#2483: Wanita Haid Menulis Ayat al-Quran Ketika Ujian Sekolah

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Bolehkah seorang pelajar wanita yang berada dalam keadaan haid, menulis ayat-ayat al-Quran? Khususnya ketika dia sedang menjalani ujian peperiksaan di sekolahnya? 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab persoalan di atas, kami mulakan dengan firman Allah SWT:

 لَّا يَمَسُّهُ إِلَّا الْمُطَهَّرُونَ 

Maksudnya: “Yang tidak disentuh melainkan oleh makhluk-makhluk yang diakui bersih suci.”

(Surah al-Waqi’ah: 79)

Selain itu, diriwayatkan daripada Abdullah bin ‘Umar R.Anhuma, 

 لاَ يَمَسَّ الْقُرْآنَ إِِلاَّ طَاهِرٌ

Maksudnya: “Tidak menyentuh al-Quran melainkan orang yang suci.”

Riwayat al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Kabir (12/313). Ibn Hajar menyebut dalam al-Talkhis (1/133): “Isnadnya tidak ada masalah padanya.”

Justeru, secara asasnya, para fuqaha’ bersepakat bahawa diharamkan kepada orang berhadas untuk menyentuh al-Quran tanpa lapik. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 16/240)

Dalam menjawab persoalan di atas, secara umumnya, wanita yang berada dalam keadaan haid adalah tidak dibolehkan untuk memegang al-Quran dan menulis ayat-ayatnya. 

Imam al-Khurasyi dari mazhab Maliki berkata: “Memegang al-Quran yang bertuliskan bahasa Arab adalah dilarang bagi orang yang dalam keadaan berhadas. Hukum menulisnya adalah sama seperti hukum memegangnya, kecuali satu ayat, atau kalimat basmalah, atau sedikit ayat al-Quran dan nasihat-nasihat di lembaran kertas biasa.” (Lihat Syarh al-Khurasyi ‘ala Mukhtasar Khalil, 1/160)

Namun, jika hal tersebut adalah diperlukan, seperti pertanyaan di atas, iaitu dalam keadaan pelajar wanita yang perlu menduduki peperiksaan, maka tidak mengapa.

Imam al-Dusuqi dalam menjelaskan berkenaan perkara-perkara yang dilarang ketika haid menyebut:

وَمَسُّ مُصْحَفٍ: أَيْ مَا لَمْ تَكُنْ مُعَلِّمَةً أَوْ مُتَعَلِّمَةً، وَإِلَّا جَازَ مَسُّهَا لَهُ.

Maksudnya: Dan memegang mushaf adalah dilarang jika dia bukan seorang guru atau pelajar. Akan tetapi, jika dia adalah guru atau pelajar, maka dibolehkan untuk memegangnya.” (Lihat al-Syarh al-Kabir, 1/174)

Kesimpulan

Justeru, kami katakan, oleh kerana waktu exam atau ujian serta pembelajaran terhad, atau sifatnya mudhayyaq (sempit), maka dibolehkan dan diharuskan bagi pelajar perempuan yang sudah akil baligh apabila datang haid untuk menulis, membaca mahupun menghafaz ketika pelaksanaan ujian tersebut. Hal ini juga terpakai dengan kaedah:

إِذَا ضَاقَ الْأَمْرُ اتَّسَعَ

Maksudnya: “Sesuatu perkara itu apabila ia menjadi sempit, maka ia diperluaskan.”

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا عَبِيْدُكَ، وَبَنُوْ عَبِيْدِكَ، وَبَنُوْ إِمَائِكَ، نَوَاصِينَا بِيَدِكَ، مَاضٍ فِيْنَا حُكْمُكَ، عَدْلٌ فِيْنَا قَضَاؤُكَ، نَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ، أَوْ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِنَا، وَنُورَ صُدُوْرِنَا، وَجِلَاءَ أَحْزَانِنَا، وَذَهَابَ هُمُوْمِنَا.

Maksudnya: Ya Allah, sesungguhnya kami adalah hamba-Mu, anak kepada hamba-Mu, anak kepada hamba perempuan-Mu, ubun-ubun kami di tangan-Mu, telah berlalunya keputusan-Mu, Engkau telah berlaku adil ke atas kami dalam keputusan-Mu. Kami memohon kepada-Mu dengan setiap nama yang Engkau berikan pada diri-Mu, atau yang telah Engkau ajarkan kepada salah satu makhluk ciptaan-Mu, atau yang telah Engkau turunkan dalam kitab-Mu, atau yang telah Engkau rahsiakan dalam ilmu ghaib-Mu, untuk menjadikan al-Quran sebagai penyejuk hati kami, cahaya di dada kami, penghilang kesedihan kami, penghapus kesusahan kami.”

Bertarikh: 3 Ogos 2023 bersamaan 16 Muharram 1445 H