#2480: Wanita Belum Berkahwin Mewarnakan Rambut

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya, bolehkah wanita yang belum berkahwin mewarnakan rambut? Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan riwayat daripada Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda:

إِنَّ الْيَهُودَ وَالنَّصَارَى لاَ يَصْبُغُونَ، فَخَالِفُوهُمْ

Maksudnya: “Sesungguhnya orang Yahudi dan Nasrani tidak mewarnakan rambut. Justeru, hendaklah kamu berlainan daripada mereka.”

Riwayat al-Bukhari (3462) dan Muslim (2103)

Begitu juga dalam hadith lain, daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda:

غَيِّرُوا الشَّيْبَ وَلاَ تَشَبَّهُوا بِالْيَهُودِ

Maksudnya:Ubahlah warna uban dan jangan menyerupai orang Yahudi.

Riwayat al-Tirmizi (1752)

Dapat difahami daripada hadith-hadith ini bahawa ‘illah syarak dalam mewarnakan rambut atau janggut adalah untuk menyelisihi ahli kitab. Oleh sebab itu, terdapatnya penegasan bahawa ia suatu perbuatan yang digalakkan (sunat). Apatah lagi Rasulullah SAW sendiri berlebih-lebihan dalam menyelisihi mereka dan memerintahkan untuk melakukannya. Selain itu, sunnah ini (mewarnakan rambut dan janggut) sangat diambil berat oleh ulama salaf. (Lihat ‘Aun al-Ma‘bud, 11/172).

Secara umumnya, dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah (2/279-280) dinyatakan bahawa mewarnakan rambut dan janggut boleh dengan hinna’ (inai),[1] hinna’ bersama katam,[2] wars,[3] za‘faran, warna hitam dan lain-lain.

Seterusnya, digalakkan mewarnakan rambut dan janggut dengan hinna’ dan katam berdasarkan hadith, “غَيِّرُوا الشَّيْبَ” (iaitu ubahlah warna uban) dan ia adalah suatu perintah yang menunjukkan kepada galakkan (sunat). Hal ini juga adalah berdasarkan kepada sabda Nabi SAW:

إِنَّ أَحْسَنَ مَا غَيَّرْتُمْ بِهِ الشَّيْبَ الْحِنَّاءُ وَالْكَتَمُ

Maksudnya:Sesungguhnya sebaik-baik bahan yang digunakan untuk mengubah warna uban ialah pohon hinna’ (inai) dan katam.”

Riwayat Ibn Hibban (5474) dan al-Tirmizi (4991)

Dapat difahami daripada hadith di atas bahawa bahawa hinna’ (inai) dan katam adalah antara pewarna terbaik untuk mengubah warna uban. Akan tetapi bahan untuk mewarnakan uban tersebut tidak hanya terhad kepada kedua-dua bahan itu sahaja, malah terdapat juga bahan pewarna lain yang sama fungsinya yang turut boleh digunakan dalam asal-usul kecantikan. Hal ini adalah sebagaimana hadith daripada Anas R.A, katanya: “Abu Bakar mewarnakan (rambut dan janggutnya) dengan hinna’ (inai) dan katam. Manakala Umar pula mewarnakan (rambut dan janggutnya) hanya dengan hinna’ (inai).”

Begitu juga mewarnakan rambut dan janggut dengan menggunakan bahan wars dan za‘faran. Ia juga termasuk dalam hukum asal galakkan (sunat) itu sebagaimana mewarnakannya dengan bahan daripada hinna’ dan katam. Malah terdapat sebahagian sahabat yang mewarnakan rambut dan janggut mereka dengan kedua-dua bahan tersebut. Abu Malik al-Asyja‘i meriwayatkan daripada bapanya, katanya:

كَانَ خِضَابُنَا مَعَ رَسُول اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْوَرْسَ وَالزَّعْفَرَانَ

Maksudnya:Bahan pewarna yang kami gunakan (untuk mewarnakan rambut dan janggut) bersama Rasulullah SAW ialah wars dan za‘faran.”

Riwayat Ahmad (15882)[4]

Ringkasnya, seseorang itu boleh mewarnakan rambut dengan menggunakan apa sahaja bahan pewarna atau produk pewarna rambut yang ada di pasaran dengan syarat ia memenuhi syarat-syarat yang telah digariskan oleh para ulama seperti tidak menghalang air dan bahan-bahan pewarna yang ingin digunakan mestilah bukan bahan yang mengandungi bahan-bahan kimia berbahaya yang boleh memudaratkan atau memberikan risiko dan kesan yang tidak baik terhadap kesihatan. Penjelasan lanjut mengenai perkara ini, bolehlah merujuk kepada artikel kami dalam Ahkam Syar‘iyyah yang bertajuk: #1421: Pewarna Rambut yang Halal.[5]

Manakala mewarnakan rambut dengan warna hitam pula terdapat perselisihan ulama mengenainya. Ada yang membenarkannya secara mutlak dan ada juga yang tidak membenarkannya. Namun, pendapat yang kuat (di sisi kami Insya-Allah) bahawa tidak boleh mewarnakan rambut dengan warna hitam melainkan terdapatnya keperluan seperti untuk menghilangkan aib kerana uban yang berlebihan di rambut atau janggutnya sehingga menampakkannya lebih tua dan berusia daripada umurnya yang sebenar dan seumpamanya. Penjelasan lanjut mengenai perkara ini, bolehlah merujuk kepada artikel kami dalam Ahkam Syar‘iyyah yang bertajuk: #1423: Warnakan Rambut dengan Warna Hitam.[6]

Berbalik kepada soalan yang diajukan, dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah dinyatakan bahawa para fuqaha’ berpendapat, mewarnakan uban dengan menggunakan hinna’ (inai) atau seumpamanya adalah digalakkan (sunat) bagi wanita sebagaimana digalakkan juga perkara itu bagi lelaki berdasarkan  kepada hadith-hadith sahih yang menyebutkan mengenai perkara itu. Khusus bagi wanita yang sudah berkahwin dan hamba perempuan yang dimiliki, digalakkan kepada mereka untuk mewarnakan juga tapak tangan dan kaki  mereka dengan hinna’ atau bahan seumpamanya pada setiap waktu melainkan ketika waktu berihram kerana mewarnakan termasuk dalam  bentuk perhiasan, dan perhiasan ini pula diharapkan daripada isteri untuk suaminya dan daripada hamba untuk tuannya, dengan syarat pewarnaan itu dalam bentuk umum tanpa adanya corak atau gambaran tertentu kerana hal tersebut adalah tidak digalakkan.  Begitu juga diharuskan bagi wanita tersebut (dengan izin suaminya atau tuannya) untuk memerahkan pipinya dan mewarnakan hujung jarinya dengan inai gelap.

Berkenaan galakkan ke atas wanita berkahwin untuk mewarnakan tapak tangannya adalah sebagaimana riwayat daripada Ibn Dhamrah bin Sa‘id, daripada neneknya, daripada seorang wanita dalam kalangan mereka, katanya: Sesungguhnya wanita itu pernah mendirikan solat dengan dua arah kiblat bersama Rasulullah SAW. Beliau berkata:

دَخَل عَلَيَّ رَسُول اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَال لِيَ: اخْتَضِبِي، تَتْرُكُ إِحْدَاكُنَّ الْخِضَابَ حَتَّى تَكُونَ يَدُهَا كَيَدِ الرَّجُل؟ قَالَتْ: فَمَا تَرَكَتِ الْخِضَابَ حَتَّى لَقِيتِ اللَّهَ عَزَّ وَجَل، وَإِنْ كَانَتْ لَتَخْتَضِبُ وَإِنَّهَا لَابْنَةُ ثَمَانِينَ

Maksudnya:Rasulullah SAW masuk menemuiku, lalu bersabda kepadaku: ‘Warnakanlah (tapak tanganmu). Kenapa salah seorang daripada kamu meninggalkan perbuatan mewarnakan itu sehingga tangannya seperti tangan lelaki?’ Beliau berkata: ‘Tidaklah wanita itu meninggalkan perbuatan mewarnakan (tapak tangannya) sehinggalah beliau menemui Allah ‘Azza wa Jalla (yakni meninggal dunia). Beliau tetap mewarnakannya sekalipun sudah berumur 80 tahun.’

Riwayat Ahmad (16650)[7]

Adapun bagi wanita yang belum berkahwin dan yang bukan hamba, maka ulama mazhab Hanafi, Maliki dan Syafi‘i berpendapat, makruh bagi mereka untuk mewarnakan tapak tangan dan kaki mereka disebabkan tiadanya keperluan bagi perkara tersebut, di samping bimbang timbulnya fitnah. Seterusnya memerahkan pipi dan mewarnakan hujung jarinya dengan inai gelap adalah haram menurut mereka.

Manakala ulama mazhab Hanbali pula berpendapat, diharuskan bagi gadis yang belum berkahwin untuk mewarnakannya (tapak tangan dan kaki). Ini berdasarkan hadith daripada Jabir secara marfu‘ bahawa: “Wahai sekalian wanita, warnakanlah (tapak tangan dan kaki kamu) kerana sesungguhnya wanita (yang sudah berkahwin) mewarnakan untuk suaminya. Manakala gadis pula mewarnakan bagi menarik rezeki daripada Allah ‘Azza wa Jalla,” iaitu untuk mendapatkan lamaran dan bernikah. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 2/281-282).

Kesimpulannya

Oleh itu, berdasarkan kepada kenyataan dan perbincangan di atas, kami berpendapat tidak mengapa seorang wanita itu mewarnakan rambutnya, bahkan digalakkan (sunat) sebagaimana halnya lelaki, tidak kira wanita itu sudah berkahwin mahupun belum berkahwin. Jika para ulama berpendapat, diharuskan tetapi makruh mewarnakan tapak tangan dan kaki bagi gadis yang belum berkahwin, maka mewarnakan rambut yang tertutup daripada dilihat kaum lelaki ajnabi adalah lebih-lebih lagi dibolehkan. Hal ini kerana rambut wanita termasuk dalam aurat yang diwajibkan ditutup daripada dilihat oleh lelaki ajnabi, maka tidak menjadi masalah baginya untuk mewarnakannya berbeza halnya dengan mewarnakan tapak tangan dan kaki.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Wallahu a‘lam.

 

[1] Hinna’ ialah sejenis pokok yang daun dan batangnya seperti daun dan batang delima, bunganya pula berwarna putih, daunnya diambil untuk dijadikan pewarna merah. (Lihat https://www.almaany.com/ar/dict/ar-ar/الْحِنَّاءِ/. Diakses pada 27 April 2023).

[2] Katam ialah sejenis tumbuhan yang dicampur dengan daun wasmah (dikenali juga sebagai daun Nil), lalu digunakan untuk mewarnakan rambut hitam. Namun, ada yang berpendapat, ia adalah wasmah. (Lihat Mirqah al-Mafatih, 7/2827).

[3] Wars ialah sejenis tumbuhan yang ditanam di Yaman dan India. Buahnya apabila masak, ditutup dengan kelenjar kuning, dan terdapat sedikit bulu di atasnya, yang digunakan untuk mewarna pakaian. (Lihat https://www.almaany.com/ar/dict/ar-ar/الورس/. Diakses pada 28 April 2023). Ia adalah tumbuhan seperti bijan, dan mempunyai bau yang harum. Ia menjadi bahan pewarna antara warna merah dan kuning. (Lihat Jawahir al-Iklil Syarh Mukhtasar Khalil, 1/189).

[4] Syeikh Syu‘aib al-Arna’ut dalam Takhrij al-Musnad (25/216) menilai sanadnya sebagai sahih. Beliau juga menyatakan, semua perawinya adalah thiqah dan merupakan perawi kitab al-Sahih melainkan Bakr bin Isa dan dia daripada perawi sunan al-Nasa’i dan dia adalah thiqah.

[5] Lihat https://maktabahalbakri.com/1421-pewarna-rambut-yang-halal/. Diakses pada 26 Julai 2023.

[6] Lihat https://maktabahalbakri.com/1423-warnakan-rambut-dengan-warna-hitam/. Diakses pada 26 Julai 2023.

[7] Syu‘aib al-Arna’ut dalam Takhrij al-Musnad (16650) menilai sanadnya sebagai dha‘if.

Bertarikh: 3 Ogos 2023 bersamaan 16 Muharram 1445 H