#2473: Bacaan al-Quran Menggunakan Pembesar Suara Sebelum Subuh

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya seorang ibu yang mempunyai anak kecil, terkadang saya terpaksa tidur lewat untuk menyelesaikan kerja rumah dan menguruskan anak.

Isunya adalah pihak surau membuka bacaan 1 juzuk al-Quran dengan pembesar suara yang terlampau nyaring pada setiap hari seawal 4.30 pagi, yang mana pada hemat saya masa tersebut terlalu awal dan mungkin mengganggu tidur orang lain.

Saya pernah menegur secara langsung tapi diperlecehkan. Adakah perbuatan mereka itu dibenarkan? Jika tidak, apakah cara teguran yang lebih baik buat mereka?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Pertamanya, Islam adalah agama yang syumul, yakni meliputi segala aspek, termasuklah aspek menjaga hubungan baik dan keharmonian dalam masyarakat meskipun sesama orang bukan Islam. Melihat kepada skop yang lebih kecil seperti di kawasan perumahan yang dihuni oleh berbilang kaum dan agama, cara yang efektif untuk menjaga keharmonian ini adalah dengan menghormati sensitiviti setiap kejiranan kita. Ia merupakan akhlak yang sepatutnya diteladani oleh setiap muslim, dan kemudiannya menjadi contoh kepada orang bukan Islam.

Kedua, bacaan al-Quran atau zikir-zikir yang warid dari Nabi SAW sememangnya merupakan amalan yang amat baik. Namun, kita tidak boleh memaksa orang lain untuk mendengar bacaan kita. Hal ini kerana, setiap orang mempunyai urusannya yang tersendiri seperti sedang menunaikan solat sunat bersendirian, menguruskan anak kecil, menyelesaikan kerja yang memerlukan kepada konsentrasi dan jauh dari bunyi yang kuat, dan sebagainya. Jika urusan mereka terganggu kerana bacaan al-Quran atau zikir yang kuat, dikhuatiri mereka akan melontarkan cemuhan terhadap orang Islam dan menganggap kita tidak mempunyai sifat hormat terhadap orang lain.

Sedangkan Allah SWT sendiri melarang umat Islam melakukan sesuatu yang diketahui kesannya akan membawa kepada kritikan terhadap agama Islam. Ini sejajar dengan firman Allah SWT:

وَلَا تَسُبُّوا الَّذِينَ يَدْعُونَ مِنْ دُونِ اللَّهِ فَيَسُبُّوا اللَّهَ عَدْوًا بِغَيْرِ عِلْمٍ

Maksudnya: “Dan janganlah kamu memaki dan mencela sembahan yang mereka sembah selain Allah, kerana nanti mereka akan membalas dengan cara memaki Allah melampau-lampau pula tanpa ilmu.”

(Surah al-An‘am: 108)

Al-Sabuni ketika menafsirkan ayat di atas menyatakan, maknanya adalah: janganlah kamu memaki atau mencela sembahan-sembahan orang Musyrikin dan berhala-berhala mereka kerana mereka kelak akan membalasnya dengan celaan kepada Allah dalam keadaan jahil dan bersifat melampau disebabkan mereka tidak mengetahui kebesaran Allah SWT. Beliau menukilkan sebuah riwayat daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma bahawa orang-orang Musyrikin berkata: “Berhentilah daripada menghina tuhan-tuhan kami ataupun kami akan menghina Tuhan kamu.” Maka Allah SWT melarang orang-orang beriman daripada mencela atau memaki berhala-berhala mereka. (Lihat Safwah al-Tafasir, hlm. 380)

Berdasarkan firman Allah SWT di atas, ulama’ mengeluarkan satu kaedah yang berbunyi:

دَرْءُ الْمَفَاسِدِ مُقَدَّمٌ عَلَى جَلْبِ الْمَصَالِحِ

Maksudnya: “Menolak kemudaratan itu lebih utama daripada mendapatkan maslahah.”

Mencela perbuatan mereka yang menyembah selain Allah SWT merupakan bentuk maslahah kerana ia merupakan penghinaan terhadap perbuatan syirik mereka. Akan tetapi, ia ditegah agar orang bukan Islam tidak membalas semula dengan mencela Allah SWT, yang mana ia merupakan mudarat kepada agama. Maka perbuatan lain yang juga terdedah kepada celaan orang bukan Islam terhadap Allah SWT adalah dilarang.

Kami berikan teguran berkenaan mereka yang menguatkan bacaan al-Quran sehingga mengganggu orang lain, sepertimana teguran Rasulullah SAW kepada para sahabat. Diriwayatkan daripada Abu Sa‘id al-Khudri R.A, katanya:

اعْتَكَفَ رَسُولُ اللَّهِ ﷺ فِي الْمَسْجِدِ، فَسَمِعَهُمْ يَجْهَرُونَ بِالْقِرَاءَةِ، فَكَشَفَ السِّتْرَ، وَقَالَ: أَلَا إِنَّ كُلَّكُمْ مُنَاجٍ رَبَّهُ، فَلَا يُؤْذِيَنَّ بَعْضُكُمْ بَعْضًا، وَلَا يَرْفَعْ بَعْضُكُمْ عَلَى بَعْضٍ فِي الْقِرَاءَةِ

Maksudnya: “Ketika Rasulullah SAW beriktikaf (beribadah dalam masjid), Baginda mendengar mereka mengangkat suara bacaan (al-Quran). Lalu Baginda mengangkat langsir dan bersabda: ‘Ketahuilah, setiap kamu bermunajat kepada tuhannya, jangan sebahagian kamu menyakiti sebahagian yang lain. Jangan kamu angkat suara bacaan melebihi yang lain dalam solat.”

Riwayat Abu Dawud (1332) dan Ahmad (11896)

Syeikh Muhammad bin Soleh al-‘Uthaimin, seorang ulama’ besar Saudi mengulas hadith ini dengan memberikan nasihat secara panjang lebar. Beliau mengatakan bahawa realiti semasa hari ini menyaksikan apa yang disebut oleh hadith ini. Mereka yang menunaikan solat menggunakan pembesar suara (luar masjid), jika perbuatan mereka itu menyakiti sesiapa yang ada di sekeliling mereka, maka mereka berdosa. Jika ada kebarangkalian pada perbuatan seseorang itu, sama ada pelakunya akan mendapat dosa atau mendapat pahala, maka meninggalkan perbuatan tersebut lebih utama.

Dan pada hakikatnya, tiada faedah (menggunakan pembesar suara luar masjid) kerana seseorang itu tidak bersolat dengan mereka yang di luar masjid, sebaliknya dengan mereka yang berada dalam masjid. Oleh itu beliau berpesan kepada umat Islam, khususnya para imam masjid agar tidak melakukan perkara ini. Berkemungkinan sesetengah orang telah menunaikan solat dan perlu tidur serta berehat, boleh jadi dia sakit lalu terganggu dengan suara ini, boleh jadi juga masjid dekat dengan rumah dan anak-anak kecil terganggu dengan bunyi pembesar suara. Kesimpulannya, masalah ini telah menimpa sesetengah orang sehingga mereka menyakiti kejiranannya seperti masjid-masjid lain  atau perumahan terdekat dengan perkara yang tiada faedah baginya. (Lihat Syarh Riyadh al-Salihin, 4/99)

Jika penggunaan pembesar suaru yang nyaring ketika solat sehingga mengganggu kejiranan ditegah di sebuah negara yang hampir keseluruhan rakyatnya beragama Islam, maka lebih utama untuk diraikan pandangan ini di Malaysia yang rakyatnya terdiri daripada kaum yang pelbagai dan perbezaan beragama.

Antara perbahasan yang hampir serupa dengan isu ini adalah melaungkan azan sebelum masuk waktu solat, dan keharusan perbuatan tersebut hanya dikhususkan ketika waktu Subuh. Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada Ibn ‘Umar R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ بِلاَلاً يُؤَذِّنُ بِلَيْلٍ فَكُلُوا وَاشْرَبُوا حَتَّى يُؤَذِّنَ ابْنُ أُمِّ مَكْتُومٍ

Maksudnya: “Sesungguhnya Bilal melaungkan azan pada waktu malam, kemudian beliau makan dan minum sehingga Ibn Ummi Maktum melaungkan azan.”

Sahih Muslim (1092)

Imam al-Nawawi dalam syarahnya menyatakan, dianjurkan untuk melaungkan azan sebanyak dua kali, pertamanya sebelum masuk waktu fajar dan kemudian setelah masuk waktu fajar. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 7/202)

Berkenaan isu azan ini, Dar al-Ifta’ al-Misriyyah menyimpulkan bahawa sebaiknya azan pertama itu dilaungkan pada waktu yang disepakati oleh jemaah dan diredhai oleh imam masjid, mengikut kesesuaian kejiranan setempat. Hal ini bagi menghentikan perbalahan dan bagi memastikan tujuan asal laungan azan pertama tersebut tercapai, iaitu menyatukan dan menolak perpecahan, seperti mana tujuan disyariatkan solat Jumaat.

Kesimpulan

Kami katakan, sebaiknya elakkanlah bacaan al-Quran menggunakan pembesar suara yang nyaring sehingga boleh mengganggu kejiranan setempat. Pandangan ini bukan hanya kerana isu kepelbagaian kaum semata-mata, akan tetapi itu ia berpandukan apa yang telah diajarkan oleh Rasulullah SAW. 

Ini juga bertujuan menjaga keharmonian sejagat, kerana dikhuatiri suara-suara yang dikuatkan itu bukan menambahkan cinta mereka kepada Islam, sebaliknya menimbulkan salah faham masyarakat.

Kami nasihatkan kepada pihak AJK yang berperanan menjaga kebajikan surau atau masjid, agar meraikan masyarakat sekeliling sehingga kesemua mereka merasa selesa dengan Islam, dan akhirnya menjadi suatu tarikan untuk mereka lebih mendekati dan mendalaminya. Akhlak dan adab yang ditunjukkan secara tidak langsung mampu menjadi jalan dakwah yang amat berkesan. Pada waktu yang sama, dapat mengamalkan apa yang telah diajarkan oleh Rasulullah SAW kepada kita. 

Semoga setiap kesungguhan dan usaha pihak AJK masjid dan surau untuk menghidupkan suasana Islam menjadi asbab mereka mendapat keredhaan Allah SWT, seterusnya dikurniakan ganjaran syurga yang tertinggi. Amin.

Wallahu a‘lam

Kami akhiri dengan doa:


اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَاقِيَةَ في الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ ، اللهم إنا نَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي دِيْنِنَا وَدُنْيَانًا وَأَهْلِنَا وَمَالِنَا، اللَّهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِنَا وَآمِنْ رَوْعَاتِنَا ، اللَّهُمَّ احْفَظْنَا مِنْ بيْنَ أَيْدِيْنَا وَمِنْ خَلْفِنَا وَعَنْ أَيْمَانِنَا وَعَنْ شَمَائِلَنَا وَمِنْ فَوْقِنَا ، وَنَعُوذُ بِعَظَمَتِكَ أَنْ نُغْتَالَ مِنْ تَحْتِنَا

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) di dunia dan akhirat. Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) dalam agama, dunia, keluarga dan harta kami. Ya Allah, tutupilah aib kami dan berilah ketenteraman di hati kami. Ya Allah, jagalah kami dari depan, belakang, kanan, kiri, dan atas kami. Kami memohon perlindungan dengan keagungan-Mu agar tidak disambar dari bawah kami.”

Bertarikh: 3 Ogos 2023 bersamaan 16 Muharram 1445 H