Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada dengar sebuah hadith Nabi SAW yang mengatakan bahawa ada orang yang dipimpin tangannya oleh Rasulullah SAW sehingga masuk ke syurga. Benarkah ia?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Dalam menjawab persoalan ini, oleh kerana dia mim bab al-ghaib maka rujukan yang paling sahih adalah al-Quran dan sunnah. Terdapat hadith Nabi SAW, daripada al-Munaizir sahib Rasulillah SAW, bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ قَالَ إِذَا أَصْبَحَ: رَضِيتُ بِاللهِ رَبًّا، وَبِالْإِسْلَامِ دِينًا، وَبِمُحَمَّدٍ نَبِيًّا، فَأَنَا الزَّعِيمُ لِآخُذَ بِيَدِهِ حَتَّى أُدْخِلَهُ الْجَنَّةَ
Maksudnya: “Siapa yang berkata apabila pagi ‘Aku redha dengan Allah sebagai Tuhan, Islam sebagai agama, dan Muhammad sebagai nabi.’ Maka, aku adalah ketuanya atau penjaminnya dan nescaya aku pegang tangannya sehingga aku memasukkannya ke dalam syurga.”
Riwayat al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Kabir (838). Isnadnya adalah sahih sepertimana dinyatakan dalam al-Silsilah al-Sahihah (2686)
Makna ‘redha kepada Allah sebagai Rabb’, adalah redha kepada segala perintah dan larangan-Nya, kepada ketentuan dan pilihan-Nya, serta kepada apa yang diberikan dan ditahan-Nya. Inilah syarat untuk mencapai tingkatan redha kepada-Nya sebagai Rabb secara utuh dan sepenuhnya. (Lihat Fiqh Asma’ al-Husna, hlm. 81)
Al-Munawi berkata: Makna ‘redha Islam sebagai agama,’ adalah merasa cukup dengan mengamalkan Syariat Islam dan tidak akan berpaling kepada selain Islam. Demikian juga, ‘redha akan Nabi Muhammad SAW sebagai rasul,’ ertinya hanya mencukupkan diri dengan mengikuti petunjuk dan Sunnah Rasulullah SAW dalam beribadah dan mendekatkan diri kepada Allah, serta tidak menginginkan selain petunjuk dan Sunnah Baginda SAW. (Lihat Faidh al-Qadir, 3/557)
Nas ini dengan jelas menunjukkan kita redha dengan Allah sebagai tuhan kita dan Islam sebagai agama kita dan Muhammad sebagai nabi kita. Ini merupakan pasak keimanan yang selayaknya. Justeru, marilah sama-sama kita amalkan wirid doa seperti ini dan pengakuannya pada setiap pagi agar kita mendapat kelayakan dengan keistimewaan dipegang dan dipimpin tangan kita oleh Rasulullah SAW untuk dibawa masuk ke dalam syurga.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ زِدْنَا وَلَا تَنقُصْنَا، وَأَكْرِمْنَا وَلَا تُهِنَّا، وَأَعْطِنَا وَلَا تَحْرِمْنَا، وَاتْرُنَا وَلَا تُؤْثِرُ عَلَيْنَا، وَارْضِنَا وَارْضَ عَنَّا
Maksudnya: “Wahai Allah! Tambahkanlah buat kami dan jangan Engkau kurangkan. Muliakanlah kami, jangan hinakan kami. Berilah buat kami, jangan dicegahnya. Pilihlah kami, jangan Engkau biarkan dan redhailah kami dan redhailah pula semua usaha kami.”
Riwayat al-Tirmizi (3173), al- Nasa’ie dalam al-Sunan al-Kubra (1443) dan Ahmad (223)
Bertarikh: 3 Ogos 2023 bersamaan 16 Muharram 1445 H