#2504: Kurang Daya Ingatan Dalam Ibadah dan Kehidupan

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Umur saya 62 tahun dan semenjak saya buat bypass pada tahun 2019, saya dapati ingatan saya makin berkurangan. Untuk makluman Dato’ Seri, selepas saya sedar dari pembedahan, saya rasa ‘kosong’ dari segi fikiran, perasaan dan susah nak ingat balik surah-surah lazim yang selalu saya hafal. 

Alhamdulillah, setakat ini saya boleh ingat kembali dengan membaca berulang kali. Masalahnya sekarang, banyak perkara sebelum pembedahan saya tidak ingat. Langsung tiada gambaran. 

Begitu juga ketika saya solat sunat Subuh sehingga saya terlupa saya belum solat fardhu Subuh. Begitu juga dengan beberapa rukun solat. Sentiasa was-was belum cukup rakaat.

Mohon Dato’ Seri boleh berikan kepada saya cara-cara untuk bagi kuat ingatan. Semoga saya tidak lupa ayat-ayat Qalamullah dan juga ibadah yang lain. Saya takut saya tidak dapat ingat bab solat dan mengaji. Mohon Dato’ Seri. Terima kasih.

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam mendapatkan kepastian dengan lebih baik, maka kami cadangkan untuk dirujuk kepada pakar-pakar. Masalah ingatan boleh jadi merupakan proses penuaan yang biasa. Apabila seseorang menjadi tua, perubahan dan kemerosotan fungsi boleh berlaku pada semua bahagian badan, termasuklah otak. Akibatnya, sesetengah warga emas mungkin perlu mengambil masa yang lebih panjang untuk mengingati informasi baru. Terdapat pelbagai keadaan/penyakit yang boleh mengakibatkan  masalah ingatan dalam kalangan warga emas.

Oleh itu, adalah penting untuk warga emas yang mengalami masalah ingatan untuk mendapat penilaian daripada doktor agar diagnosa awal and rawatan yang bersesuaian boleh diberi.

Sebab-sebab masalah ingatan

Pelbagai keadaan/ penyakit boleh menyebabkan masalah ingatan dalam kalangan warga emas, termasuklah:

  • Masalah ingatan disebabkan oleh proses penuaan
  • Masalah ingatan berkaitan dengan penyakit degeneratif seperti penyakit Alzheimer, angin ahmar, penyakit Parkinson dan penyakit lain yang berkaitan
  • Masalah ingatan disebabkan oleh keadaan/ penyakit yang boleh dirawat
  • Masalah ingatan disebabkan oleh penyakit yang boleh dirawati

Sesetengah masalah perubatan yang boleh dirawati juga menyebabkan masalah ingatan atau gejala demensia. Kebanyakan penyakit ini boleh dikesan dan dirawati dengan berjayanya. Penyebab-penyebab masalah ingatan yang boleh dirawati adalah seperti:

  • Kesan sampingan ubat-ubatan tertentu
  • Kekurangan vitamin B-12
  • Pengambilan alkohol secara berpanjangan
  • Kecederaan otak
  • Ketumbuhan, jangkitan atau darah beku pada otak
  • Hipotiroidism
  • Masalah emosi seperti kemurungan, stres dan keresahan

Adalah penting untuk menyedari bahawa gejala demensia yang boleh dirawati kadang-kala tidak boleh dipulihkan sepenuhnya. Ia mungkin disebabkan oleh kerosakan otak yang berkekalan akibat daripada masalah yang berpanjangan. Biasanya, warga emas mungkin juga mempunyai penyakit demensia seperti Alzheimer pada masa yang sama.

Penyakit atau simptom ini kami kategorikan sebagai hampir kepada golongan ma’tuh atau nyanyuk. Daripada Ali bin Abi Talib RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

رُفِعَ القَلَمُ عَنْ ثَلَاثَةٍ: عَنِ النَّائِمِ حَتَّى يَسْتَيْقِظَ، وَعَنِ الصَّبِيِّ حَتَّى يَشِبَّ، وَعَنِ المَعْتُوهِ حَتَّى يَعْقِلَ

Maksudnya: “Diangkat pena daripada tiga golongan: Orang yang tidur sehingga dia bangun, daripada bayi sehingga dia remaja (baligh) dan daripada orang yang cacat mental sehingga dia berakal.”

Riwayat al-Tirmizi (1423) dan Ahmad (956)

Syeikh al-Mubarakfuri, memahami maksud “المَعْتُوهِ” sebagai gila atau yang seumpama dengannya. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 4/570). Kata Ibn Abidin di dalam hasyiahnya bahawa para ahli usul telah menjelaskan bahawa hukum bagi orang “المَعْتُوه” ini seperti bayi yang mumayyiz serta berakal pada kelakuannya dan terangkat tanggungjawabnya (terlepas daripada beban tanggungjawab). (Lihat Hasyiah Ibn Abidin, 2/426)

Dalam riwayat al-Bukhari menyebut, Amru bin Maimun al-Audi berkata: Adalah Sa’d mengajar anak-anaknya beberapa kalimat doa sebagaimana seorang guru mengajar murid-muridnya menulis dengan katanya: “Sesungguhnya Rasulullah SAW sentiasa meminta berlindung daripada perkara-perkara ini selepas selesai solat dengan berdoa:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ الْجُبْنِ وَأَعُوذُ بِكَ أَنْ أُرَدَّ إِلَى أَرْذَلِ الْعُمُرِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ فِتْنَةِ الدُّنْيَا وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ

Maksudnya: “Ya Allah, Sesungguhnya aku mohon berlindung dengan-Mu dari sifat penakut dan aku berlindung dengan-Mu dari aku dikembalikan kepada tahap yang amat tua dan aku berlindung dengan-Mu dari fitnah dunia dan aku berlindung dengan-Mu dari azab kubur.”

Riwayat al-Bukhari (2822)

Wajah istidlal di sini, perkataan “وَأَعُوذُ بِكَ أَنْ أُرَدَّ إِلَى أَرْذَلِ الْعُمُرِ” yang memberi maksud “aku berlindung dengan-Mu dari aku dikembalikan kepada tahap yang amat tua.”

Syeikh al-Mubarakfuri telah menukilkan daripada al-‘Aini, salah seorang pensyarah Sahih Bukhari yang berkata: Iaitu dalam keadaan al-kharaf (الخرف) di mana ia seperti keadaan awalnya pada zaman kanak-kanak kecil, da’if dari segi kekuatan dan lemah dari segi akal serta kurang faham. Dikatakan juga, “أرذل العمر” dengan paling rendah keadaannya iaitu amat tua dan da’if sehingga sukar untuk menunaikan segala kefarduan. 

Begitu juga untuk berkhidmat pada dirinya sendiri seperti membersihkannya (mandi dan bersih dari qadha hajat) sehingga menjadi beban kepada keluarganya yang akhirnya mereka bercita-cita agar ia mati. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi bi Syarh Jami’ al-Tirmizi, 10/14). Menurut Ibn Manzur: al-Kharaf (الخرف) ialah inkarnya akalan sama ada lemah atau hilang dengan sebab tua atau sakit. (Lihat Lisan al-‘Arab, 3/338)

Setelah menekuni pendapat para ulama’ termasuk dalam fatwa Islamweb (no. 44056 dan juga 37606), kami dapati bahawa orang yang kharaf dan junun, hukumnya adalah sama. Orang yang dalam keadaan kharaf, tidak dikira taklif ketika dalam keadaan ingatannya tidak stabil.

Firman Allah SWT:

لَا يُكَلِّفُ اللَّـهُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَا

Maksudnya: “Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya,”

(Surah al-Baqarah: 286)

Syeikh al-Maraghi berkata: Allah SWT tidak membebankan hamba-hamba-Nya dengan sesuatu yang tidak mampu mereka kerjakan. Bahkan sifat kemurahan-Nya memberikan kemudahan kepada mereka. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 2/672)

Berkenaan dengan orang yang ditimpa sakit seperti ini (lupa), Islam memberi rukhsah mengikut kemampuannya. Ingatlah penyakit ini merupakan ujian, sementelahan lagi dalam usia yang panjang. 

Begitu juga, usia yang panjang yang diisi dengan acara ibadat walaupun penuh keuzuran adalah antara orang yang baik. Hal ini sebagaimana hadis daripada Abdullah bin Busr, berkata bahawa seorang Badwi bertanya: “Ya Rasulullah, siapakah manusia yang paling baik?” Jawab Rasulullah SAW:

مَنْ طَالَ عُمُرُهُ ، وَحَسُنَ عَمَلُهُ

Maksudnya: “Sesiapa yang usianya panjang dan baik amalannya.”

Riwayat al-Tirmizi (2329)

Kami nyatakan bahawa dalam isu seperti ini kaum keluarga yang terdekat seperti anak, suami atau isteri akan cuba mengingatkan pesakit lupa ini agar dapat melakukan ibadat dengan sempurna. Allah SWT memaafkan kepada si pelupa bahkan ini merupakan sifat manusia. Apabila dia sedar daripada sifat kelupaan maka hendaklah dia melaksanakan ibadat seperti solat seupaya mungkin. Hal ini berdasarkan kepada sebuah hadith Nabi SAW, daripada Abu Qatadah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ نَامَ عَنْ صَلاةٍ أَوْ نَسِيَهَا فَلْيُصَلِّهَا إذَا ذَكَرَهَا

Maksudnya: “Sesiapa yang tertidur dari (melakukan) solat atau terlupa, maka hendaklah dia solat setelah mengingatinya.”

Riwayat Muslim (680), Abu Daud (441), al-Tirmizi (615), Ibn Majah (698)

Imam al-Nawawi menyatakan bahawa kewajiban orang yang lupa ketika itu adalah mengerjalan solat semisal yang dia tinggalkan dan tidak ada kewajiban tambahan selain daripada itu. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 5/172)

Dengan sebab itu, kita diajar untuk melakukan sebaik mungkin amalan berdasarkan nas di atas dan juga firman Allah SWT:

فَاتَّقُوا اللَّهَ مَا اسْتَطَعْتُمْ

Maksudnya: “Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah sedaya supaya kamu.”

(Surah al-Taghabun: 16)

Pelupa dapat diatasi dengan pelbagai cara untuk mengingatnya, terdapat banyak kaedah moden dengan cara mengingatkannya telah dipraktikkan. Dapatan kajian menunjukkan ada yang boleh mengingatkan semula. Justeru, marilah sama-sama kita mengingatkan doa yang diaju kepada Allah SWT:

رَبَّنَا لَا تُؤَاخِذْنَا إِن نَّسِينَا أَوْ أَخْطَأْنَا ۚ رَبَّنَا وَلَا تَحْمِلْ عَلَيْنَا إِصْرًا كَمَا حَمَلْتَهُ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِنَا ۚ رَبَّنَا وَلَا تُحَمِّلْنَا مَا لَا طَاقَةَ لَنَا بِهِ ۖ وَاعْفُ عَنَّا وَاغْفِرْ لَنَا وَارْحَمْنَا ۚ أَنتَ مَوْلَانَا فَانصُرْنَا عَلَى الْقَوْمِ الْكَافِرِينَ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami ! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir”.

(Surah al-Baqarah: 286)

Bertarikh: 7 Ogos 2023 bersamaan 20 Muharram 1445 H