#2449: Memburu Haiwan dengan Lastik

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Bolehkah kita memburu haiwan kecil seperti burung, ayam dan seumpamanya dengan cara melastiknya? Adakah ia halal untuk dimakan? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Sebelum kami menjawab soalan ini, kami andaikan melastik yang dimaksudkan adalah sebagaimana yang kita ketahui iaitu sejenis alat lontaran kecil yang menggunakan tangan. Ia berbentuk Y dengan dua jalur getah disambungkan pada dua bahagian atas kerangka tersebut. Hujung satu lagi bagi kedua-dua jalur getah disambungkan pada kantung yang memegang bahan lontaran. Kantung ini digenggam oleh tangan yang lebih dominan dan ditarik ke belakang untuk menghasilkan cukup kuasa untuk lontaran (sehingga sedepa jika dipasang dengan jalur yang cukup panjang).

Biasanya ia menggunakan batu sebagai pelurunya. Ada juga lastik yang menembak bahan lontaran logam, seperti bebola senapang lantak plumbum, atau alas bebola keluli, lastik boleh digunakan untuk menembak haiwan seperti puyuh, burung kuang, arnab dan burung merpati. Meletakkan beberapa bebola sekaligus di dalam kantung boleh menghasilkan kesan senapang patah. Dengan pengubahsuaian struktur, lastik juga boleh menembak anak panah, membolehkan pemburuan jarak pendek dilakukan.[1]

Pada asasnya, memburu dengan menggunakan alat-alat atau senjata yang tajam bagi menghalalkan haiwan yang diburu mempunyai dua syarat:

Pertama, pemburu mestilah menyebut nama Allah SWT pada alat tersebut ketika menggunakannya atau memukul dengannya bertepatan dengan ajaran Nabi SAW berdasarkan hadith-hadith. Di antaranya riwayat daripada Abu Tha‘labah al-Khusyani, katanya: Aku bertanya:

يَا نَبِيَّ اللَّهِ، إِنَّا بِأَرْضِ قَوْمٍ مِنْ أَهْلِ الكِتَابِ، أَفَنَأْكُلُ فِي آنِيَتِهِمْ؟ وَبِأَرْضِ صَيْدٍ، أَصِيدُ بِقَوْسِي، وَبِكَلْبِي الَّذِي لَيْسَ بِمُعَلَّمٍ وَبِكَلْبِي المُعَلَّمِ، فَمَا يَصْلُحُ لِي؟ قَالَ: أَمَّا مَا ذَكَرْتَ مِنْ أَهْلِ الكِتَابِ، فَإِنْ وَجَدْتُمْ غَيْرَهَا فَلاَ تَأْكُلُوا فِيهَا، وَإِنْ لَمْ تَجِدُوا فَاغْسِلُوهَا وَكُلُوا فِيهَا. وَمَا صِدْتَ بِقَوْسِكَ فَذَكَرْتَ اسْمَ اللَّهِ فَكُلْ. وَمَا صِدْتَ بِكَلْبِكَ المــُعَلَّمِ، فَذَكَرْتَ اسْمَ اللَّهِ فَكُلْ، وَمَا صِدْتَ بِكَلْبِكَ غَيْرِ مُعَلَّمٍ فَأَدْرَكْتَ ذَكَاتَهُ فَكُلْ

Maksudnya: “Wahai Nabi Allah, sesungguhnya kami berada di negeri Ahli Kitab, maka bolehkah kami makan menggunakan bekas-bekas mereka? (Kami juga berada) di negeri (yang ada banyak) binatang buruan. Aku berburu menggunakan busurku, anjingku yang tidak terlatih dan anjingku yang terlatih, maka apakah yang boleh untukku (dibenarkan untuk makan)? Baginda SAW bersabda: ‘Adapun apa yang kamu sebutkan berkenaan dengan Ahli Kitab, sekiranya kamu mempunyai (bekas-bekas) selain daripadanya, maka janganlah kamu makan menggunakannya. Sekiranya kamu tidak mempunyai (bekas-bekas lain), maka cucilah ia dan makanlah menggunakan bekas-bekas tersebut. Apa sahaja (haiwan buruan) yang kamu buru menggunakan busur dan kamu telah menyebut nama Allah, maka makanlah. Apa sahaja (haiwan buruan) yang kamu buru menggunakan anjingmu yang terlatih dan kamu telah sebutkan nama Allah, maka makanlah. Dan apa sahaja (haiwan buruan) yang kamu buru menggunakan anjing kamu yang tidak terlatih serta kamu sempat menyembelihnya (haiwan buruan tersebut), maka makanlah.’

Riwayat al-Bukhari (5478)

Hadith di atas dapat difahami bahawa haiwan buruan yang terkena anak panah yang dilempar dengan bantuan busur dan disebutkan nama Allah ketika hendak melempar anak panah tersebut adalah halal untuk dimakan. (Lihat Mirqah al-Mafatih, 6/ 2645).

Ini juga jelas dapat dilihat melalui hadith ‘Adi bin Hatim R.A yang bertanya kepada Nabi SAW:

أُرْسِلُ كَلْبِي فَأَجِدُ مَعَهُ كَلْبًا آخَرَ؟ قَالَ: لاَ تَأْكُلْ، فَإِنَّكَ إِنَّمَا سَمَّيْتَ عَلَى كَلْبِكَ وَلَمْ تُسَمِّ عَلَى آخَرَ

Maksudnya:Aku telah melepaskan anjingku dan (kemudiannya) aku mendapati ada anjing lain bersamanya? Baginda bersabda: ‘Janganlah kamu makan kerana sesungguhnya engkau telah menyebut (nama Allah) untuk anjingmu sahaja dan engkau tidak menyebut (nama Allah) untuk anjing yang lain.’

Riwayat al-Bukhari (5476)

Oleh itu, termasuklah juga alat-alat pemburuan yang lain seperti lembing dan seumpamanya, wajib disebut nama Allah SWT sebelum melemparkannya atau melepaskannya.

Kedua, senjata itu mestilah tertusuk ke dalam badan binatang buruan tersebut lalu mati dengan sebab ketajaman dan tikaman alat tersebut bukan kerana beratnya. Hal ini adalah sebagaimana hadith daripada riwayat ‘Adi bin Hatim R.A, katanya: Aku bertanya kepada Rasulullah SAW tentang (hukum memburu dengan menggunakan) al-Mi‘radh. Lalu Baginda bersabda:

إِذَا أَصَبْتَ بِحَدِّهِ فَكُلْ، فَإِذَا أَصَابَ بِعَرْضِهِ فَقَتَلَ فَإِنَّهُ وَقِيذٌ فَلاَ تَأْكُلْ

Maksudnya: “Sekiranya kamu memperolehi (binatang buruan tersebut) dengan bahagiannya yang tajam (yakni yang terkena pada haiwan itu), maka makanlah ia. Tetapi sekiranya ia mengenai haiwan buruan itu dengan sisinya (yang tumpul) lalu membunuhnya, maka sesungguhnya ia ialah waqiz.[2] Oleh itu, janganlah kamu makan.”

Riwayat al-Bukhari (5476)

Al-Qastalani menyebutkan, hadith ini menjelaskan mengenai hukum berburu dengan alat yang dipanggil mi‘radh iaitu kayu yang bahagian atasnya seperti sampak[3] yang mana para penunggang kuda akan melemparnya ke arah binatang buruan. Boleh jadi besi itu akan mengenai haiwan tersebut lalu membunuhnya dan menumpahkan darahnya. Oleh itu, harus untuk memakan haiwan itu sebagaimana (ia terkena) pedang dan tombak. Namun, boleh jadi juga kayu yang akan mengenainya, lalu menghempapnya (dan ia mati disebabkan oleh perkara tersebut).

Maka Rasulullah SAW bersabda, jika kamu memperolehi binatang buruan itu dengan bahagian mi‘radh yang tajam, maka makanlah ia kerana sesungguhnya ia adalah sembelihannya. Namun, jika mi‘radh itu mengenai binatang pada bahagian sisinya iaitu selain bahagian bucunya yang tajam, lalu ia terbunuh (dengan sebab tersebut), maka ia adalah waqiz kerana ia semakna dengan kayu yang berat atau batu. Oleh sebab itu, binatang tersebut tidak boleh dimakan kerana ia sudah dikira sebagai bangkai. (Lihat Irsyad al-Sari, 8/257).

Kesimpulannya

Berbalik kepada soalan yang diajukan, kami berpendapat bahawa jika lastik itu menggunakan batu, tanah liat atau benda seumpamanya sebagai peluru, maka haiwan yang mati akibat terkenanya dikira sebagai bangkai kerana ia mati akibat hentakkan atau ledakkan peluru-peluru tadi dan bukannya disebabkan ketajaman pelurunya. Hal ini kerana benda-benda yang dijadikan sebagai peluru itu sifatnya bukan tajam dan kebiasaannya ia tidak menembusi. Namun, jika peluru yang digunakan bersifat tajam seperti anak panah dan ia mati disebabkan oleh tusukan bahagiannya yang tajam, maka ia adalah halal untuk dimakan dengan syarat dibacakan nama Allah ketika melepaskan peluru tersebut.

Begitu juga sekiranya haiwan yang dilastik dengan batu atau seumpamanya itumasih lagi mempunyai nyawa (hayah mustaqirrah),[4] maka pemburu hendaklah segera menyembelih binatang buruan tersebut seperti biasa iaitu pada bahagian leher dan ia adalah halal untuk dimakan. Ini adalah sebagaimana dinyatakan oleh al-Sarakhsi bahawa diriwayatkan daripada seseorang, katanya: Ada sebahagian penduduk suatu tempat memiliki burung unta, lalu seseorang telah memukulnya dengan teruk, lalu mencampakkannya ke tempat pembuangan sampah dan ia masih lagi hidup. Maka, kami bertanya kepada Sa‘id bin Jubair dan beliau menjawab: “Sembelihlah ia dan makanlah.” Inilah juga pendapat kami kerana haiwan yang dipukul jika sempat untuk menyembelihnya (sebelum ia mati) adalah halal untuk dimakan berdasarkan kepada firman Allah SWT:

إِلَّا مَا ذَكَّيْتُمْ

Maksudnya: “kecuali yang sempat kamu sembelih (sebelum habis nyawanya).

(Surah al-Ma’idah: 3)

Hal ini juga kerana terhasilnya apa yang dimaksudkan iaitu mengalirnya darah najis (dari haiwan itu melalui sembelihan syar‘i). (Lihat al-Mabsut, 11/222).

Sekalipun begitu, keharusan aktiviti memburu ini juga terikat dengan undang-undang sesebuah negara kerana ia melibatkan lesen pemburuan, lesen memiliki senjata api, haiwan-haiwan terancam yang dilindungi, haiwan-hawian yang boleh diburu, kawasan hutan yang dibenarkan untuk memburu dan sebagainya.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Wallahu a‘lam.

 

[1] Lihat https://ms.wikipedia.org/wiki/Lastik. Diakses pada 24 Julai 2023.

[2] Waqiz ialah haiwan yang dihukum sebagai bangkai kerana telah dibunuh bukan dengan menggunakan senjata yang tajam, tetapi yang dipukul sehingga mati.

[3] Sampak ialah simpai daripada logam (besi, emas, dll) yang dipasang pada hulu pisau dan lain-lain supaya jangan pecah. (Lihat https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=sampak. Diakses pada 11 April 2023).

[4] Tanda sembelihan bagi binatang hayah mustaqirrah, apabila binatang itu disembelih, darahnya memancut dan ia mengelupur apabila dilepaskan.

Bertarikh: 3 Ogos 2023 bersamaan 16 Muharram 1445 H