Soalan:
Assalamualaikum Tuan Guru, saya ingin bertanya perlukah dilakukan tayamum ke atas jenazah lelaki yang masih belum bersunat selepas selesai jenazah dimandikan. Apakah sah mandian jenazah itu tanpa di tayamum.Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Menurut Imam al-Ramli, perkataan al-Jana’iz merupakan jamak dari perkataan janazah. Perkataan janazah adalah nama bagi mayyit (mayat) yang mana diletakkan di atas keranda. (Lihat Nihayah al-Muhtaj Syarah al-Minhaj, 8/16) Selain itu, al-Nawawi menukilkan pandangan daripada Ibn Faris, yang mana beliau mengatakan perkataan al-Jana’iz itu adalah kalimah jamak dari masdar al-Janazah. (Lihat Tahrir Alfaz al-Tanbih, hlm. 94)
Setiap makhluk yang bernyawa pasti akan merasai kematian dan kematian adalah suatu yang pasti bahkan tiada siapa yang akan terlepas dari kematian dari kalangan yang bernyawa.
Firman Allah SWT :
كُلُّ نَفْسٍ ذَائِقَةُ الْمَوْتِ ۖ ثُمَّ إِلَيْنَا تُرْجَعُونَ
Maksudnya: “Tiap-tiap diri (sudah tetap) akan merasai mati, kemudian kamu akan dikembalikan kepada Kami (untuk menerima balasan).”
(Surah al-Ankabut: 57)
Ibn Kathir menyatakan: Iaitu di mana sahaja kamu berada, nescaya kematian akan mendatangi kamu. Maka, hendaklah kamu berada dalam ketaatan kepada Allah. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 6/197)
Apabila seseorang itu meninggal dunia, maka menjadi fardhu kifayah kepada orang yang hidup terhadap si mati untuk melaksanakan perkara-perkara yang berikut:
- Memandikan
- Mengkafankan
- Menyembahyangkan
- Mengebumikan (Lihat Mughni al-Muhtaj, 1/494)
Perintah Memandikan Jenazah
Kewajipan memandikan jenazah ini berasal daripada arahan Nabi SAW ketika berlakunya tragedi seorang lelaki yang mati akibat terjatuh daripada unta, maka diseru untuk dimandikan jenazahnya, sepertimana hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas R.Anhuma:
اغْسِلُوهُ بِمَاءٍ وَسِدْرٍ, وَكَفِّنُوهُ فِي ثَوْبَيْنِ
Maksudnya: “Mandikanlah dia dengan air yang dicampur daun bidara dan kafanilah dengan dua helai kain”
Riwayat al-Bukhari (1265)
Begitu juga dapat dilihat kewajipan memandikan jenazah daripada kisah kewafatan Saidatina Zainab dimana Nabi Muhammad SAW mengajar tatacara pemandian jenazah sebagaimana yang telah diriwayatkan daripada Ummu Atiyyah al-Ansoriyyah beliau menceritakan bahawa:
دَخَلَ عَلَيْنَا رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم وَنَحْنُ نَغْسِلُ ابْنَتَهُ فَقَالَ ” اغْسِلْنَهَا ثَلاَثًا أَوْ خَمْسًا أَوْ أَكْثَرَ مِنْ ذَلِكَ بِمَاءٍ وَسِدْرٍ، وَاجْعَلْنَ فِي الآخِرَةِ كَافُورًا، فَإِذَا فَرَغْتُنَّ فَآذِنَّنِي ”. فَلَمَّا فَرَغْنَا آذَنَّاهُ، فَأَلْقَى إِلَيْنَا حِقْوَهُ فَقَالَ ” أَشْعِرْنَهَا إِيَّاهُ .
Maksudnya: Rasulullah SAW telah masuk kepada kami ketika mana kami memandikan jenazah puteri baginda, lalu Baginda bersabda: “ Mandikan dia dengan tiga kali, atau lima atau lebih dari tu, dengan air dan bidara kemudian letakkan bersama kapur barus pada mandian yang akhir. Apabila kamu selesai, maklumkan kepadaku” setelah kami selesai kami memaklumkan kepada Baginda SAW dan memberikan kain kepada kami, dan bersabda “kafankan dia dengan dengan sarung ini”
Riwayat Muslim (939)
Menjawab bagi persoalan di atas kami katakan, mati merupakan salah satu sebab seseorang itu diwajibkan untuk mandi. Ini sebagaimana yang telah dinyatakan oleh Imam al-Qadhi Abu Syuja’ : Perkara-perkara yang mewajibkan mandi itu ada enam iaitu: Bertembungnya dua kemaluan (masuknya zakar lelaki ke dalam faraj wanita), keluarnya air mani, mati, keluar haid, keluar nifas, serta wiladah (melahirkan anak). ( Lihat Matan Al-Ghayah Wa Al-Taqrib, Abu Syuja’,37-38)
Dalam isu ini kami katakan, memadai bagi jenazah yang tidak berkhatan itu dimandikan dengan meratakan air keseluruh badannya sahaja dan tidak perlu untuk ditayammum selepas daripada itu. Ini kerana ia tidak termasuk dalam sebab-sebab yang diharuskan untuk bertayammum bagi jenazah seperti ketiadaan air atau keadaan jenazah yang terbakar.
Imam Al-Nawawi Rahimahullah apabila menjelaskan hal ini berkata: Apabila terdapatnya keuzuran untuk memandikan mayat disebabkan ketiadaan air, atau jenazah terbakar, yang mana apabila ia dimandikan akan menyebabkan daging terpisah maka ia tidak dimandikan bahkan ditayammum. Dan tayammum ini wajib kerana ia adalah proses penyucian yang tidak berkaitan dengan menghilangkan najis maka wajib untuk beralih kepadanya (tayammum) ketika tidak mampu menggunakan air sama seperti mandi junub. ( Lihat Al-Majmu’ Syarah Al-Muhazzab, 5/178).
Justeru kami katakan, tidak disyaratkan untuk bertayammum bagi jenazah yang belum berkhatan melainkan terdapat keuzuran yang telah disebutkan di atas bahkan kebanyakan ulama juga berpandangan sekiranya dia meninggal dalam keadaan belum berkhatan maka, tidak perlu untuk dikhatankanya.
Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala syariatnya dan kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ أَحْسِنْ عَاقِبَتَنَا فِي الْأُمُورِ كُلِّهَا، وَأَجِرْنَا مِنْ خِزْيِ الدُّنْيَا وَعَذَابِ الْآخِرَةِ
Maksudnya: “Ya Allah, perbaikkanlah kesudahan segenap urusan kami serta lindungilah kami daripada kenistaan hidup di dunia dan siksaan hidup di akhirat.”
Riwayat Ibnu Hibban(949)
Wallaua’lam
Bertarikh: 3 Ogos 2023 bersamaan 16 Muharram 1445 H