#2469: Pergi Kursus Selama Seminggu Tanpa Mahram

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya seorang isteri yang mempunyai 4 orang anak. Baru-baru ini saya terbaca artikel tentang wanita tidak boleh bersafar selama 1,2 3 dan lebih hari tanpa mahramnya. Saya tersentak dengan artikel tersebut kerana selama ini memang saya sentiasa menguruskan urusan sendiri tanpa suami di sisi. Baru-baru ini HQ di tempat kerja akan menghantar staf berkursus ke PD minggu hadapan. Saya tahu suami tidak akan menghantar atau meneman saya tetapi akan mengizinkan saya untuk hadir dan memandu sendirian ke tempat kursus tersebut. Dalam keadaan begini bagaimana status saya ustaz? Ada mahram (suami) tetapi beliau tidak mahu menghantar dan menemankan saya sebaliknya menyuruh saya pergi seorang diri. Berdosakah saya ustaz kerana bepergian seorang diri ke tempat kursus  yang agak jauh (KL-PD) tanpa suami menemani?

Jawapan:

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

 

Definisi Mahram

Dari sudut bahasa mahram membawa makna larangan. Ibn Manzur dalam kitabnya menyebut bahawa mahram itu adalah individu-individu yang tidak boleh dinikahi. (Lihat Lisan al-Arab, 12/119). Inilah maksud mahram yang dikemukakan oleh para fuqaha.

Dari sudut istilah para fuqaha’, mahram bermaksud: “Seseorang yang diharamkan untuk kita berkahwin dengannya dan pengharamannya tersebut adalah dalam bentuk al-ta’bid (selama-lamanya) dengan sebab yang mubah bukan kerana kemuliaannya dan bukan juga kerana terdapat penghalang yang boleh hilang.” (Lihat Kasyifah al-Saja, hlm. 114)

 

Hukum asal bagi seorang wanita bermusafir tanpa mahram adalah tidak dibolehkan berdasarkan kepada beberapa hadith yang sahih. Antaranya hadith yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas R.A. Beliau berkata bahawa Nabi SAW bersabda:

لَا تُسَافِرُ الْمَرْأَةُ إِلاَّ مَعَ ذِي مَحْرَمٍ

Maksudnya: “Seorang wanita tidak boleh bermusafir tanpa ada mahram.”

Riwayat al-Bukhari (1729) dan Muslim (2391)

Pendapat yang masyhur dalam kalangan mazhab Syafi’i adalah mensyaratkan adanya suami, mahram atau wanita-wanita yang terpercaya untuk menemaninya. Antara alasan tidak membenarkan wanita untuk bermusafir tanpa mahram adalah untuk menjaga keselamatan, memelihara kehormatan serta menjauhkan para wanita daripada fitnah sekiranya tiada mahram yang menemaninya. Namun jika perjalanan tersebut aman dan selamat, maka sebahagian para ulama membenarkannya. Inilah pandangan yang dikemukakan oleh Imam Al-Nawawi ketika mensyarahkan hadith tersebut (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 4/500)

 

Berbalik kepada soalan di atas, kami nyatakan dalam isu ini, sebaiknya saudari berbincang secara baik dengan suami kerana ia sebenarnya berdasarkan budi bicara dan bagi mendapatkan izin suami. Begitu juga, kelengkapan anak-anak juga perlu diambil cakna bagi memudahkan pengurusan anak-anak sepanjang saudari berkursus.

 

Berkenaan musafir tanpa mahram ini, kami telah jelaskan dalam artikel sebelum ini:

#1532: Hukum Seorang Wanita Menunaikan Umrah Tanpa Mahram[1]

#1480: Musafir Tempoh Singkat Tanpa Mahram[2]

 

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

  اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي دِيْنِنَا وَدُنْيَانَا وَأَهْلِنَا وَمَالِنَا، اللَّهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِنَا وَآمِنْ رَوْعَاتِنَا ، اللَّهُمَّ احْفَظْنَا مِنْ بَيْنِ أَيْدِيْنَا وَمِنْ خَلْفِنَا وَعَنْ أَيْمَانِنَا وَعَنْ شَمَائِلِنَا وَمِنْ فَوْقِنَا ، وَنَعُوذُ بِعَظَمَتِكَ أَنْ نُغْتَالَ مِنْ تَحْتِنَا

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) di dunia dan akhirat. Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) dalam agama, dunia, keluarga dan harta kami. Ya Allah, tutupilah aib kami dan berilah ketenteraman di hati kami. Ya Allah, jagalah kami dari depan, belakang, kanan, kiri, dan atas kami. Kami memohon perlindungan dengan keagungan-Mu agar tidak disambar dari bawah kami.”

 

[1] https://maktabahalbakri.com/1528-2/

[2] https://maktabahalbakri.com/1480-musafir-tempoh-singkat-tanpa-mahram/

Bertarikh: 3 Ogos 2023 bersamaan 16 Muharram 1445 H