#2467: Surau Azan Selepas 20 Minit

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Mohon penjelasan isu apakah hukum jika surau di kawasan perumahan kerap lewat azan dalam tempoh 20 minit menggunakan pembesar suara. Kadangkala kita sudah solat. Tiba-tiba azan pula. Mohon kupas isu ni. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Pensyariatan azan pula adalah untuk memanggil orang-orang Islam untuk menunaikan solat fardhu secara berjemaah di Masjid. Pensyariatan azan ini berlaku pada tahun pertama hijrah. (Lihat Fiqh al-Manhaji, 1/338)

Asal usul lafaz azan ini disyariatkan apabila terdapat dua orang sahabat pada zaman Nabi SAW yang telah bermimpi yang perkara yang sama mengenai lafaz azan ini, iaitu Abdullah bin Zaid R.A dan Umar bin al-Khattab R.A. Hal ini sepertimana yang diriwayatkan dalam satu hadis yang panjang, daripada Abdullah bin Zaid R.A katanya:

لَمَّا أَمَرَ رَسُولُ اللهِ صلى الله عليه وسلم بِالنَّاقُوسِ يُعْمَلُ لِيُضْرَبَ بِهِ لِلنَّاسِ لِجَمْعِ الصَّلاَةِ طَافَ بِي وَأَنَا نَائِمٌ رَجُلٌ يَحْمِلُ نَاقُوسًا فِي يَدِهِ، فَقُلْتُ: يَا عَبْدَ اللهِ أَتَبِيعُ النَّاقُوسَ؟ قَالَ: وَمَا تَصْنَعُ بِهِ؟ فَقُلْتُ: نَدْعُو بِهِ إِلَى الصَّلاَةِ، قَالَ: أَفَلاَ أَدُلُّكَ عَلَى مَا هُوَ خَيْرٌ مِنْ ذَلِكَ؟ فَقُلْتُ لَهُ: بَلَى، قَالَ: فَقَالَ: تَقُولُ: اللَّهُ أَكْبَرُ، اللَّهُ أَكْبَرُ، اللَّهُ أَكْبَرُ، اللَّهُ أَكْبَرُ…

قَالَ : ثُمَّ اسْتَأْخَرَ عَنِّي غَيْرَ بَعِيدٍ ، ثُمَّ ، قَالَ : وَتَقُولُ : إِذَا أَقَمْتَ الصَّلاَةَ ، اللَّهُ أَكْبَرُ اللَّهُ أَكْبَرُ…

Maksudnya:Ketika Nabi SAW meminta loceng supaya orang boleh memukulnya bagi menghimpunkan (orang ramai) untuk solat, tiba-tiba saya teringat ketika sedang tidur, seorang lelaki mengelilingi saya (dalam mimpi) dengan memegang loceng di tangannya. Lalu saya berkata: “Wahai hamba Allah, adakah kamu mahu menjual loceng tersebut? Katanya: “Apakah kamu hendak lakukan?” Saya menjawab: “Untuk menyeru orang ramai supaya menunaikan solat.” Dia berkata kembali: “Apakah kamu mahu jika aku tunjukkan cara yang lebih baik?” Saya jawab: “Sudah tentu.” Katanya: “Sebutkanlah ‘: اللَّهُ أَكْبَرُ ، اللَّهُ أَكْبَرُ ، اللَّهُ أَكْبَرُ ، اللَّهُ أَكْبَرُ……. (sehingga akhir azan).

Tidak lama selepas itu, dia berkata lagi: “Ketika kamu berdiri untuk mengerjakan solat, sebutkan ‘، اللَّهُ أَكْبَرُ اللَّهُ أَكْبَرُ’ …. (hingga akhir iqamat).

Setelah terjaga, saya segera menemui Rasulullah SAW dan menceritakan mimpi ini. Lalu Baginda SAW bersabda:

إِنَّهَا لَرُؤْيَا حَقٌّ إِنْ شَاءَ اللَّهُ، فَقُمْ مَعَ بِلاَلٍ فَأَلْقِ عَلَيْهِ مَا رَأَيْتَ، فَلْيُؤَذِّنْ بِهِ، فَإِنَّهُ أَنْدَى صَوْتًا مِنْكَ فَقُمْتُ مَعَ بِلاَلٍ، فَجَعَلْتُ أُلْقِيهِ عَلَيْهِ، وَيُؤَذِّنُ بِهِ، قَالَ: فَسَمِعَ ذَلِكَ عُمَرُ بْنُ الْخَطَّابِ، وَهُوَ فِي بَيْتِهِ فَخَرَجَ يَجُرُّ رِدَاءَهُ، وَيَقُولُ: وَالَّذِي بَعَثَكَ بِالْحَقِّ يَا رَسُولَ اللهِ، لَقَدْ رَأَيْتُ مِثْلَ مَا رَأَى، فَقَالَ رَسُولُ اللهِ صلى الله عليه وسلم: فَلِلَّهِ الْحَمْدُ.

Maksudnya: “Dengan izin Allah, ia adalah mimpi yang benar. Berdirilah bersama bilal dan sampaikan kepadanya apa yang kamu lihat supaya dia boleh melaungkan azan kerana suaranya lebih baik daripada kamu. Lalu saya bangun bersama Bilal dan menyampaikan kepadanya. Lantas dia pun melaungkan azan. Umar al-Khattab yang berada di rumahnya mendengar laungan azan tersebut, lalu keluar sambil menarik jubahnya. Katanya: “Demi Tuhan yang mengutus engkau dengan kebenaran wahai Rasulullah, saya juga melihat seperti apa yang dilihatnya (Abdullah). Baginda menjawab: “Segala puji bagi Allah.”

Riwayat Abu Dawud (449)

 

Berkenaan azan yang dilambatkan ini, kami telah jelaskan dalam artikel sebelum ini:

#216: Azan Isyak Selepas Tamat Kuliah[1]

 

Berbalik kepada soalan di atas, kami nyatakan melaungkan azan sekalipun sudah lama masuk waktu adalah sunat (Lihat Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/114). Namun begitu, melambatkan azan tanpa sebab yang munasabah seperti majlis ilmu, akan menyebabkan kekeliruan kepada penduduk berkenaan sama ada sudah masuk waktu solat atau belum. Ini kerana azan itu sebagai peringatan kepada mereka yang di luar masjid dan di rumah bahawa waktu solat sudah masuk. Bahkan jika dilakukan sedemikian pada bulan Ramadhan, ia akan menganiaya mereka yang berpuasa dek kerana lambatnya azan.

Justeru itu, di sini kami syorkan jika sekiranya terdapat kesukaran untuk melaungkan azan tepat pada waktunya, maka nasihat kami agar pihak surau mengambil inisiatif lain seperti melantik bilal kedua dan boleh membuat jadual bilal. Hal ini sedikit sebanyak dapat membantu menyelesaikan masalah ini.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”

(Surah Ibrahim: 40)

[1] https://maktabahalbakri.com/azan-isyak-selepas-tamat-kuliah/

 

Bertarikh: 3 Ogos 2023 bersamaan 16 Muharram 1445 H