Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya mengenai sembahyang orang yang telah koma dan mengalami kecederaan Traumatic Brain Injury (TBI), ayah saya baru lepas kemalangan motosikal dan Dr sahkan ayah mengalami TBI, keadaan nya sekarang setelah koma 2 minggu lebih adalah memori beliau bercampur-campur, banyak lupa tapi ada beberapa perkara yang dia ingat, tapi pada masa yang sama, dia boleh lupa perkara yang dia ingat, dan ingat perkara yang dia lupa. Apabila bertutur juga beliau sering melompat-lompat topik dan tiada fokus. Namun begitu, beliau juga ada keinginan untuk sembahyang, tetapi bergantung kepada mood beliau yang tidak consistent. Jadi persoalan saya adalah adakah wajib bagi ayah saya untuk menunaikan solat? Adakah juga beliau wajib ganti solat yang tertinggal selama ini? Apakah kayu ukur yang saya boleh gunakan untuk mengenal pasti bahawa ayah saya sudah cukup berakal untuk hukum wajib sembahyang jatuh kepadanya? Terima kasih banyak
Jawapan:
Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.
Definisi Traumatic Brain Injury (TBI)
Kecederaan otak (TBI) berlaku akibat daripada kemalangan jalanraya, dipukul dan terjatuh. Ia juga boleh berlaku disebabkan oleh objek seperti peluru yang menembusi dan memecahkan bahagian tisu otak. Kecederaan otak diklasifikasikan berdasarkan keterukan,mekanisma dan bahagian otak yang tercedera. (Lihat Portal Kementerian Kesihatan Malaysia)
Kami nukilkan di sini definisi nyanyuk berdasarkan laman web Kementerian Kesihatan Malaysia:
Dementia / Nyanyuk adalah penurunan fungsi intelektual yang berlaku sehingga boleh menyebabkan pesakit tidak berupaya melakukan aktiviti harian yang biasa. Penurunan daya ingatan merupakan ciri utama dementia / nyanyuk. Berbanding delirium, dementia adalah kekeliruan dan penurunan fungsi intelektual yang berlaku secara perlahan-lahan dalam tempoh masa beberapa bulan atau tahun, progresif dan kebanyakan perubahan adalah kekal.
Dementia / nyanyuk boleh dikategorikan sebagai jenis yang boleh dipulihkan atau jenis yang tidak boleh dipulihkan.
Sebab-sebab Dementia / nyanyuk yang tidak boleh dipulihkan termasuklah:
- Penyakit Alzheimer’s
- Angin ahmar
Sebab-sebab Dementia yang berpotensi untuk dipulihkan termasuklah:
- Kelenjar Tiroid kurang berfungsi.
- Kekurangan vitamin seperti vitamin B12 dan asid folik.
- Jangkitan seperti neurosifilis.
- Gangguan Metabolik seperti kandungan urea yang tinggi di dalam darah.
Kami mulakan perbahasan ini dengan sabda Nabi SAW:
رُفِعَ القَلَمُ عَنْ ثَلَاثَةٍ: عَنِ النَّائِمِ حَتَّى يَسْتَيْقِظَ، وَعَنِ الصَّبِيِّ حَتَّى يَشِبَّ، وَعَنِ المَعْتُوهِ حَتَّى يَعْقِلَ
Maksudnya: “Diangkat pena daripada tiga golongan: Orang yang tidur sehingga dia bangun, daripada bayi sehingga dia remaja (baligh) dan daripada orang yang cacat mental sehingga dia berakal.”
Riwayat al-Tirmizi (1423) dan Ahmad (956)
Syeikh al-Mubarakfuri menyatakan maksud “المَعْتُوهِ” sebagai gila atau yang seumpama dengannya. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 4/570). Ibn Abidin di dalam hasyiahnya menjelaskan bahawa para ahli usul telah menjelaskan bahawa hukum bagi orang “المَعْتُوه” ini seperti bayi yang mumayyiz serta berakal pada kelakuannya dan terangkat tanggungjawabnya (terlepas daripada beban tanggungjawab). (Lihat Hasyiah Ibn Abidin, 2/426)
Berkenaan isu nyanyuk ini, kami telah jelaskan dalam artikel sebelum ini:
#1136: Puasa Orang Nyanyuk[1]
Berbalik kepada soalan di atas, maka kami nyatakan sekiranya seseorang itu sedar dari penyakit nyanyuknya(tidak nyanyuk), maka wajib baginya solat seperti biasa. Namun demikian, ketika dia nyanyuk, maka tidak wajib baginya solat kerana ketika itu dia sudah tidak lagi mukallaf. Manakala, dari sudut qadha, kami nyatakan tidak perlu baginya ganti kerana ketika itu dia tidak mukallaf kerana syarat wajib solat adalah Islam, baligh, berakal dan suci dari hadas. (Lihat al-Mu`tamad fi al-Fiqh al-Syafie, 1/153)
Adapun, jika sekiranya dia nyanyuk namun masih boleh memahami untuk solat, maka bantulah dia untuk solat seperti menjaga rakaatnya dan seumpamanya.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas dalam beribadah kepada kita semua dan kami akhiri dengan doa :
رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ
Maksudnya: ““Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”
(Surah Ibrahim :40)
Wallahua’lam
[1] https://maktabahalbakri.com/33570-2/
Bertarikh: 3 Ogos 2023 bersamaan 16 Muharram 1445 H