#2436: Adakah Doa Untuk Orang Lain yang Diutamakan Sebelum Diri Sendiri?

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Yang manakah lebih baik untuk saya utamakan ketika berdoa, ibu bapa atau diri sendiri? Suami atau ibu bapa? Siapakah pula selepas itu? Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Allah SWT menyuruh manusia untuk sentiasa berbuat baik kepada kedua ibu bapa. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:

وَقَضَىٰ رَبُّكَ أَلَّا تَعْبُدُوا إِلَّا إِيَّاهُ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا ۚ

Maksudnya: “Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa.”

(Surah al-Isra’: 23)

Antara contoh perbuatan baik seorang anak kepada kedua ibu bapanya adalah dengan seniasa mendoakan mereka kerana ia manfaat doa seorang anak itu berterusan sekalipun ibu bapa telah meninggal dunia. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW telah bersabda:

إِذَا مَاتَ الإِنْسَانُ انْقَطَعَ عَنْهُ عَمَلُهُ إِلاَّ مِنْ ثَلاَثَةٍ إِلاَّ مِنْ صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ ‏

Maksudnya: “Apabila mati seorang manusia, terputuslah daripadanya amalannya kecuali tiga perkara: Sedekah jariah atau ilmu yang dimanfaatkan dengannya atau anak yang soleh yang mendoakan baginya.” 

Riwayat Muslim (1631), al-Nasa’ie (3651), al-Tirmizi (1376) dan Abu Daud (2880)

Bagi seorang isteri, dia juga perlu sentiasa menzahirkan rasa hormat terhadapnya walau apa jua pangkat dan kedudukannya. Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لَوْ كُنْتُ آمِرًا أَحَدًا أَنْ يَسْجُدَ لِأَحَدٍ لَأَمَرْتُ المَرْأَةَ أَنْ تَسْجُدَ لِزَوْجِهَا

Maksudnya: “Jikalau memerintahkan seseorang untuk bersujud, pasti saya akan memerintahkan seseorang perempuan untuk sujud kepada suaminya.”

Riwayat al-Tirmizi (1159)

Ibn ‘Allan al-Makki ketika mengulas hadith di atas menyebutkan bahawa, perintah untuk sujud itu sebagai bentuk penghormatan dan menunaikan hak suami tersebut – yakni bukanlah sujud itu kerana menyembah suami-. (Lihat Dalil al-Falihin, 3/113)

Penghormatan tersebut diberikan kerana lelaki memegang tanggungjawab yang besar ke atas isteri, dan mereka dituntut untuk memberikan nafkah kepadanya selama mana mereka masih bersama.

Firman Allah SWT:

ٱلرِّجَالُ قَوَّٰمُونَ عَلَى ٱلنِّسَآءِ بِمَا فَضَّلَ ٱللَّهُ بَعۡضَهُمۡ عَلَىٰ بَعۡضٖ وَبِمَآ أَنفَقُواْ مِنۡ أَمۡوَٰلِهِمۡۚ فَٱلصَّٰلِحَٰتُ قَٰنِتَٰتٌ حَٰفِظَٰتٞ لِّلۡغَيۡبِ بِمَا حَفِظَ ٱللَّهُۚ 

Maksudnya: “Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka. Maka perempuan-perempuan yang soleh itu ialah yang taat (kepada Allah dan suaminya), dan yang memelihara (kehormatan dirinya dan apa jua yang wajib dipelihara) ketika suami tidak hadir bersama, dengan pemuliharaan Allah dan pertolongan-Nya.”

Mengutamakan Diri Sendiri Ketika Berdoa

Berbalik kepada persoalan yang diajukan, kami katakan terlebih dahulu bahawa berdoa untuk merupakan salah satu cara terbaik untuk seseorang menzahirkan rasa kasihnya terhadap orang yang didoakan. Meskipun begitu, dia juga perlu sentiasa berdoa kepada Allah SWT bagi pihak dirinya sendiri dalam apa jua hal, kerana Allah SWT jualah yang menentukan setiap apa yang berlaku dalam hidup kita.

Allah SWT juga amat suka akan hambanya yang berdoa kepda-Nya. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ

Maksudnya: “Dan telah berkata Tuhan kamu: “Berdoalah kamu semua kepada-Ku nescaya Aku akan memustajabkan buat kamu”

(Surah al-Ghafir: 60)

Imam Ibn Kathir ketika menafsirkan ayat di atas, menukilkan daripada Sufyan al-Thauri bahawa, hamba-hamba yang paling dicintai Allah adalah mereka yang meminta kepada-Nya dan banyak permintaannya. Dan golongan yang dimurkai Allah dari kalangan hamba-Nya adalah mereka yang tidak meminta kepada-Nya. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 7/156)

Persoalannya, jika seseorang itu ingin berdoa kepada Allah SWT, adakah dia perlu mengutamakan doa buat orang lain sebelum doa buat dirinya?

Yang zahir pada nas-nas syara‘ dan doa-doa para Salaf, kita perlu mendahulukan diri sendiri sebelum orang lain ketika berdoa, kemudian kedua ibu bapa sebelum orang lain. Ini berdasarkan firman Allah SWT yang menyebutkan doa Nabi Ibrahim A.S:

رَبَّنَا اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَ يَقُومُ الْحِسَابُ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Ampunilah aku dan kedua ibu bapaku serta orang-orang yang beriman, pada hari berlakunya hitungan amal dan pembalasan”

(Surah Ibrahim: 41)

Begitu juga doa Nabi Nuh A.S sepertimana yang disebutkan di dalam firman Allah SWT:

رَّبِّ اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِمَن دَخَلَ بَيْتِيَ مُؤْمِنًا وَلِلْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Ampunkanlah bagiku, dan bagi kedua ibu bapaku, serta bagi sesiapa yang masuk ke rumahku dengan keadaan beriman; dan (ampunkanlah) bagi sekalian orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan (dalam segala zaman).”

(Surah Nuh: 28)

Antara dalil yang difahami darinya bahawa keutamaan berdoa untuk diri sendiri terlebih dahulu sebelum orang lain, berdasarkan hadith daripada Abdullah bin Mas‘ud R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ اللَّهَ هُوَ السَّلاَمُ، فَإِذَا صَلَّى أَحَدُكُمْ فَلْيَقُلِ التَّحِيَّاتُ لِلَّهِ، وَالصَّلَوَاتُ وَالطَّيِّبَاتُ، السَّلاَمُ عَلَيْكَ أَيُّهَا النَّبِيُّ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ، السَّلاَمُ عَلَيْنَا وَعَلَى عِبَادِ اللَّهِ الصَّالِحِينَ‏

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah itu yang Maha Sejahtera, jika seseorang kamu menunaikan solat maka katakanlah (berdoa): ‘Semua penghormatan milik Allah, begitu juga kesejahteraan dan kebaikan. Selawat dan salam ke atas engkau wahai Nabi serta rahmat Allah dan berkatnya ke atasmu. Salam sejahtera ke atas kami dan hamba-hamba Allah yang soleh’.”

Riwayat al-Bukhari (831)

Ibn Hajar al-‘Asqalani menyebutkan, difahami dari doa: السَّلاَمُ عَلَيْنَا yang bermaksud “Salam sejahtera ke atas kami”, bahawa sunat memulakan doa buat diri sendiri terlebih dahulu. (Lihat Fath al-Bari, 2/314)

Diriwayatkan juga daripada Ubai bin Ka‘b R.A katanya:

كَانَ رَسُولُ اللهِ ﷺ إِذَا دَعَا بَدَأَ بِنَفْسِهِ

Maksudnya: “Rasulullah SAW apabila Baginda berdoa, Baginda memulakan dengan dirinya.”

Riwayat Abu Dawud (3984)

Abdul Ra’uf al-Manawi mengatakan bahawa disunatkan bagi orang yang berdoa untuk memulakan doa buat dirinya sebelum mendoakan untuk orang lain. Sesungguhnya itu lebih mendekatkan untuk doa itu dikabulkan, kerana ia lebih menunjukkan bahawa seseorang ittu sangat memerlukan, memasukkannya dalam sifat perhambaan, dan lebih jelas pengharapan (ketika berdoa). (Lihat al-Syama’il al-Syarifah, hlm. 144)

Telah datang juga dari sebahagian Salaf bahawa mereka mendahulukan diri sendiri dahulu ketika berdoa. Imam al-Nawawi menukilkan doa yang pernah dibacakan oleh Imam Ahmad, doa beliau: “Wahai Allah, ampunilah dosaku, dosa kedua ibu bapaku, dan dosa Muhammad bin Idris al-Syafi‘i.” (Lihat Tahzib al-Asma’ wa al-Lughat, 1/60)

Imam al-Nawawi juga ketika menerangkan perihal orang yang melakukan tawaf, beliau mengatakan bahawa orang yang melakukan tawaf itu terkadang boleh berdoa untuk dirinya, kedua ibu bapanya, para gurunya, kaum kerabatnya, sahabatnya, orang yang dikasihinya, dan umat Islam keseluruhannya. (Lihat al-Majmu‘, 8/115)

Begini juga cara berdoa orang-orang yang beriman seperti yang disebutkan dalam firman Allah SWT:

وَالَّذِينَ جَاءُوا مِن بَعْدِهِمْ يَقُولُونَ رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيْمَانِ

Maksudnya: “Dan orang-orang (Islam) yang datang kemudian daripada mereka (berdoa dengan) berkata: ‘Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman’.”

(Surah al-Hasyr: 10)

Mereka memulakan berdoa kepada Allah SWT agar mengampuni mereka terlebih dahulu sebelum mendoakan pengampunan buat orang lain.

Kesimpulan

Mendoakan ibu bapa dan suami serta orang lain yang dikasihi adalah suatu perbuatan yang baik. Meskipun begitu, sunat bagi kita untuk dahulukan diri sendiri dahulu sebelum orang lain.

Hal ini kerana, dalil-dalil dan hujjah yaang telah kami bawakan telah membuktikan bahawa mendahulukan diri sendiri ketika berdoa merupakan sunnah yang diajarkan oleh Rasulullah SAW dan para Nabi-nabi serta para orang-orang soleh yang terdahulu.

Kami akhiri dengaan doa:

رَبَّنَا تَقَبَّلْ مِنَّا إِنَّكَ أَنْتَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Terimalah daripada kami (amal kami), sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui.”

Wallahu a‘lam

Bertarikh: 3 Ogos 2023 bersamaan 16 Muharram 1445 H