Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. saya ingin bertanya, apa hukum kerja dengan syarikat yang membuat kotak untuk kilang arak? Ia bukan syarikat yang jual secara langsung arak itu, cuma dia membuat printing untuk bungkusan arak tersebut.
Jawapan:
Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ مِّنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.”
(Surah al-Ma’idah: 90)
Bahkan setiap perkara yang terkait dengan arak hanya mendorong kepada kemurkaan dan laknat daripada Allah SWT. Sehinggakan telah datangnya sebuah hadith yang menyatakan bahawa Rasulullah SAW melaknat 10 golongan kerana arak, seperti mana yang diriwayatkan daripada Abdullah bin ‘Umar R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:
لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ فِي الْخَمْرِ عَشَرَةً: عَاصِرَهَا، وَمُعْتَصِرَهَا، وَشَارِبَهَا، وَحَامِلَهَا، وَالْمَحْمُولَةِ إِلَيْهِ، وَسَاقِيهَا، وَبَائِعِهَا، وَآكِلُ ثَمَنِهَا، وَالْمُشْتَرِي لَهَا، وَالْمُشْتَرَى لَهُ
Maksudnya: “Rasulullah melaknat sepuluh orang yang terkait dengan arak: orang yang memerahnya, orang yang meminta diperahkannya, orang yang meminumnya, orang yang membawanya, orang yang meminta dibawakannya, orang yang memberi minumnya, penjualnya, orang yang makan hasil jualannya, pembelinya, dan orang yang dibelikan untuknya.”
Riwayat al-Tirmizi (1295) dan Ibn Majah (3381)
Berkenaan arak, kami telah membahaskannya sebelum ini dalam artikel-artikel berikut:
#2111: Mengendalikan Projek yang Berkaitan dengan Arak[1]
#1110: Bekerja di Kedai yang Menjual Arak[2]
#1411: Pelanggan Syarikat Arak[3]
Berbalik kepada soalan di atas, kami nyatakan sebaiknya jika diketahui syarikat tersebut melibatkan penjualan, penyimpanan arak, pembungkusan arak dan seumpamanya, maka cubalah berbincang dan mendapatkan budi bicara daripada majikan agar anda dikecualikan daripada projek pembungkusan kotak arak tersebut. Akan tetapi, jika anda tetap dituntut untuk mengendalikan projek tersebut, maka tinggalkanlah dan usahalah mencari pekerjaan yang tidak mempunyai syak wasangka pada keharusannya menurut syara‘. Nescaya Allah SWT akan menggantikan dengan pekerjaan yang lebih baik dan diberkati.
Kami mendoakan agar urusan saudara yang bertanya sentiasa dipermudahkan dalam mendepani ujian ini. Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً
Maksudnya: “Ya Allah, aku memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”
Riwayat Ibn Majah (925), al-Nasa’ie dalam al-Sunan al-Kubra (9930) dan Ahmad (26602)
Wallahu a‘lam
[1] https://maktabahalbakri.com/2111-mengendalikan-projek-yang-berkaitan-dengan-arak/
[2] https://maktabahalbakri.com/1110-bekerja-di-kedai-yang-menjual-arak/
[3] https://maktabahalbakri.com/1411-pelanggan-syarikat-arak/
Bertarikh: 3 Ogos 2023 bersamaan 16 Muharram 1445 H