#2493: Maksud Nama Aileen Delisha

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Maaf mengganggu. Semoga Datuk sihat dan sentiasa dibawah lindungan Allah SWT. Isteri saya sedang mengandung dan bakal melahirkan anak pertama kami dalam masa beberapa hari sahaja. Semoga urusannya berjalan dengan lancar InshaAllah. 

Saya ingin bertanya pendapat Datuk Dr tentang nama anak yang kami telah pilih. Kami ingin meletakkannya Aileen Delisha. Yang membawa maksud mengikuti carian google, Aileen=Cahaya , Delisha = Kegembiraan. Suka dan senang hatinya saya jika Datuk Dr sudi membalas dan memberi pendapat tentang hantaran dan pertanyaan saya ini. Sekian, Terima kasih.

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat. 

Dalam Islam, tatkala anak dilahirkan, ibu bapa hendaklah menamakan anaknya dengan nama yang baik dan bukannya nama yang buruk mahupun mengandungi unsur syirik. 

Bahkan menamakan dengan nama yang baik adalah digalakkan kerana ia merupakan doa dan akan diseru pada Hari Kiamat kelak. Terdapat sebuah riwayat daripada Abu al-Darda’ R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّكُمْ تُدْعَوْنَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ بِأَسْمَائِكُمْ وَأَسْمَاءِ آبَائِكُمْ فَأَحْسِنُوا أَسْمَاءَكُمْ

Maksudnya: ‏ “Sesungguhnya kamu semua akan diseru pada hari kiamat kelak dengan nama kamu dan nama bapa-bapa kamu. Maka perelokkanlah nama kamu.”

Riwayat Abu Daud (4948)

Kami berpendapat jika itu maksud yang disampaikan semoga ianya benar-benar membawa kepada kebaikan dalam kehidupan anak anda. Walaupun begitu, alangkah baiknya nama-nama orang-orang soleh kita namakan anak kita sebagai tafaul atau harapan yang baik dan doa untuk menjadikan anak tersebut seperti apa yang dinyatakan dan dihasratkannya.

Pendidikan dan asuhan ilmu agama perlu diberi dari semasa ke semasa yang akhirnya anak tersebut terdidik dengan bi’ah solehah dan menjadikannya baik pada agamanya, pekertinya, tutur bicaranya serta akhlaknya. Daripada ‘Amru bin Sa’id al-As, sabda Nabi SAW:

مَا نَحَلَ وَالِدٌ وَلَدًا مِنْ نَحْلٍ أَفْضَلَ مِنْ أَدَبٍ حَسَنٍ

Maksudnya: “Tidak ada suatu pemberian seorang ayah kepada anaknya yang lebih utama daripada adab (akhlak) yang baik.”

Riwayat al-Tirmizi (1952), Ahmad (15403) dan al-Baihaqi (2365).

Jangan lupa sentiasa doa kepada Allah SWT sebagaimana yang diajar kepada kita:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

Surah al-Furqan (74)

Bertarikh: 3 Ogos 2023 bersamaan 16 Muharram 1445 H