#2437: Memburu Burung sebagai Hobi

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah hukum seseorang memburu burung sebagai suatu hobi? Mohon pencerahan ustaz. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan menjelaskan serba sedikit berkenaan “hobi”. Mudahnya, hobi boleh diertikan sebagai kegemaran yang diamalkan pada waktu lapang dan bukan pekerjaan yang utama seperti mengumpul setem, membaca, memelihara burung atau ayam dan lain-lain. Dalam erti kata lain, hobi dianggap sebagai aktiviti biasa yang dilakukan untuk keseronokan, biasanya ia dilakukan semasa masa lapang seseorang. Hobi termasuk mengumpul item dan objek bertema, melibatkan diri dalam usaha kreatif dan artistik, bermain sukan atau mengejar hiburan lain. Penyertaan dalam hobi menggalakkan memperoleh kemahiran dan pengetahuan yang besar dalam bidang tersebut.[1]

Dalam menjawab soalan di atas, secara umumnya, seseorang yang memburu haiwan dapat dikelaskan kepada dua kategori:

Pertamanya, seseorang yang memburu haiwan bagi mendapatkan manfaat daripada haiwan buruan tersebut, sama ada untuk dimakan, dijual, disedekahkan kepada mereka yang memerlukan, diberikan sebagai hadiah kepada rakan-rakan dan kaum kerabat atau lain-lain perkara yang termasuk dalam jenis-jenis manfaat yang dapat diperoleh daripadanya. Dalam hal ini, hukumnya adalah dibolehkan mengikut ijma‘ ulama. Berkenaan hal ini juga, Syeikh Ibn Soleh al-‘Uthaimin ada menyebutkan, tidak ada syak lagi mengenai keharusannya, dan itulah yang dihalalkan oleh Allah ‘Azza wa Jalla dalam kitab-Nya dan sabit dalam Sunnah Nabi SAW, serta telah disepakati oleh kaum Muslimin. (Lihat al-Syarh al-Mumti‘, 15/98).

Selain itu, keharusan ini juga adalah berdasarkan kepada riwayat daripada Abu Tha‘labah al-Khusyani, katanya: Aku bertanya:

يَا نَبِيَّ اللَّهِ، إِنَّا بِأَرْضِ قَوْمٍ مِنْ أَهْلِ الكِتَابِ، أَفَنَأْكُلُ فِي آنِيَتِهِمْ؟ وَبِأَرْضِ صَيْدٍ، أَصِيدُ بِقَوْسِي، وَبِكَلْبِي الَّذِي لَيْسَ بِمُعَلَّمٍ وَبِكَلْبِي المُعَلَّمِ، فَمَا يَصْلُحُ لِي؟ قَالَ: أَمَّا مَا ذَكَرْتَ مِنْ أَهْلِ الكِتَابِ، فَإِنْ وَجَدْتُمْ غَيْرَهَا فَلاَ تَأْكُلُوا فِيهَا، وَإِنْ لَمْ تَجِدُوا فَاغْسِلُوهَا وَكُلُوا فِيهَا. وَمَا صِدْتَ بِقَوْسِكَ فَذَكَرْتَ اسْمَ اللَّهِ فَكُلْ. وَمَا صِدْتَ بِكَلْبِكَ المــُعَلَّمِ، فَذَكَرْتَ اسْمَ اللَّهِ فَكُلْ، وَمَا صِدْتَ بِكَلْبِكَ غَيْرِ مُعَلَّمٍ فَأَدْرَكْتَ ذَكَاتَهُ فَكُلْ

Maksudnya: “Wahai Nabi Allah, sesungguhnya kami berada di negeri Ahli Kitab, maka bolehkah kami makan menggunakan bekas-bekas mereka? (Kami juga berada) di negeri (yang ada banyak) binatang buruan. Aku berburu menggunakan busurku, anjingku yang tidak terlatih dan anjingku yang terlatih, maka apakah yang boleh untukku (dibenarkan untuk makan)? Baginda SAW bersabda: ‘Adapun apa yang kamu sebutkan berkenaan dengan Ahli Kitab, sekiranya kamu mempunyai (bekas-bekas) selain daripadanya, maka janganlah kamu makan menggunakannya. Sekiranya kamu tidak mempunyai (bekas-bekas lain), maka cucilah ia dan makanlah menggunakan bekas-bekas tersebut. Apa sahaja (haiwan buruan) yang kamu buru menggunakan busur dan kamu telah menyebut nama Allah, maka makanlah. Apa sahaja (haiwan buruan) yang kamu buru menggunakan anjingmu yang terlatih dan kamu telah sebutkan nama Allah, maka makanlah. Dan apa sahaja (haiwan buruan) yang kamu buru menggunakan anjing kamu yang tidak terlatih serta kamu sempat menyembelihnya (haiwan buruan tersebut), maka makanlah.’

Riwayat al-Bukhari (5478)

Keduanya, seseorang yang memburu haiwan bagi tujuan keseronokan, bermain-main dan hiburan semata-mata. Jika dia berjaya memburunya, maka dia akan meninggalkannya tanpa langsung mengambil manfaat daripadanya. Pemburuan dalam kategori ini termasuk dalam jenis yang dihukumkan sebagai makruh menurut sebahagian ulama, bahkan sebahagian mereka cenderung kepada pendapat mengharamkannya.

Rasulullah SAW pernah bersabda:

مَا مِنْ إِنْسَانٍ قَتَلَ عُصْفُورًا فَمَا فَوْقَهَا بِغَيْرِ حَقِّهَا إِلَّا سَأَلَهُ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ عَنْهَا قِيلَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ ! وَمَا حَقُّهَا؟ قَالَ: يَذْبَحُهَا فَيَأْكُلُهَا وَلَا يَقْطَعُ رَأْسَهَا يَرْمِي بِهَا

Maksudnya: “Tidaklah seseorang membunuh burung ‘usfur dan yang lebih besar daripadanya (burung tersebut) tanpa hak melainkan Allah SWT akan bertanya mengenainya. Ditanya: ‘Wahai Rasulullah! Apakah haknya?’ Baginda menjawab: ‘Haknya adalah menyembelihnya, kemudian memakannya. Dan tidak memotong kepalanya (membunuhnya), kemudian membuangnya.’”

Riwayat al-Nasa’i (4349); al-Darimi (1978); al-Zahabi menyatakan dalam al-Muhazzab (7/3614), sanadnya adalah baik.[2]

Syeikh Ibn Soleh al-‘Uthaimin menyatakan, ini menunjukkan hukumnya adalah makruh, dan jika dikatakan hukumnya adalah haram, maka terdapat alasan kukuh bagi perkara itu kerana ia termasuk dalam perbuatan yang sia-sia, pembaziran harta dan membuang masa. (Lihat al-Syarh al-Mumti‘, 15/98).

Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani menyebutkan, jika dia tidak bermaksud untuk mengambil manfaat daripadanya, maka ia adalah haram. Hal ini kerana ia termasuk dalam melakukan kerosakan di atas muka bumi, dengan mensia-siakan nyawa. (Lihat Fath al-Bari, 9/602).

Tambahan lagi, dalam Fatawa al-Lajnah al-Da’imah (22/512) turut dinyatakan, adapun membunuh burung hanyalah untuk bermain-main dan bersuka ria (dan bukannya untuk mengambil manfaat daripadanya seperti untuk dimakan), maka ia adalah dilarang (yakni haram) kerana terdapat padanya unsur mensia-siakan harta, di samping penyeksaan haiwan, dan Nabi SAW melarang perbuatan tersebut.

Larangan menyakiti dan menzalimi haiwan turut dinyatakan dalam hadith, di mana seorang wanita telah diazab dan ditempatkan di dalam neraka kerana perbuatannya yang zalim terhadap seekor kucing. Rasulullah SAW telah bersabda:

عُذِّبَتِ امْرَأَةٌ فِي هِرَّةٍ حَبَسَتْهَا، حَتَّى مَاتَتْ جُوعًا، فَدَخَلَتْ فِيهَا النَّارَ

Maksudnya:Seorang perempuan telah diazab disebabkan seekor kucing yang dia kurung sehingga ia mati kelaparan. Maka wanita tersebut masuk ke dalam neraka disebabkannya.

Riwayat al-Bukhari (2365)

Kesimpulannya

Oleh itu, berdasarkan kepada kenyataan dan perbincangan di atas, kami berpendapat tidak salah menjadikan aktiviti memburu burung sebagai hobi dengan syarat burung yang diburu itu dimanfaatkan dengan memakannya, memberi sebagai hadiah kepada orang lain dan seumpamanya, dan tidak disia-siakan kerana mensia-siakannya termasuk dalam perbuatan yang dilarang.

Sekalipun begitu, keharusan aktiviti memburu ini juga terikat dengan undang-undang sesebuah negara kerana ia melibatkan lesen pemburuan, lesen memiliki senjata api, burung-burung yang boleh diburu dan yang dilarang daripada diburu, kawasan hutan yang dibenarkan untuk memburu dan sebagainya.

Sebagai maklumat tambahan berkenaan hukum memburu, para pembaca juga bolehlah merujuk kepada artikel kami mengenainya dalam Ahkam Syar‘iyyah yang bertajuk: #1300: Memburu Haiwan dengan Senapang[3] dan #1394: Memburu Haiwan dengan Senjata Tajam yang Beracun.[4]

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Wallahu a‘lam.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا ، وَرِزْقًا طَيِّبًا ، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, aku memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.” 

[1] Lihat https://en.wikipedia.org/wiki/Hobby. Diakses pada 24 Julai 2023.

[2] Begitu juga Ibn al-Mulaqqin menilainya sebagai sahih dalam al-Badr al-Munir (9/376). Manakala Ibn Kathir dalam Irsyad al-Faqih (1/368) menilainya sebagai hasan, dan begitu juga ia dinilai sebagai hasan dalam Sahih al-Targhib (1092).

[3] Lihat https://maktabahalbakri.com/1300-memburu-haiwan-dengan-senapang/. Diakses pada 24 Julai 2023.

[4] Lihat https://maktabahalbakri.com/1395-memburu-haiwan-dengan-senjata-tajam-yang-beracun/. Diakses pada 24 Julai 2023.

Bertarikh: 3 Ogos 2023 bersamaan 16 Muharram 1445 H