#2462: Lelaki Memakai Jam Tangan dengan Niat Berhias

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada satu soalan. Bolehkah seseorang lelaki memakai jam tangan dan pada masa yang sama dia memakainya bagi tujuan berhias kerana bukankah ia menyerupai perhiasan wanita? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Secara umumnya agama Islam melarang penganutnya dalam kalangan lelaki untuk menyerupai wanita melalui pemakaian barang perhiasan yang hanya dikhususkan untuk wanita. Dinyatakan di dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah bahawa tiada khilaf dalam kalangan fuqaha’ akan pengharaman bagi lelaki menyerupai wanita dari sudut pergerakan badan, kelembutan kata-kata, perhiasan, pakaian dan lain-lain yang khas bagi wanita dari sudut adat dan tabiat. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 11/267).

Hal ini adalah berdasarkan riwayat daripada Abu Hurairah R.A bahawa:

أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ  لَعَنَ الرَّجُلَ يَلْبَسُ لِبْسَةَ الْمَرْأَةِ، وَالْمَرْأَةَ تَلْبَسُ لِبْسَةَ الرَّجُلِ

Maksudnya: “Sesungguhnya Rasulullah SAW melaknat seorang lelaki yang memakai pakaian wanita, dan seorang wanita yang memakai pakaian lelaki.

Riwayat al-Bukhari (5435) dan Ahmad (8309)

Badr al-Din al-‘Aini ketika mengulas hadith di atas menyebutkan, (celaan ini) adalah pada perbuatan orang lelaki menyerupai orang perempuan dari sudut pakaian dan juga perhiasan yang khusus buat orang perempuan seperti memakai serkup kepala, rantai, gelang, gelang kaki, dan juga anting-anting. (Lihat ‘Umdah al-Qari, 22/41).

Dalam riwayat yang lain, daripada Ibn Abbas R.Anhuma, beliau berkata:

لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم الْمُتَشَبِّهِينَ مِنَ الرِّجَالِ بِالنِّسَاءِ، وَالْمُتَشَبِّهَاتِ مِنَ النِّسَاءِ بِالرِّجَالِ

Maksudnya: “Rasulullah SAW melaknat golongan lelaki yang menyerupai orang perempuan dan juga golongan perempuan yang menyerupai orang lelaki.”

Riwayat al-Bukhari (5885)

Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani ketika mensyarahkan hadith ini menukilkan pendapat al-Tabari yang menyebutkan, tidak boleh bagi orang lelaki untuk menyerupai orang perempuan dari segi pakaian, serta perhiasan yang khusus bagi orang perempuan dan demikian juga sebaliknya (tidak boleh bagi orang perempuan menyerupai orang lelaki). Kemudian, beliau menambah lagi, adapun keadaan atau bentuk pakaian itu adalah berbeza-beza mengikut perbezaan setiap negeri. Boleh jadi sesuatu kaum itu pakaian orang perempuan mereka tidak berbeza dengan pakaian orang lelaki mereka, tetapi orang perempuan dibezakan dengan hijab dan juga pakaian yang bertutup. (Lihat Fath al-Bari, 10/332).

Begitu juga Ibn Hajar al-Haitami turut menyatakan bahawa antara bentuk menyerupai wanita adalah memakai perhiasan yang dikhususkan kepada wanita dan yang dilazimi oleh mereka, seperti gelang tangan dan gelang kaki. Adapun cincin maka diharuskan bagi lelaki memakainya. (Lihat al-Fatawa al-Fiqhiyyah al-Kubra, 1/261).

Selain daripada itu, berkenaan hal perhiasan ini juga hendaklah dirujuk kepada ‘uruf dan adat setempat. Ini adalah sebagaimana yang disebutkan oleh Syeikh Mahmud al-Syalabi, anggota fatwa di Dar al-Ifta’ al-Misriyyah ketika ditanyakan berkenaan seorang lelaki yang memakai rantai perak. Beliau menambah lagi dalam jawapannya, syariat melarang lelaki menyerupai wanita dan wanita menyerupai lelaki, maka jika lelaki memakai rantai perak yang termasuk dalam masalah perhiasan dan masalah perhiasan pula hendaklah dirujuk kepada adat setempat. Jika adat setempat menunjukkan bahawa lelaki berhias dengan rantai tersebut, manakala wanita pula tidak berhias dengannya, maka pemakaiannya (bagi lelaki) adalah dibenarkan dan tidak mengapa. Akan tetapi jika sudah menjadi kebiasaan bahawa ini adalah sebahagian daripada perhiasan wanita, maka dalam hal ini tidak boleh bagi lelaki untuk berhias dengannya kerana dengan memakainya menjadikan lelaki itu termasuk dalam kalangan mereka yang menyerupai wanita, dan ini adalah diharamkan dan tidak dibenarkan.

Begitu juga Syeikh Muhammad Wisam, anggota fatwa di Dar al-Ifta’ al-Misriyyah turut menyatakan bahawa rantai perak termasuk dalam perhiasan wanita. Oleh itu, orang lelaki tidak boleh memakainya. Lebih-lebih lagi perkara-perkara berkaitan perhiasan ini tidak termasuk dalam akhlak (sifat dan ciri) kaum lelaki. Beliau menegaskan lagi bahawa rantai itu serupa dengan cincin dan jam tangan. Akan tetapi soal pakaian dan perhiasan mesti mengambil kira uruf setempat, adat dan tradisi. Jadi jika seseorang pemuda itu berada dalam lingkungan atau suasana yang mana menurut adat setempatnya lelaki memakai rantai (dan ia bukan perhiasan khusus buat wanita), maka tidak mengapa memakainya. Namun, jika dia berada dalam lingkungan atau suasana yang mana menurut adat setempatnya menolak perkara itu (pemakaian rantai sebagai perhiasan bagi lelaki), maka beliau berpendapat hendaklah dilarang seseorang pemuda itu daripada memakainya. Allah SWT memerintahkan hal tersebut melalui firman-Nya:

خُذِ الْعَفْوَ وَأْمُرْ بِالْعُرْفِ وَأَعْرِضْ عَنِ الْجَاهِلِينَ

Maksudnya: “Terimalah apa yang mudah engkau lakukan, dan suruhlah dengan perkara yang baik, serta berpalinglah (jangan dihiraukan) orang-orang yang jahil (yang degil dengan kejahilannya).

(Surah al-A‘raf: 199)[1]

Berbalik kepada soalan yang diajukan, secara umumnya seseorang lelaki dibenarkan atau diharuskan untuk memakai jam tangan dan tidak ada masalah memakainya kerana tidak syak lagi bahawa pemakaian jam tangan itu pada asalnya adalah kerana keperluan mengetahui waktu. Akan tetapi jika seorang lelaki itu memakai jam tangan bagi tujuan berhias, di samping tujuan asalnya untuk mengetahui waktu, maka dalam hal ini secara zahirnya ia dilihat menyerupai hukum seorang lelaki memakai cincin daripada besi. Ringkasnya, pemakaiannya adalah diharuskan. Imam al-Nawawi dalam syarahannya terhadap Sahih Muslim, hadith daripada riwayat Sahl bin Sa‘ad al-Sa‘idi, yang di dalamnya ada dinyatakan:

الْتَمِسْ وَلَوْ خَاتَمًاً مِنْ حَدِيدٍ

Maksudnya:Carilah sesuatu walaupun jika sebentuk cincin besi.

Riwayat al-Bukhari (5871) dan Muslim (1425)

Beliau menyebutkan, hadith ini menunjukkan keharusan untuk menggunakan cincin besi. Padanya terdapat khilaf dalam kalangan ulama salaf sebagaimana dinukilkan oleh al-Qadhi. Seterusnya bagi ashab kami (ulama mazhab Syafi‘i) berkenaan kemakruhan memakainya terdapat dua pendapat. Pendapat yang paling sahih, tidak makruh memakainya kerana hadith yang melarang daripadanya dinilai sebagai dha‘if (lemah). (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 9/213).

Selain itu, Ibn ‘Abd al-Bar dalam al-Tamhid (21/118) ketika membahaskan berkenaan hadith di atas turut menyebutkan bahawa padanya menunjukkan keizinan untuk menggunakan cincin besi. Tambahan lagi, Syeikh Ibn Baz dalam fatwanya turut menyatakan, memakai jam tangan adalah seperti memakai cincin, tidak mengapa dalam hal itu, Insya-Allah. Dalam ruangan yang lain, beliau juga ada menyatakan, jam tangan termasuk dalam alat perhiasan, kerana ia turut digunakan untuk kecantikan dan hiasan. (Lihat Majmu‘ Fatawa Ibn Baz, 17/125; 22/199).

Begitu juga Syeikh Ibn Soleh al-‘Uthaimin juga ada membahaskan mengenai perkara ini, iaitu adakah lelaki dibolehkan untuk memakai jam tangan yang bertatahkan perak atau emas? Beliau menjawab, mengikut pendapat yang kuat, orang lelaki dibolehkan untuk memakai jam tangan yang bertatahkan perak kerana hukum asal perak adalah diharuskan. Adapun memakai jam tangan yang bertatahkan emas adalah tidak dibolehkan bagi lelaki kerana emas diharamkan ke atas kaum lelaki. (Lihat al-Syarh al-Mumti‘, 6/118). Begitu juga dalam ruangan yang lain, beliau menyatakan bahawa jam tangan itu adalah salah satu jenis daripada perhiasan. (Lihat Fatawa Nur ‘ala al-Darb, 10/490).

Kesimpulannya

Oleh itu, berdasarkan kepada kenyataan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa tidak mengapa seorang lelaki memakai jam tangan sekalipun dengan niatnya untuk berhias kerana tujuan asal pemakaian jam tangan adalah bagi mengetahui waktu. Selain itu, jam tangan juga tidak dikhususkan hanya sebagai perhiasan untuk wanita, bahkan sudah menjadi adat dan ‘uruf setempat bahawa lelaki juga memakainya sebagai perhiasan, tanpa mengenepikan tujuan asalnya itu. Jadi, ini bertepatan dengan kaedah yang menyebutkan:

الْأَصْلُ فِي اللِّبَاسِ وَالزِّينَةِ الْإِبَاحَةُ

Maksudnya: “Hukum asal bagi pakaian dan perhiasan adalah diharuskan.” (Lihat al-Qawa’id al-Nuraniyyah oleh Ibn Taimiyyah, hlm. 164; Tafsir Ibn Kathir, 3/408; Tafsir Abi Su‘ud, 3/224; al-Ifham fi Syarh ‘Umdah al-Ahkam oleh Ibn Baz, hlm. 777).

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بكَ مِنْ زَوَالِ نِعْمَتِكَ، وَتَحَوُّلِ عَافِيَتِكَ، وَفُجَاءَةِ نِقْمَتِكَ، وَجَمِيعِ سَخَطِكَ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami berlindung kepada- Mu daripada hilangnya kenikmatan yang telah Engkau berikan, daripada berubahnya kesihatan yang telah Engkau anugerahkan, daripada seksa-Mu (bencana) yang datang secara tiba-tiba, dan daripada segala bentuk kemurkaan-Mu.”

Wallahu a‘lam.

[1] Lihat https://www.elbalad.news/4522909. Diakses pada 11 Julai 2023.

Bertarikh: 3 Ogos 2023 bersamaan 16 Muharram 1445 H