Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh ceritakan berkenaan kisah Abu Bakar dipatuk ular ketika di dalam gua Thaur bersama Nabi SAW? Benarkah kisah ini?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Syeikh Sofiy al-Rahman al-Mubarakfuri dalam kitabnya al-Rahiq al-Makhtum menceritakan: Bahawa tatkala Nabi SAW dan Abu Bakar sampai di pintu gua, Abu Bakar berkata: “Demi Allah, janganlah engkau masuk ke dalamnya sebelum aku masuk terlebih dahulu. Jika di dalamnya ada apa-apa bahaya, maka biarlah aku yang terkena, asalkan tidak mengenai dirimu.”
Lalu Abu Bakar memasuki gua dengan menguis-nguiskan kakinya. Didapati di sebelahnya ada sebuah lubang, lalu beliau mengoyakkan kainnya dan ditutupi lubang itu. Kemudian, didapati ada dua lubang lagi, lalu ditekapkan dua kakinya ke lubang itu. Kemudian, barulah dipanggilnya Rasulullah SAW masuk.
Rasulullah SAW pun masuk, kemudian meletakkan kepalanya ke pangkuan Abu Bakar R.A, lalu tertidur. Tiba-tiba, kaki Abu Bakar R.A disengat oleh binatang berbisa dari lubang yang ditekapnya. Namun, ditahan kesakitannya tanpa bergerak kerana tidak mahu Rasulullah SAW terjaga. Beliau menahan kesakitan sehingga air matanya mengalir lalu menitis ke wajah Rasulullah SAW. Lantas Baginda SAW bertanya, “Apa kena dengan kamu, hai Abu Bakar?” Jawab Abu Bakar R.A, “Aku disengat.” Rasulullah SAW meludah ke tempat yang disengat itu, lalu hilanglah kesakitan yang dirasai oleh Abu Bakar R.A.” (Lihat al-Rahiq al-Makhtum, hlm. 149; Jami’ al-Usul oleh Ibn al-Athir, 8/605)
Inilah yang diriwayatkan oleh Razin daripada Umar bin al-Khattab R.A. Dalam riwayat itu juga ada menyebutkan bahawa kesan racun (bisa) tersebut kembali semula kepadanya pada saat kematiannya, dan itulah punca kematiannya. (Lihat Misykat al-Masabih, 2/556)
Kisah ini sangat masyhur dalam buku-buku sirah. Diriwayatkan oleh al-Baihaqi dalam Dala’il al-Nubuwwah (2/476) dari jalan Abu Husain Ali bin Muhammad bin Bisyran, daripada Ahmad bin Salman al-Najjar, daripada Yahya bin Ja’far, daripada Abd al-Rahman bin Ibrahim al-Rasibi, daripada Furat bin Saib, daripada Maimun bin Mihran, daripada Dhabbah al-’Anazi, daripada Umar bin al-Khattab R.A.
Imam al-Zahabi menyebut: ‘Abd al-Rahman bin Ibrahim al-Rasibi daripada Malik. Dia dituduh dalam meriwayatkan khabar batil yang panjang. Dia juga meriwayatkan daripada Furat bin Saib, daripada Maimun bin Mihran, daripada Dhabbah bin Mihsan, daripada Abu Musa tentang kisah di gua.
Kisah ular yang menggigit Abu Bakar R.A di dalam gua juga ada disebutkan oleh al-Munawi dalam Faidh al-Qadir tanpa menyebutkan sanadnya. ‘Ala’ al-Din juga menyebut di dalam Kanz al-’Ummal, begitu juga dengan al-Suyuti dalam al-Durr al-Manthur.
Ibn Kathir dalam al-Bidayah wa al-Nihayah (4/450), menyebut: Al-Baihaqi telah mengeluarkannya di dalam Dala’il al-Nubuwwah, daripada ‘Umar: Bahawa Abu Bakar berjalan di hadapan Rasulullah, dan pada masa lain di belakangnya, di sebelah kanan dan di sebelah kirinya. Dan di dalamnya juga, menyebut:
لَمَّا دَخَلَ الْغَارَ سَدَّدَ تِلْكَ الْجِحَرَةَ كُلَّهَا، وَبَقِيَ مِنْهَا جُحْرٌ وَاحِدٌ، فَأَلْقَمَهُ كَعْبَهُ، فَجَعَلَتِ الْأَفَاعِي تَنْهَشُهُ وَدُمُوعُهُ تَسِيلُ، فَقَالَ لَهُ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: ” لَا تَحْزَنْ إِنَّ اللَّهَ مَعَنَا “. وَفِي هَذَا السِّيَاقِ غَرَابَةٌ وَنَكَارَةٌ.
Maksudnya: Bahawa tatkala dia masuk ke dalam gua, dia menutup semua lubang sehingga berbaki satu lubang. Lalu dia meletakkan tumitnya di atasnya. Maka ular-ular pun mematuknya sehingga menitislah air matanya. Lantas Rasulullah SAW bersabda kepadanya: “Janganlah kamu bersedih, sesungguhnya Allah bersama kita.” Ibn Kathir berkata: “Dalam siyaq ini, terdapat gharabah dan nakarah.” (Lihat al-Bidayah wa al-Nihayah, 4/450)
Kisah ini disebut di dalam Sirah Ibn Hisyam dengan jalur yang pelbagai, daripada al-Hasan al-Basri, katanya: Rasulullah SAW dan Abu Bakar tiba di gua pada waktu malam. Lalu Abu Bakar pun masuk sebelum Rasulullah SAW. Beliau lalu menyentuh-menyentuh gua itu untuk memastikan adakah terdapat haiwan buas atau ular bagi melindungi Rasulullah SAW dengan dirinya. Abu Bakar R.A pun masuk ke dalam gua. Dia telah dipatuk dalam keadaan dia sedang membersihkan gua. Apabila bisa sengatan itu menyakitinya, maka air matanya mengalir dan terkena wajah Nabi SAW yang sedang tidur di pangkuannya. Maka Rasulullah SAW pun berdoa untuknya, dan meludah ke tempat sengatan itu, maka sembuhlah ia dengan izin Allah SWT.
Namun riwayat ini tidak disebut dengan sanad yang sahih atau maqbul, maka ia adalah kisah yang dha’if.
Fatwa IslamWeb menyebut: “Kami tidak berpandangan – sejauh yang kami lihat – terhadap mereka yang menyebutkan kisah ini dengan sanad yang sahih atau diterima, kerana ia lemah. Dan telah thabit berkenaan kelebihan dan keutamaan Abu Bakar dan suhbahnya yang baik dengan Rasulullah SAW di dalam gua dan selainnya dengan sanad-sanad yang sahih.”
Penutup
Kisah ini jelas menunjukkan kepada kita, betapa Rasulullah SAW bukan semata-mata tabib qulub bagi manusia, tetapi juga, tabib badan. Allah SWT mengurniakan kepada Nabi SAW pelbagai mukjizat antaranya dapat menyembuhkan orang yang sakit.
Dalam kes ini jelas menunjukkan betapa penawar daripada Rasulullah SAW kepada Abu Bakar dengan izin Allah, telah menyembuhkan kesan racun yang terdapat kepada Abu Bakar kerana disengat oleh binatang berbisa ketika berada di dalam gua Thur. Syifa’ yang hakiki sudah tentu adalah Allah SWT. Maka benarlah doa yang diajar oleh Nabi SAW:
اللَّهُمَّ ربَّ النَّاسِ، أَذْهِب الْبَأسَ، واشْفِ، أَنْتَ الشَّافي لا شِفَاءَ إِلاَّ شِفَاؤُكَ، شِفاءً لا يُغَادِرُ سقَماً
Maksudnya: “Ya Allah, Tuhan bagi manusia, hilanglah kesengsaraan, sembuhkan (yang sakit) Engkau adalah Zat yang menyembuhkan, tidak ada kesembuhan melainkan kesembuhan dari-Mu, kesembuhan yang tidak meninggalkan rasa sakit.”
Bertarikh: 3 Ogos 2023 bersamaan 16 Muharram 1445 H