#2432: Redha Terhadap Musibah Yang Menimpa

Soalan:

Assalamualaikum Dato’, saya ingin bertanya, bagaimana cara untuk redha terhadap musibah yang berlaku ?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Redha asal daripada kalimah arab (رَضِيَ-يَرْضَي) yang menunjukkan maksud berlawanan dari kemarahan. Dari segi istilah pula ia membawa maksud : Redha adalah kegembiraan hati atas ketetapan takdir (qadha’).”

Al-Munawi mentakrifkan : Redha adalah ketenangan jiwa bagi manusia terhadap apa yang menimpanya atau apa yang hilang daripadanya tanpa mengalami perubahan.  Para ahli feqah menyatakan bahwa redha itu adalah persetujuan (izin). Mereka menjadikan izin sebagai redha kerana itu menunjukkan persetujuan terhadapnya.” (Lihat Nudhrah al-Nai’m Fi Makarim Akhlak Rasul al-Karim,6/ 2105 )

Al-Wasiti menyebutkan: Redha adalah melihat segala sesuatu dengan pandangan yang redha, sehingga tidak ada yang kamu murkai kecuali apa yang dimurkai oleh Tuhanmu. (Lihat Targhib Wa Tarhib,2/ 201)

Jenis-jenis Redha

Syaikh islam Ibn Taimiyyah menyatakan bahawa Redha ini terbahagi kepada dua:

Pertama: Redha terhadap apa yang diperintahkan dan meninggalkan apa yang dilarang, serta mengambil apa yang Allah halalkan tanpa melampaui batas ke atas apa yang telah diharamkan. Ini merupakan redha yang wajib.

Firman Allah SWT :

وَاللَّهُ وَرَسُولُهُ أَحَقُّ أَن يُرْضُوهُ إِن كَانُوا مُؤْمِنِينَ

Maksudnya: padahal Allah dan RasulNya jualah yang lebih berhak mereka mendapat keredhaanNya, jika betul mereka orang-orang yang beriman.

(Surah al-Taubah:62)

Firman Allah lagi :

وَلَوْ أَنَّهُمْ رَضُوا مَا آتَاهُمُ اللَّهُ وَرَسُولُهُ وَقَالُوا حَسْبُنَا اللَّهُ سَيُؤْتِينَا اللَّهُ مِن فَضْلِهِ وَرَسُولُهُ إِنَّا إِلَى اللَّهِ رَاغِبُونَ

Maksudnya : Dan (amatlah baiknya) kalau mereka berpuas hati dengan apa yang diberikan oleh Allah dan RasulNya kepada mereka, sambil mereka berkata: “Cukuplah Allah bagi kami; Allah akan memberi kepada kami dari limpah kurniaNya, demikian juga RasulNya; sesungguhnya kami sentiasa berharap kepada Allah”

(Surah al-Taubah:59)

Kedua: Redha kerana ditimpa musibah seperti kemiskinan dan kesakitan. Ini merupakan redha yang sunat bukanlah wajib. Dikatakan ia merupakan redha yang wajib dan yang sahihnya wajib itu adalah bersabar sepertimana kata al-Hasan: Redha itu adalah naluri, tetapi sabar itu adalah tunggak utama bagi seorang mukmin.

Diriwayatkan daripada Ibn Abbas bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إنْ اسْتَطَعْت أَنْ تَعْمَلَ بِالرِّضَا مَعَ الْيَقِينِ، فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَإِنَّ فِي الصَّبْرِ عَلَى مَا تَكْرَهُ خَيْرًا كَثِيرًا

Maksudnya: Jika kamu mampu beramal kepada Allah dengan redha dan yakin, maka lakukanlah. Dan jika kamu tidak mampu, maka sesungguhnya dalam kesabaran terhadap apa yang kamu benci terdapat kebaikan yang banyak.

Riwayat Abu Nuaim Fi Hilyah , 1/314

Menjawab bagi persoalan di atas kami katakan bahawa setiap umat islam hendaklah mempercayai qadha dan qadar Allah SWT kerana ia merupakan salah satu daripada rukun iman sebagaimana yang telah diriwayatkan oleh Umar Bin al-Khattab bahawa Rasulullah bersabda:

أَنْ تُؤْمِنَ بِاَللَّهِ وَمَلَائِكَتِهِ وَكُتُبِهِ وَرُسُلِهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ، وَتُؤْمِنَ بِالْقَدَرِ خَيْرِهِ وَشَرِّه

Maksudnya:  Iman itu ialah bahawa engkau beriman kepada Allah, dan malaikat-Nya, dan segala kitab-Nya, dan para Rasul-Nya, dan engkau beriman kepada takdir-Nya yang baik dan yang jahat.

Riwayat Muslim(8)

Sebagai seorang muslim hendaklah melapangkan hati dan berserah kepada Allah SWT terhadap apa yang menimpa dirinya dan yakinlah bahawa setiap apa yang berlaku adalah kehendak Allah SWT yang mempunyai hikmah disebaliknya. Boleh jadi Allah SWT menguji hamba-hambanya adalah bertujuan untuk menghapuskan dosa-dosa hamba-Nya sebagaimana yang telah diriwayatkan oleh Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda:

ما يُصِيبُ المُسْلِمَ، مِن نَصَبٍ ولا وصَبٍ، ولا هَمٍّ ولا حُزْنٍ ولا أذًى ولا غَمٍّ، حتّى الشَّوْكَةِ يُشاكُها، إلّا كَفَّرَ اللهُ بها مِن خَطاياهُ

Maksudnya: Tidaklah seorang Muslim yang ditimpa musibah seperti keletihan, penyakit, keresahan, kesedihan, gangguan dan kegundahan bahkan duri yang melukainya sekalipun melainkan Allah SWT akan menghapuskan dosa-dosanya.

Riwayat Bukhari (5641)

Justeru kami katakan bersangka baiklah terhadap apa yang ditentukan oleh Allah SWT terhadap kita dan yakinlah setiap apa yang berlaku itu merupakan kasih sayang Allah SWT terhadap hamba-hambaNya.

Diriwayat daripada Suhaib Bin Sinan al-Rumi bahawa Rasulullah SAW bersabda:

عَجَبًا لأَمْرِ المُؤْمِنِ، إنّ أمْرَهُ كُلَّهُ خَيْرٌ، وليسَ ذاكَ لأَحَدٍ إلّا لِلْمُؤْمِنِ، إنْ أصابَتْهُ سَرّاءُ شَكَرَ، فَكانَ خَيْرًا له، وإنْ أصابَتْهُ ضَرّاءُ، صَبَرَ فَكانَ خَيْرًا له

Maksudnya: “Amat menakjubkan urusan orang yang beriman kerana setiap urusannya adalah baik, dan itu tidak akan berlaku kepada seorang pun kecuali kepada orang beriman. Jika dia mendapat sesuatu yang menyenangkan dia bersyukur, maka itu adalah kebaikan baginya. Dan jika dia ditimpa kesusahan dia bersabar, maka itu adalah kebaikan baginya.”

Riwayat Muslim (7692)

Imam al-Tibi sepertimana dinukilkan oleh Imam al-Munawi, berkata: “Keadaan seorang mukmin itu semuanya baik. Perkara ini hanya didapati pada seorang mukmin. Ia tidak ditemui pada orang kafir mahupun munafik. Keajaibannya adalah ketika dia diberi kesenangan dalam bentuk kesihatan, keselamatan, harta dan kedudukan, kemudian dia bersyukur kepada Allah atas kurniaan tersebut, maka dia akan dicatat sebagai orang yang bersyukur. Ketika dia ditimpa musibah, kemudian dia bersabar, maka dia akan dicatat sebagai orang-orang yang bersabar.  (Lihat Faidh al-Qadir, 4/302)

Semoga Allah SWT menjadikan kita hamba yang sentiasa meredhai setiap ujian yang menimpa dan akhir kalam kami akhiri dengan doa:

 اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”

 

Wallahua’lam

Bertarikh: 3 Ogos 2023 bersamaan 16 Muharram 1445 H