Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya sekarang bekerja dan menetap di Vietnam. Kawasan tempat saya tinggal terpencil daripada komuniti Muslim dan susah untuk mendapatkan bekalan makanan yang disembelih oleh orang Islam. Soalan saya, bolehkah saya makan daging ayam atau lembu yang dijual oleh penduduk di sini? Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Dalam menjawab soalan ini, kami katakan bahawa makanan yang melibatkan haiwan sembelihan atau haiwan yang disembelih seperti lembu, ayam dan seumpamanya bagi menghalalkannya. Mengenai hal ini, secara umunya, kita hendaklah mengetahui bahawa sebagai seorang Muslim kita diharamkan untuk memakan sembelihan penganut agama lain yang terdiri daripada penyembah berhala, penganut agama majusi, dan seumpamanya kecuali sembelihan ahli kitab. Dinyatakan dalam al-Jauharah al-Nayyirah (2/181) bahawa tidak boleh dimakan sembelihan penganut majusi, orang murtad dan penyembah berhala kerana orang murtad tidak mempunyai agama, manakala penyembah berhala pula adalah seumpamanya.
Pengecualian sembelihan ahli kitab pula adalah sesuai dengan firman Allah SWT:
الْيَوْمَ أُحِلَّ لَكُمُ الطَّيِّبَاتُ ۖ وَطَعَامُ الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ حِلٌّ لَّكُمْ وَطَعَامُكُمْ حِلٌّ لَّهُمْ
Maksudnya: “Pada masa ini dihalalkan bagi kamu (memakan makanan) yang lazat-lazat serta baik-baik. Dan makanan (sembelihan) orang-orang yang diberikan Kitab itu adalah halal bagi kamu, dan makanan (sembelihan) kamu adalah halal bagi mereka (tidak salah kamu memberi makan kepada mereka).”
(Surah al-Ma’idah: 5)
Al-Sa‘di ketika menafsirkan ayat di atas menyatakan, maksudnya ialah sembelihan orang Yahudi dan Nasrani adalah halal buat kamu, wahai kaum Muslimin dan bukannya orang-orang kafir selain mereka kerana sembelihan mereka (iaitu orang kafir selain ahli kitab) tidak halal kepada kaum Muslimin. Hal ini juga kerana ahli kitab itu menisbahkan diri mereka kepada para nabi dan kitab-kitab Allah.
Begitu juga sesungguhnya para nabi kesemuanya telah bersepakat mengenai pengharaman sembelihan bukan kerana Allah kerana hal itu adalah syirik. Maka, orang Yahudi dan Nasrani berpegang dalam agama mereka bahawa sembelihan bukan kerana Allah adalah diharamkan. Oleh sebab itu, dihalalkan sembelihan mereka kepada orang Islam dan bukannya orang kafir selain mereka. Dalil yang menunjukkan bahawa ‘makanan’ dalam ayat di atas merujuk kepada sembelihan mereka ialah makanan yang bukan sembelihan seperti biji-bijian dan buah-buahan, ahli kita tidak memiliki kekhususan padanya, bahkan ia tetap dihalalkan sekalipun ia adalah makanan selain ahli kitab.
Di samping itu, penisbahan ‘makanan’ kepada mereka, menunjukkan bahawa ia adalah makanan dengan sebab sembelihan mereka. Tidak dikatakan bahawa penisbahan itu menunjukkan kepada kepemilikan, lalu menjadikan maknanya, makanan yang mereka miliki. Hal ini kerana tidak dibolehkan dengan cara paksaan sekalipun ia dilakukan oleh kaum Muslimin. Demikianlah juga makanan kamu wahai kaum Muslimin adalah halal bagimu untuk memberikannya kepada mereka. (Lihat Tafsir al-Sa‘di, 1/221)
Selain daripada itu, makanan yang melibatkan sembelihan atau haiwan yang disembelih atas nama berhala juga adalah diharamkan untuk dimakan berdasarkan kepada firman Allah SWT:
حُرِّمَتْ عَلَيْكُمُ الْمَيْتَةُ وَالدَّمُ وَلَحْمُ الْخِنزِيرِ وَمَا أُهِلَّ لِغَيْرِ اللَّهِ بِهِ وَالْمُنْخَنِقَةُ وَالْمَوْقُوذَةُ وَالْمُتَرَدِّيَةُ وَالنَّطِيحَةُ وَمَا أَكَلَ السَّبُعُ إِلَّا مَا ذَكَّيْتُمْ وَمَا ذُبِحَ عَلَى النُّصُبِ
Maksudnya: “Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang yang tidak disembelih), dan darah (yang keluar mengalir), dan daging babi (termasuk semuanya), dan binatang-binatang yang disembelih kerana yang lain daripada Allah SWT, dan yang mati tercekik, dan yang mati dipukul, dan yang mati jatuh dari tempat yang tinggi, dan yang mati ditanduk, dan yang mati dimakan binatang buas, kecuali yang sempat kamu sembelih (sebelum habis nyawanya), dan yang disembelih atas nama berhala.”
(Surah al-Ma’idah: 3)
Menurut Dr. Yusuf al-Qaradhawi, perkataan al-Nusub (النُّصُبِ) bermaksud sesuatu yang dibina iaitu berhala atau batu yang dibina sebagai tanda atau simbol kepada taghut. Taghut ialah sesuatu yang disembah selain daripada Allah SWT dan ia dahulunya dibina di sekeliling Kaabah. Masyarakat jahiliyyah dahulunya sering menyembelih haiwan-haiwan atas nama berhala-berhala itu ataupun di sisinya dengan tujuan untuk mendekatkan diri kepada tuhan-tuhan mereka dan berhala-berhala mereka.
Inilah contoh kategori binatang yang disembelih bukan kerana Allah SWT. Hal ini kerana pada kedua-duanya (yakni haiwan yang disembelih atas nama berhala atau di sisi berhala) terdapatnya pengagungan kepada taghut. Perbezaan di antara keduanya ialah haiwan yang disembelih bukan kerana Allah SWT itu, kemungkinan ia disembelih untuk salah satu berhala daripada berhala-berhala yang jauh daripadanya dan daripada berhala tersebut, serta disebutkan ketika sembelihan haiwan tersebut nama taghut itu. Manakala binatang yang disembelih atas nama berhala itu sendiri pula, mesti disembelih atas batu (yakni berhala) tersebut atau di sisinya, dan tidak semestinya ketika sembelihan itu disebut dengan nama selain nama Allah SWT.
Disebabkan berhala-berhala ini berada di sekeliling Kaabah, maka ada orang yang menyangka atau beranggapan bahawa penyembelihan yang dilakukan di situ adalah untuk membesarkan Baitullah al-Haram. Justeru, al-Quran telah melenyapkan sangkaan ini dan menyatakan dengan jelas berkenaan pengharaman sembelihan seumpama ini, meskipun jika diteliti dapat difahami bahawa ia termasuk dalam kategori haiwan yang disembelih bukan kerana Allah SWT. (Lihat al-Halal wa al-Haram, hlm. 48).
Dr. Yusuf al-Qaradhawi juga ada menyebutkan, jika seorang ahli Kitab (Yahudi dan Kristian) menyembelih binatang dan tidak mendengar dia menyebut nama selain nama Allah SWT seperti menyebut al-Masih atau al-‘Uzair semasa dia menyembelih, maka sembelihannya itu adalah halal. Tetapi, jika terdengar daripadanya bahawa dia menyebut nama selain nama Allah SWT, maka sesetengah fuqaha ada yang mengharamkan sembelihannya itu, kerana ia termasuk dalam haiwan yang disembelih kepada selain Allah SWT. Sesetengah fuqaha lagi berpendapat bahawa Allah SWT telah membolehkan kepada kita untuk memakan makanan mereka dan tentulah Dia lebih mengetahui apa yang mereka katakan itu. (Lihat al-Halal wa al-Haram, hlm. 60).
Seterusnya, kita juga hendaklah mengetahui bahawa hukum asal bagi sembelihan dan daging adalah haram. Dalam erti kata lain, tidak halal suatu sembelihan itu melainkan jika kita mengetahui bahawa ia disembelih sebagaimana yang dikehendaki oleh syarak. Imam al-Nawawi ada menyatakan bahawa jika timbul suatu syak atau keraguan pada sembelihan yang menghalalkan haiwan itu, maka ia tidak halal untuk dimakan kerana hukum asalnya adalah haram dan perkara ini tidak ada khilaf padanya. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 13/78).
Begitu juga al-Rafi‘i turut menyebutkan bahawa hukum asal bagi daging-daging adalah tidak harus. Tidakkah kamu melihat bahawa sekiranya haiwan yang sedang tenat (menunggu mati) disembelih, lalu timbul rasa syak pada pergerakkannya ketika disembelih, adakah pergerakkannya seperti haiwan yang disembelih (nyawa-nyawa ikan) ataupun masih mempunyai nyawa (hayah mustaqirrah), maka dalam situasi ini hukum haram lebih mendominasi. (Lihat Fath al-‘Aziz Syarh al-Wajiz, 1/280).
Selain daripada itu, Ibn al-Qayyim ketika membahaskan berkenaan istishab, beliau menyatakan, ia adalah sifat yang mensabitkan suatu hukum sehinggalah sabit hal yang sebaliknya, dan istishab ini adalah hujah. Misalnya, istishab dalam hukum taharah, hukum hadas, hukum kekalnya nikah sehinggalah sabit hal yang sebaliknya. Syarak telah meletakkan hukumnya tertakluk kepada hukum asal, sebagaimana sabda Baginda mengenai haiwan buruan:
وإنْ وجدْتَهُ غرِيقًا في الماءِ فلا تأكُلْ، فإنّكَ لا تدْرِي الماءُ قتَلَهُ أوْ سهمُكَ؟
Maksudnya: “Sekiranya kamu mendapatinya tenggelam di dalam air, maka janganlah kamu memakannya kerana kamu tidak mengetahui adalah air yang telah membunuhnya atau anak panahmu?”
Riwayat Muslim (1929)
Begitu juga sabda Nabi SAW:
وَإِنْ خَالَطَهَا كِلاَبٌ مِنْ غَيْرِهَا فَلاَ تَأْكُلْ؛ فإنكَ إنما سمَّيتَ على كلبِكَ ولم تُسمِّ على غيرِهِ
Maksudnya: “Dan jika anjing-anjing itu turut bercampur dengan anjing-anjing yang lain, maka janganlah engkau memakannya kerana sesungguhnya kamu telah menyebut nama Allah untuk anjingmu sahaja dan tidak menyebut nama Allah pada anjing yang lain.”
Riwayat al-Bukhari (5476, 5483, 5486) dan Muslim (1929)
Apabila hukum asal dalam sembelihan adalah haram, lalu timbulnya syak dan keraguan padanya; adakah syarat yang menghalalkannya dipenuhi ataupun tidak? Maka ia kekal sebagaimana hukum asalnya iaitu haram untuk dimakan. (Lihat I‘lam al-Muwaqqi‘in, 1/339-340).
Tambahan lagi, Ibn Qayyim juga ada menyebutkan bahawa hukum asal dalam bab sembelihan adalah haram melainkan apa yang dihalalkan oleh Allah dan Rasul-Nya. Jika ada pertembungan antara dua dalil iaitu dalil yang melarang dan dalil yang mengharuskannya, maka beramal atau berpegang dengan dalil yang melarang adalah lebih utama berdasarkan kepada tiga alasan:
- Ia dikuatkan/disokong lagi dengan hukum asalnya iaitu haram.
- Ia adalah lebih berhati-hati (ahwat).
- Jika kedua-dua dalil saling bertentangan, maka kedua-duanya adalah terbatal dan dikembalikan kepada hukum asalnya iaitu haram. (Lihat Ahkam Ahl al-Zimmah, 1/538-539).
Berbalik kepada soalan yang diajukan, kami berpendapat bahawa tidak boleh dan haram memakan daging ayam atau lembu yang dijual oleh penduduk tempatan yang bukan beragama Islam sehinggalah diyakini bahawa daging-daging itu adalah halal melalui sembelihan yang dikehendaki oleh syarak. Hal ini kerana hukum asal daging dan sembelihan adalah haram sehinggalah terbukti atau sabit bahawa ia adalah halal.
Kami mengambil kesempatan di sini mencadangkan bahawa saudara boleh membeli ayam yang hidup kemudian menyembelihnya sendiri bagi mendapatkan stok makanan daging ayam. Ini adalah lebih selamat dan jauh daripada terjerumus ke dalam makanan yang syubhah mahupun diharamkan.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Wallahu a‘lam.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ ارْزُقْنَا رِزْقًا وَاسِعًا حَلَالًا طَيِّبًا مُبَارَكًا وَأَنْتَ خَيْرُ الرَّازِقِينَ
Maksudnya: “Ya Allah, berikanlah kami keluasan rezeki yang halal dan baik serta diberkati, sesungguhnya Engkaulah sebaik-baik pemberi rezeki.”
Wallahu a‘lam.
Bertarikh: 7 Ogos 2023 bersamaan 20 Muharram 1445 H