#2422: Menyampaikan Ilmu dari Buku Hak Cipta

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri, saya ingin bertanya soalan tentang penyampaian dari buku. Hampir semua buku yang ada di pasaran pasti akan ada disertakan “Hak Cipta Terpelihara. Tidak dibenarkan mengeluar ulang mana-mana isi, sebelum mendapat keizinan…”. Dalam ayat tersebut, jelas dinyatakan yang pembaca tidak boleh sama sekali mengambil isi kandungan buku tersebut dalam apa jua bentuk sebelum diizinkan. Tetapi, jika pembaca tetap menyampaikan isi kandungan, contoh mengajar anak murid, berkongsi di media sosial, adakah berdosa kerana tidak mendapat izin? Terima kasih Dato’ Seri atas pencerahan.

 

Jawapan:

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

 

Definisi Hak Cipta

Hak Cipta adalah hak eksklusif yang diberikan oleh undang-undang untuk tempoh masa tertentu kepada pencipta karya untuk mengawal penggunaan karya mereka. Perlindungan hakcipta di Malaysia adalah berasaskan kepada Akta Hakcipta 1987. (Lihat Portal Rasmi Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO)

 

Berbalik kepada soalan di atas, kami nyatakan menyampaikan sesuatu ilmu pengetahuan dari buku-buku yang mempunyai hak cipta kepada orang lain adalah diharuskan kerana tujuan membaca buku adalah bagi menambah ilmu dan kefahaman. Sebagaimana sabda Nabi SAW:

بَلِّغُوا عَنِّي وَلَوْ آيَةً

Maksudnya: Sampaikanlah kalian daripadaku walaupun sepotong ayat.

Riwayat al-Bukhari (3461)

 

Oleh itu, menyampaikan ilmu kepada orang lain adalah suatu perkara yang mulia. Namun begitu, sebelum menyampaikan sesuatu ilmu, kita mestilah mengkaji terlebih dahulu sama ada benar ataupun tidak, sebelum menyebarkannya kepada orang lain.

Selain itu, perlu kita fahami di sini bahawa yang dimaksudkan dengan hak cipta terpelihara itu adalah sesuatu karya (terbitan, muzik, filem, seni dan siaran) yang dipelihara daripada dicetak, di plagiat, ditiru dan seumpamanya. Maka, menyampaikan ilmu tidak termasuk melanggar hak cipta. Akan tetapi, kami syorkan buat saudara, apabila menyampaikan sesuatu ilmu, maka sertakan sekali rujukan atau sumber dapatan tersebut.

Kami nyatakan di sini sejuzuk pengalaman kami apabila berinteraksi dengan para ulama rabbani yang bertaraf dunia, antaranya Fadhilatul Syeikh Dr Mustafa al-Khin apabila diminta izin untuk menterjemah dan mengambil isi kandungan kitabnya al-Fiqh al-Manhaji beliau terus mengiyakannya dan memberi hal tersebut semata-mata kerana Allah SWT untuk menyebarkan ilmu. Inilah yang terjadi kepada ramai tokoh yang lain. 

Semoga toleransi yang wujud oleh penulis dan penerbit untuk diambil manfaat oleh pembaca dan pengkaji ilmu makin tersebar luas dengan syarat menulis rujukan yang diambil kepada penulis yang asal. Ini sebahagian daripada amanah ilmu. 

Akhir kalam, semoga jawapan yang ringkas ini dapat difahami dengan baik. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ فَقِّهْنَا فِي الدِّينِ، وَعَلِّمْنَا التَّأْوِيلَ

Maksudnya: “Ya Allah! Berikanlah kepada kami kefahaman di dalam agama serta ajarkanlah kepada kami takwilan-takwilan.”

Bertarikh: 28 Julai 2023 bersamaan 10 Muharram 1445 H