Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Baru-baru ini rumah saya dimasuki seekor ular, saya teringat bahawa orang lama-lama dahulu melarang bunuh ular, maka saya biarkan sahaja ular tersebut.
Akan tetapi saya risau tentang keselamatan anak dan isteri saya, adakah berdosa jika saya bunuh ular tersebut?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Kami mulakan dengan sebuah hadith yang menyuruh umat Islam agar bersifat dengan sifat rahmat pada semua makhluk. Ini sebagaimana yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ لاَ يَرْحَمُ لاَ يُرْحَمُ
Maksudnya: “Sesiapa yang tidak merahmati maka dia tidak akan dirahmati.”
Riwayat al-Bukhari (5997)
Hadith di atas bersifat umum, meliputi semua makhluk yang ada di muka bumi ini. Kemudian datangnya dalil lain mengkhususkan beberapa haiwan yang tidak harus untuk bersifat rahmat padanya kerana mudarat yang dibawa lebih besar. Hal ini kerana sesetengah haiwan tersebut melakukan kerosakan, bahkan sehingga mengancam nyawa manusia.
Perintah untuk membunuh ular ini thabit dalam hadith yang diriwayatkan daripada Abdullah bin ‘Umar R.Anhuma ketika mendengar Rasulullah SAW berkhutbah di atas minbar, seraya bersabda:
اقْتُلُوا الْحَيَّاتِ وَالْكِلاَبَ وَاقْتُلُوا ذَا الطُّفْيَتَيْنِ وَالأَبْتَرَ فَإِنَّهُمَا يَلْتَمِسَانِ الْبَصَرَ وَيَسْتَسْقِطَانِ الْحَبَالَى
Maksudnya: “Bunuhlah ular-ular dan anjing-anjing, dan bunuhlah (terutamanya) ular yang yang di belakangnya ada dua garis putih (ular senduk) serta ular yang ekornya pendek (jenis ular berbisa di kawasan gurun). Sesungguhnya kedua jenis ular itu mampu membutakan mata dan menggugurkan kandungan.”
Kemudian Ibn ‘Umar berkata:
فَلَبِثْتُ لَا أَتْرُكُ حَيَّةً أَرَاهَا إِلَّا قَتَلْتُهَا
Maksudnya: “Semenjak dari itu, aku tidak tinggalkan mana-mana ular yang aku jumpa melainkan aku bunuhnya.”
Riwayat al-Bukhari (3297) dan Muslim (2233)
Dalam Riwayat lain daripada Abdullah bin Mas‘ud R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:
اقْتُلُوا الْحَيَّاتِ كُلَّهُنَّ فَمَنْ خَافَ ثَأْرَهُنَّ فَلَيْسَ مِنِّي
Maksudnya: “Bunuhlah ular kesemuanya, barang siapa yang takut akan bisanya maka dia bukan dari kalangan kami.”
Riwayat Abu Dawud (5249)
Berdasarkan hadith-hadith yang kami bawakan di atas, Rasulullah SAW memerintahkan para sahabat untuk membunuh ular atas sebab ia memberikan mudarat yang besar kepada manusia, dan perintah ini datang dengan lafaz umum meliputi semua ular dan di maana jua ia dijumpai.
Ibn ‘Abd al-Barr menukilkan persepakatan ulama’ tentang keharusan membunuh ular yang dijumpai di padang pasir, sama ada ianya besar atau kecil, apa-apa jenis ular sekalipun. (Lihat al-Tamhid, 16/28)
Meskipun terdapat larangan secara umum, ia dikhususkan dengan sambungan riwayat daripada Ibn ‘Umar di atas, katanya:
فَبَيْنَا أَنَا أُطَارِدُ حَيَّةً يَوْمًا مِنْ ذَوَاتِ الْبُيُوتِ مَرَّ بِي زَيْدُ بْنُ الْخَطَّابِ أَوْ أَبُو لُبَابَةَ، وَأَنَا أُطَارِدُهَا فَقَالَ مَهْلاً يَا عَبْدَ اللَّهِ. فَقُلْتُ إِنَّ رَسُولَ اللَّهِ ﷺ أَمَرَ بِقَتْلِهِنَّ. قَالَ إِنَّ رَسُولَ اللَّهِ ﷺ قَدْ نَهَى عَنْ ذَوَاتِ الْبُيُوتِ
Maksudnya: “Ketika aku sedang mengejar ular yang masuk ke dalam rumah (untuk membunuhnya), Zaid bin al-Khuttab atau Abu Lubabah lalu melintasiku seraya berkata: ‘Wahai Abdullah, nanti!’ Aku (Abdullah) berkata: ‘Sesungguhnya Rasulullah SAW memerintahkan untuk bunuh ular-ular’. Dia (Zaid bin al-Khattab atau Abu Lubabah) berkata: ‘Sesungguhnya Rasulullah SAW pernah halang daripada bunuh ular yang masuk ke rumah’.”
Riwayat Muslim (2233)
Dalam hadith riwayat Abu al-Sa’ib maula Hisham bin Zahrah, Rasulullah SAW bersabda ketika mendapati ular yang masuk ke rumah:
إِنَّ بِالْمَدِينَةِ نَفَرًا مِنَ الْجِنِّ قَدْ أَسْلَمُوا، فَمَنْ رَأَى شَيْئًا مِنْ هَذِهِ الْعَوَامِرِ فَلْيُؤْذِنْهُ ثَلَاثًا، فَإِنْ بَدَا لَهُ بَعْدُ فَلْيَقْتُلْهُ، فَإِنَّهُ شَيْطَانٌ
Maksudnya: “Sesungguhnya di Madinah ini ada sekumpulan jin yang memeluk Islam. Jika kamu melihat sebahagiannya maka berilah mereka amaran sebanyak 3 kali, jika ia menampakkan dirinya selepas itu maka bunuhlah ia, sesungguhnya itu adalah syaitan.”
Riwayat Muslim (2236)
Imam al-Nawawi menukilkan daripada Imam Malik bahawa amaran tersebut dengan berkata: “Aku memberi amaran kepada kamu wahai ular, demi Allah dan Hari Akhirat, supaya kau tidak menampakkan diri kepada kami atau menyakiti kami.” Barangkali Imam Malik menyebutkan lafaz amaran begini kerana mengambil zahir lafaz hadith. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 14/230)
Ibn ‘Abd al-Barr menyebutkan bahawa, amaran bagi orang yang melihat ular di dalam rumahnya dengan berkata: “Aku memberi amaran kepada kamu wahai ular, demi Allah dan Hari Akhirat, supaya kau tidak menampakkan diri kepada kami atau menyakiti kami.” (Lihat al-Tamhid, 16/263)
Ibn Hajar al-‘Asqalani menyebutkan, cara untuk memberi amaran tersebut dengan menyebut: “Kau akan berada dalam kesempitan dan masalah jika kau tinggal bersama kami, menampakkan diri kepada kami, atau kembali (bergerak mendekati) kepada kami.” (Lihat Fath al-Bari, 6/349)
Melihat kepada perbahasan di atas, Rasulullah SAW melarang dari membunuh ular yang masuk ke dalam rumah kecuali selepas diberikan amaran sebanyak 3 kali. Amaran tersebut bagi memastikan umat Islam tidak tersilap membunuh bangsa jin yang menyerupai ular, kecuali jika mereka menyerupai ular yang yang di belakangnya ada dua garis putih (ular senduk) serta ular yang ekornya pendek (jenis ular berbisa di kawasan gurun). Ini berdasarkan hadith riwayat Abdullah bin ‘Umar R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:
لَا تَقْتُلُوا الْجِنَّانَ، إِلاَّ كُلَّ أَبْتَرَ ذِي طُفْيَتَيْنِ، فَإِنَّهُ يُسْقِطُ الْوَلَدَ، وَيُذْهِبُ الْبَصَرَ، فَاقْتُلُوهُ
Maksudnya: “Janganlah kalian membunuh jin-jin, kecuali semua ular yang ekornya pendek (jenis ular berbisa di kawasan gurun) dan ular yang yang di belakangnya ada dua garis putih (ular senduk). Sesungguhnya ia mampu menggugurkan kandungan dan membutakan mata, maka bunuhlah ia.”
Riwayat al-Bukhari (3310)
Adapun ular yang dijumpai di luar rumah, maka tiada larangan untuk membunuhnya kerana ianya berbahaya.
Kesimpulan
Jelaslah berdasarkan peerbincangan di atas bahawa sememangnya terdapat haiwan yang dibenarkan untuk dibunuh dalam Islam. Namun, keizinan tersebut adalah di atas sebab-sebab tertentu seperti sifatnya yang suka melakukan kerosakan, boleh mendatangkan bahaya bahkan sehingga mengancam nyawa manusia. Disebabkan oleh itu, ia dibenarkan dan diharuskan untuk dibunuh.
Walau bagaimanapun, kami juga mengambil kesempatan di sini mengingatkan, sekalipun Islam memberi keizinan untuk membunuh ular, akan tetapi bukanlah dengan cara menyiksanya. Hal ini kerana agama Islam juga menuntut penganutnya untuk bersikap ihsan terhadap haiwan.
Jika ada cara lain untuk menghilangkan ular tersebut dengan menghubungi pihak berwajib seperti JPAM atau bomba, maka itu lebih baik. Mereka pasti mempunyai cara yang lebih baik untuk menghapuskan ular-ular yang berbahaya dengan cara yang lebih berhemah.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
نَعُوذُ بِكَلِمَاتِ اللهِ التَّامَّاتِ مِنْ شَرِّ مَا خَلَقَ
Maksudnya: “Kami berlindung dengan kalimah Allah yang sempurna daripada segala keburukan yang Dia ciptakan.”
Bertarikh: 28 Julai 2023 bersamaan 10 Muharram 1445 H