#2497: Hukum Darah Ikan

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh jelaskan tentang hukum darah ikan? Saya dengar ada perbezaan pendapat dalam isu ini. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab persoalan di atas, para ulama berbeza pandangan tentang kesucian darah ikan.

Pandangan Pertama: Darah Ikan adalah Najis

Ini merupakan pendapat yang paling sahih dalam mazhab Maliki dan Syafi’i, serta salah satu pendapat mazhab Hanbali yang menyatakan bahawa darah ikan itu najis.

Pandangan ini berdasarkan umum makna firman Allah SWT:

حُرِّمَتْ عَلَيْكُمُ الْمَيْتَةُ وَالدَّمُ

Maksudnya: “Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang yang tidak disembelih), dan darah (yang keluar mengalir).”

(Surah al-Ma’idah: 3)

Begitu juga, hadith Nabi SAW:

أُحِلَّتْ لَنَا مَيْتَتَانِ وَدَمَانِ، فَأَمَّا الْمَيْتَتَانِ، فَالْحُوتُ وَالْجَرَادُ، وَأَمَّا الدَّمَانِ، فَالْكَبِدُ وَالطِّحَالُ. 

Maksudnya: “Dihalalkan buat kita dua jenis bangkai dan dua jenis darah. Dua jenis bangkai iaitu: Ikan dan belalang. Manakala dua jenis darah iaitu: Hati dan limpa.”

Riwayat Ibn Majah (3314), Ahmad (5723) dan al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (1/254). Syeikh Syu’aib al-Arna’ut menyatakan hadith ini hasan dalam takhrij al-Musnad.

Di sini, Nabi SAW tidak memberikan pengecualian daripada darah yang halal kecuali hati dan limpa. Maka darah ikan berbalik kepada hukum asal darah, iaitu najis, sepertimana firman Allah: ‘حُرِّمَتْ عَلَيْكُمُ الْمَيْتَةُ وَالدَّمُ’ (“Diharamkan bagi kamu bangkai dan darah”) [Surah al-Maidah: 3].

Al-Baji dari mazhab Maliki berkata:

دَمُ السَّمَكِ نَجِسٌ وَبِهِ قَالَ الشَّافِعِيُّ، وَقَالَ أَبُو حَنِيفَةَ: هُوَ طَاهِرٌ.

Maksudnya: “Darah ikan hukumnya najis. Pendapat inilah yang dinyatakan oleh Imam al-Syafi’. Manakala Abu Hanifah menyatakan bahawa hukumnya adalah suci.” (Lihat al-Muntaqa, 3/129)

Al-Syirazi menyebutkan bahawa berkenaan darah ikan, terdapat dua pendapat dalam kalangan ulama mazhab Syafi‘i. 

  • Pendapat pertama menyatakan bahawa ia adalah najis seperti mana darah-darah yang lain. 
  • Manakala pendapat kedua pula menyatakan, ia adalah suci kerana darah ikan tersebut tidaklah lebih banyak daripada bangkainya. Bangkai ikan adalah suci, maka demikianlah juga darahnya. (Lihat al-Muhazzab fi Fiqh al-Imam al-Syafi‘i, 1/92).

Imam al-Nawawi menyebut, kedua-dua pendapat mengenai darah ikan ini adalah masyhur dalam mazhab, dan pendapat yang paling sahih (asah), ia adalah najis. Ini juga merupakan pendapat yang dipegang oleh Imam Malik, Ahmad dan Daud. Manakala Imam Abu Hanifah berpendapat, ia adalah suci. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 2/557).

Pandangan Kedua: Darah Ikan adalah Suci

Menurut mazhab Hanafi dan juga pendapat yang paling sahih dalam mazhab Hanbali, serta salah satu pendapat dalam mazhab al-Syafi’i, darah ikan adalah suci.

Mereka berhujahkan bahawa ikan adalah termasuk daripada jenis bangkai yang halal dimakan tanpa sembelihan. Justeru, darahnya tidak perlu dikeluarkan. Ia tidak sama hukumnya darah banyak yang mengalir (مَسْفُوح) daripada uratnya, sedangkan ikan tiada urat sembelihan yang mengalirkan darah. Jika ia merupakan darah yang haram dimakan seperti haiwan darat, nescaya bangkai ikan tidak dihalalkan melainkan setelah sembelihan.

Al-Haskafi berkata:

وَ عُفِيَ دَمُ سَمَكٍ وَلُعَابُ بَغْلٍ وَحِمَارٍ وَالْمَذْهَبُ طَهَارَتُهَا

Maksudnya: “Darah ikan dan air liur baghal (kuda kecil) dan keldai adalah dimaafkan. Dan mazhab Hanafi menganggapnya suci.” (Lihat Hasyiyah Ibn ‘Abidin, 1/322)

Ada juga dalam kalangan mereka yang menyatakan bahawa ‘darah’ yang kelihatan pada ikan hakikatnya bukan darah, meskipun warnanya kelihatan seperti darah. Ibn ‘Abidin dari mazhab Hanafi berkata: 

وَالْمَذْهَبُ أَنَّ دَمَ السَّمَكِ طَاهِرٌ؛ لِأَنَّهُ دَمٌ صُورَةً لَا حَقِيقَةً

Maksudnya: “Menurut mazhab Hanafi, darah ikan adalah suci kerana ia adalah darah gambaran, dan bukan darah nyata.” (Lihat Hasyiyah Ibn ‘Abidin, 1/322)

Ibn Muflih dari mazhab Hanbali berkata: 

وَدَمُ السَّمَكِ طَاهِرٌ فِي الْأَصَحِّ

Maksudnya: “Darah ikan hukumnya suci menurut pendapat yang paling sahih.” (Lihat al-Furu’, 1/339)

Menurut Syeikh Ibn al-‘Uthaimin darah ikan dikira sebagai darah yang suci. Hal ini kerana asal pengharaman bangkai disebabkan oleh darah yang berkumpul di dalamnya. Oleh sebab itu, apabila dikeluarkan darahnya melalui sembelihan maka ia menjadi halal untuk dimakan. Jadi bila mana bangkai ikan adalah suci, maka kita mengetahui bahawa darahnya — yang menjadi sebab kenajisan bangkai — adalah suci. Justeru, darah ikan adalah suci. Sekiranya seseorang menangkap ikan besar, lalu badannya terkena banyak darah ikan tersebut, maka darah itu adalah suci. (Lihat al-Syarh al-Sauti li Zad al-Mustaqni‘, 1/516).

Penutup

Walaupun isu ini khilaf, sama ada najis atau suci, tetapi sekurang-kurangnya kita memahami yang ikan adalah halal dimakan. Dan saya cenderung kepada salah satu pandangan mazhab Syafi’i serta mazhab Hanafi dan Hanbali, yang menyatakan darah ikan adalah suci. 

Akhir kalam, marilah sama-sama kita berdoa:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا ، وَرِزْقًا طَيِّبًا ، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, aku memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Bertarikh: 3 Ogos 2023 bersamaan 16 Muharram 1445 H