Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Sepasang suami isteri bergaduh dan suami dalam keadaan marah telah melafazkan cerai dalam ayat di bawah:
“Jika aku dengan sengaja panggil kau sayang lepas ni, aku akan ceraikan kau dengan talak 3.”
Untuk pengetahuan Dr, panggilan nama pengganti isteri yang beliau selalu guna adalah sayang. Adakah cerai itu sah jika si suami selepas berbaik semula masih memanggil isteri dengan nama sayang? Saya telah bertanya samada apa niat beliau ketika melafazkan perkataan tersebut. Si suami beritahu yang dia tiada niat untuk ceraikan isteri beliau, cuma beliau rasa si isteri sudah tidak sayang si suami dan sebab si isteri semasa bergaduh telah meminta cerai, maka si suami pun telah melafazkan ayat tersebut di atas semasa marah.
Jawapan:
Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.
Pada asasnya, talak boleh dilakukan secara langsung atau dengan ta‘liq. Talak Ta‘liq bermaksud suami menggantungkan jatuh isterinya dengan terjadi sesuatu sifat atau syarat yang dikaitkan dengan isteri atau orang lain.
- Contohnya, suami menggantungkan jatuh talak isterinya dengan kedatangan seseorang atau dengan perbuatan tertentu yang dilakukan oleh isterinya, atau orang lain.
- Contoh talak yang dikaitkan dengan sifat ialah suami berkata kepada isterinya: “Kamu tercerai kerana ayahmu datang” atau “kamu tercerai dalam bulan Ramadhan.”Sehubungan dengan itu, apabila ayahnya datang atau masuk bulan Ramadhan, jatuhlah talak.
- Contoh talak yang dikaitkan dengan syarat ialah suami berkata kepada isterinya: “Kamu tercerai jika keluar dari rumah ini” atau “kamu tercerai jika saudara lelakimu masuk ke dalam rumah ini.” Oleh yang demikian, apabila isteri itu keluar dari rumah atau saudara lelakinya masuk ke dalam rumahnya, maka jatuhlah talak.
Pendapat Ulama berkaitan Lafaz Talak Ta‘liq
Secara umumnya, para ulama telah berbeza pendapat mengenai perkara ini kepada beberapa pendapat. Dalam menjawab persoalan ini, kami asaskan perbincangan ini berdasarkan kenyataan guru kami Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili sepertimana yang dinukilkan dalam kitabnya, al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu (9/6972-6976):
Pendapat pertama: Ia merupakan pendapat para imam mazhab yang empat, menyatakan bahawa jatuh talak yang dita‘liq bila mana terdapatnya perkara yang dijadikan ta‘liq, sama ada perkara itu dilakukan oleh salah seorang daripada suami isteri, atau suatu perkara yang terjadi akibat kehendak Allah, atau ta‘liq itu berbentuk sumpah iaitu suatu dorongan untuk melakukan sesuatu atau meninggalkannya atau menegaskan suatu berita atau sebagai syarat yang dimaksudkan untuk mendapatkan balasan ketika mana syarat itu sudah dipenuhi.
Pendapat kedua: Ia merupakan pendapat mazhab Zahiri dan Syiah Imamiyyah, mereka berpendapat, sumpah dengan talak atau talak yang dita‘liq, jika didapati perkara yang dijadikan ta‘liq itu, maka pada asalnya talak tidak jatuh. Tidak kira ia berbentuk sumpah iaitu yang dimaksudkan sebagai dorongan untuk melakukan sesuatu atau meninggalkannya, atau menegaskan suatu berita. Ataupun ia tidak berbentuk sumpah, iaitu yang dimaksudkan dengannya untuk menjatuhkan talak bila mana terjadinya perkara yang dijadikan ta‘liq itu.
Pendapat ketiga: Ia merupakan pendapat Ibn Taimiyyah dan Ibn al-Qayyim, mereka menyatakan bahawa, jika ta‘liq itu ialah sumpah atau dalam bentuk sumpah, dan didapati perkara yang dijadikan ta‘liq (yakni berlaku), maka talak tidak jatuh. Menurut Ibn Taimiyyah dibolehkan kafarah sumpah jika dia melanggar sumpahnya, sedangkan Ibn al-Qayyim pula berpendapat tidak ada kafarah bagi sumpah ini. Namun, jika ta‘liq ini berbentuk syarat atau bukan dalam bentuk sumpah, maka jatuh talak ketika mana syarat sudah dipenuhi.
Berbalik kepada soalan di atas, kami nyatakan kami nyatakan bahawa umumnya, talak ta‘liq yang sudah dilafazkan adalah jatuh dan tidak boleh ditarik semula. Inilah pandangan yang terkuat dan merupakan pandangan jumhur.
Meskipun begitu, terdapat juga pandangan yang menyatakan bahawa talak ta‘liq tidak jatuh sepertimana yang ditarjihkan oleh Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili, dan kami lebih cenderung kepada pandangan ini.
Kami nukilkan sekali lagi di sini pandangan Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili, katanya:
وَفِي تَقْدِيرِي أَنَّ الْقَوْلَ الْأَوَّلَ هُوَ الْأَصَحُّ دَلِيلًاً، لَكِنْ يُلَاحَظُ أَنَّ الشُّبَّانَ غَالِبًاً يَسْتَخْدِمُونَ الْيَمِينَ بِالطَّلَاقِ لِلتَّهْدِيدِ لَا بِقَصْدِ الْإِيقَاعِ، وَهَذَا يَجْعَلُنِي أَمِيلُ إِلَى الْقَوْلِ الثَّالِثِ
Maksudnya: “Menurut penilaianku, pendapat yang pertama adalah pendapat yang dalilnya kuat dan paling sahih. Akan tetapi, kami perhatikan bahawa anak-anak muda biasanya menggunakan sumpah dengan talak untuk mengancam, bukannya dengan maksud untuk menjatuhkannya. Hal ini menjadikan kami cenderung kepada pendapat yang ketiga.” (Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, 9/6976) Pendapat ketiga tersebut adalah merupakan pendapat Ibn Taimiyyah dan Ibn al-Qayyim, di mana mereka menyatakan bahawa, jika ta‘liq itu ialah sumpah atau dalam bentuk sumpah, dan didapati perkara yang dijadikan ta‘liq (yakni berlaku), maka talak tidak jatuh.
Walau bagaimanapun, kami nasihatkan supaya merujuk kepada mahkamah syariah dan membuat permohonan pengesahan lafaz talak sepertimana kaedah menyebut:
حُكْمُ الْحـَاكِمِ يَرْفَعُ الخِلَافَ
Maksudnya: “Keputusan hakim (yakni pemerintah) mengangkat khilaf.”
Berkenaan isu ini, kami telah bahaskannya dalam artikel sebelum ini:
#1997: Lafaz “Kalau Kau Bercakap Lagi Aku Ceraikan Kau!” Dalam Keadaan Marah[1]
#1857: Lafaz “Saya Lepaskan Awak,” Dikira Cerai?[2]
#1552: Suami Sebut “Kita Bercerai Saja”[3]
Akhir kalam, semoga Allah SWT mengurniakan ilmu dan kefahaman yang tepat kepada kita dalam melaksanakan setiap titah perintah-Nya. Amin.
Kami menutup dengan doa:
رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً ، وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً ، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.”
(Surah al-Baqarah: 201)
[1]https://maktabahalbakri.com/1997-lafaz-kalau-kau-bercakap-lagi-aku-ceraikan-kau-dalam-keadaan-marah/
[2] https://maktabahalbakri.com/1857-lafaz-saya-lepaskan-awak-dikira-cerai/
[3] https://maktabahalbakri.com/1552-suami-sebut-kita-bercerai-saja/
Bertarikh: 3 Ogos 2023 bersamaan 16 Muharram 1445 H