#2465: Siapa Yang Menetapkan Kalendar Hijriah dan Mengapa Ia Dimulakan Pada Bulan Muharram?

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya selalu mendengar bahawa kalendar hijrah ini ditetapkan berdasarkan peristiwa hijrah, jadi persoalan saya, siapakah yang menetapkan kalendar hijrah dan mengapa ia bermula pada bulan Muharram sedangkan peristiwa hijrah berlaku pada bulan Rabiul Awwal?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Allah SWT berfirman:

هُوَ الَّذِي جَعَلَ الشَّمْسَ ضِيَاءً وَالْقَمَرَ نُورًا وَقَدَّرَهُ مَنَازِلَ لِتَعْلَمُوا عَدَدَ السِّنِينَ وَالْحِسَابَ ۚ مَا خَلَقَ اللَّـهُ ذَٰلِكَ إِلَّا بِالْحَقِّ ۚ يُفَصِّلُ الْآيَاتِ لِقَوْمٍ يَعْلَمُونَ

Maksudnya: “Dia lah yang menjadikan matahari bersinar-sinar (terang-benderang) dan bulan bercahaya, dan Dia lah yang menentukan perjalanan tiap-tiap satu itu (berpindah-randah) pada tempat-tempat peredarannya masing-masing) supaya kamu dapat mengetahui bilangan tahun dan kiraan masa. Allah tidak menjadikan semuanya itu melainkan dengan adanya faedah dan gunanya yang sebenar. Allah menjelaskan ayat-ayatNya (tanda-tanda kebesaranNya) satu persatu bagi kaum yang mahu mengetahui (hikmat sesuatu yang dijadikanNya).”

(Surah Yunus: 5)

Perkataan takwim berasal daripada bahasa Arab bermaksud maklumat tahunan yang terdiri daripada tarikh, keadaan cuaca, maklumat astronomi, jadual pasang-surut dan maklumat-maklumat lain yang disusun dalam satu jadual. Takwim Hijriah merupakan takwim rasmi umat Islam dalam pelbagai urusan terutama dalam aspek ibadat. Ia adalah suatu sistem qamariah tulen berpandukan peredaran bulan mengelilingi bumi dan pengiraannya bermula daripada peristiwa Hijrah Nabi Muhammad SAW dari Makkah ke Yathrib (Madinah) pada tahun 622 Miladiah.

Pada zaman pra Islam, masyarakat Arab menamakan tahun-tahun dengan peristiwa-peristiwa penting atau peristiwa luar biasa yang terjadi pada tahun tersebut sebagaimana contoh-contoh berikut:

  • Pembinaan Kaabah oleh Nabi Ibrahim A.S. dan anaknya Nabi Ismail A.S. kira-kira pada tahun 1855 sebelum Miladiah.
  • Runtuhnya Empangan Ma’rib pada tahun 120 sebelum Miladiah.
  • Kewafatan Ka’ab bin Lu`ay iaitu datuk kepada Nabi Muhammad SAW yang ketujuh pada tahun 59 sebelum Miladiah.
  • Tahun Uzur pada 461 Miladiah kerana manusia pada tahun ini bertelagah sesama mereka.
  • Tahun Gajah iaitu apabila tentera bergajah Abrahah menyerang Makkah pada tahun 571 Miladiah.
  • Berlakunya Peperangan Fujjar selama empat tahun bermula daripada 586 Miladiah. Para qabilah Arab berperang sesama mereka termasuk pada bulan haram yang mana dilarang berperang dalamnya. Oleh sebab itu ia dinamakan peperangan Fujjar kerana bangsa Arab melanggar larangan pada bulan haram.

Tahun berlakunya peristiwa Hijrah dinamakan Tahun Azan kerana pada tahun tersebut disyariatkan azan, tahun kedua dinamakan Tahun Izin Berperang, tahun ketiga Tahun Puasa, keempat Tahun Zakat atau Tahun Korban, tahun kesembilan dinamakan Tahun Al-Bara`ah kerana pada tahun tersebut turunnya surah al-Baraah (al-Taubah), kesepuluh Tahun Wada’(perpisahan) ekoran Haji Wada’ Nabi Muhammad SAW.

Pada tahun kesepuluh selepas peristiwa Hijrah ini, semasa Haji Wada’, diturunkan ayat 36, surah al-Taubah berikutan penyalahgunaan kaum kafir dalam menetapkan susunan takwim bagi tujuan menjaga kepentingan mereka. Wahyu ini melarang campur tangan manusia sama ada secara peribadi atau untuk tujuan politik dalam soal pengaturan takwim. Firman Allah SWT:

إِنَّ عِدَّةَ الشُّهُورِ عِندَ اللَّـهِ اثْنَا عَشَرَ شَهْرًا فِي كِتَابِ اللَّـهِ يَوْمَ خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ مِنْهَا أَرْبَعَةٌ حُرُمٌ ۚ ذَٰلِكَ الدِّينُ الْقَيِّمُ ۚ فَلَا تَظْلِمُوا فِيهِنَّ أَنفُسَكُمْ ۚ وَقَاتِلُوا الْمُشْرِكِينَ كَافَّةً كَمَا يُقَاتِلُونَكُمْ كَافَّةً ۚ وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّـهَ مَعَ الْمُتَّقِينَ

Maksudnya: “Sesungguhnya bilangan bulan pada sisi Allah ialah dua belas bulan, dalam ketetapan Allah di waktu Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan haram. Itulah (ketetapan) agama yang lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan yang empat itu, dan perangilah kaum musyrikin itu semuanya sebagaimana mereka pun memerangi kamu semuanya; dan ketahuilah bahawasanya Allah beserta orang-orang yang bertakwa”.

(Surah al-Taubah: 36)

Sejarah Pengenalan Takwim Hijrah

Takwim Hijriah mula diperkenalkan pada tahun ke-17 selepas peristiwa Hijrah iaitu semasa pemerintahan Khalifah Islam kedua, Khalifah Umar Ibn al-Khattab dalam tahun 638 Miladiah. Penyusunan semula takwim Hijriah ini berlaku apabila beliau menerima tiga pucuk surat yang telah mengelirukan iaitu:

  • Surat daripada Abu Musa al-Ashaari dengan tidak disebutkan tarikhnya;
  • Sepucuk surat daripada Gabenornya di Mesir yang mencatatkan ‘bulan Syaaban’ dengan tidak pula menyebutkan bilangan tahun;
  • Beliau juga telah menerima sepucuk surat dari seorang sahabat Rasulullah SAW bernama Ya’la bin Umayyah dari Yaman yang mencatatkan tarikh, nama bulan serta tahun yang diasaskan dari tarikh Hijrah Nabi Muhammad SAW
  • Khalifah Umar R.A. telah tertarik dengan susunan tarikh yang ditulis Ya’la ibni Umayyah. Beliau kemudian mengadakan mesyuarat dengan para sahabat pada hari Rabu, 20 Jamadilakhir tahun 17 Hijriah dan memutuskan bahawa takwim Islam disusun semula bermula pada tarikh Hijrah Nabi Muhammad SAW ke Madinah. Tarikh 01 Muharram tahun 01 Hijriah adalah bersamaan dengan hari Jumaat 16 Julai 622 Miladiah.

Sejarah penetapan tahun hijrah ini mencakupi berdirinya negara Islam dengan berhijrahnya Nabi SAW ke Madinah, berkumpulnya orang-orang di sekeliling baginda dengan memeberikan dukungan kepada baginda, didirikan masjid, dan hal-hal lain yang berkaitan dengan hijrah. Sebelum berlakunya hijrah, umat Islam tidak memiliki negara dan tidak ada sistem yang boleh menyatukan mereka.

Para Sahabat R.Anhum bersepakat pada tahun keenam belas hijrah, atau disebutkan juga pada tahun ketujuh belas atau kelapan belas dalam pemerintahan Umar R.A dalam menetapkan awal tarikh Islam dari tahun hijrah. Hal ini kerana Amir al-Mukminin Umar R.A diberi sebuah perkara untuk memutuskan antara dua orang mempunyai masalah hutang yang perlu diselesaikan pada bulan Sya’ban, tetapi tidak diketahui pada Sya’ban tahun yang mana. Kemudian Umar R.A bertanya, “Sya’ban yang mana? Sya’ban pada tahun ini, tahun lalu, atau tahun depan?” Lalu, beliau mengumpulkan para Sahabat untuk berbincang dan meminta nasihat dalam menetapkan tarikh yang akan diakui oleh semua orang, termasuk dalam pembayaran hutang dan urusan lainnya. Beberapa daripada kalangan mereka mengusulkan untuk mengikuti tarikh orang Farsi, namun pendapat itu ditolak. Ada yang mengusulkan untuk mengikuti tarikh orang Rom, namun itu juga ditolak. Kemudian ada yang mengusulkan untuk mengikuti tarikh berdasarkan kelahiran Nabi Muhammad SAW, ada juga yang mengusulkan berdasarkan diutusnya baginda SAW sebagai Rasul, ada yang mengusulkan berdasarkan hijrah baginda SAW, dan ada juga yang mengusulkan berdasarkan wafatnya Nabi SAW.

Akhirnya, Umar R.A cenderung pada pendapat yang mencadangkan tarikh berdasarkan tahun hijrah karena menganggapnya lebih tepat. Keputusan ini disokong oleh semua para sahabat yang ada ketika itu. Tujuan mereka adalah menetapkan awal tarikh Islam bermula dari tahun hijrah, dan menjadikan awal tarikhnya bermula bulan Muharram, dan ini adalah pendapat majoriti para imam agar pengurusan menjadi tersusun dan tidak bercelaru. (Lihat al-Bidayah wa al-Nihayah, 3/251-253)

Diriwayatkan daripada Sahl bin Sa‘d, katanya:

 مَا عَدُّوا مِنْ مَبْعَثِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَلاَ مِنْ وَفَاتِهِ، مَا عَدُّوا إِلَّا مِنْ مَقْدَمِهِ المَدِينَةَ

Maksudnya: “Tidaklah para sahabat menghitung tarikh bulan bermula daripada pengutusan Nabi SAW atau kewafatan Baginda. Tidak juga mereka hitung tarikh melainkan (bermula) daripada waktu kedatangan Baginda ke Madinah.”

 Riwayat al-Bukhari (3934)

Ibn Hajar al-Asqalani berkata: “Sebahagian daripada mereka menunjukkan kesesuaian awal era Islam dengan hijrah, dengan alasan bahawa ada empat kejadian yang boleh dijadikan tarikh permulaan tahun Islam iaitu kelahiran Nabi, diutusnya baginda sebagai Rasul, hijrah, dan wafatnya. Maka mereka menetapkan supaya tahun hijrah dijadikan sebagai tahun awal Islam. Ini disebabkan kerana tahun baginda dilahirkan dan dilantik menjadi rasul tidak terkecuali daripada perselisihan pendapat dalam menentukan tahunnya, manakala waktu kewafatan Nabi SAW, mereka mengelak daripada menggunakannya sebagai rujukan kerana dengan mengingati tarikh tersebut akan menimbulkan kesedihan yang mendalam bagi umat Islam. Maka mereka memilih tahun hijrah untuk dijadikan tahun pertama dalam Islam. Dan mereka menentukan waktu itu dari Rabi’ul Awal ke Muharram kerana keputusan untuk berhijrah telah diambil pada bulan Muharram. Pada waktu itu, Bai’ah itu berlaku pada bulan Zulhijjah yang merupakan muqaddimah kepada hijrah. Jadi, anak bulan (hilal) yang pertama muncul adalah setelah berlakunya Bai’ah al-’Aqabah dan keazaman untuk berhijrah adalah pada bulan Muharram. Oleh sebab itu, ia dipandang sesuai untuk menjadikannya sebagai titik permulaan, dan ini adalah pendekatan yang paling kukuh yang telah mereka sepakati untuk menetapkan permulaan bulan Muharram sebagai kalendar Islam.” (Lihat Fath al-Bari, 7/268)

Al-Hakim meriwayatkan daripada Sa’id bin al-Musayyib, katanya:

جَمَعَ عُمَر النَّاس فَسَأَلَهُمْ عَنْ أَوَّل يَوْم يَكْتُب التَّارِيخ , فَقَالَ عَلِيّ : مِنْ يَوْم هَاجَرَ رَسُول اللَّه صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَتَرَك أَرْض الشِّرْك , فَفَعَلَهُ عُمَر

Maksudnya: “Umar mengumpulkan orang-orang dan bertanya kepada mereka tentang hari pertama dalam penulisan tarikh. Ali berkata: ‘Dari hari Nabi SAW berhijrah meninggalkan tanah kesyirikan.’ Umar lalu melakukannya.” 

Riwayat al-Hakim dalam al-Mustadrak (3/15)

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami katakan bahawa Kalendar Hijrah ini ditetapkan pada zaman pemerintahan Umar R.A bersama dengan perbincangan para sahabat R.Anhum. Manakala sebab bulan Muharram dipilih sebagai permulaan kalendar hijrah adalah kerana bulan Muharram merupakan bulan bermulanya keazaman untuk berhijrah sebagaimana yang disebut oleh Ibn Hajar al-Asqalani. 

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اجْعَلْ خَيْرَ أَعْمَارِنَا أَوَاخِرَهَا، وَخَيْرَ أَعْمَالِنَا خَوَاتِهَا، وَاجْعَلْ خَيْرَ أَيَّامِنَا يَوْمَ نَلْقَاكَ

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah sebaik-baik umur kami adalah pada penghujungnya, dan sebaik-baik amalan kami sebagai penutupnya. Dan jadikanlah sebaik-baik hari kami, adalah hari dimana kami berjumpa dengan-Mu kelak.”

Bertarikh: 3 Ogos 2023 bersamaan 16 Muharram 1445 H