#2505: Nabi Adam dan Iblis

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Semoga seisi keluarga sihat sejahtera hendaknya. Saya ingin merujuk kepada surah Al-Baqarah ayat 30 yang bermaksud: “Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para Malaikat: “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi”. Mereka berkata: “Mengapa Engkau hendak menjadikan (khalifah) di bumi itu orang yang akan membuat kerusakan padanya dan menumpahkan darah, padahal kami senantiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan mensucikan Engkau?” Tuhan berfirman: “Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui”.” (QS. Al Baqarah: 30). 

Soalan saya: Jika sememangnya Allah menciptakan Nabi Adam sebagai khalifah di muka bumi, mengapakah baginda ditempatkan di Syurga dan hanya diturunkan ke bumi setelah terjadinya peristiwa hasutan syaitan untuk memakan buah yang dilarang?

 Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

وَإِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلَائِكَةِ إِنِّي جَاعِلٌ فِي الْأَرْضِ خَلِيفَةً ۖ قَالُوا أَتَجْعَلُ فِيهَا مَن يُفْسِدُ فِيهَا وَيَسْفِكُ الدِّمَاءَ وَنَحْنُ نُسَبِّحُ بِحَمْدِكَ وَنُقَدِّسُ لَكَ ۖ قَالَ إِنِّي أَعْلَمُ مَا لَا تَعْلَمُونَ

Maksudnya: Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi”. Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): “Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?”. Tuhan berfirman: “Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya.”

Surah al-Baqarah (30)

Allah SWT berfirman berkenaan penciptaan manusia:

وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ

Maksudnya: “Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.”

Surah al-Dzariyat (56)

Dalam menjawab persoalan di atas, hikmah Allah SWT agar Nabi Adam dan keturunannya dapat mengetahui bahawa matlamat asal dia akan ditempatkan di muka bumi sebagai mana nas di atas. Keberadaannya di dalam syurga telah menjadi khilaf di kalangan ulama, adakah itu syurga hakiki yang akan kita masuki insyaAllah atau syurga yang lain kepada dua pandangan. 

Syeikh Muhammad Mutawalli al-Sya’rawi telah membentangkan dengan panjang lebar dalam tafsirnya dengan pelbagai hujah yang bahawa syurga yang Nabi Adam masuk pada permulaan ciptaannya adalah berlainan dengan syurga yang akan dimasuki oleh orang-orang soleh di akhirat nanti. Antara hujahnya ialah:

  • Syurga merupakan tempat kekal abadi, apabila seseorang masuk tidak akan keluarnya.
  • Syurga yang akan dimasuki kerana iman dan amal soleh yang dilakukan oleh anak Adam sedangkan syurga yang Adam masuk adalah sebagai tempat yang indah yang akan melaksanakan satu tugasan khas iaitu menjadi khalifah selepas itu. 
  • Syurga yang hakiki sudah tentu syaitan tidak akan dapat memasukinya kerana ia adalah tempat orang-orang yang soleh sedangkan syurga yang diuji Nabi Adam itu, syaitan dapat memasukinya.
  • Allah SWT telah mengisahkan tentang larangannya supaya tidak makan buah yang tertentu sedangkan syurga hakiki tiada sebarang bentuk larangan sama ada makan atau minum. (Lihat Tafsir al-Sya’rawi, 1/258)

Justeru, kami katakan bahawa antara hikmah dikeluarkan selepas itu agar manusia mengetahui bahawa musuh mereka yang amat nyata adalah iblis dan syaitan sebagai mana sumpahan iblis untuk menyesatkan anak Adam. Firman Allah SWT:

وَيَا آدَمُ اسْكُنْ أَنتَ وَزَوْجُكَ الْجَنَّةَ فَكُلَا مِنْ حَيْثُ شِئْتُمَا وَلَا تَقْرَبَا هَٰذِهِ الشَّجَرَةَ فَتَكُونَا مِنَ الظَّالِمِينَ ‎﴿١٩﴾‏ فَوَسْوَسَ لَهُمَا الشَّيْطَانُ لِيُبْدِيَ لَهُمَا مَا وُورِيَ عَنْهُمَا مِن سَوْآتِهِمَا وَقَالَ مَا نَهَاكُمَا رَبُّكُمَا عَنْ هَٰذِهِ الشَّجَرَةِ إِلَّا أَن تَكُونَا مَلَكَيْنِ أَوْ تَكُونَا مِنَ الْخَالِدِينَ ‎﴿٢٠﴾‏ وَقَاسَمَهُمَا إِنِّي لَكُمَا لَمِنَ النَّاصِحِينَ ‎﴿٢١﴾‏ فَدَلَّاهُمَا بِغُرُورٍ ۚ فَلَمَّا ذَاقَا الشَّجَرَةَ بَدَتْ لَهُمَا سَوْآتُهُمَا وَطَفِقَا يَخْصِفَانِ عَلَيْهِمَا مِن وَرَقِ الْجَنَّةِ ۖ وَنَادَاهُمَا رَبُّهُمَا أَلَمْ أَنْهَكُمَا عَن تِلْكُمَا الشَّجَرَةِ وَأَقُل لَّكُمَا إِنَّ الشَّيْطَانَ لَكُمَا عَدُوٌّ مُّبِينٌ

Maksudnya: ““Dan wahai Adam! Tinggalah engkau dan isterimu di dalam Syurga serta makanlah dari makanannya sepuas-puasnya apa sahaja kamu berdua sukai, dan janganlah kamu hampiri pokok ini, (jika kamu menghampirinya) maka akan menjadilah kamu dari orang-orang yang zalim.”Setelah itu maka Syaitan membisikkan (hasutan) kepada mereka berdua supaya (dapatlah) ia menampakkan kepada mereka akan aurat mereka yang (sekian lama) tertutup dari (pandangan) mereka, sambil ia berkata: “Tidaklah Tuhan kamu melarang kamu daripada (menghampiri) pokok ini, melainkan (kerana Ia tidak suka) kamu berdua menjadi malaikat atau menjadi dari orang-orang yang kekal (selama-lamanya di dalam Syurga). Dan ia bersumpah kepada keduanya (dengan berkata): “Sesungguhnya aku adalah dari mereka yang memberi nasihat kepada kamu berdua.” Dengan sebab itu dapatlah ia menjatuhkan mereka berdua (ke dalam larangan) dengan tipu dayanya. Setelah mereka memakan (buah) pohon itu, terdedahlah kepada mereka berdua aurat masing-masing, dan mereka mulailah menutupnya dengan daun-daun (dari) Syurga. Serta Tuhan mereka menyeru mereka: “Bukankah Aku telah melarang kamu berdua dari pokok itu, dan Aku katakan kepada kamu, bahawa Syaitan itu adalah musuh kamu yang nyata?

Surah al-A’raf (19-22)

Nas di atas jelas menunjukkan larangan Allah SWT untuk dipatuhi dan berlakunya was-was dan tipu daya syaitan dengan janji palsu. Maka, di sini fahamlah kita syaitan akan cuba menyesatkan kita terkadang dengan nasihat yang disangkakan baik tetapi sebenarnya penuh dengan racun dan tipu muslihat. Kerana itulah kita hendaklah berlindung dengan Allah SWT daripada syaitan yang direjam sebagai mana yang selalu kita baca isti’azah setiap kali ingin membaca al-Quran. 

Allah SWT mengingatkan kita agar sentiasa berwaspada dengan tipu daya syaitan dan jangan menyembah serta mengikut jejak langkahnya.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي دِيْنِنَا وَدُنْيَانَا وَأَهْلِنَا وَمَالِنَا، اللَّهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِنَا وَآمِنْ رَوْعَاتِنَا ، اللَّهُمَّ احْفَظْنَا مِنْ بَيْنِ أَيْدِيْنَا وَمِنْ خَلْفِنَا وَعَنْ أَيْمَانِنَا وَعَنْ شَمَائِلِنَا وَمِنْ فَوْقِنَا ، وَنَعُوذُ بِعَظَمَتِكَ أَنْ نُغْتَالَ مِنْ تَحْتِنَا

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) di dunia dan akhirat. Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) dalam agama, dunia, keluarga dan harta kami. Ya Allah, tutupilah aib kami dan berilah ketenteraman di hati kami. Ya Allah, jagalah kami dari depan, belakang, kanan, kiri, dan atas kami. Kami memohon perlindungan dengan keagungan-Mu agar tidak disambar dari bawah kami.”

Bertarikh: 7 Ogos 2023 bersamaan 20 Muharram 1445 H