#250 Lafaz Talak Tanpa Niat

Soalan

Adakah jatuh talak saya kepada isteri saya? Hal ini kerana saya pernah terlihat bersama isteri saya dalam drama di dalam televisyen yang mana pelakon drama itu mahu menceraikan isteri, kemudian saya tersambung perkataan pelakon tersebut dengan ucapan “saya ceraikan awak” sebagai respon kepada drama tersebut, dan dalam masa yang sama isteri saya berada di sebelah saya. Mohon pencerahan.

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Para ulama membahagikan talak dari segi kejelasan lafaz talak kepada dua, iaitu sorih yang bermakna jelas dan kinayah iaitu yang berkemungkinan membawa maksud talak atau tidak. Bagi lafaz sarih ada tiga perkataan yang jika disebutkan jatuhlah talak, Perkataan tersebut ialah cerai, pisah dan lepas.

Contoh lafaz sorih ialah ‘aku lepaskan engkau’ , ‘engkau tertalak’ atau ‘aku lepaskan engkau’. Jika lafaz-lafaz ini disebutkan oleh si suami maka jatuhlah talak bagi si isteri Contoh bagi lafaz kinayah pula ialah ‘pergilah ke ahli keluarga engkau’ , ‘jauhkan diri dari aku’ dan lain-lain lagi. Cumanya, lafaz kinayah ini memerlukan kepada niat si suami. Jika dia berniat mentalakkan maka jatuhlah talak. (Lihat al-Fiqh al-Minhaji, 4/123)

Talak adalah perkara yang tidak boleh dibuat sebagai permainan sebagaimana yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

ثَلاَثٌ جِدُّهُنَّ جِدٌّ وَهَزْلُهُنَّ جِدٌّ النِّكَاحُ وَالطَّلاَقُ وَالرَّجْعَةُ

Maksudnya: Tiga perkara yang dilakukan secara bersungguh menjadi sah, dan secara gurauan juga akan menjadi sah; nikah, talak dan rujuk.

[Riwayat Abu Dawud  (2194), Tirmidzi (1184) dan Ibn Majah (2039). Syeikh Syuaib al-Arnaot menyatakan di dalam Takhrij Zad al-Ma’ad (5/182) bahawa hadith ini Hasan dan terdapat syawahid yang menguatkannya.]

Namun begitu perlu diketahui, bahawa syarat terjatuhnya talak adalah dengan sengaja dan pilihannya. Para ulama menjelaskan terdapat enam keadaan suami yang melafazkan talaq secara sarih tidak menjatuhkan talaq:

  • Orang yang tidur
  • Orang yang gila
  • Orang yang sabq al-lisan (terlepas cakap).
  • Orang yang memanggil; iaitu jika seseorang itu memiliki isteri yang bernama “Taliq” yang bermaksud orang yang diceraikan.
  • Penggunaan lafaz yang tidak difahami
  • Dipaksa dan mabuk atas sebab uzur

Syeikh Muhammad al-Zuhaili menyatakan di dalam kitab al-Mu’tamad: “Jika seseorang lelaki terlepas cakap melafazkan talak tanpa berniatkan makna bagi huruf-huruf talaq, maka lagha, tidak jatuh talak. Begitu juga jika seseorang melafaz talak kerana menceritakan kisah orang lain, atau seorang ahli fiqh yang berulang-kali menyebut talak dalam pengajaran dan contoh yang diberi, maka lagha juga, kerana tiada niat untuk dia mentalakkan.” (Lihat al-Muʿtamad fi al-Fiqh al-Syafie, 4/164)

Pengarang kitab Matalib Uli al-Nuha menyatakan: Lafaz talak yang tidak dimaksudkan itu tidak menjatuhkan talak sepertimana talak untuk mengajar ataupun talak sebagai penceritaan dan hikayah kerana talak itu tidak dimaksudkan maknanya. (Lihat Matalib Uli al-Nuha, 5/321)

Berdasarkan persoalan di atas, situasi yang diceritakan adalah situsi bercerita dan bukan ditujukan dan niatkan untuk menceraikan isteri. Justeru tidak jatuh talak bagi keadaan seperti yang diceritakan diatas dan tidak perlu dirujuk. Kami nasihatkan agar kita mempelajari Fiqh al-Nikah dengan sebaik-baiknya serta berhati-hatilah dalam melafazkan perkataan yang berkaitan dengan talak. Semoga Allah memberikan kita kefahaman yang baik dalam memahami agama ini. Amin.

Wallahua`lam.

Bertarikh 6 Januari 2022 bersamaan 3 Jamadil Akhir 1443H