Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Satu hari seorang itu bergaduh dengan isterinya dan berkata kepada isterinya, “Aku serahkan hak talak kepadamu.” Adakah jatuh talak jika isteri melaksanakannya dan mahu bercerai dengannya?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Dalam menjawab persoalan ini saya katakan persoalan talak adalah hak lelaki pada asalnya dan ia berjumlah 2 kali bagi dirujuk dan kali ketiga tidak lagi boleh dirujuk. Firman Allah SWT:
ٱلطَّلَـٰقُ مَرَّتَانِ
Maksudnya : “Talak (yang boleh dirujuk kembali itu hanya) dua kali.”
(Surah al-Baqarah: 229)
Ayat ini bersifat umum tanpa membezakan talak secara langsung (التنجيز) mahupun tidak langsung tergantung (التعليق). Oleh itu, suami berhak menjatuhkan talak ke atas isterinya sebagaimana yang dikehendaki sama ada segera atau disandarkan pada masa akan datang (ta’liq) sama ada bentuk sumpah dan sebagainya. Perkataan yang digunakan bagi pensyaratan ta‘liq adalah jika, apabila, kalau dan seumpamanya. (Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adilatuhu, 7/447)
Berkenaan dengan kenyataan tersebut, para ulama telah khilaf seperti berikut:
- Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam Syafi’i, Imam al-Auza’i dan segolongan ulama berpendapat ketika itu, isteri mempunyai pilihan sama ada mahu kekal dengan suaminya atau memilih untuk berpisah atau bercerai. Jika ia memilih untuk bercerai, dia boleh bercerai dan jika ia memilih untuk bersama dan kekal dengan suaminya maka dia tetap kekal dengan suaminya. Inilah pendapat jumhur ulama.
- Ibn Hazm berpendapat isteri tidak memiliki sesuatu kerana apa yang diberi oleh syarak hanya untuk suami sahaja. Maka, tidak harus kita beri hak tersebut kepada perempuan.
Kami tegaskan di sini isu seperti ini tidak boleh dibuat main-main. Nabi SAW menyebut:
ثَلَاثٌ جَدُّهنَّ جَدٌّ وَهَزْلُهُنَّ جَدٌّ: النِكَاحُ، وَالطَلَاقُ، وَالرَّجْعَةُ
Maksudnya: “Tiga perkara yang seriusnya dianggap bersungguh-sungguh dan gurauannya juga dianggap bersungguh-sungguh: nikah, cerai, rujuk semula.”
Riwayat Abu Daud (2194)
Marilah sama-sama kita beroda kepada Allah SWT agar rumah tangga menjadi kukuh dan ampuh serta mendapt keberkatan daripada-Nya.
Kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa”
Surah al-Furqan (74)
Bertarikh: 3 Ogos 2023 bersamaan 16 Muharram 1445 H