Sa‘di, Syeikh Ibrahim al-Ya’qubi, Dr. Ahmad Sharafuddin, Dr. Rauf al-Shalabi dan ramai lagi. Selain itu juga, institusi-institusi fatwa seluruh dunia seperti Majlis Ugama Islam Singapura, Majlis Ulama Besar Arab Saudi, Majlis Fatwa Kuwait, Majma’ al-Fiqh al-Islami, Majma’ al-Fiqh al-Islami al-Hind, The Islamic Shariah Council UK termasuk Malaysia menghukumkan ia harus dengan syarat-syarat yang telah digariskan.

Hukum pemindahan kepada (head transplant)

Berbalik kepada soalan yang diajukan, sekalipun majoriti ulama berpendapat perdermaan organ adalah diharuskan tetapi terdapat beberapa jenis organ yang mereka berselisih pendapat mengenainya sama ada boleh didermakan atau tidak, begitu juga organ yang tidak boleh untuk didermakan.  Sebagaimana yang telah dijelaskan, pemindahan kepala ini melibatkan cantuman kepala satu organisma ke badan organisma lain. Jadi, badan organisma tersebut pasti mengandungi organ-organ yang lengkap seperti organ pernafasan, organ pencernaan, organ reproduktif dan lain-lain.

Justeru, secara tidak langsung pemindahan itu juga merangkumi pemindahan testis. Secara ringkas, pemindahan testis adalah tidak diharuskan secara mutlak. Ini adalah pendapat Dr. Muhammad Tayyib al-Najjar (Ketua Markas Sirah dan Sunnah Nabawiyyah Antarabangsa Mesir) seperti dalam laporan akhbar al-Muslimun bil. 205, Dr. Abdul Jalil Syalabi, Syeikh Ahmad Hassan Muslim sebagai anggota Lajnah Fatwa Azhar, Syeikh Muhammad Ahmad Jamal dan Dr. Yusuf al-Qaradhawi. Ini juga merupakan pendapat yang dipilih oleh guru kami, Syeikh Dr. Muhammad bin Muhammad al-Mukhtar al-Syanqiti melalui bukunya Ahkam al-Jirahah al-Tibbiyyah, (hlm. 395).

Di antara alasan yang tidak mengharuskan pemindahan testis adalah:

  • Memindahkan testis dianggap mencelarukan kejadian manusia.
  • Memindahkan testis daripada yang hidup membawa pengharaman keturunan.
  • Memindahkan testis tidak termasuk dalam perkara darurat.
  • Keharusan pemindahan membawa kepada percampuran nasab yang diharamkan oleh syarak.
  • Kalau kita mengharuskannya, sudah pasti membawa kepada keharusan memindahkan sperma dan ovari kerana ia mengambil hukum testis.
  • Menurut pakar, memindahkan testis membawa kepada sifat warisan yang ada pada seseorang. (Lihat Pemindahan dan Pendermaan Organ dalam Islam oleh Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri, hlm. 114-116).

Begitu juga halnya dengan pendermaan dan pemindahan rahim. Hukum asalnya adalah tidak diharuskan kerana pendermaan dan pemindahan rahim adalah haram dan tujuan untuk mendapatkan zuriat hanyalah bersifat takmiliyyah iaitu sebagai pelengkap kehidupan berkeluarga. Keperluan mendapatkan zuriat melalui pembedahan dan pemindahan rahim bagi wanita yang mempunyai rahim yang bermasalah atau tidak mempunyai rahim hanya sekadar berada pada tahap tahsiniyyat. Oleh itu, pemindahan rahim adalah tidak harus kerana keperluannya belum mencapai tahap dharurah yang boleh membenarkan sesuatu perkara yang diharamkan. Ini juga selari dengan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-106 yang bersidang pada 21-22 Oktober 2014 bagi membincangkan Hukum Pendermaan Rahim.[4]

Oleh yang demikian, berdasarkan kepada kenyataan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa pemindahan kepala (head transplant) adalah tidak dibenarkan kerana ia secara tidak langsung turut melibatkan pemindahan organ-organ yang tidak diharuskan seperti testis, rahim dan seumpamanya. Selain itu juga, pemindahan kepala juga tidak menepati salah satu syarat yang telah digariskan oleh ulama iaitu hendaklah terbukti dan meyakinkan bahawa pemindahan itu akan berhasil pada umumnya. Ini kerana sehingga kini tidak ada lagi kejayaan direkodkan berkenaan keberhasilan pemindahan kepala ke atas seseorang. Melainkan pakar bedah yang berminat untuk melaksanakan prosedur pemindahan tersebut telah menyediakan protokol yang merancang langkah pemindahan kepala untuk masa hadapan.

Ketidakharusan pemindahan kepala ini juga adalah selari dengan kaedah fiqh:

دَرْءُ الْمَفَاسِدِ مُقَدَّمٌ عَلَى جَلْبِ الْمَصَالِحِ

Maksudnya:Menghindarkan kerosakan lebih diutamakan daripada mendapatkan kemaslahatan.

Berdasarkan kaedah di atas, menjauhi atau menolak kemudaratan iaitu risiko kegagalan atau ketidakberhasilan pemindahan kepala (head transplant) adalah lebih diutamakan berbanding mendapatkan kemaslahatan iaitu memastikan orang tersebut terus hidup melalui pemindahan itu disebabkan oleh ketidakjaminan prosedur yang dilakukan.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Wallahu a‘lam.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ رَبَّ جِبْرِيلَ ، وَمِيكَائِيلَ، وَإِسْرَائِيلَ، فَاطِرَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ، عَالِمُ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ، أَنْتَ نَحْكُمُ بَيْنَ عِبَادِكَ فِيمَا كَانُوا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ، اهْدِنَا لِمَا اخْتُلِفَ فِيهِ مِنَ الْحَقِّ بِإِذْنِكَ، إِنَّكَ تَهْدِي مَنْ تَشَاءُ إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ.

Maksudnya: “Ya Allah, Tuhan Jibril, Mikail, dan Israfil. Yang Menciptakan langit dan bumi, Yang Maha Mengetahui yang ghaib mahupun yang kelihatan. Engkaulah yang Menghakimi hamba-hamba-Mu di dalam apa yang mereka perselisihkan. Tunjukkanlah kami dengan izin-Mu kepada kebenaran di dalam apa yang diperselisihkan. Sesungguhnya Engkau memberi petunjuk ke arah Sirat al-Mustaqim kepada sesiapa yang Engkau Kehendaki.”

[1] Lihat https://www.verywellhealth.com/head-transplant-4801452#:~:text=2%EF%BB%BF-,Surgical%20Process,of%20a%20future%20head%20transplant. Diakses pada 24 Julai 2023.

[2] Lihat https://en.wikipedia.org/wiki/Head_transplant. Diakses pada 24 Julai 2023.

[3] Lihat https://maktabahalbakri.com/derma-organ-dan-tisu/

[4] Lihat http://e-smaf.islam.gov.my/e-smaf/index.php/main/mainv1/fatwa/pr/10318. Diakses pada 24 Julai 2023.

Bertarikh: 28 Julai 2023 bersamaan 10 Muharram 1445 H