Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya selalu dengar orang berkata yang arak ini bukan penawar tetapi sebaliknya ia adalah penyakit, benarkah begitu?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami nyatakan terlebih dahulu beberapa nas:
Suatu peristiwa di mana datang seorang lelaki bertanyakan tentang arak. Nabi SAW melarang lelaki tersebut daripada meminumnya. Lalu lelaki itu berkata: “Aku menggunakannya sebagai penawar.”
Maka Nabi SAW pun menjawab:
إِنَّهُ لَيْسَ بِدَوَاءٍ وَلَكِنَّهُ دَاءٌ
Maksudnya: “Sesungguhnya arak itu bukanlah penawar, tetapi ianya penyakit.”
Riwayat Muslim (1984), al-Tirmizi (2046) dan Ahmad (18862)
Nabi SAW bersabda lagi
إِنَّ اللَّهَ أَنْزَلَ الدَّاءَ وَالدَّوَاءَ وَجَعَلَ لِكُلِّ دَاءٍ دَوَاءً فَتَدَاوَوْا وَلاَ تَدَاوَوْا بِحَرَامٍ
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah SWT telah menurunkan penyakit dan ubat, dan menjadikan buat kamu penyakit dan ubat, maka hendaklah kamu berubat, akan tetapi jangan kamu berubat dengan yang haram.”
Riwayat Abu Daud (3874)
Ibn Mas’ud R.Anhuma berkata mengenai perkara yang memabukkan:
إِنَّ اللَّهَ لَمْ يَجْعَلْ شِفَاءَكُمْ فِيمَا حَرَّمَ عَلَيْكُمْ
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah SWT tidak menjadikan penyembuhan kamu pada apa yang diharamkan ke atas kamu.”
Riwayat al-Bukhari secara mu’allaq, al-Tabarani (9716) dan al-Baihaqi (20182)
Tidak hairanlah jika Islam mengharamkan berubat menggunakan arak atau dengan selainnya daripada benda-benda yang diharamkan. Ini kerana hikmah pengharaman sesuatu itu sebagaimana yang dikatakan oleh Ibn Qayyim, meminta supaya meninggalkannya dan menjauhkan diri daripadanya dengan apa jun cara sekalipun. Menggunakannya sebagai ubat dikhuatiri akan mendatangkan unsur penggalakan dan menimbulkan kekeliruan padanya. Hal ini bertentangan dengan tujuan pengharaman arak oleh agama,
Ibn Qayyim berkata lagi: Begitu juga, bahawasanya dibolehkan berubat dengannya, lebih-lebih lagi bagi jiwa seseorang yang cenderung kepadanya, adalah merupakan suatu alasan untuk menggunakannya kerana menurut tuntutan syahwat dan kelazatan. terutamanya apabila nafsu kemahuan kepadanya dengan mengandaikan bahawa arak itu boleh mendatangkan manfaat kepadanya, menyembuhkan penyakitnya, dan boleh menjadi penawar untuk dirinya.
Ubat-ubatan yang diharamkan itu tidak terdapat padanya sebarang manfaat, selain menyangka atau menduga ianya akan menyembuhkan penyakit walhal tidak dapat dipastikan lagi kesahihannya.
Seterusnya Ibn Qayyim mengingatkan tentang kejiwaan yang penting, iaitu: Sesungguhnya di antara pra-syarat penyembuhan dengan sesuatu ubat, hendaklah hatinya menerima ubat itu dengan senang hati dan meyakini kemanfaatannya terhadap badan, serta mempercayai apa yang telah ditetapkan oleh Allah SWT pada ubat itu dengan berkat penyembuhan. Sebaliknya, apa yang diyakini oleh orang Islam berkenaan haramnya arak boleh menghalang kepercayaan bahawa arak boleh memberi manfaat dan keberkatan. Natijahnya, ianya meletakkan sangkaan yang baik, seterusnya mereka menerima dengan senang hati.
Justeru, jika seseorang itu mempunyai keyakinan yang teguh sudah pasti dia amat benci kepada perkara yang haram dan keyakinan kepadanya akan menurun. Ini menyebabkan sifatnya akan terus menentang arak tersebut.
Oleh yang demikian, jika dia menggunakannya sebagai ubat dalam keadaan seperti ini, nescaya ubat tersebut tetap membawa penyakit. Demikianlah pendapat yang dikemukakan oleh Ibn Qayyim Rahimahullah mengenai arak.
Walau bagaimanapun, dalam keadaan darurat ada hukumnya yang tersendiri menurut pandangan syariat. Seandainya dikatakan bahawa arak atau barang yang bercampur dengan arak itu sendiri sebagai ubat untuk penyakit yang tertentu boleh mengancam kehidupan manusia sehingga tidak terdapat lagi ubat yang lain melainkan arak sahaja dan saya sendiri tidak berpendapat perkara sedemikian akan berlaku.
Jika perkara seumpama itu boleh terjadi dan dinyatakan pula oleh seorang doktor pakar Islam yang thiqah di samping istiqamah dengan agamanya, maka ketika itu barulah boleh dibenarkan menggunakan bahan yang haram sebagai ubat.
Ini kerana, semua kaedah syarak sentiasa diasaskan untuk kemudahan dan menolak kemudaratan, kecuali dibataskan penggunaannya dengan yang benar-benar memerlukan sahaja dan bukan dengan kebebasan yang mutlak. (Lihat Halal dan Haram Dalam Islam, hlm. 132-134)
Data Statistik Badan Kesihatan Dunia (WHO) menjelaskan bahawa faktor-faktor kematian yang disebabkan pemakaian minuman keras dan hal-hal yang berkaitan menduduki kedudukan teratas dalam daftar penyebab kematian di Amerika Syarikat, Perancis dan negara-negara yang lain. Sepertiga rumah sakit di negara-negara industri selalu dipenuhi dengan para penderita (penagih) minuman keras. Bahkan menurut data statistik yang dikeluarkan pihak berkuasa wilayah Texas (AS), dana yang dikeluarkan untuk mengubati para penagih minuman keras (narkoba) ditambah kerugian kewangan yang disebabkan hilangnya harta benda, penggantian kerugian dan pemulihan keadaan melebihi keuntungan yang dihasilkan dari penjualan alkohol.
Berikut kami kemukakan juga data dan statistik terkini yang dikeluarkan oleh WHO tentang bahaya arak (penyalahguaan minuman beralkohol):
- Penggunaan alkohol yang berbahaya adalah faktor penyebab kepada lebih daripada 200 keadaan penyakit dan kecederaan.
- Di seluruh dunia, 3 juta kematian setiap tahun disebabkan oleh penggunaan alkohol yang berbahaya. Ini mewakili 5.3% daripada semua kematian.
- Secara keseluruhan, 5.1% daripada beban penyakit dan kecederaan global berpunca daripada alkohol, seperti yang diukur dalam tahun hayat pelarasan kecacatan (DALYs).
- Di luar akibat kesihatan, penggunaan alkohol yang berbahaya membawa kerugian sosial dan ekonomi yang ketara kepada individu dan masyarakat secara amnya.
- Pengambilan alkohol menyebabkan kematian dan hilang upaya secara relatifnya pada awal kehidupan. Pada orang berumur 20-39 tahun, kira-kira 13.5% daripada jumlah kematian disebabkan oleh alkohol.
- Terdapat hubungan sebab akibat antara penggunaan alkohol yang berbahaya dan pelbagai gangguan mental dan tingkah laku, keadaan tidak berjangkit dan kecederaan lain.
Maha Suci Allah, betapa benar kalam-Nya:
يَسْأَلُونَكَ عَنِ الْخَمْرِ وَالْمَيْسِرِ ۖ قُلْ فِيهِمَا إِثْمٌ كَبِيرٌ وَمَنَافِعُ لِلنَّاسِ وَإِثْمُهُمَا أَكْبَرُ مِن نَّفْعِهِمَا ۗ
Maksudnya: “Mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah: “Pada keduanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya.”
Surah al-Baqarah (219)
Bertarikh: 3 Ogos 2023 bersamaan 16 Muharram 1445 H